MashaAllah, sangat bangga dan terharu dengan usaha yang dilakukan oleh pempengaruh dan aktivis terkenal, Farah Lee untuk khidmat sosial dalam misi kemanusiaannya ini.
Semoga ianya diberkati dan dilimpahi pahala yang berpanjangan atas segala kebaikan yang diusahakan.
“Sebaknya bila tengok #myKAMPUNGbaghlan dah hampir siap. Ini semua hasil sumbangan korang semua. Terima kasih Malaysia,” kongsi Farah Lee dengan penuh rasa syukur.
Projek ini merupakan antara misi kemanusiaan yang amat dekat di hati beliau, bertujuan membantu keluarga daif di Afghanistan mendapatkan tempat tinggal yang selamat dan selesa.
Ads
Menurut Farah Lee, sebanyak 10 buah rumah telah siap dibina dan 10 buah lagi sedang dalam proses akhir pembinaan.
Setiap rumah dibina dengan penuh kasih dan perhatian lengkap dengan satu dapur, satu tandas, satu ruang bersama serta satu bilik tidur bagi setiap keluarga penerima manfaat.
Harapan Buat Keluarga Daif
“Alhamdulillah, 10 buah rumah dah siap dan 10 buah lagi dah hampir siap. Projek ini kami gerakkan selepas tengok sendiri ramai sangat keluarga di Afghanistan yang tinggal dalam rumah bawah tanah yang dikorek sendiri, sempit, tak selesa dan berisiko tinggi,” jelas Farah Lee.
Ads
Dia menambah, “InshaAllah sikit je lagi sebelum kami akan bawa masuk 20 buah keluarga yang daif ke rumah baru mereka.
“Setiap rumah ada satu dapur, satu tandas, satu common area dan satu bilik tidur. InshaAllah selesa untuk sebuah keluarga, tak perlu kongsi dah dengan keluarga lain.”
Usaha Farah Lee dalam projek #myKAMPUNGbaghlan ini bukan sahaja mengubah kehidupan puluhan keluarga di Afghanistan, malah menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menyalurkan bantuan dan kasih sayang sesama manusia tanpa mengira sempadan negara.
Ibu kepada seorang cahaya mata ini membuktikan bahawa keikhlasan dan tindakan kecil yang konsisten mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan insan lain.
Semoga segala usaha Farah Lee dan pasukannya dalam misi kemanusiaan ini terus diberkati dan memberi inspirasi kepada masyarakat Malaysia untuk terus berbuat baik serta membantu mereka yang memerlukan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terpesona dengan aura atlet akuatik terjun negara, Leong Mun Yee. Mana tidaknya, dia bukan hanya seorang wanita yang memiliki rupa paras cantik menawan, bahkan melakar pelbagai kejayaan cemerlang dalam arena sukan dan berpendidikan tinggi. Pakej lengkap!
Menerusi laman web peribadinya, Mun Yee mendedahkan dia mula aktif dalam sukan tersebut seawal usia 10 tahun lagi. Sejak itu, dia diberi kepercayaan mewakili Malaysia hingga sekarang iaitu lebih 20 tahun. Jelas Mun Yee, penampilan pertamanya dalam Sukan Olimpik adalah ketika menyertai temasya sukan terbesar berkenaan di Sydney, Australia pada tahun 2000.
Waktu itu dia baru berusia 15 tahun. Bertitik tolak daripada pencapaian membanggakan, Mun Yee berjaya meletakkan standard yang tinggi dalam kerjaya sukannya sehingga melayakkan diri dalam lima penyertaan Sukan Olimpik iaitu di Sydney pada tahun 2000, Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012.
Rentetan pembabitan aktif dan dedikasi serta minat mendalam dalam sukan akuatik, Mun Yee mendapat pengiktirafan yang menyaksikan namanya tersenarai dalam Malaysia Book of Records apabila menjadi atlet wanita pertama melayakkan diri ke Sukan Olimpik sebanyak empat kali.
