Wanita mana tak risau bila tiba-tiba tengok cermin, kulit bibir jadi bertambah gelap dan kusam. Macam perokok pun ada. Mungkinkah sebab pemakaian lipstik yang mengandungi plumbum? Atau adakah kerana faktor usia yang semakin meningkat?
Ads
Apa punca kondisi bibir yang merah berubah gelap? Usah khuatir! Kini tidak perlu lagi bersembunyi di sebalik palitan rona gincu bibir yang menyerlah, kelak anda juga akan menyerah.
Ads
Apa kata anda ikuti tip dan petua yang boleh diamalkan ini untuk mencerahkan bibir semula.
Anda boleh gunakan berus lembut atau berus gigi untuk menanggalkan sel kulit mati atau rekahan bibir yang kering. Apabila sel kulit mati telah dibuang, sel kulit yang baru akan kembali, sekali gus melembutkan bibir.
Letakkan madu di bibir anda selama 15 minit sebelum dibasuh dengan air. Lakukan pada waktu malam sebelum tidur.
Letakkan ubat gigi pada bibir selama 3 minit dan dibasuh dengan air. Lakukan setiap hari sehingga warna bibir menjadi agak cerah.
Sapukan santan kelapa pada bibir untuk membantu mencerahkan kulit bibir. Sapuan dilakukan sebelum tidur pada setiap malam sampaikan bibir cerah kembali.
Kurangkan merokok. Perokok tegar yang terdedah dengan nikotin akan menyebabkan bibir menjadi gelap.
Hadkan daripada pengambilan kopi dan teh berlebihan. Makan buah-buahan segar dan sayuran serta minum air dengan secukupnya.
Amalkan makan buah kurma. Kurma dikenali sebagai buah yang dapat membantu meningkatkan peredaran darah dalam badan dan membantu memperbaharui kulit anda.
Urut bibir anda dengan setengah sudu teh minyak zaitun atau castor oil, setengah sudu teh gliserin dan setengah sudu teh jus lemon dicampurkan bersama-sama. Biarkan semalaman sebelum dibasuh dengan air biasa. Boleh membantu dalam mencerahkan warna bibir anda dan mencegah kekeringan.
Sebelum membeli gincu, anda boleh buat patch test Sapukan gincu pada tangan anda. Jika anda merasa gatal-gatal atau alahan, elakkan dari membeli gincu itu. Selain itu tanggalkan gincu sebelum tidur, bersihkan bibir anda DAN jangan gunakan gincu yang sudah tamat tempoh.
Jika anda keluar rumah, jangan lupa untuk sapukan pelembap bibir bagi melindungi bibir daripada sinar UV. Jangan tak tahu, pancaran matahari bukan saja boleh menggelapkan kulit, tapi juga boleh menggelapkan bibir.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Beberapa hari lalu, usahawan kosmetik terkenal Joy Revfa dikhabarkan telah bertunang dengan seorang doktor kacak dikenali sebagai Dr Adrian Yeah.
Menjengah ke Instagram peribadi Dr Adrian yang kini bertugas sebagai doktor perubatan (Ortopedik), satu hantaran telah dimuat naik memaparkan Dr Adrian meraikan ulangtahun kelahiran Joy Revfa yang ke-36 tahun di sebuah hotel mewah sekitar Kuala Lumpur.
Jelas terpancar kebahagiaan pada wajah pasangan sama cantik sama padan ini. Mana tidaknya, perkenalan yang bermula menerusi Instagram kini sedang menuju ke fasa yang lebih serius.
Pasti ramai yang ternanti-nanti bilakah Joy Revfa atau nama penuhnya Siti Arifah Mohd Amin akan kembali bergelar isteri setelah dua kali gagal dalam perkahwinan terdahulu.
Hasil perkahwinannya yang pertama, Joy Revfa dikurniakan seorang anak lelaki, Arryan Firdaus yang kini berusia lapan tahun.
Berikut perkongsian eksklusif Joy Revfa kepada Majalah Nona.
“Saya dan Dr Adrian berkenalan di dalam Instagram. Memandangkan saya memang selalu sibuk dengan kerjaya khususnya di media sosial, sudah semestinya lah sesiapa saja lelaki yang ingin berkenalan juga melalui media sosial.
“Memang sebelum ni tak pernah accept sesiapa yang cuba untuk mendekati tapi disebabkan dah pernah simpan niat, tahun 2023 nak bukakan hati pada orang baru.
