Kagum betul melihat semangat dan kesungguhan seorang wanita yang bergelar isteri menempuh pelbagai cabaran demi membantu suami menambah pendapatan keluarga. Lebih-lebih lagi ketika pandemik sekarang, ramai yang terkesan dari segi pendapatan. Walau apa pun kerjaya mereka, setiap wanita punya kekuatan yang luar biasa. Tak mudah mengalah walau sering dilabel dengan panggilan cliche ‘wanita itu lemah’.
Buktinya kini ramai wanita yang bangkit demi kelangsungan hidup keluarga. Malah, ada yang bergelar jutawan tidak kiralah yang bergelar isteri mahupun ibu tunggal. Rezeki Allah tak salah alamat. Dia akan beri kepada mereka yang ikhlas berusaha.
Baca perkongsian usahawan muda berusia 33 tahun, Nadia Aziana Zulkifli yang punya kisah tersendiri. Berasal dari Kuantan, Pahang, ibu anak 4 ini bukan hanya bekerja bahkan turut menjalankan bisnes berkaitan medical equipment untuk keperluan COVID-19.
“Saya berasal dari keluarga yang bekerja. Ibu pernah bekerja sebagai tukang masak manakala arwah ayah sebagai pemandu lori. Sebelum ini saya memamg tak pernah terfikir pun nak buat bisnes. Alhamdulillah Allah lorongkan perjalanan hidup saya ke arah bisnes setelah melalui detik sukar sejak berlakunya pandemik COVID-19. Kini bisnes menjadi salah satu sumber pendapatan utama keluarga kami selain saya juga bekerja. Alhamdulillah kehidupan kami kini bertambah baik.
Detik sukar bermula semasa saya bekerja buat sale secara sepenuh masa dengan salah satu jenama penapis air tetapi bila berlakunya COVID-19 segalanya berubah. Bila tak ada sale bermaksud gaji pun tiada. Sampai tahap saya sekeluarga dihalau dari rumah kerana tak mampu bayar sewa dan segala bil tertunggak. Sejak itulah saya dan suami terfikir untuk berniaga online.
Ads
Untuk permulaan, kami buat bisnes online pelitup muka (facemask) tanpa modal. Kami promote di Facebook dan WhatsApp sahaja, memang sangat struggle. Apa saja yang boleh dijual saya jual. Sebulan lebih jugalah struggle. Selain pelitup muka saya juga buat servis Ninja Van.
Pengalaman tak dapat lupa masa mula-mula berniaga bila saya menjual tak ada orang beli. Kawan-kawan dan saudara mara sendiri pun tiada yang support. Perasaan tu tak usah cakaplah. Mood nak promote, nak post di media sosial pun hilang. Tak support tu kita fahamlah tetapi bila kita post di media sosial nak dapat Like pun susah apatah lagi nak tolong Share.
Namun begitu ia tak mematahkan semangat saya untuk terus berusaha. Sebab saya yakin bisnes ini mampu memberikan keuntungan kerana permintaannya tingi. Pelitup muka adalah satu keperluan ketika ini sebab itulah permintaannya tinggi. Secara tak langsung, saya dapat membantu masyarakat dengan menyediakan keperluan utama ini di samping servis Ninja Van.
Ads
Bila bisnes semakin berkembang, selain facemask kini saya tambahkan lagi produk berasaskan medical equipment untuk COVID-19 iaitu hand sanitizer, fogging machine liquid, dan lain-lain. Saya bersyukur kerana bukan hanya dapat membantu menambah pendapatan keluarga bahkan dapat membantu menyediakan keperluan utama ketika pandemik ini.
Tulang belakang utama saya semestinya anak-anak serta suami, Wan Affandy Wan Ismail. Selain itu, terima kasih juga buat ibu dan mertua yang sentiasa menjadi pendorong utama saya sejak dulu sampailah sekarang. Mereka sentiasa mendoakan dan tak pernah jemu memberikan kata-kata semangat kepada saya agar tidak mudah berputus asa. Hakikatnya, tiada siapa yang akan membantu kecuali diri kita sendiri.
