Fasha Sandha dedah rahsia kekal relevan. Disiplin merupakan rahsia Nur Fasha Sandha Hassan atau nama glamornya Fasha Sandha kekal relevan dan masih diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama hebat, walaupun usianya sudah menginjak 40 tahun. Bukan itu saja malah wanita yang bergelar isteri kepada tiga orang anak itu juga terus mendapat kepercayaan sebagai duta kepada beberapa jenama terkenal.
Dibesarkan oleh ibu tunggal, Hatijah Teh Man, Fasha mengimbas kehidupannya sewaktu zaman kanak-kanak yang agak susah. Ibunya bekerja keras untuk membesarkan anak-anak dan ini memberikan kekuatan kepada Fasha untuk terus berusaha dan berdisiplin dalam hidup.
“Mama ibu tunggal. Masa kecil mama bekerja keras siang hingga ke petang setiap hari mencari nafkah tanpa dibantu papa. Ketabahan mama menjadi faktor saya berjiwa kental, kuat dan berdikari. Masa kecil kami terpaksa catu makanan, bukan seperti kanak-kanak lain. Kami adik-beradik kena berjimat sebab hidup serba kekurangan. Masa sekolah rendah, ingat momen pada waktu itu mama beli coklat dan kami akan kongsi adik beradik. Mama juga ajar agar kami bersyukur dengan rezeki yang datang,” luah Fasha yang sangat mengagumi ketabahan ibunya.
Fasha Sandha Dedah Rahsia Kekal Relevan
Penampilan Fasha yang kini makin langsing menambahkan keanggunannya. Ditanya tentang rahsia awet muda, sambil tersenyum Fasha menjelaskan dirinya mahu kurus untuk kekal sihat.
“Sebagai pelakon memang susah untuk saya cukup tidur, sebenarnya untuk nampak sihat kena tidur mencukupi sekurang-kurangnya enam jam. Minum air masak yang banyak dan amalkan suplemen yang betul. Pastikan pemakanan terjaga, jangan makan berlebihan dan berhenti makan sebelum kenyang. Saya jenis yang mudah naik badan, malah untuk dapatkan berat badan ideal seperti hari ini mengambil masa selama tiga tahun.
Saya tergerak hati nak amalkan diet sebab pernah kena body shaming. Ada seorang penerbit sindir kalau saya nak teruskan menjadi watak utama untuk musim seterusnya saya kena turunkan berat badan. Tapi saya ambil kata-kata itu sebagai cabaran dan sejak itu saya amalkan diet ketat. Lepas tujuh bulan nampak hasilnya,” kongsi Fasha yang berasa sangat bersyukur kerana Aidil memberi sokongan padu dan menerima dirinya seadanya, tidak kira bentuk tubuhnya.
Sokongan suami memberi keyakinan tambahan untuknya kekal sihat, bukan hanya demi kecantikan tetapi juga untuk kebahagiaan dalam beribadat. Fasha menegaskan, kesihatan adalah lebih utama daripada sekadar penampilan luar. Ditebak soalan tentang adakah dia seorang yang suka bergaya setiap masa, Fasha secara jujur menerangkan dirinya bukanlah seorang yang suka melaram. Dirinya suka bersederhana namun akan mengenakan fesyen bersesuaian apabila menghadiri majlis.
“Saya tak gemar bersolek jika di rumah sebab saya seorang yang sangat ringkas. Tapi bila masa bekerja saya akan mendandan diri mengikut majlis dan karakter. Kebiasaan saya suka berpenampilan ringkas dan sederhana, hanya dengan selipar dan jeans apabila keluar rumah,” luah Fasha.
Baginya, kerjaya seni adalah tanggungjawab yang tidak berkait dengan populariti. Inspirasi fesyen dan kecantikan datang daripada rakan artis seperti Dato’ Seri Siti Nurhaliza, Erra Fazira dan Scha Alyahya.
Ads
Hargai Setiap Perjalanan Hidup
Berkongsi rahsia kekal relevan, Fasha yang diberi jolokan aktres berdisiplin itu menyifatkan setiap pelakon, penyanyi atau sesiapa sahaja harus menjaga disiplin dan komitmen. Nasihat ibu juga menjadi azimat terpenting dalam hidupnya ketika mula melangkah menjadi anak seni.
“Jika kita jaga kerja, komitmen dan disiplin, InsyaAllah ia akan membantu membawa kita terbang tinggi tidak kira apa pun yang berlaku. Ibu juga pesan supaya jaga diri. Walau pernah berlaku kontroversi namun saya yakin dengan disiplin, komitmen, ketetapan masa terhadap kerja yang saya jaga selama ini membuatkan saya masih di sini.
