Kehilangan insan yang tersayang akibat penyakit kanser kira-kira enam bulan yang lalu masih segar di ingatan Juliana Amirullah. Suami tercinta, Mohd Fauzi Mansor yang dinikahi 10 tahun yang lalu menghembuskan nafas terakhir setelah hampir tiga tahun berjuang menentang penyakit kanser. Ketabahan wanita tabah ini berkongsi pengalaman menjadi pendorong utama buat si suami berjuang untuk menentang penyakit kanser wajar dijadikan inspirasi.

IKLAN

Biarpun kadang-kala rebah dalam usaian semangat yang sedikit luntur, namun ia tidak ditunjukkan di hadapan suami tersayang semata-mata ingin memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi untuk dirinya berhadapan dengan situasi getir. Namun begitu, naluri wanita meronta-ronta mencari solusi terbaik untuk memastikan insan tersayang dapat sembuh seperti sedia kala.

“Kehidupan saya berubah sebaik sahaja arwah disahkan menghidap kanser secara tiba-tiba kira-kira tiga tahun yang lalu. Saya tidak menduga arwah yang kelihatan sihat tiba-tiba diuji dengan penyakit yang amat ditakuti oleh semua orang. Sebagai isteri, saya mengambil alih tanggungjawab menjaga arwah sepenuh masa kerana dia kerap kali dimasukkan ke hospital. Saya juga sanggup berhenti kerja untuk membolehkan tumpuan menjaga dirinya diberikan sepenuhnya.”

Bercerita lanjut mengenai bagaimana dia melihat arwah melawan kesakitan dalam menjalani proses rawatan, Juliana berkata sepanjang arwah ditempatkan di wad, pelbagai jenis rawatan kimoterapi terpaksa dilalui namun nasib tidak banyak menyebelahinya apabila kesemua rawatan tersebut gagal membunuh sel kanser.

“Hancur luluh hati apabila doktor memberitahu sel kanser yang menyerang arwah amat aktif. Arwah juga turut melalui rawatan radioterapi sehinggakan melakukan prosedur transplan. Namun begitu, keadaan kesihatan arwah semakin merosot dan kritikal selama 21 hari,” ujar Juliana yang menanggung sendiri kos rawatan suami tersayang.

IKLAN

Masih segar diingatannya momen sedih yang dikongsi bersama arwah apabila mereka diberikan kaunseling oleh doktor apabila arwah disahkan mampu bertahan selama tiga atau empat bulan sahaja untuk hidup. Ketika itu, seluruh dunia menjadi gelap gelita buat Juliana mahupun Fauzi.

IKLAN

“Enam bulan sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, doktor memberitahu dia hanya mampu bertahan selama tiga atau empat bulan sahaja. Ini merupakan tamparan hebat buat saya dan arwah. Tetapi arwah amat tenang. Dia menerima perkhabaran tersebut dengan reda dan doktor meminta saya agar lebih berhati-hati dalam segala pertuturan dan percakapan bersama arwah.

Bayangkan, seseorang yang sudah tahu anggaran tarikh kematiannya. Jadi, kami menghabiskan masa dengan mengenang kembali keindahan apabila arwah banyak menasihati saya agar redha dengan ujian ini.  Ternyata, arwah menghembuskan nafas terakhirnya seperti anggaran dokotr setelah tidak sedarkan diri selama dua hari.” tutur Juliana sambil menyeka mata yang berkaca.

Tahun ini, sebagai Ramadan pertama tanpa suami tersayang, hanya titipan doa dapat mengiringi perjalanan harinya semoga rohnya dicucuri rahmat. Segala kenangan indah hampir 10 tahun bergelar isteri tersimpul rapi di kotak pemikirannya dan menjadikan momen Ramadan bersama arwah sebagai sesuatu yang manis untuk dikenang. Hanya doa mengiringi perjalanan Ramadan dan Syawal tahun ini sebagai tanda kasih seorang isteri.