Siapa yang tidak mengenali pempengaruh dan usahawan terkenal yang juga pengasas AINAA Beauty, Hafiz Mahamad yang sentiasa menjadi perhatian apabila seringkali membuat kejutan pada keluarga dan kakitangannya. Baru-baru ini, Hafiz Mahamad sekali menjadi tumpuan apabila dia menghadiahkan sesuatu yang istimewa buat ibu dan bapanya.
Menerusi hantaran tersebut, Hafiz bersama-sama adiknya memberi kejutan istimewa buat kedua orang tuanya dengan menghadiahkan sebuah kereta mewah iaitu Toyota. Dalam video tersebut, kelihatan sebuah lori yang menempatkan sebuah kereta Vellfire dibawa ke tempat kerja ibunya yang bekerja sebagai jururawat. Kelihatan juga isteri Hafiz, Syafiqah Aina dan kakitangan hospital turut sama hadir memeriahkan suasana.
Dalam perkongsian itu, Hafiz turut berkongsi dan mengenang kembali pengorbanan ibu dan bapanya nya yang telah membesarkan dia dan adiknya tanpa mengenal erti kesusahan.
“Hari ini hari terakhir mama bekerja, Dalam lori ni, ada hadiah pencen untuk mama & abah 3 bulan saya persiapkan untuk “hari bahagia” ini. Semalam saya datang surprise di “tempat kerja” mama. Sebak sangat rasa & surprise ni adalah surprise paling bermakna. Mama besarkan saya dan adik dengan bekerja sebagai jururawat. Bila dah besar ni, saya mula sedar. Bukan mudah untuk besarkan kami,” katanya.
Tambah Hafiz lagi, “Ingat lagi waktu kecik dulu, kita minta apa pun Mama & Abah cuba sediakan tanpa ada air muka yg menunjukkan dia tak mampu walhal saya tahu dia perlu berkira kira. Itu yg saya mula sedar sekarang. Saya membesar di kuarters kerajaan. Sampai 1 masa. Mama perlu pindah kerja ke negeri lain. “Harini, seolah olah seperti “saya dapat mama & Abah saya balik
Diwaktu umur 13 tahun lah hingga lah besar. Saya terpaksa hidup berjauhan dgn “Mama”. Saya & adik pun, kami terpaksa berjauhan atas sebab Abah & mama bertuga di negeri lain lain.
Di hantaran tersebut juga, rata-rata ramai warga maya memuji tindakan Hafiz Mahamad yang tidak pernah melupakan jasa orang tuanya walaupun sudah berjaya sehingga kini.
Kredit foto: Instagram @hafizmahamad
Majalah Nona pun ada di Telegram tau.Dah follow Telegram Majalah Nona? 👇
Follow kami sekarang di link berikut: https://t.me/majalahnona
“Dalam Motokar, Dia Pegang Tangan Saya. Pegangan Tangan Dileraikan Bila Kami Melintasi Tol & Jari-Jemari Kembali Bertaut Selepas Itu” – Tun Siti Hasmah
Pagi bersejarah itu jantung penulis seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan, Jun 2016… hampir empat tahun yang lalu.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
https://www.instagram.com/p/BGddj18yOc2/?hl=en&taken-by=kiffyrazak_nona
MENULIS
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Berdikari Walau Suami Selebriti Popular, TYA ADNAN Usahawan Tudung & Produk Kecantikan!
Walau suaminya, Shukri Yahaya merupakan bintang popular dan dikenali ramai, Tya Adnan enggan menumpang populariti suami untuk hidup senang. Sebaliknya, dia selesa berdikari di atas kaki sendiri untuk menjana pendapatan.
Bukanlah bererti Tya menidakkan wang daripada suami tercinta, sebaliknya dia menjadikan minat berniaga sebagai kerjaya. Dalam masa sama, dapat membantu suami menampung perbelanjaan keluarga.
Alhamdulillah, untung Shukri dikurniakan seorang isteri yang tidak hanya cantik tetapi juga pandai cari duit!
Gemar berkongsi rutin dan perkembangan bisnes di media sosial, Tya nyata bijak membahagikan masa di antara perniagaan dan keluarga. Biarpun sibuk menguruskan empayar niaga, tanggungjawab sebagai ibu dan isteri tetap menjadi keutamaan.
Difahamkan sebelum berkahwin dengan aktor kacak tersebut, Tya juga seorang pelakon. Wanita berusia 30 tahun ini pernah membintangi filem Karak, Ular dan Sunti. Pun begitu dia memilih meninggalkan dunia seni untuk memberi sepenuh perhatian kepada keluarga.
Tidak sekadar duduk di rumah, Tya ligat mengemudi perniagaan miliknya sendiri dengan sokongan suami tercinta. Dia kini merupakan pemilik perniagaan tudung jenama Si Gadis Tya dan produk kecantikan Glocerie.