Lebih mengujakan, dia juga melakar pelbagai pencapaian cemerlang di dalam dan luar negara. Buktinya, dia yang ketika itu bergandingan dengan Pandelela Rinong menjadi atlet terjun pertama memenangi pingat Perak dan Gangsa dalam FINA Diving World Championship 2009, 2013 dan 2019 dalam acara 10 meter platform wanita. Malah, ketika Sukan SEA 2017 juga Mun Yee membawa pulang dua pingat Emas dalam acara sama.
Tidak hanya berbakat dan cantik, Mun Yee merupakan graduan Sarjana Komunikasi Korporat di Universiti Putra Malaysia (UPM). Jelas atlet berusia 36 tahun ini, “Pendidikan adalah sangat penting. Ia ibarat perjalanan sepanjang hayat yang membantu mengasah kemahiran dan pengetahuan seseorang secara peribadi mahupun profesional.”
Bersandarkan kejayaan, bakat dan kecantikan yang dimiliki, Mun Yee turut menjadi buruan syarikat iklan yang mahukan wajahnya menghiasi kempen produk keluaran mereka. Syabas dan tahniah buat Mun Yee. Moga terus mengangkat martabat kaum wanita di mata dunia dan menjadi inspirasi ramai.
Kredit foto: Instagram Leong Mun Yee
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bangga dengan kejayaan wanita muda kelahiran Syria ini! Genap usia 23 tahun pada 7 April lalu, Maya Ghazal ialah lambang wanita Islam yang bijak dan bercita-cita tinggi. Bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik, kredibiliti Maya juga meraih perhatian pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) yang melantik wanita ini sebagai UNHCR Goodwill Ambassador. Bukan calang-calang!
Memetik kenyataan UNHCR, Maya berhijrah dari Damascus, Syria dan memulakan kehidupan baru di United Kingdom ketika berusia 16 tahun pada 2015. Sejak itu, dia berusaha mempelajari Bahasa Inggeris dan berjaya menamatkan persekolahan. Seterusnya memperoleh ijazah dalam kejuruteraan penerbangan dan pengajian juruterbang.
Menariknya tahun lepas, Maya melakar sejarah menjadi wanita pelarian Syria pertama yang berjaya bergelar juruterbang sewaktu berumur 21 tahun. Malah, dia komited menggunakan kelebihan yang dimiliki untuk membela nasib pelarian sepertinya hingga sekarang.
Maya sebelum ini menerusi media sosial miliknya turut mendedahkan dia seorang yang sangat mementingkan pelajaran. “Sepanjang 15 tahun berada di Syria, pendidikan ialah satu kewajipan dan sangat penting. Walau negara sedang bergolak, hanya beberapa hari saja saya tak hadir ke sekolah biarpun sedar betapa ‘bahayanya’ untuk pergi ke sekolah.
Saya tak pernah terfikir penghijrahan ke UK membuatkan saya ketinggalan dalam pendidikan kerana pernah ditolak untuk mengikuti persekolahan disebabkan kerakyatan meskipun cemerlang dalam akademik.
Bagaimana pun, saya berjaya meyakinkan guru-guru dan mendapat tempat di dalam kelas kerana bijak dalam pelajaran. Sejak itu, saya kembali mendapat keyakinan diri semula dan menyedari keupayaan diri di samping percaya saya mampu meraih apa yang saya impikan.
Pendidikan ialah satu ‘alat’ yang saya percaya boleh mengubah dunia! Tanpa pendidikan, saya tak mungkin dapat menjadi juruterbang atau jurutera.”
Ujar Maya lagi, dia berterima kasih kepada agensi United Nations yang memberi ruang untuk ‘bersinar’ di pentas dunia. “Ramai pelarian muda yang berjuang mendapatkan pendidikan tapi UN refugees agency saban hari membantu mereka mendapatkan peluang tersebut.