Saya bahagia dan menghargai setiap perjalanan hidup, walaupun ada suka dan duka. Semua yang berlaku dalam hidup saya adalah warna-warni yang menambah makna serta membentuk diri saya kini lebih matang dan yakin. Saya akan jaga kerja sebabnya ini adalah periuk nasi sendiri. I love my job,” kongsi Fasha mulai bicara.
Harungi Pelbagai Ujian & Kontroversi
Keberaniannya menghadapi liku-liku kehidupan, termasuk mengharungi pelbagai ujian dan kontroversi, menjadikan Fasha sebagai contoh wanita cekal yang tidak mudah mengalah. Keperibadiannya yang mesra dan rendah hati, serta keupayaannya untuk bangkit dari sebarang kesulitan, adalah contoh nyata seorang wanita yang berdikari dan penuh inspirasi.
“Sebagai seorang wanita kita harus berdikari dan memiliki duit simpanan sendiri. Binalah kerjaya agar kita tidak mudah ditindas oleh sesiapa saja. Jika jatuh kita perlu bangkit dan jangan lemah. Semua wanita termasuk suri rumah perlu ada pendapatan peribadi. Dunia sekarang ni banyak yang dah berubah jika duduk di rumah sambil jaga anak pun boleh jana pendapatan. Percayalah kita akan gembira dan hidup bahagia jika ada simpanan. Masalah yang datang kadangkala pahit tapi sebagai wanita kita kena lalui dan pengalaman itulah yang akan membawa kehidupan menjadi manis,“ ujarnya.
Ads
Bagi Fasha, perkahwinan dan kebahagiaan adalah pinjaman. Walaupun perjalanannya berliku, dia tetap bersyukur dan tidak pernah menyesal dengan apa yang telah berlaku.
Fasha tidak melihat status ibu tunggal selepas perkahwinan pertamanya sebagai satu kekurangan, sebaliknya sebagai peluang untuk menjadi lebih kuat dan berdikari. Selepas tiga tahun, dia bertemu jodoh semula dan berkahwin dengan Aidil Aziz. Walaupun pernah skeptikal tentang perkahwinan dengan rakan artis, Fasha mengakui jodohnya kali ini membawa sinar baru dalam hidupnya. Dia bersyukur kerana disayangi oleh keluarga dan sahabat, serta dikelilingi oleh orang yang positif.
Fasha juga menjaga hubungan baik dengan bekas suaminya demi kesejahteraan anak-anak mereka. Baginya, perpisahan tidak menghalang kasih sayang untuk anak-anak, dan ini menjadi contoh harmoni bagi mereka. Keberanian dan kemampuannya sebagai ibu tunggal dahulu menjadikannya seorang wanita yang berdikari dan kuat, serta tidak mudah bergantung kepada orang lain.
Ads
“Saya sentiasa mendoakan agar perkahwinan saya akan kekal sampai bila-bila. Saya tak pernah menyesal apa yang berlaku, daripada kegagalan perkahwinan pertama kemudian saya menjadi ibu tunggal selama tiga tahun dan berkahwin sekali lagi dengan Aidil.
Berkahwin dengan Toh Muda Rizal Ashram Ramli, saya dikurniakan dua orang anak, Putra Rayfal dan Putri Raysha Jemyma. Hubungan dengan bekas suami juga sangat baik. Kami selalu berkongsi dan bertukar pendapat tentang pelbagai isu termasuklah isu keibubapaan. Walaupun kami sudah berpisah namun anak-anak nampak hidup kami penuh harmoni.
Perjalanan sebagai ibu tunggal menjadikan saya seorang wanita yang sangat kuat. Saya tak pernah sedih jadi ibu tunggal. Bahagia dengan keluarga dan anak-anak ramai sahabat baik di sekeliling. Malah saya juga tak sangka akan berkahwin sekali lagi dengan artis pula tu. Saya dan Aidil berkahwin selepas setahun kami berkenalan.
Ketika itu saya sudah selesa menjadi ibu tunggal. Orang cakap kalau jadi ibu tunggal ramai yang akan pandang serong tapi perkara itu tak berlaku pada saya. Mungkin sebab saya dikelilingi orang yang baik-baik,” kongsi Fasha yang sangat bersyukur ditakdirkan berjodohan dengan Aidil suami yang penyayang dan memahami.