Jenama Si Gadis Tya tidak hanya terhad dengan himpunan koleksi tudung shawl, bawal dan instant. Malah ia turut menawarkan seleksi kaftan, jubah dress dan sweatshirt.
Tya atau nama penuhnya Siti Nurfatihah Ahmad Adnan mendirikan rumah tangga bersama Shukri pada 20 November 2015. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Aaira Ameena dan Maleeq Miqayl.
Tak Abai Pelajaran Walaupun Bergelar Pelakon, SYERINIE MYRA Ambil Kelas Tambahan
Dunia seni tempatan semakin meriah dengan kehadiran pendatang dan wajah baharu. Tidak ketinggalan empunya nama Syerinie Myra, 17 tahun seorang pelakon muda yang cukup mencintai bidang seni. Walaupun usianya masih hijau, ia tidak menjadi halangan bagi Syerinie atau lebih mesra disapa Myra untuk mengejar cita-citanya dalam karier yang dicintainya. Antara drama yang pernah dibintangi Myra termasuklah Ti Amo Sweetheart 100 hari!, Semusim Rindu, Hantu Punya Bos dan Sedingin Cinta Antasya.
Sudah berada didalam industri seni selama 3 tahun menjadikan anak sulung daripada 4 beradik ini semakin matang. Walaupun masih di bangku sekolah dan bakal mengambil Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini, Myra bijak membahagikan masa antara pelajaran dan minat dalam bidang lakonan. Baginya, tiada yang mustahil selagi dia mempunyai peluang untuk menggapai bintang dilangit sekaligus mencipta kejayaan di usia yang muda.
BAGAIMANA ANDA BOLEH BERKECIMPUNG DALAM BIDANG SENI?
Sejujurnya, permulaan karier saya bermula daripada laman Instagram. Saya mendapat DM (direct message) dari penerbit David Teoh yang mengajak saya untuk pergi ke casting daripada produksi beliau. Saya masih ingat ketika itu saya berada di tingkatan tiga. Bermula dari situ, saya mula berjinak-jinak dalam bidang seni. Saya mula dengan menjadi model untuk iklan dan seterusnya mendapat beberapa tawaran untuk berlakon.
BAGAIMANA ANDA MEMBAHAGIKAN MASA ANTARA BELAJAR DAN BERLAKON?
Sejujurnya ia agak susah bagi saya. Apabila saya terlibat dengan penggambaran, saya terpaksa mengambil cuti dari sekolah. Namun, jika saya ada sesi penggambaran pada waktu pagi hingga petang, saya akan mengambil kesempatan pada belah malam untuk mengulangkaji pelajaran. Selain itu, saya ada mengambil kelas tambahan bagi menggantikan semula sesi pembelajaran yang saya terlepas di sekolah.
KONGSIKAN KENANGAN MANIS DAN PAHIT YANG SUKAR DILUPAKAN SELAMA BERADA DIDALAM BIDANG SENI
Kenangan manis, saya dapat berlakon Bersama Datuk Awie. Beliau mempunyai nama yang besar dalam industri seni dan saya berasa berbesar hati dapat bekerjasama dengan beliau. Selain itu, saya amat teruja dapat digandingkan bersama pelakon yang amat berbakat iaitu Syukri Yahya. Kenangan pahit yang boleh dikatakan disini ialah saya pernah berada dibawah pengurusan yang tidak sistematik. Ia sedikit sebanyak memberi kesan pada perjalanan karier saya.
BAGAIMANAKAH ANDA MELIHAT INDUSTRI SENI BUAT MASA SEKARANG DAN APAKAH CABARANNYA?
Pada pendapat saya, sebagai pendatang baharu, kita harus bijak dan tidak menyalah guna kelebihan yang kita ada. Sebagai contoh, sekarang ini zaman digital. Kita lebih terdedah dengan teknologi seperti media sosial yang boleh dijadikan platform untuk menonjolkan diri hingga boleh menjadi viral sekaligus dikenali ramai. Apa yang penting, kita harus bijak menggunakan sosial media dan harus menyeimbangkan dengan kehidupan kita. Dari segi cabaran dalam bidang seni, saya boleh katakan persaingan dengan wajah-wajah baharu. Apa yang saya lakukan ialah be different.
APAKAH PRINSIP HIDUP YANG DIPEGANG SELAMA INI?
Prinsip yang saya pegang selama ini ialah sentiasa percaya dengan diri sendiri. Saya boleh dikatakan kurang mempunyai keyakinan diri dan masih rendah. Saya selalu letak dalam diri saya bahawa saya boleh lakukannya walaupun kadang-kadang saya rasakan ia susah. Saya bersyukur kerana mempunyai support system seperti kawan-kawan saya dan paling menyokong saya untuk terus aktif dalam bidang ini ialah ibu saya sendiri.