
Dalam kesibukan baharu bergelar ibu dan bapa dua minggu lalu, pasangan selebriti Remy Ishak dan Ezza Yusof meraikan ulang tahun ke 2 perkahwinan mereka yang jatuh pada tanggal 21 Ogos.
Perkongsian Ezza Yusof di laman Instagram miliknya, ibu kepada Tuah Alam sempat menitipkan ucapan istimewa untuk suami tersayang sempena ulang tahun ke 2 perkahwinan mereka.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2021 di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Pasangan pengantin dinikahkan oleh abang pengantin perempuan, Razman Yusof dengan Remy menyerahkan sebentuk cincin sebagai mas kahwin. Perancangan majlis pernikahan Remy dan Ezza sudah kali ditunda ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Pasangan ini mengambil keputusan berkahwin selepas tujuh tahun perkenalan.
Akhirnya, majlis pernikahan itu diadakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (JAWI). Ia hanya dihadiri oleh pasangan mempelai dan wali kepada pengantin perempuan.
Happy 2nd Anniversary Ayahanda Tuah Alam 🥳
Pasangan ini pernah menjadi perhatian ramai selepas menerima hadiah perkahwinan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Jika tahun lalu pasangan ini meraikan ulang tahun perkahwinan di dalam gua, nampaknya tahun ini pasangan ini meraikan ulang tahun perkahwinan ke 2 di rumah memandangkan Ezza sedang berpantang usai melahirkan anak sulung. Ezza Yusof selamat melahirkan bayi yang sangat comel pada pukul 11.17 pagi bertarikh 27 Julai 2023 di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur. Genap tiga minggu bergelar bapa, Remy Ishak mengumumkan nama putera sulungnya, Tuah Alam.
Pernah Bergelar Pereka Grafik, DATIN SERI NORAZLINA AWANG HAD Kini Seorang Mompreneur Sukses!

Hampir sedekad penyampai berita terkenal ntv7, Norazlina Awang Had meninggalkan dunia penyiaran setelah mengambil keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keluarga dan bisnes. Malah, bisnes restorannya kini makin berkembang.
Suaminya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menjadi pendorong utama untuk beliau meneruskan minat dalam dunia perniagaan. Datin Seri Norazlina merupakan ibu kepada 3 orang anak berusia 21, 17 dan 11 tahun. Walau usianya kini mencecah 46 tahun, Datin Seri Norazlina masih kelihatan menawan!
“Setelah meninggalkan industri penyiaran, saya banyak menghabiskan masa dengan membesarkan anak-anak. Ketika mereka di bangku sekolah, inilah masa yang begitu kritikal untuk memastikan mereka melengkapkan diri dalam aspek asas pendidikan, sahsiah dan rohaniah. Pada masa yang sama salah satu sebab saya meninggalkan dunia penyiaran adalah untuk memberi komitmen sepenuhnya sebagai isteri kepada seorang ahli politik yang kadang kala memerlukan sentuhan peribadi oleh si isteri buat rakyat.
Selain itu, inilah juga pengorbanan yang saya lakukan sebagai seorang ibu dan isteri untuk memberi sepenuh tumpuan buat anak-anak bila suami yang ketika itu bergelar ahli politik dan Menteri amatlah sibuk dan sukar memberikan masa yang penuh untuk keluarga serta anak-anak.
Setelah anak-anak meningkat remaja dan dewasa, saya mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam perniagaan e-dagang. Pengkhususan yang diberikan adalah bagi mengketengahkan barangan buatan tangan dari Malaysia, terutamanya seni hasil tangan seperti anyaman, batik, tenunan dan sebagainya untuk kegunaan hiasan rumah hinggalah ke fesyen. Maka lahirkan portal ROOMAKU, untuk membantu pengusaha-pengusaha kraftangan untuk memasarkan hasil kerja tangan mereka.
