Tahukah anda, kanser serviks merupakan kanser ketiga paling banyak dihidapi oleh wanita Malaysia? Namun pencegahan terhadapnya masih lemah serta dianggap lewa. Rasa malu dan takut merupakan antara dua stigma yang membuatkan ramai wanita enggan membuat pemeriksaan, meskipun hakikatnya ia boleh menyelamatkan nyawa.
Pasti ramai yang tidak menyangka akan menjadi mangsa kanser. Walhal, kanser serviks boleh menyerang seorang wanita seawal usianya sembilan tahun. Benar, ia bukan sahaja menyerang golongan berusia malah golongan muda pun turut berisiko menghidapinya.
Kebanyakan kes yang dilaporkan berpunca daripada virus human papilloma (HPV) yang menyerang serviks, atau pangkal rahim yang menyambungkan organ rahim dengan faraj serta membentuk saluran kelahiran buat wanita.
Kanser serviks lazimnya berisiko tinggi terhadap wanita yang mempunyai pertahanan imunisasi yang rendah seperti pesakit HIV, buah pinggang dan pengguna steroid, perokok, mereka yang sering bertukar-tukar pasangan, memulakan hubungan seks dari awal dan penggunaan kontraseptif yang lama.
Dengan peningkatan kes yang membimbangkan, adalah penting bagi setiap wanita untuk mengambil tindakan segera terhadap penyakit yang boleh dicegah ini. Kanser serviks tidak pernah memilih siapa yang bakal menjadi mangsanya kerana setiap wanita berisiko. Ada kala bukan disebabkan oleh genetik tetapi amalan gaya hidup yang terlalu sosial juga boleh menyumbang ke arah ini seperti memulakan aktiviti seks sebelum berusia 18 tahun.
Kanser serviks disebabkan oleh virus HPA yang berjangkit melalui hubungan seks. Apabila wanita terdedah kepada HPV, sistem imunisasi badan selalunya dapat menangkis serangan virus ini daripada menjangkiti wanita. Malangnya bagi segelintir orang, virus berpeluang hidup bertahun-tahun sehingga ia menukar sel pada permukaan serviks kepada sel kanser. Separuh daripada kanser ini terjadi kepada mereka yang berusia 35 hingga 55 tahun.
WANITA BERISIKO
- Mempunyai lebih daripada seorang pasangan
- Aktif hubungan seks sebelum berusia 18 tahun
- Mengalami jangkitan seperti sifilis, genorea, chlamydia atau HIV
- Kurang daya imuniti
- Merokok
- TANDA-TANDA
- Sakit pada bahagian pelvis dan di bawah pinggang
- Sakit ketika membuang air kecil
- Pendarahan atau kepedihan ketika hubungan seks
- Pendarahan tidak normal antara kitaran haid
- Pendarahan selepas menopaus
- Keluar lendir berdarah yang busuk daripada faraj
- PEMERIKSAAN AWAL
Benarkah kebanyakan wanita Malaysia lebih rela menjimatkan wang daripada menggunakannya untuk pemeriksaan kesihatan? Menerusi sebuah tinjauan membongkar sikap umum wanita yang sentiasa mengutamakan perkara lain melebihi kesihatan mereka.
Setiap gadis muda sehingga wanita berumur 45 tahun mengambil vaksin HPV sebagai langkah pencegahan primer terbaik untuk kanser serviks. Vaksinasi HPV bertindak sebagai satu imunisasi dan membina antibodi melawan HPV. Pap Smear juga perlu dilakukan setahun sekali, sebaik saja anda mempunyai pasangan daripada usia 21 tahun ke atas sehingga 65 tahun. Gabungan Pap Smear dan vaksin HPV adalah pencegahan terbaik di samping menjaga kebersihan diri dengan sempurna.
-
Bagi wanita yang telah menjalani rawatan kanser serviks, peluang untuk hamil sebenarnya masih ada namun sedikit tipis. Hubungan seks untuk pesakit juga tidak memudaratkan dirinya selepas menjalani rawatan selengkapnya, dan bukan sewaktu menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi.
Anda digalakkan mengambil diet yang bersesuaian, rehat yang cukup dan cuba jalani kehidupan harian seperti biasa. Kehidupan yang sihat bermakna jauhi rokok, minuman beralkohol, kerap bersenam, mengamalkan diet seimbang, seks yang selamat dan sentiasa positif dalam kehidupan.