
Sambutan hari lahir SM Faliq SM Nasimuddin yang ke 38 tahun ini merupakan sambutan berganda buat dirinya apabila dikurniakan cahayamata kedua, seorang bayi lelaki.
Our precious baby boy is here.. 💙 // 🙏🏻
Menurut perkongsian isteri tersayang, Chryseis Tan di laman Instagram miliknya, pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki pada 23 Januari lalu. Untuk rekod, pasangan ini telah mempunyai seorang anak perempuan bernama Arianna Kayla Tan yang dilahirkan pada 16 Julai 2020.
Hari ini, 25 Januari merupakan hari lahir Faliq ke 38 dan tiada yang lebih membahagiakan apabila ia diraikan dengan keluarga tersayang. Sekeping gambar keluarga yang dimuat naik di laman Instagram milik Chryseis Tan jelas membayangkan kegembiraan pasangan ini meraikan sambutan hari lahir Faliq bersama kehadiran anggota baharu dalam keluarga kecil mereka.
Happy happy birthday b! 🎉 Thank you for always doing the best you can for us & that’s why you received the best 🎁 this year! 🤣❤️ 38 years young & we are now a family of 4! 👨👩👧👦 // Love you! 🥰
Untuk rekod, Chryseis mempunyai 11 orang adik beradik manakala Faliq mempunyai 5 orang adik beradik! Nampaknya kedua-duanya mempunyai keluarga yang besar. Chryseis Tan merupakan anak kepada CEO Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan.
Malah kedua-duanya turut memegang jawatan penting di syarikat keluarga masing-masing. Jika Faliq adalah Deputy Executive Chairman dan Group Managing Director NAZA TTDI, Chryseis pula CEO Berjaya Times Square Berhad.
“Tolong, Bos Saya Macam Singa Lapar… Garang!” Kalau Anda Seorang LADY BOSS, Please Baca Ni!

Perasaan amarah memang ada dalam diri setiap individu. Dengan pelbagai tekanan hidup yang dihadapi membuat perasaan marah mudah meluap dalam diri.
Tambahan bagi mereka yang berkerjaya dan memikul tanggungjawab yang berat di pejabat, beban masalah lain sudah cukup untuk menjadikan kita seorang yang mudah marah.
Namun, perlu diingat bahawa sikap pemarah yang melampau bisa memusnahkan kerjaya anda. Oleh itu adalah penting bagi anda belajar mengawal kemarahan untuk menjadi orang yang berjaya.
Kesan Amarah Terhadap Kerjaya
- Sikap marah yang tidak dikawal akan menjejaskan hubungan sesama rakan pejabat. Tugasan kumpulan sukar berjalan lancar akibat masalah komunikasi yang timbul daripada sifat pemarah yang kurang menyenangkan rakan sekerja yang lain. Akibatnya, tugas yang dipertanggungjawabkan tidak mendapat hasil yang sempurna.
- Untuk menjadi ketua yang berjaya, anda memerlukan sokongan dan kerjasama daripada pekerja bawahan. Namum sekiranya lagak anda bak ‘singa lapar’, anda hanya mencipta rasa takut staf terhadap anda, bukan rasa hormat kepada seorang ketua. Kerja yang dilakukan oleh pekerja anda mungkin bukan dengan perasaan ikhlas. Malah yang lebih teruk, mereka hanya bekerja seperti melepas batuk di tangga.
- Urusan dengan pihak ketiga, misalannya pelabur ataupun pelanggan boleh terjejas dengan sikap panas baran anda. Anda mungkin akan hilang peluang perniagaan.
- Sebagus manapun kerja anda, ketua anda mungkin berfikir berkali-kali sebelum menaikkan pangkat anda. Pasti mereka kuathir dengan sikap pemarah anda yang akhirnya mengundang masalah dalam menguruskan tugas atau jabatan yang di ketuai.
- Orang yang pemarah, mudah mengalami kemurungan. Jiwa yang tidak tenteram ini boleh membawa pelbagai masalah kesihatan dan akhirnya menjejaskan prestasi kerja anda.
Petua Kawal Marah
(a) Pernafasan
Apabila berada dalam keadaan marah, tarik nafas dalam-dalam selama 10 saat dan helakan sekuat hati. Lakukan untuk beberapa kali sehingga rasa marah anda reda. Walaupun kelihatan mudah namun tetap berkesan. Anda akan rasa lebih lega dan minda lebih rasional dalam membuat setiap keputusan.
(2) Kira dari 1 hingga 10
Ketika marah anda sedang meluap-luap, cubalah mengira 1 hingga 10. Percayalah, kaedah ini pasti akan dapat meredakan tekanan dan mengurangkan kemarahan anda. Walaupun ia tidak dapat memadamkan keseluruhan perasaan marah, sekurang-kurangnya 10 saat ini sempat memberi peluang anda berfikiran dan bertenang. Oleh itu, setiap tindakan yang dibuat tidak dikuasai oleh perasaan.