Pendek cerita lepas meninggalkan bidang penyiaran, fokus saya adalah terhadap keluarga dan komitmen politik. Anak dah besar lahirlah LAWABANA SDN BHD yang menguruskan ROOMAKU dan seterusnya THE TEPEN CAFE. Saya adalah pemilik dan COO The Tepen Cafe yang dimiliki penuh oleh syarikat LAWABANA SDN BHD yang mula beroperasi di Cyberjaya sejak Oktober 2019. Ini merupakan langkah pertama kami untuk melibatkan diri dalam F&B. Alhamdulillah kemunculan The Tepen Cafe di Tamarind Square, Cyberjaya mendapat sambutan menggalakkan. Boleh dikatakan full house setiap hari terutamanya ketika lunch time.
Satu benda saya belajar. Kita tidak akan ada masa kalau kita tak buat masa. Kalau lihat pada rutin harian saya sekarang memang tiada henti. Tak mudah untuk menjadi seorang wanita, isteri, ibu, anak dan usahawan. Dari menguruskan sarapan dan hal-hal berkaitan sekolah, tambahan pula dengan online class, terus ke pejabat dan cafe (bila keadaan memerlukan), juga komitmen di dapur untuk membuat tempahan customer.
Jadi pengurusan masa amatlah mustahak. Selain itu minat pada sesuatu yang kita buat juga dapat memastikan momentum dan “drive” kita sentiasa ada. Insha-Allah saya juga ada perancangan untuk mengembangkan bisnes modul serta melahirkan The Tepen 2, The Tepen 3 dan seterusnya.
PENGALAMAN BERGELAR ISTERI MENTERI
Tidak dapat dinafikan apabila bergelar isteri kepada kenamaan, layanan yang diberikan adalah berbeza. Secara peribadi saya tidak memilih untuk meminta layanan sebegini tetapi ia dilihat sebagai “privilege” maka kita bersyukur dengan keistimewaan yang diberikan ini.
Antara pengalaman paling manis adalah ketika setiap kali saya turun padang melawat kawasan iaitu di Kota Belud, Sabah. Tidak pernah saya kembali dari lawatan dengan penuh rasa insaf dan betapa kerdilnya saya setelah berjumpa dan meluangkan masa bersama rakyat tempatan.
Peluang untuk mendekati mereka dan secara tidak langsung memahami permasalahan yang mereka alami, terutamanya golongan wanita, ibu dan anak-anak. Mungkin inilah juga peluang bagi saya untuk tampilkan keperibadian yang sebenarnya supaya mereka dapat melihat siapa sebenarnya diri saya. Dan pengalaman manis ini amat saya rindui sehinggalah sekarang.
RUTIN KECANTIKAN
Sudah menjadi kebiasaan dari zaman penyiaran dulu dengan memastikan muka sentiasa bersih sebeum tidur. Bila saban hari perlu pakai make up tebal, automatik menjadi rutin untuk saya memastikannya benar-benar bersih sebelum tidur. Wajib untuk saya amalkan minimum 3 steps. Rasa bersalah pula bila tak cuci muka sebelum tidur.
Saya juga penggemar barangan natural dan organik. Mungkin hasilnya tidak nampak secara pantas tetapi penggunaan jangka lama adalah lebih selamat. Selain itu, saya cuba amalkan pengambilan ulam-ulaman dalam menu pemakanan dan minuman seperti pegaga, moringa, kunyit dan lain-lain. Selain itu, tiada perisa tiruan atau MSG dalam masakan tidak kiralah di rumah atau kafe saya.”
Datin Seri Norazlina merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur manakala keluarganya berasal dari Kedah dan Pulau Pinang. Beliau menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing untuk Diploma Reka Bentuk Grafik. Kemudian beiau melanjutkan pula pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Auckland University of Technology di New Zealand jurusan Reka Bentuk Grafik.
Sebelum terlibat dalam dunia penyiaran, Datin Seri Norazlina memulakan kariernya sebagai pereka grafik bebas dan pengarah seni di pelbagai agensi reka bentuk serta pengiklanan.