Ads
MASA BERKUALITI
Dari segi kualiti masa, sejak berniaga online dari rumah saya akan sentiasa ada masa bersama keluarga. Itulah me-time saya yang sebenar. Dapat bersama seluruh ahli keluarga.
Nasihat saya buat seluruh wanita di luar sana jangan mudah merasa down. Kita kena sentiasa positif dan terapkan keyakinan dalam diri bahawa kita boleh. Ingat, bila kita jatuh jangan terus jatuh. Bangkitlah demi diri sendiri dan keluarga. Tunjukkan yang kita adalah isteri, ibu, anak dan wanita yang terhebat. Andai gagal dalam sesuatu perjuangan, itu bukan bermaksud kita harus menyerah dan berhenti berusaha. Jangan sesekali pernah takut untuk mencuba kerana tanpa mencuba kita tidak akan pernah merasakan keberhasilan yang kita akan dapat.
Dari segi impian pula, saya harap dapat melangsaikan segala hutang yang ada seterusnya dapat membeli rumah yang lebih selesa buat keluarga. Maka, saya bertekad untuk berusaha dengan lebih gigih demi membahagiakan keluarga, Insha-Allah.”
Kredit Foto: Instagram @nadia_qtn
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wow, lain macam penangan produk kosmetik Huda Beauty! Bayangkan dengan hanya menggunakan medium media sosial seperti Facebook, Instagram, Youtube dan bisnes dalam talian sahaja… pengasas Huda Beauty ini berjaya raih jualan mencecah ratusan juta dollar.
Bahkan pengasasnya Huda Kattan mengakui tidak pernah melaburkan duit untuk tujuan pemasaran seperti kebanyakan perniagaan lain yang mempromosikan produk mereka menerusi iklan komersial di media cetak, media elektronik, billboard dan sebagainya. Dah namanya rezeki, walau tanpa strategi pemasaran pun bisnes mereka mampu berdiri sendiri.
Mendekati wanita besi di sebalik jenama bernilai jutaan dollar ini, Huda Kattan yang memiliki darah keturunan Iraq meniti usia 37 tahun. Ketika baru berumur dua tahun, keluarganya telah berpindah ke Boston. Memetik laporan Vogue Arabia, Huda dilahirkan pada 2 Oktober 1983 di Oklahoma dan mewarisi keturunan Iraq daripada kedua-dua ibu bapanya yang berhijrah ke United Kingdom untuk mengajar subjek Biologi di samping mendalami bidang kejuruteraan mekanikal.
Huda merupakan anak kedua daripada empat beradik. Kakaknya, Alya ialah 10 tahun berusia darinya dan dia dikurniakan seorang adik perempuan dan lelaki masing-masing bernama Mona dan Khalid. Semasa tinggal di kejiranan Boston, Huda dikenali dengan nama panggilan ‘Heidi’.
Merujuk kenyataan Huda bersama Vogue pada tahun 2015, “Saya suka dengan nama Huda tapi masyarakat di sana menganggap nama tersebut pelik. Bagaimanapun setelah berpindah ke Massachusetts, rakan-rakan menyambut baik nama Huda… begitu juga bila mereka tahu saya berketurunan Iraq.”
Ketika melanjutkan pengajian dalam bidang kewangan di University of Michigan-Dearbon, Huda berkenalan dengan Chris Goncalo iaitu suaminya hari ini. Pasangan ini dikatakan berhijrah ke Dubai pada tahun 2006 dan menyambut cahaya mata perempuan diberi nama Nour Gisele tidak lama kemudian.
Sebelum bergelar usahawan kosmetik berjaya, Huda pernah menjadi makeup artist di Hollywood dan mula didedahkan dengan produk kecantikan melalui kakaknya sendiri, Alya. Figura yang memiliki raut wajah cantik dan bibir mungil ini sudah menjadi blogger sejak tahun 2010 lagi seterusnya mencipta populariti di alam maya selepas tip dan petua kecantikannya menjadi viral.