Sebelum mengakhiri perbualan Fasha sempat mengungkap perasaannya yang sangat bahagia apabila terpilih sebagai penerima Nona Fashion & Beauty Award dalam Nona Superwoman Award 2024.
“Alhamdulillah saya tak pernah menyangka akan diiktiraf sebegini. Saya sebenarnya seorang yang sangat ringkas dalam berfesyen. Namun apabila terpilih ini adalah rezeki yang patut saya banggakan. Terima kasih Nona dan anugerah ini juga memberi saya semangat untuk lebih berfesyen,” akhirinya.
Hangat diperdebatkan sekarang tentang bentuk bulan yang dikatakan datar menyangkal bulan berbentuk bulat. Bagi mereka yang mahu melihat dengan mata kepala sendiri persekitaran di angkasa lepas boleh mengumpul duit dari sekarang. Ini kerana Kerajaan Rusia buat pertama kalinya memberi peluang dan merancang untuk menghantar pelancong ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Menurut Ketua Syarikat Angkasa Rusia (Energia), Vladimir Solntsev, pihaknya sedang dalam perbincangan untuk memberi peluang kepada pelancong untuk berjalan (spacewalk) di angkasa.
RUSIA, buat kali pertamanya, merancang untuk menghantar pelancong ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Ketua Syarikat Angkasa Rusia (Energia) Vladimir Solntsev, mengatakan bahawa pihaknya sedang berbincang untuk memberi peluang kepada pelancong untuk berjalan (spacewalk) di angkasa. Energia menganggarkan kos perjalanan AS$100 juta (RM388 juta).
Mencipta pengalaman percutian di angkasa dijangkakan mengambil masa 10 hari di sana. Pelancong boleh menikmati suasana di angkasa lepas dan mengambil gambar dan video di atas sana.
Energia merupakan syarikat angkasa yang membawa manusia pertama di angkasa lepas, Yuri Gagarin pada tahun 1961. Khabarnya mereka sedang membina modul baharu. Nama masih belum disahkan) bakal dilancarkan pada 2019, mampu menampung sehingga enam penumpang dalam satu masa serta dilengkapi kabin yang selesa, dua tandas dan akses Internet.
Manakala sebuah lagi syarikat yang berpengkalan juga di Rusia, Syarikat NPO Aviation and Space Technologies turut menawarkan pengembaraan di angkasa lepas. Kapal pertama milik syarikat ini yang diberi nama Selena Space Yacht walau bagaimanapun masih dalam pembinaan.
Syarikat ini menawarkan pengembaraan ke angkasa dengan kos sekitar antara RM818,500 hingga RM122 juta. Kapal ini akan membawa penumpang mengembara mengelilingi orbit dengan kelajuan pesawat sekitar 2,685 batu sejam.
Sumber: www.astroawani.com & www.mstar.com.my
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keprihatinan dan jiwa murni yang menebal dalam diri Dato’ Dr Hartini Zainudin mendorongnya bergiat aktif dalam dunia kebajikan sejak lebih 30 tahun lalu. Tidak mengharapkan sebarang liputan dan perhatian, jauh sekali pengiktirafan terhadap kerja-kerja kemanusiaan yang dilakukan berdekad lamanya, Dato’ Dr Hartini bagaimana pun bersyukur Yayasan Chow Kit berjaya membantu dan memberi perlindungan kepada 10,000 kanak-kanak sejak ia ditubuhkan.
Selaku Pengasas Yayasan Chow Kit, Dato’ Dr Hartini menjalin kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), agensi kerajaan dan korporat serta beberapa NGO lain demi memastikan misi penubuhannya tercapai.
Berkongsi suka duka menguruskan badan amal itu selama 17 tahun, pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Monitoring and Assessment (Education) dari Columbia University, New York ini membuka bicara.
Kredit Instagram Hartini ZainudinFoto Majalah NonaFoto Majalah NonaKredit Instagram Hartini Zainudin
“Yayasan Chow Kit adalah sebuah komuniti yang saling menjaga di antara satu sama lain dan mementingkan hubungan kekeluargaan. Saya sangat sayangkan kanak-kanak. Tak kisah walau apa pun terjadi, saya tetap sayangkan mereka.
Saya beri jaminan yang kanak-kanak di bawah jagaan kami berada dalam keadaan selamat, dijaga dengan baik dan penuh kasih sayang. Ada yang tanya, kenapa kanak-kanak di sini tak nampak kotor dan selalu gembira. Itu bermakna kami buat kerja,” ulas Dato’ Dr Hartini sambil tertawa.