Kredit Foto: Instagram Datin Seri Norazlina Awang Had
Selain Penceramah, USTAZAH DATUK DR NORHAFIZAH Juga Rupanya Ada Bakat Buat Lirik Lagu!

Tutur bicaranya jelas, tersusun kemas dan menenangkan. Setiap ungkapan yang terpacul dari bibir wanita inspirasi ini juga sarat dengan kata-kata motivasi, dakwah yang mendekatkan hambaNya dengan Sang Pencipta dan nasihat yang begitu meruntun jiwa. Tidak hairanlah, penyampaian Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa sentiasa ‘melekat’ di hati pendengar dan memberi kesan terhadap kehidupan mereka. Ternyata beliau memiliki aura tersendiri!
Terkenal dengan kepetahan dan lontaran suara penuh kelembutan, Ustazah Datuk Dr Norhafizah menjelaskan penglibatan beliau di pentas dakwah dan motivasi bermula sejak hampir 24 tahun yang lalu sejurus pulang dari Jordan. Waktu itu beliau sedang mengikuti perlatihan korporat sebagai master trainer dan bernaung di dua buah syarikat iaitu Airborne Discovery dan DMA Training & Consultant.
Ujarnya, antara faktor utama yang membuatkan beliau terdetik untuk menceburi bidang ini adalah kerana minat. “Alhamdulillah, minat dan keazaman untuk menyebarkan ilmu memang tinggi dari awal lagi. Saya memang suka tengok orang memberi inspirasi dan ceramah. Ia buat saya turut rasa ada idea untuk bercakap. Saya juga didorong dengan rasa kasih dan ingin membantu. Saya percaya kata-kata boleh jadi hikmah yang membina azimah, bukan setakat kata-kata tapi solusi untuk membantu cara berfikir yang baik dan membina keyakinan yang sahih dalam diri.
Dari situ, semuanya akan terus mendaki kepada perkara lebih baik. InsyaAllah. Saya juga suka membaca, kalau pergi kedai buku rasa macam-macam buku nak beli. Juga suka dengar ceramah para sheikh dalam Youtube. Kalau zaman dulu saya beli CD dan kaset. Jadi rasa nak sangat sharing dengan orang ramai apa yang kita tahu, kita fahami dan kita dengar. Macam mana semua itu membantu saya untuk menjalani kehidupan, demikian jugalah saya harap orang lain akan dapat manfaat.”
Allahu, ‘cantiknya’ hati dan niat murni Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa. Pendek kata, apa sahaja ilmu yang diperoleh… beliau mahu berkongsi kebaikan tersebut dengan lebih ramai orang.
Dalam pertemuan ketika sesi fotografi Nona Superwoman Award yang lepas, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa mengakui minatnya dalam bidang seni suara. Tak sangka, beliau rupa-rupanya berbakat menulis lirik lagu nasyid. Siap memperdengarkan salah satu lagu ciptaannya kepada team Nona!
Ujar wanita berjiwa besar ini, “Jiwa seni dalam diri saya agak kuat. Dari kecil lagi dah suka dengan seni suara. Masuk nasyid, qasidah, berzanji, musabaqah tilawah Al-Quran hingga kebangsaan dan alhamdulillah masa Tingkatan 3, saya menjadi juara kebangsaan kategori menengah perempuan. Saya suka mengamati sesuatu. Mungkin dek sebab itu mudah rasanya menulis lirik lagu. Jadi minat pula mencipta lirik, Menyusun melodi lagu. Alhamdulillah.
Tapi taklah beriya sangat. Cuma baru ni, saya buat program online, Mihrab Coaching. Jadi setiap course ada tema yang berlainan. Jadi lahirlah lagu-lagu tema seperti Mihrabku, Ku Seru NamaMu, Qalbun Saleem, Till Jannah, Kerinduan Ya Rasulullah dan lagu Madinatul Huffaz juga. Bila dengar lagu atau nasyid, saya nak dengar kedalaman liriknya diadun dengan keindahan melodi.”