Dengan memberikan peluang pendidikan dan galakan kepada remaja perempuan sepertinya, ia sekaligus memberi sinar harapan buat mereka untuk menggapai impian.”
Baru-baru ini Maya berpeluang bertemu bintang terkemuka filem Top Gun, Tom Cruise dan berbicara mengenai kepelbagaian dalam dunia penerbangan ketika dia dijemput menjadi tetamu Silverstone by Toto Wolff. Toto Wolff ialah billionaire kelahiran Austria yang juga eksekutif dunia permotoran, pelabur dan bekas pelumba.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tidak sukar membayangkan kenapa NIMS CRISPY CHOCOTUB dikatakan ‘berhantu’. Tidak seperti coklat biasa, tapi coklat cair premium yang melimpah-ruah digaul sebati dengan bijirin rangup. Rasanya sedap dan mudah dibawa ke mana-mana. Beradaptasi dengan perubahan produk ready-to-eat, kini jenama NIMS yang diilhamkan oleh Tengku Norhanim bersama pasangannya Faiz Hussamuddin juga melahirkan inovasi Crispy Chocotub pertama di Malaysia.
Berusia 32 tahun, kecintaan Tengku Norhanim terhadap coklat melahirkan produk NIMS yang disifatkan sebagai happy food. Rasa bahagia membuat orang gembira adalah kekuatan beliau agar berusaha memajukan bisnes.
Anak sulung daripada lapan adik-beradik ini juga bersyukur dapat membantu ramai orang menjana pendapatan, khususnya team NIMS menambah rezeki.
Fenomena choco jar ini pada awalnya mendapat tempat di kalangan anak muda. Sewaktu Tengku Norhanim mula berniaga pada usia 24 tahun, produk keluarannya itu tepat pada sasaran kategori pembeli seusia. Niat berniaga secara suka-suka akhirnya bertukar serius.
“Saya mula bisnes ketika baru setahun berkahwin dan kami juga baru dikurniakan seorang anak. Saya pula masih belajar di universiti. Suatu hari, suami bawa balik dua balang choco jar yang diberi oleh seorang kawan. Dia tanya saya berminat ke nak jual sebab kawannya tengah mencari ejen.
Terus saya rasa seronok tak terkata. Mungkin sebab dapat lampu hijau untuk berniaga dan mungkin juga ia boleh menambah pendapatan kami. Jadi saya pun cuba iklankan choco jar tadi dalam Facebook dan Instagram. Rasa punyalah terkejut bila ada orang nak beli.” Tengku Norhanim
Sewaktu masih menuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Timur dari Universiti Malaya, Tengku Norhanim terpaksa merayu ihsan modal dari suami tercinta untuk meneruskan bisnes.
“Suami bagi RM300 untuk beli stok. Kerana banyak permintaan, saya berjaya habiskan semua stok choco jar dalam tempoh yang singkat. Dari situ saya repeat order hingga tiga kali sebelum tiba-tiba pembekal maklumkan dia terpaksa berhenti.
Saya kecewa, sampailah tergerak hati nak cuba buat sendiri. Lantas dengan bantuan sepupu suami yang mahir dalam bidang coklat, kami pun sama-sama jalankan R&D. Akhirnya kami berjaya jumpa resipi yang betul dan sedap untuk dijual.”
Dalam kesibukan menyiapkan tesis, menghadiri kuliah dan menguruskan keluarga, Tengku Norhanim gigih menguruskan tempahan yang berpusu-pusu masuk. Hanya dengan bantuan suami yang ketika itu bekerja sepenuh masa dan seorang pembantu rumah, mereka bertungkus-lumus mengembangkan produk NIMS hingga turut mendapat banyak tempahan di Thailand.