Berdasarkan laporan Vogue, ibu seorang anak ini pernah menjadi jurusolek di Revlon dan bekerja di beberapa syarikat jenama mewah seperti Cartier dan Mercedes. Sementara itu, laporan Forbes pula mendedahkan Huda menceburi bidang solekan dan blog selepas dia rasa tidak puas berkerja dalam bidang kewangan.
Tiga tahun bergelar blogger, Huda mendapat inspirasi menghasilkan bulu mata palsu selepas dia sukar mendapatkan produk berkenaan di pasaran. Bermula dari situlah, empayar Huda Beauty diterajui tiga beradik ini wujud dan terus berkembang hingga ke peringkat antarabangsa.
Hari ini, rangkaian kosmetik Huda Beauty mempunyai 140 produk yang terdiri daripada set pembayang mata, bedak asas, variasi gincu bibir, kuku palsu dan sebagainya yang dianggarkan mencecah jualan tahunan tidak kurang USD 250 juta. Melihat kejayaan itu, tidak hairanlah Forbes menyenaraikan Huda Kattan antara 2019 America’s Richest Self-Made Women berjumlah USD 610 juta.
Sumber: Forbes & Vogue Arabia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Baru-baru ini tular di media sosial seorang wanita Fatin Nursyahirah Yusuf,24, pelajar Jabatan Geografi, Fakulti Sastera, Universiti Malaya telah kembali kerahmatullah pada subuh sabtu lepas akibat menghidap kanser Sacorma (sejenis kanser tisu) tahap 4 selepas tidak sampai 24 jam dinikahkan dengan suami Muhammad Saiful Azzam.
Azzam dan Fatin Nursyahirah ketika majlis pertunangan mereka Jun 20018Azzam mencium dahi isterinya ketika majlis pernikahan mereka
Apa yang menyentuh hati, setelah isterinya disahkan meninggal dunia, Azzam turut memuat naik gambar terakhir beliau mengucup dahi isterinya yang ketika itu sudah dikafankan di insta story berserta kapsyen yang menyentuh hati. Azzam juga memakai baju melayu yang sama ketika majlis pernikahan mereka yang diadakan pada pagi Jumaat, 3 Ogos.
“Saya juga memakai baju melayu yang sama ketika majlis pernikahan kami kerana dia cakap saya nampak segak dengan baju ini. Tidak ada sesuatu yang berinspirasi dengan cerita saya sebenarnya. Saya yakin, anda juga akan melakukan perkara yang sama dengan orang kesayangan”, tulisnya di insta story disertakan gambar kali terakhir mencium dahi isterinya.
Fatin Nursyahirah disahkan menghidap kanser Sacorma pada tahun 2017 yang pada ketika itu sudah berada di tahap 3. Kemudian, pada September 2017 Fatin melakukan pembedahan untuk membuang kanser tersebut namun pada Disember 2017, kanser datang kembali tapi kali ini lebih agresif. Fatin seterusnya melakukan pembedahan kedua pada Februari 2018 namun tidak dapat membuang sepenuhnya kanser dan mula melakukan sesi radioterapi. Kemudian, beliau disahkan lumpuh separuh badan pada Julai 2018.
Benar cinta sejati itu wujud. Walaupun Fatin sudah lumpu separuh badan, Azzam masih tetap mahu meneruskan majlis perkahwinan mereka dan sudi menerima Fatin seadanya. Walaupun kebahagiaan mereka hanya sementara, tapi memori ini pastinya terpahat dalam ingatan Azzam buat selama-lamanya.
Takziah NONA ucapakan kepada seluruh ahli keluarga Fatin Nursyahirah terutama suaminya. Semoga terus kuat dengan dugaan yang diberikan dan dipermudahkan segala urusan.
sumber: instagram
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ziana Zain yang sedikit masa dahulu menggemparkan industri apabila memfailkan perceraian bersama suami yang telah dikahwininya selama 20 tahun. Semua pasangan suami isteri mengharapkan rumah tangga kekal hingga ke hujung nyawa namun siapa kita untuk menolak takdir. Benar kata orang kita hanya mampu merancang namun Yang Maha Esa yang menentukan segala-galanya.