(3) Luahkan kemarahan anda
Sekiranya seseorang itu telah membuat anda marah, larikan diri anda daripada situasi tersebut untuk seketika. Bercakap dan luahkanlah apa yang terbuku dengan orang yang rapat dengan anda. Sekiranya tiada sesiapa yang boleh pendengar luahan hati anda, cari kawasan yang tiada orang di sekeliling, bercakaplah dengan diri sendiri. Katakan atau menjeritlah apa yang ingin anda luahkan. Ambil masa tenangkan diri sebelum kembali semula kepada situasi tadi.
(4) Mulakan dengan “saya” dan bukannya “awak”
Apabila berlaku pertengkaran, pastikan setiap pernyataan yang anda buat terhadap pihak kedua bermula dengan perkataan “saya” dan bukannya “awak”. Misalnya, “Saya berasa amat kecewa dan hampa!”, bunyinya lebih baik berbanding “Awak mengecewakan saya!”. Pernyataan yang dibuat ini tidak bersifat menyalahkan dan pihak kedua juga tidak akan bersifat defensive. Sikap finger point to each other dapat dielakkan dan seterusnya api kemarahan dapat dikurangkan mahupun dielakkan.
(5) Salurkan tenaga kemarahan anda
Dalam keadaan marah, tenaga yang dikeluarkan adalah berlipat ganda tingginya. Daripada anda bertindak menumbuk dinding, meja, mahupun orang yang anda marah, ada baiknya tenaga itu disalurkan ke tempat yang lebih berfaedah. Berlarilah sekuat hati, pumping, kick boxing, atau apa sahaja riadah sekiranya anda dalam keadaan marah. Lakukan sesungguh hati sehingga anda berasa puas dan letih. Percayalah, ia dapat membantu. Perasaan marah anda akan hilang. Oleh itu, simpanlah tali skipping atau kasut joging di pejabat. Anda pasti memerlukannya nanti.
(6) Menerawangkan fikiran
Ketika marah, pejamkan mata anda seketika. Bayangkan wajah orang yang tersayang, ataupun tempat yang indah. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan untuk anda memejamkan mata, cukup dengan menerawangkan fikiran sebentar. Kaedah ini dapat melarikan fikiran anda daripada perkara yang menimbulkan kemarahan. Anda akan kembali tenang untuk menghadapi situasi tegang.
Tanpa Wasiat, Bagaimana Harta Si Mati Dibahagi-bahagikan? Ikut KAEDAH FARAID Ini Supaya Waris Dapat Haknya!

Jangan pandang ringan tentang perkara ini supaya tidak timbul perebutan harta benda dunia. Semua wanita perlu ambil tahu juga tentang pembahagian harta secara faraid!
Dalam Islam, apabila seseorang meninggal dunia, harta yang ditinggalkan oleh si mati akan dibahagi-bahagikan mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh Islam. Kaedah ini dikenali sebagai Faraid. Dari segi bahasa, Faraid mempunyai maksud yang banyak antaranya ialah menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan. Manakala menurut istilah syarak, Faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia dan tidak meninggalkan wasiat sebelum kematiannya.
Maka harta peninggalannya akan dibahagikan kepada ahli waris (seperti anak, isteri, suami, ibu atau sebagainya) menurut hukum Islam. Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah BAKI harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (contohnya zakat atau nazar) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak. Bentuk harta yang boleh dibahagikan secara Faraid ialah tanah, bangunan (rumah), barang kemas (seperti emas atau perak), insurans dan wang tunai (samada dilaburkan atau tidak) dan binatang ternakan seperti kambing, lembu, unta, kerbau dan sebagainya.
Mengikut kaedah Faraid, terdapat cara pengambilan harta yang telah ditetapkan. Cara untuk melakukan pembahagian pusaka ialah dengan terlebih dahulu meneliti siapakah di antara waris yang berhak menerima pusaka dengan jalan Ashabul-Furud, kemudian dicari siapakah yang Mahjud, barulah bakinya diberikan kepada yang berhak menerima Asabah.
(a) Ashabul-Furud ialah golongan yang mengambil pusaka menurut bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu samada 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6 atau 1/8. Mereka terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.
(b) Asabah merupakan golongan yang akan menerima baki setelah semua golongan Ashabul-Furud mendapat bahagian golongan asabah. Terdapat 3 jenis Asabah iaitu Asabah Binafsih, Asabah Bil Ghoir dan Asabah Maal Ghoir.