Ditanya mengapa bidang kebajikan kanak-kanak menjadi pilihan sedangkan mempunyai kelulusan tinggi dari luar negara, ini jawapan jujur Dato’ Dr Hartini. “Arwah ayah pernah tanyakan perkara sama kepada saya dulu. Jawapannya mudah, sebab saya ada peluang dan tidak pernah menyangka ada kanak-kanak terpinggir, tak bersekolah dan tak makan di Malaysia.
Saya pernah bekerja dengan United Nations (UN) yang membantu golongan kanak-kanak pelarian tapi saya balik ke Malaysia semula sebab ini cara saya untuk menyumbang kepada masyarakat. Ini juga adalah minat saya dan saya tak boleh masuk ke bidang lain walau dah cuba. Jadi, bidang ini saja yang saya mahu buat.”
Kredit Instagram Hartini ZainudinKredit Instagram Yayasan Chow Kit
Yayasan Chow Kit kini beroperasi di dua buah tempat iaitu Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) dan Kuala Lumpur Krash Pad (KLKP) serta sebuah rumah perlindungan. PAKK menempatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dengan memberikan mereka persekitaran sihat untuk pembelajaran dan bermain. Sementara KLKP pula dikhaskan untuk golongan remaja berusia 13 hingga 18 tahun.
Lebih tiga dekad bergelumang dalam kerja-kerja kebajikan, pelbagai kisah menyayat hati yang disimpan kemas Dato’ Dr Hartini. Ugutan dan berselisih pendapat dengan pihak berkuasa bagaikan sudah sebati dengan dirinya sepanjang perjuangan murni ini.
“Ada seorang ayah ini cuba jual anak dan dia masuk penjara selama dua bulan. Masa dia keluar 100 kali dalam sehari dia mesej ugut dan ikut saya. Saya terpaksa dapatkan perlindungan daripada polis selama dua minggu. Sudahnya saya terpaksa sembunyikan anak-anak daripada ayah mereka dan saya tak datang kerja selama beberapa bulan.
Foto Majalah Nona
Mengulas harapan terhadap kanak-kanak di bawah jagaannya andai suatu hari nanti dia tiada lagi di sisi, Dato’ Dr Hartini dalam nada sebak meluah isi hati.
“Saya suka buat kebajikan. Saya mahu kanak-kanak ini buat yang terbaik bukan saja untuk keluarga tetapi juga kepada masyarakat. Saya tak pernah paksa mereka tapi harap-harap ada di antara kanak-kanak yang saya ajar dan jaga ini meneruskan perjuangan saya supaya tiada lagi kanak-kanak yang terpinggir, terbiar dan menderita di negara kita.”
Sepanjang pembabitan dalam bidang ini, Dato’ Dr Hartini terbuka hati mengambil enam orang kanak-kanak sebagai anak angkat. Kini mereka hidup selesa dan menginjak usia remaja selain amat menyayangi insan berjiwa murni ini yang sudah pun dianggap seperti ibu mereka.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wangian bukan sekadar penyedap bau. ia tela menjadi sebahagian daripada identiti wanita moden yang mencerminkan keperibadian, keyakinan dan keanggunan mereka. Wangian yang sesuai dapat meningkatkan keyakinan diri seorang wanita.
Aroma yang wangi bukan hanya membuat orang di sekeliling berasa selesa, tetapi i juga memberi suntikan keyakinan dan tenaga positif. Dengan hanya beberapa semburan, seorang wanita lebih bersedia menghadapi apa jua cabaran!
Itulah yang menjadi aspirasi buat pengasas Beauboss Perfume, Athira Mohamed Shahid atau lebih mesra disapa Tiya yang memulakan perniagaan ini berdasarkan minat yang mendalam terhadap wangian sejak kecil. Sifatnya yang gemar mencuba pelbagai jenis minyak wangi menjadikan dirinya menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan wangian.
Meskipun pernah mencuba beberapa perniagaan lain sebelum serius menubuhkan Beauboss Perfume, Tiya tidak menafikan kerjaya di awan biru merupakan titik tolak bagaimana dirinya serius dalam perniagaan berasaskan wangian ini. Menyingkap permulaan Beauboss Perfume, Tiya sering memenuhi pesanan minyak wangi yang sukar diperoleh di dalam negara sewaktu bertugas di awan biru.