Ziana baharu sahaja melalui episod duka dalam rumah tangganya, namun kekuatan yang dimilikinya bukan calang-calang. Mencungkil rahsia kekuatan dalam dirinya sehingga berjaya melepasi dugaan tersebut, “Sebenarnya kekuatan itu datang setelah beberapa lama kita mengharungi hidup. Hidup dalam masyarakat bergaul dengan pelbagai lapisan kehidupan telah menyuntik semangat yang luar biasa dalam diri saya. Apabila saya garapkan kisah duka saya bersama pengalaman orang lain membuatkan kita lebih kuat.
Sudah semestinya apabila kita menatap dan mengamati wajah anak-anak satu persatu, secara tidak langsung membuatkan kita lebih kuat. Melihat wajah mereka telah mengumpul satu kekuatan untuk membahagiakan anak-anak. Saya selalu cakap dengan diri sendiri apa juga yang terjadi dalam kehidupan itu adalah dugaan hidup dan sekiranya kita lepas semua ujian, there will be something big for us, insyaallah.
Apabila berhadapan dengan anak-anak mengharungi kemelut ini bukan mudah tetapi sebagai ibu apa yang penting adalah sentiasa berterus-terang dengan anak-anak tentang situasi yang berlaku dan jangan bercerita perkara negatif kepada mereka. Saya selalu katakan kepada mereka, apa sahaja yang berlaku dalam keluarga ini merupakan permulaan kehidupan mereka. Jika kita berjaya mengharunginya insyaallah benda lagi besar akan ada di hadapan kita boleh mengharunginya bersama-sama dan selalu reda serta bersyukur kepada Allah SWT. Paling penting jangan lupa sentiasa minta padaNya.
foto: Instagram @iamzianazain
Ini kerana Allah SWT sahaja yang tahu isi hati kita dan semat dalam hati dan minda bahawa setiap apa yang terjadi itu ada hikmahnya dan Allah nak memberi sesuatu yang besar kepada kita. Kita pun tak tahu tetapi selalu yakin yang Allah SWT doakan kebahagiaan kepada diri kita dan juga orang lain. Kerana kita hidup ini dalam dunia bukan seorang, sering berdoa dan yang penting kita berbalik kepada Allah SWT,” ungkap ibu kepada empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 19 tahun, Muhammad Ammar, 14 tahun, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9 tahun, ini.
Wanita yang kini sudah berusia 50 tahun terus optimis meneruskan kehidupan bersama anak-anak tercinta dan kelihatan telah move on. “Sebagai wanita biasa, jujur saya katakan bukan mudah untuk move on. Ada wanita yang terpaksa tunggu bertahun-tahun dan ada juga hanya mengambil masa yang singkat sahaja.
Bagi saya setiap rencana hidup kita sudah di tulis oleh Allah SWT dan bila sampai masanya Allah SWT kata masa untuk move on, ini merupakan gerak dariNya. Saya selalu bersyukur dan sering meminta kepada Yang Maha Esa untuk diberi kekuatan dan dikurniakan keberkatan hidup. Apabila kita berdoa dan selalu meminta serta reda dengan ketentuan Ilahi, insyaAllah we can move on,” tuturnya.
Nasihat Ziana buat untuk wanita yang dibelenggu dengan masalah rumah tangga terutama yang mengalami penderaan domestik agar mencari jalan keluar dengan meminta pertolongan daripada saluran yang betul. Tambah Ziana terdapat banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang boleh memberi bantuan kepada wanita yang mempunyai masalah. Jangan malu untuk bertindak kerana bukan kita seorang sahaja mempunyai masalah. Kuatkan semangat dan paling penting mencari saluran yang betul.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!