Asabah Binafsih adalah pembahagian pusaka dengan jalan menghabisi semua harta atau mengambil semua sisa untuk sekalian orang lelaki, tidak bersebab atau beserta orang lain. Mereka terdiri daripada 12 orang lelaki iaitu bapa, datuk, anak lelaki, cucu lelaki anak lelaki, saudara lelaki kandung, saudara lelaki sebapa, anak lelaki saudara lelaki kandung, anak lelaki saudara lelaki sebapa, bapa saudara kandung, bapa saudara sebapa, anak lelaki bapa sudara kandung dan anak lelaki bapa saudara sebapa. Asabah Bil Ghoir ialah pembahagian pusaka dengan jalan menghabiskan semua harta atau pengambilan semua baki untuk semua perempuan dengan sebab adanya orang lelaki lain. Terdiri daripada 4 orang iaitu anak perempuan atau lelaki, cucu perempuan atau lelaki, saudara kandung perempuan atau lelaki, saudara sebapa atau lelaki perempuan. Manakala Asabah Maal Ghoir merupakan pembahagian pusaka dengan jalan menghabisi semua harta atau mengambil semua sisa untuk sekelian orang perempuan sebab beserta orang perempuan lain. Terdiri daripada 2 orang perempuan iaitu: saudara perempuan kandung dan saudara perempuan sebapa (berkongsi dengan anak atau cucu perempuan).
Golongan seterusnya adalah Dhawil-Arham. Golongan ini akan menggantikan golongan Ashabul-Furud dan Asabah setelah kedua-duanya tiada kecuali suami atau isteri tidak menghalang golongan ini mengambil bahagian harta. Tetapi biasanya golongan ini akan terhalang menerima harta. Keadaan ini disebut hijab iaitu dinding yang menjadi penghalang seseorang daripada ahli waris untuk menerima pusaka kerana masih ada ahli waris yang masih dekat hubungan kekeluargaannya dengan si mati.
Terdapat 4 golongan Dhawil-Arham (masih ada hubungan kerabat) iaitu golongan datuk dan nenek, golongan cucu dan cicit (anak dari cucu), golongan anak saudara dari saudara perempuan dan golongan bapa saudara atau emak saudara atau saudara lelaki atau perempuan ibu. Manakala hijab yang telah disebutkan tadi terdiri daripada 2 jenis iaitu Hijab Nuqshon dan Hijab Hirman.
Hijab Nuqshon adalah golongan yang terhalang dengan mengurangi pembahagian ahli waris dari menerima pembahagian Ashabul-Furud yang lebih banyak menjadi lebih sedikit kerana masih ada ahli waris lain yang bersama-samanya. Seperti suami dari menerima setengah menjadi seperempat kerana ada anak atau cucu. Hijab Hirman ialah golongan yang terhalang dengan tidak menerima pembahagian pusaka sama sekali kerana masih terdapat ahli waris yang lebih dekat hubungannya dengan yang mati yang lebih berhak untuk menerima harta pusaka. Misalnya saudara lelaki sebapa terhalang kerana adanya saudara lelaki kandung dan datuk terhalang sebab adanya bapa.
Terdapat 15 ahli waris dari pihak lelaki dan 10 ahli waris dari dari pihak perempuan yang utama dan layak menerima harta pusaka.
Waris dari pihak lelaki seperti berikut:
- Anak lelaki
- Cucu lelaki dari anak lelaki
- Bapa
- Datuk
- Saudara lelaki seibu sebapa
- Saudara lelaki sebapa
- Saudara lelaki seibu
- Anak saudara lelaki dari seibu sebapa
- Anak saudara lelaki dari seibu atau sebapa
- Bapa saudara seibu sebapa
- Bapa saudara sebapa
- Sepupu dari bapa saudara seibu sebapa
- Sepupu dari bapa saudara sebapa
- Suami
- Hamba sahaya
Jika kesemua waris lelaki di atas wujud, maka hanya tiga orang sahaja yang layak iaitu:
- Bapa
- Anak lelaki
- Suami
Ahli-ahli waris perempuan yang layak menerima harta pusaka iaitu:
- Anak perempuan
- Cucu perempuan dari anak lelaki
- Ibu
- Nenek sebelah ibu
- Nenek sebelah bapa
- Saudara perempuan seibu sebapa
- Saudara perempuan seibu
- Saudara perempuan sebapa
- Isteri
- Petuan perempuan bagi hamba sahaya
Jika kesemua ahli waris di atas wujud, hanya 5 orang yang layak:
- Anak perempuan
- Cucu perempuan dari anak lelaki
- Ibu
- Saudara perempuan seibu sebapa
- Isteri
Jika kesemua 25 waris lelaki dan perempuan masih hidup, maka keutamaan akan diberikan kepada hanya lima ahli waris berikut:
- Bapa
- Ibu
- Anak Lelaki
- Anak Perempuan
- Suami/Isteri
Kesimpulannya, umat Islam adalah dinasihatkan agar sekiranya ingin membuat wasiat haruslah berwaspada bahawa hanya 1/3 daripada harta mereka sahaja yang dibenarkan untuk diwasiatkan. Keutamaan harta si mati adalah kepada waris-waris yang sememangnya adalah tanggungan dan kewajipan beliau semasa hidup. Ianya adalah satu langkah yang terbaik bagi mengelakkan timbulnya masalah selepas beliau meninggal dunia kelak. Ini adalah selari dengan firman Allah S.W.T dalam surah an-Nisa ayat 11. Kerjasama info: Azizah Hj Hussain (LLB (HONS) IIUM), Head Of Legal Department di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur
Gaya Hidup Mewah JINKEE PACQUIAO, Isteri Senator Filipina & Ahli Tinju Pendapatan USD190 Juta!