“Pada Februari 2023, Dr Adrian approach di Instagram untuk berkenalan. So dari situ kami cuba saling mengenali. Pertemuan pertama kami, keluar lunch sama-sama di Jibby & Co Empire Subang,” kongsi Joy Revfa.
LAMARAN
Tak sangka, dari majlis meraikan ulangtahun kelahiran bertukar kepada momen lamaran. Pastinya, ia menjadi detik paling manis buat Joy Revfa.
“Kejutan lamaran dari dia ialah selepas kami habis dinner di Thirty8, Grand Hyatt Kuala Lumpur. Bukan saja buat kejutan, dia bawa saya ke sana dengan decor yang cantik siap standby cincin untuk melamar.
“Cuma saya ada cakap pada dia, kalau adat Melayu nak kena minta persetujuan keluarga dulu dan baru bagi cincin. So kami anggap lamaran ini bukan secara rasmi sebab masih belum buat majlis pertunangan lagi,” jelas Joy Revfa.
Menurut pengasas Merve Cosmetics ini, mereka merancang untuk mengadakan majlis pertunangan secara rasmi pada Oktober depan.
“Insyallah kami plan buat majlis pertunangan pada Oktober 2023. Konsep yang kami pilih adalah tradisi Cina,” tutur Joy Revfa.
KEISTIMEWAAN DR ADRIAN
Kata Joy, walapun umur Dr Adrian muda lima tahun darinya namun jejaka itu sangat matang dan ikhlas menyokong apa yang dia lakukan.
“Dia sentiasa sokong apa yang saya minat dan sama-sama melibatkan diri dalam aktiviti atau bisnes yang saya suka.
“Bukan senang nak jumpa lelaki supportive seperti ini. Kebanyakan lelaki suka menghalang apa pasangan dia suka dan memadamkan impian serta merta.
Menurut Joy Revfa, sebelum ini Dr Adrian merupakan bekas askar. Disebabkan itu, Dr Adrian mudah panas baran, kuat melenting dan kasar.
Sejak bergelar mualaf, Dr Adrian mulai berubah. Sikap panas barannya semakin hilang.
“Dia panas baran disebabkan pernah masuk askar dulu. Dia sendiri akui, sejak masuk Islam dia semakin ok. Islam banyak buat dia sabar. Kalau tak, sebelum ni dia kuat melenting, kasar dan panas baran. So, sayalah yang selalu menjadi penyejuk hatinya.
Bakal bergelar suami dan bapa kepada Arryan Firdaus, ini harapan Joy Revfa kepada Dr Adrian.
“Semoga dia dapat dapat mendalami betul-betul ilmu agama Islam dan mempraktikkan dengan penuh keikhlasan.
“bukan senang seorang mualaf nak belajar dan memahami ajaran agama Islam dengan cepat. alhamdulillah dia tak pernah berputus asa untuk hadir ke kelas agama anjuran zakat selangor pada setiap minggu,” ungkap Joy Revfa.
“Kami masih cuba membina hubungan ini sampai nikah. Saya akui bukan senang nak bimbing seorang mualaf,” akhiri Joy Revfa.
Dr Adrian memeluk agama Islam pada 24 Mac 2023 di Masjid Setia Alam. Semoga hubungan Joy Revfa dan Dr Adrian berkekalan selamanya.
Untuk info, Joy Revfa pernah berkahwin dengan penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun pada 1 Mei 2017. Pun begitu, hubungan tersebut tidak berpanjangan sebelum mereka disahkan bercerai talak satu pada 25 Oktober 2017.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Makin hari makin cantik adik Neelofa ni! Selain terpikat dengan kemulusan kulit Little Miss Khan, pasti ramai wanita di luar sana yang mencemburui susuk tubuh langsing gadis kacukan Arab-Pakistan tersebut. Mana tidaknya, pinggang ramping macam kerengga!
Peluang bertemu dengan pemilik nama Nur Ameera Khan ketika sesi fotografi bersama Majalah Nona baru-baru ini, penulis sempat bertanyakan tip cantik yang diamalkan hingga mampu memiliki bentuk tubuh langsing. Tanpa berselindung, Ameera tenang membongkar rahsia.
“Tip cantik? I pakai korset all the time. Sebenarnya I dah mula pakai korset ni sejak tiga bulan lalu dan amalkannya setiap hari walaupun ketika tidur. Ada satu saiz untuk dipakai waktu tidur je.