“Pengalaman bertugas di awan biru membawa saya mengenali pelbagai jenis wangian sekaligus memberi inspirasi untuk melahirkan jenama sendiri iaitu Beauboss Perfume. Alhamdulillah ia menjadi jenama pilihan ramai atas dasar kualiti dan harga yang berpatutan,”ujar Tiya yang bersyukur minatnya terhadap wangian membuka rezeki untuk diirnya sebagai sumber pendapatan.
Wangian Punca Rezeki
Memulakan perniagaan pada skala kecil, Beauboss Perfume mula berada di pasaran di mana ia membawa konsep wangian berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan. Matlamat Beauboss Perfume untuk memberikan pengalaman mencuba wangian yang menarik. Di samping itu, ia membolehkan pelanggan bereksperiman dengan aroma berbeza tanpa kos yang terlalu tinggi.
“Saya berharap jenama ini mampu memenuhi keperluan pencinta wangian yang ingin tampil menarik dengan pelbagai aroma, tanpa perlu membelanjakan wang yang besar,”ujar Tiya berkongsi misi Beauboss Perfume.
Ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi dalam perniagaan, menurut Tiya segala pahit manis dalam dunia perniagaan yang diusahakan banyak mematangkan dirinya berhadapan dengan cabaran dunia perniagaan.
“Saya memulakan Beauboss Perfume dengan modal yang terhad. Malah terpaksa menggunakan kaedah ‘preorder’ bagi membina kepercayaan pelanggan. Dengan ketekunan dan usaha yang berterusan, saya berjaya mengukuhkan Beauboss perfume sebagai jenama wangian yang dipercaya dan berkualiti”.
Motivasi Diri
Tiya tidak menafikan, inspirasi terbesar dalam perniagaan datang dari semangat ibu tersayang yang juga merupakan seorang usahawan wanita yang tidak pernah mengenal erti kalah dalam dunia perniagaan.
“Melihat kejayaan mama mencapai impian dari segi kewangan, memiliki rumah dan kereta idaman, ia membakar semangat saya untuk mencapai kejayaan serupa.
Berkat dorongan suami dan keluarga, saya menjadikan wangian ini sebahagian dari gaya hidup dan punca rezeki. Meskipun terdapat saingan dalam industri wangian, saya melihatnya sebagai sesuatu yang perlu ada, malah ia mendorong untuk sentiasa fokus dan konsisten,”ujar Tiya lagi.
Sikap optimis dan berpandangan jauh menjadi asas kejayaan wanita ini yang tidak pernah menjadikan kegagalan sebagai penamat untuk terus melangkah ke hadapan.
“Antara cabaran yang perlu saya lalui dalam bisnes wangian ini ialah untuk menggambarkan wangian yang dihasilkan kepada para pelanggan terutamanya di platform digital. Tapi Alhamdulillah, Beauboss Perfume berjaya mengatasinya dengan menyediakan platform maklum balas pelanggan sebagai rujukan untuk pelanggan baru”.
Sejak penubuhannya, Beauboss Perfume telah berjaya menarik perhatian pelanggan dan baru-baru ini mendapat pengiktirafan NONA Superwoman Award 2024 dalam kategori NONA Best Fragrance Brand Award di mana ia menjadi tanda aras kejayaan Beauboss Perfume sebagai jenama wangian lokal yang mendapat kepercayaan pelanggan.
“Saya ingin melihat Beauboss Perfume berkembang ke tahap antarabangsa. Malah saya bercita-cita untuk membuka lebih banyak cawangan dan memperkenalkan koleksi khas Beauboss Perfume di pelbagai peringkat”.
Dalam tempoh 10 tahun akan datang, Beauboss Perfume bercadang menempatkan jenamanya di peringkat antarabangsa selain menghasilkan koleksi khas wangian eksklusif yang diiktiraf seluruh dunia.
“Dengan keazaman, sokongan keluarga dan kepercayaan kepadaNya, adalah resipi utama Beauboss Perfume mencapai kejayaan berterusan. Setiap rezeki sudah ditetapkan olehNya. Usaha, tawakal dan terus berusaha adalah kunci kepada kejayaan”, ujar Tiya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hampir enam bulan melayari alam perkahwinan, pasangan selebriti popular Indonesia iaitu Ahmad Al Ghazali dan Alyssa Daguise menerima perkhabaran gembira apabila mereka bakal timang cahaya mata sulung tidak lama lagi. Pendedahan tersebut dibuat anak sulung Ahmad Dhani dan Maia Estianty itu di media sosialnya pada hujung November lepas.