Melihat gaya hidup mewah Jinkee Pacquiao hari ini pasti membuatkan ramai yang berasa cemburu. Mana tidaknya, selain dilimpahi dengan kesenangan wang ringgit isteri kepada salah seorang senator popular di Filipina yang juga atlet tinju terkemuka dunia ini juga cukup bertuah kerana dikurniakan ‘harta’ paling bernilai iaitu lima orang cahaya mata mereka. Mengintai kehidupan Jinkee, wanita cantik ini memiliki apa yang diimpikan setiap wanita. Kebahagiaan berkeluarga, kaya, ternama dan berjaya!
Namun di sebalik kemewahan yang dinikmati hari ini, Jinkee dan suaminya Manny Pacquiao pernah melalui liku hidup yang sukar. Mereka pernah hidup sengsara kerana selain kerjaya tinju suami yang kurang bersinar, Pacquiao juga dikhabarkan seorang suami yang gemar berfoya-foya, kuat merokok, kaki judi, kaki minum dan suka cari gaduh.
Dek kerana sikap negatif suami, Jinkee pernah terfikir untuk bercerai namun kerana sayangkan ikatan yang telah terbina dia sanggup bersusah-payah membantu membina semula kerjaya suami sehingga berjaya seperti sekarang. Menurut GMA News, pasangan ini kembali menghangatkan hubungan yang kian retak menanti belah dengan menikmati bulan madu kali kedua mereka.
Dan buat pertama kalinya, Jinkee yang juga penerbit filem dan personaliti media Filipina ini hadir menemani suami tercinta ke pusat latihan tinju di Los Angeles. Dari situlah bermulanya perubahan positif Pacquiao hingga melonjakkan namanya selaku ahli tinju terkemuka dunia yang dikecapi hari ini. Berkat sokongan Jinkee dan usaha keras, Pacquiao atau lebih dikenali dengan gelaran PacMan di gelanggang tinju telah dianugerahkan Fighter of the Decade pada 27 Julai 2009.
Sehingga ke saat ini, Manny Pacquiao tersenarai dalam The 20 Richest Boxers In The World 2019 dan dia menduduki tangga keenam dengan meraih pendapatan setinggi USD190
juta. Memetik laporan Forbes pula Pacquiao antara 2019 The World’s Highest-Paid Athletes Earnings dengan pendapatan berjumlah sekitar USD26 Juta bagi setiap perlawanan yang dimenanginya.
Menurut Post Magazine, ahli tinju berkenaan dilaporkan membeli rumah agam di Beverly Hills bernilai USD12 juta yang dahulunya pernah didiami rapper Sean Combs. Pada 2010 Pacquiao dicalonkan sebagai Philippine House of Representatives dan bergelar Senator pada tahun 2016.
Menerusi perkongsian di Instagram wanita berusia 41 tahun ini, Jinkee turut memperlihatkan gaya hidup mewah dengan berkongsi kediaman mereka yang besar dan eksklusif serta cita rasa fesyennya. Gemar bergaya dengan jenama mahal dari hujung rambut ke hujung kaki… Jinkee turut mempunyai koleksi beg tangan Hermes pelbagai saiz dan jenis.
Bahkan dia juga merupakan penggemar jenama Christian Dior, Chanel, Louis Vuitton dan banyak lagi. Itu belum lagi kira kasut, jam tangan, baju, cermin mata hitam dan bermacam-macam aksesori lain yang ada dalam simpanannya.
Bukan hanya Jinkee bahkan kelima-lima anak mereka turut mengenakan persalinan mewah dan eksklusif dari label terkemuka. Disebabkan status suami sebagai senator dan antara ahli tinju terkaya di dunia, keluarga ini dikawal dengan beberapa pengawal peribadi yang mengiringi percutian mereka tidak kira di dalam mahupun luar negara.
Selain mempunyai rumah agam di Filipina, mereka juga dikhabarkan memiliki kediaman elit di Los Angeles.
Sumber: Post Magazine & Forbes / Foto: Instagram Jinkee Pacquiao