Tak ada sesiapa pun yang paksa, memang I yang nak pakai sendiri dan mama pun benarkan. Kalau nak tahu, sejak muda lagi dan sebelum ada anak… mama dah start pakai korset. Dengan dah ada 10 orang anak dan body dia maintain macam tu buatkan I pun nak jadi macam mama,” kongsinya sambil ketawa.
Jelas Ameera lagi, “Kakak sulung, Sara yang memperkenalkan I dengan korset ini sebab dia pun pakai. Korset ni dari US.. ada agen yang datang ambil ukuran badan dan dalam masa kurang dari seminggu dah sampai. Selesa pakai korset ni lagipun panjangnya sampai ke peha. Kalau ada photo shoot pun senang, sebab tu I beli tiga color.. putih, nude dan hitam.”
Selain mengamalkan pemakaian korset secara konsisten, Ameera juga rajin pergi ke gym. Patutlah dia nampak fit. “I pergi ke gym dalam 5 ke 6 kali seminggu. Memang I addicted to gym dan ia macam my stress free zone. Jenis dan rutin senaman semuanya bergantung kepada trainer.
Di rumah, I akan buat senaman yang I tahu atau call trainer dan tanya dia apa yang patut I buat. Kebiasaannya, I akan buat senaman yang lebih tertumpu dekat pinggang dan punggung.”
Wanita mana yang tak suka dengan kecantikan. Seperti wanita lain, Ameera mengakui betapa pentingnya menjaga kecantikan diri termasuk penjagaan kulit wajah. Menariknya, tip penjagaan wajah Ameera cukup mudah dan tidak memerlukan belanja yang mahal.
Tidak lokek berkongsi petua, ini yang lazimnya dia lakukan. “Mungkin ada yang tak percaya tapi I tak pakai pelembap, serum ataupun krim mata. Kalau ada event atau photo shoot, balik je dari rumah I akan mandi dan lepas tu letak mask Kora Organics.
Pencuci muka pun I guna dari Kora Organics sebab ia organik. Setiap pagi dan malam pula I akan ambil ais letak dekat muka selama tiga minit. Ia bagus untuk kecilkan liang pori, mengurangkan dark circle, cegah pembentukan jerawat dan buatkan muka jadi lebih glowing.
Hasilnya, my cheek jadi kemerah-merahan since the day I buat ice facial ni. Pastikan ais diletakkan terus on your skin. Selain itu, I juga minum banyak air kosong sehari. Boleh dikatakan dalam 5 ke 6 liter. Untuk pagi, I akan minum lemon yang direndam dengan air panas. Malam, makan madu sekali dengan ‘sarang’ dia tu. Untuk buah-buahan pula I suka makan buah delima dan mangga.”
Rupa-rupanya tak susah pun nak nampak fit, cantik dan langsing macam Ameera. Kunci utamanya ialah rajin! Kena rajin bersenam, rajin jaga pemakanan dan rajin minum air secukupnya.
Kredit: Instagram Little Miss Khan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Amna Al Qubaisi tidak sekadar memandu jentera berkelajuan tinggi, dia sedang mengemudi satu perubahan budaya yang selama ini seakan mustahil untuk ditembusi. Dalam dunia yang lama dikuasai lelaki, namanya kini berdiri sebagai simbol keberanian wanita moden yang tidak lagi menunggu ruang, tetapi menciptanya sendiri.
Musim 2026 bakal menjadi detik penting dalam perjalanan luar biasanya apabila Amna Al Qubaisi muncul sebagai wanita pertama yang bersaing dalam kategori Pro, di Porsche Carrera Cup Asia (PCCA) 2026.
Lebih daripada sekadar penyertaan, langkah wanita jelita usia 26 tahun ini mencerminkan anjakan besar dalam landskap perlumbaan serantau, di mana kehadiran wanita kini bukan lagi pengecualian, tetapi satu realiti yang semakin diiktiraf.
Amna juga berjaya mengimbangi kerjaya motorsport yang menuntut disiplin tinggi dengan pengajian akademik apabila menamatkan pengajian di Universiti Sorbonne Abu Dhabi dalam bidang Records Management and Archival Science.
Dalam masa yang sama, dia turut menjalani latihan intensif di sebuah akademi khas untuk pemandu Emirati, di mana beliau menerima bimbingan teknikal, sokongan kejuruteraan serta latihan khusus sebagai persediaan menghadapi saingan di pentas perlumbaan antarabangsa.
Namun, kehebatan ini tidak tercipta dalam sekelip mata. Perjalanannya bermula dengan langkah kecil yang penuh makna.