Sayangnya menjelang tahun 2014, perniagaan Tengku Norhanim ditimpa musibah yang menyebabkan beliau rugi berpuluh ribu. Sebaik mahu memindahkan urusan production ke rumah ibu bapanya di Kelantan, semua bahan mentah yang dihantar ke sana ditenggelami banjir besar. Peristiwa tersebut membuatkan beliau terpaksa slow down buat seketika.
PENGALAMAN
Selepas selesai pengajian pada bulan April 2015, anak jati Kelantan ini tekad meneruskan perniagaan yang terhenti separuh jalan.
“Sebenarnya saya memang sangat suka berniaga sejak kecil, malah impian saya nak jadi usahawan berjaya. Jadi berbekalkan wang simpanan yang ada, kami mulakan semula production choco jar. Alhamdulillah sejak itu bisnes rancak dari tahun ke tahun, malah kami punya barisan ejen di Brunei serta Sabah dan Sarawak.
Apabila saya mula mencari ilmu pemasaran dan mempelajarinya, jualan terus melonjak, dan yang tertinggi waktu tu RM500,000 sebulan. Namun, jualan tersebut tidak bertahan lama kerana kami tidak menguruskan kewangan dengan baik, cepat rasa selesa dan menyebabkan jualan makin merudum. Kami juga tidak konsisten menjalankan marketing di media sosial.
Hampir setahun terkesan dengan kerugian. Tanpa disedari duit simpanan dan modal pusingan juga habis. Dalam akaun bank pun tidak sampai RM3,000. Waktu tu kami cuba dapatkan bantuan dengan bapa mertua saya, namun gagal, bapa mertua saya berikan mutiara kata dan nasihat yang berguna buat kami suami isteri agar kami sedar serta bangkit semula.” Tengku Norhanim
Menyedari persaingan di kalangan pengusaha makanan semakin sengit, Tengku Norhanim yakin sesuatu harus dilakukan.
“Alhamdulillah Tuhan masih bagi kami peluang untuk mengumpul rezeki pada musim perayaan. Kami ambil tempahan dulu daripada pelanggan dan jual choco bar yang ketika itu disukai ramai. Itulah caranya kami pusingkan modal sedikit demi sedikit.
Selepas episod kejatuhan kami pada 2018, saya tekad buat perubahan drastik bagi menarik pelanggan. Sebenarnya bila kita rasa selesa atau terlalu bagus, kita enggan berubah.
Sedangkan orang lain dah mula naik dan mendahului kita. Maka bertitik-tolak dari pengalaman pahit, akhirnya kami pun buat inovasi dan kelainan yang orang lain tidak terfikir lagi.”
Daripada balang kaca ke balang plastik (atau tub), produk NIMS berpindah bekas. Tub hitam dengan saiz lebih besar, lengkap sudu comel dan rasa premium merupakan taruhan baru mereka bagi mendominasi semula pasaran.
Langkah berani itu menjadikan NIMS sebagai pelopor CRISPY CHOCOTUB pertama di Malaysia, sekaligus menggemparkan industri makanan berasaskan coklat dan bijirin.
“Sebaik NIMS CRISPY CHOCOTUB dilancarkan di platform Facebook kami pada Ogos 2019, sebanyak 5,000 bekas habis terjual dalam masa 1 jam. Transisi itulah yang mendorong landskap perniagaan berubah sepenuhnya.
Sewaktu dunia dilanda pandemik dan Malaysia menguatkuasakan PKP pada tahun 2020, permintaan terhadap produk NIMS pula terus meningkat.
Team berkembang dan leader pula semakin ramai mencapai 6,500 orang. Kami berjaya tembusi pasaran Brunei, Singapura dan Thailand, selain mempunyai tiga buah kilang yang menjalankan operasi pembuatan menggunakan teknologi mesin sepenuhnya.
Pencapaian terbaik NIMS adalah apabila kami berjaya buat jualan mececah puluhan juta.”
Baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Best Crispy Chocotub Award, Tengku Norhanim Tengku Othman ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Solekan: Norezz Idris
Foto: Azfarina Sulaiman
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!