Impian Jadi Atlet Terkubur, Ibu Bapa Galak SONG HYE-KYO Sertai Dunia Seni Sejak Umur 14 Tahun!

2252

Di sebalik populariti yang dikecapi hari ini, rupa-rupanya Song Hye-Kyo tidak pernah langsung terlintas untuk menjadi pelakon dan selebriti terkenal. Sebaliknya, aktres terkenal Korea Selatan ini mengakui dia menyimpan cita-cita bergelar seorang atlet peluncur ais sejak kecil lagi. Bagaimana pun impian tersebut terpaksa dilupakan memandangkan rezekinya lebih terarah dalam dunia seni.

Meniti usia 37 tahun, Hye-Kyo ialah antara selebriti popular di Korea Selatan dan meskipun sudah 23 tahun berkecimpung dalam industri seni di sana… wanita cantik ini tetap selesa dengan imej low profile. Jadi tak hairanlah Instagram miliknya hanya ada kurang 70 posting sahaja. Pun begitu, Hye-Kyo mempunyai jumlah followers yang ramai iaitu hampir 10 juta orang!

Dalam sebuah program televisyen terbitan Korea Selatan, Hye-Kyo memberitahu… menjadi pelakon dan selebriti bukanlah pilihan utama ketika kecil sebaliknya dia menyimpan cita-cita untuk bergelar seorang atlet. Ia bukan sekadar angan-angan kosong sebab Hye-Kyo sudah pun mengikuti latihan sebagai atlet luncur ais.

Impian jelitawan ini bagaimana pun terhenti di tengah jalan apabila ibu bapanya mendaftarkan nama Hye-Kyo dalam sebuah pertandingan modeling. Ketika itu dia baru berusia 14 tahun. Bagai sudah tertulis takdirnya, dia memenangi pertandingan tersebut dan bermula dari situlah kerjaya seni Hye-Kyo bersinar.

Berbekalkan raut wajah cantik dan usia muda, Hye-Kyo dilamar membintangi beberapa drama bersiri Korea Selatan. Walau pun hanya sekadar pelakon pembantu, bakat lakonannya mula mendapat perhatian penerbit filem dan syarikat produksi. Antara drama terawal Hye-Kyo termasuklah One of a Pair dan First Love.

Empat tahun bergelar anak seni, Hye-Kyo akhirnya dipilih menerajui watak utama dalam drama bersiri Autumn in My Heart. Ia merupakan antara drama paling popular di Korea Selatan pada tahun 2000. Kebetulan, tahun tersebut ialah kebangkitan drama dan muzik Korea hingga mencetuskan ‘Korean Wave’ hingga ke hari ini. Fenomena berkenaan secara tidak langsung melonjakkan nama Hye-Kyo bukan sahaja di negara kelahirannya sendiri tetapi juga di luar negara.

Saat namanya sedang berada di puncak sekitar tahun 2003, Hye-Kyo memilih untuk berehat seketika dari dunia seni selama dua tahun kerana mempelajari Bahasa Inggeris di Amerika Syarikat. Selain ingin menguasai dan fasih berbahasa tersebut, dia juga mempelajari Bahasa Kantonis apabila terpilih membintangi filem pengarah terkenal China, Wong Kar-Wai pada tahun 2013 menerusi The Grandmaster.

Selain dikurniakan bakat lakonan yang hebat, Hye-Kyo juga antara selebriti tercantik di Korea Selatan. Disebabkan rupa paras komersial yang dimiliki, wajahnya sering menghiasi kempen promosi jenama-jenama mewah antaranya Chaumet, Dior dan Levi’s.

View this post on Instagram

@chaumetofficial

A post shared by Hyekyo Song (@kyo1122) on

Sepanjang penglibatannya sebagai anak seni, Hye-Kyo berjaya membuktikan kemampuan diri menjadi pelakon yang versatil hingga menerima anugerah Grand Prix… iaitu pengiktirafan tertinggi buat pelakon di Korea Selatan. Kejayaan tersebut diberikan kepada Hye-Kyo menerusi lakonannya dalam drama That Winter, the Wind Blows.

Pada April, Hye-Kyo mengesahkan telah menandatangani kerjasama dengan syarikat produksi Wong Kar-Wai’s Jet Tone Film. Sebuah syarikat produksi ternama yang menguruskan pelakon filem terkenal China dan Hong Kong seperti Tony Leung Chiu-wai dan Maggie Cheung.

“Selepas tandatangan kontrak berkenaan, saya percaya akan ada lebih banyak kolaborasi bersama pengarah berbakat dari China dan para pelakon di sana pada masa
depan,” ujarnya.

Terpalit dengan kontroversi penceraian dengan bekas suami yang juga pelakon Song Joong-ki… Hye-Kyo berkata dia akan kembali aktif dengan aktiviti seninya pada tahun hadapan. “Saya perlukan masa untuk diri sendiri tahun ini dan tahun depan akan ada projek terbaru. Bagaimana pun ia masih dalam perancangan.”

 

Sumber: Hong Kong Tatler