Pada tahun 2018, Amna mencuri perhatian dunia apabila menjadi wanita Arab pertama yang menjalani ujian jentera Formula E, satu pencapaian yang membuka pintu kepada potensi yang lebih besar.
Dari situ, namanya mula disebut bukan sekadar sebagai pelumba wanita, tetapi sebagai bakat yang wajar diberi perhatian serius di pentas antarabangsa.
Keazaman itu terus teruji dan diperkukuh apabila beliau menyertai MP Motorsport dalam kejohanan F1 Academy pada tahun 2023. Amna Al Qubaisi tidak sekadar hadir sebagai peserta, tetapi tampil kompetitif dengan dua kemenangan dan kedudukan kelima keseluruhan, satu pencapaian yang mencerminkan disiplin dan ketahanan mental yang luar biasa.
Perjalanannya kemudian diteruskan dengan penglibatan dalam program pembangunan Red Bull Racing, memperkukuh lagi kredibilitinya sebagai pelumba masa depan yang berpotensi besar.
Apa yang menjadikan Amna Al Qubaisi berbeza bukan hanya pada statistik kemenangan, tetapi pada konsistensi yang dibina sejak awal. Kemenangan dalam perlumbaan Formula 4 UAE di Yas Marina pada tahun 2019 serta kejayaan dalam kejuaraan Rotax Max UAE adalah bukti bahawa laluan ini dibentuk dengan kerja keras, bukan kebetulan.
Di sebalik helmet dan litar, Amna Al Qubaisi membawa satu identiti yang lebih besar. Atlet yang dilahirkan pada 28 Mac 2000 itu kini menjadi wajah kepada kempen ‘Own Your Finish’ oleh Wardah, satu kolaborasi yang bukan sekadar komersial, tetapi selari dengan nilai yang dibawanya, wanita yang berani menentukan arah hidup sendiri tanpa tunduk kepada batasan.
Menariknya, keyakinan Amna bukan sesuatu yang dibina di atas kejayaan semata-mata. Ia berakar sejak usia muda, dibentuk oleh didikan bapanya yang bukan sahaja figura keluarga, tetapi juga mentor dalam dunia motorsport.
Apa yang bermula sebagai cara untuk mendekatkan hubungan, akhirnya berkembang menjadi satu perjalanan profesional yang penuh disiplin dan pengorbanan.
Namun, di sebalik segala pencapaian, Amna Al Qubaisi tidak menafikan realiti dunia perlumbaan yang keras. Dalam industri yang masih didominasi lelaki, wanita sering berdepan persepsi yang meragukan keupayaan mereka.
Bagi Amna, untuk berada pada tahap yang sama, dia perlu bekerja dua kali ganda lebih keras, membuktikan bahawa keupayaan bukan ditentukan oleh jantina, tetapi oleh usaha dan ketahanan diri.
Dan di situlah letaknya kekuatan sebenar Amna Al Qubaisi.
Dipetik daripada Gulf News, Amna mengakui bahawa perjalanan dalam dunia perlumbaan menuntutnya untuk bekerja jauh lebih keras demi membuktikan keupayaan diri.
“Ia adalah sukan yang sangat mencabar, dengan peluang yang terhad untuk wanita. Anda akan berdepan risiko dipinggirkan, dipandang rendah, malah tidak dianggap sebagai keutamaan dalam sesebuah pasukan. Justeru sebagai seorang wanita, saya perlu berusaha dua kali ganda untuk berada pada tahap yang sama,” ujarnya penuh ketegasan.
Dia bukan sekadar pelumba yang mengejar kemenangan di litar, tetapi seorang wanita yang mengubah cara dunia melihat wanita di dalamnya. Setiap selekoh yang dilaluinya bukan hanya tentang kelajuan, tetapi tentang keberanian mencabar norma, memecah stereotaip, dan membuka jalan untuk mereka yang akan datang selepasnya.
Dalam dunia yang semakin berubah, Amna Al Qubaisi berdiri sebagai lambang bahawa keanggunan dan kekuatan tidak pernah saling bertentangan. Malah, apabila digabungkan, ia mampu mencipta satu definisi baharu tentang kejayaan wanita masa kini.
Kisahnya bukan sekadar tentang perlumbaan, tetapi tentang inspirasi, kecantikan dalaman dan pemerkasaan wanita yang melangkaui batas tradisi. Amna Al Qubaisi membuktikan bahawa wanita hari ini mampu menguasai apa sahaja bidang dengan keberanian, disiplin dan keyakinan diri yang tinggi.