Yang pasti, individu paling banyak memberi pengaruh besar dalam hidup Ustazah Datuk Dr Norhafizah sehingga berjaya hari ini ialah kedua-dua ibu bapa beliau sendiri. “Mak abah sentiasa bagi galakan. Dari kecil saya dah dibiasakan menyertai macam-macam pertandingan termasuklah pertandingan bercerita, baca berita, nasyid, syarahan Bahasa Melayu, Inggeris dan Bahasa Arab. Memang stress masa kecil dulu sebab asyik duduk depan orang ramai.
MashaAllah, rupa-rupanya itu latihan dan didikan terbaik untuk saya. Mak abah akan sentiasa bimbing saya untuk berada di hadapan khalayak. Malah mengajar doa untuk tenangkan hati dan tak putus-putus bagi nasihat serta teguran positif.”
Di samping bergelar pakar motivasi dan pendakwah, Ustazah Datuk Dr Norhafizah juga merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Penasihat Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz. Komitmen beliau membangunkan modal insan berkualiti mendapat perhatian banyak pihak. Tanggal 1 Februari 2018, beliau menerima perkhabaran gembira sekaligus melakar pencapaian membanggakan apabila terpilih menjadi penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan.
Pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V tersebut, isteri kepada Ustaz Dr Azahar Yaakub ini menerima penganugerahan Darjah Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk. Pada tahun sama juga beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Jempol, Negeri Sembilan.
Nampak Macam Remaja Di Usia 51 Tahun, Wanita Ini Amalkan 3 ‘Susuk’ Pasti Menjadi

Foto parti sambutan hari jadi ke-50 seorang wanita bernama Puspa Dewi, heboh bertebaran di media sosial sejak 29 September 2017 lalu. Manakala tahun lalu wanita ini telah menyambut ulang tahun yang ke 51 tetapi penampilannya tetap kelihatan muda remaja. Pasti ramai wanita yang mencemburui kejelitaan wanita ini dan ingin tahu apakah rahsia yang diamalkan.
Angka 51 itu langsung tidak mencerminkan wajah Puspa Dewi, seorang ibu separuh abad yang kelihatan seperti gadis remaja. Orangnya nampak muda betul!
Pada awal tahun ini anak lelakinya, Dennis Hadi merupakan seorang fitness & nutrition experts telah berkahwin dan apabila digandingkan bersama Puspa Dewi dan menantunya umpama sebaya.
Sering dilihat tersenyum manis, ibu kepada Dennis Hadi dan Daniel Hadi itu sebenarnya merupakan seorang pegawai bank yang disegani di Bank Danamon Indonesia. Beliau juga kerap membantu menjalankan perniagaan katering anak sulungnya iaitu HadiKitchen Healthy Catering.
Apabila menyelongkar gaya hidup Puspa Dewi, ternyata ada 3 amalan yang selalu dibuat oleh wanita beranak dua yang mesra disapa sebagai Mama Hadi ini.
(1) Aktif berzumba dan bersenamrobik. Tengoklah, lincah gerakannya!
(2) Mengamalkan pemakanan sihat dan melebihkan sayur-sayuran. Setiap kali tibanya waktu makan tengah hari, pek makanan Puspa Dewi akan dihantar sendiri oleh anaknya dari HadiKitchen Healthy Catering. Sedap dan berkhasiat!
(3) Sentiasa menjaga penampilan diri, gayanya persis anak remaja.
Selain gaya hidup aktif dan sihat, Puspa Dewi juga selalu dikelilingi ahli keluarga serta rakan-rakan yang positif. Beliau sentiasa positif dan berusaha menjauhi tekanan dengan melancong ke pelbagai tempat.
Nah, mungkin banyak ‘amalan’ wanita ini yang boleh kita amalkan dari sekarang. Maklumlah, siapa nak nampak berusia kan? Dengarnya Puspa Dewi ni juga adalah ibu saudara selebriti terkenal iaitu Sandra Dewi.
Sumber: Instagram @puspadewihc