Isteri Pereka Duo Terkenal, RUZAINI JAMIL Kongsi Pengalaman Lahirkan Bayi Pramatang

Siapa yang tidak kenal dengan pereka duo tersohor negara, Rizman Ruzaini. Terkenal dengan rekaan busana ekslusif di kalangan kerabat, VVIP mahupun selebriti popular tanahair antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fazura, Izara Aishah dan ramai lagi. Di sebalik kejayaan duo ini berdirinya wanita sebagai tulang belakang utama.

Nona berpeluang menemu bual secara ekslusif isteri kepada Ruzaini Jamil yang dikenali sebagai Nurul Hidayati Yahaya. Mesra digelar sebagai Ida, wanita berusia 37 tahun ini bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di sebuah Kementerian.

Wan Rahil Wan Mohd Ruzaini, zuriat sulung yang dinanti-nanti hampir 5 tahun telah membawa sejuta rahmat buat pasangan ini. Berikut perkongsian pengalaman Ida sepanjang bergelar ibu kepada Rahil yang kini berusia 8 bulan.

PENANTIAN
“Alhamdulillah setelah lama menunggu hampir 5 tahun, kami dikurniakan rezeki yang amat berharga dan bermakna. Segalanya bermula apabila kitaran haid saya agak lewat lantas saya pun membuat ujian kehamilan sendiri di rumah. Suami pun ada ketika itu. Ketika mendapat result positive kami menangis kegembiraan. Disebabkan terlalu teruja, suami hendak maklumkan kepada keluarga kami namun saya mencadangkan untuk check dulu dengan doktor untuk confirmation.

Esoknya kami bertemu doktor dan saya disahkan hamil 3 minggu. Kami sangat bersyukur lalu berita gembira itu dikongsi dengan keluarga terdekat serta adik kami, Rizman dan Suraya. Alhamdulillah Allah SWT mendengar doa kami.

Rutin saya memang berubah 360 darjah selepas kehadiran Rahil. Sebelum sambung belajar, saya bekerja di Jabatan yang memerlukan saya pulang lewat. Kadang-kadang jam 2 pagi baru pulang ke rumah. Alhamdulillah selepas habis belajar saya ditempatkan di Jabatan yang tidak memerlukan saya untuk stay back. Allah SWT susun cantik perjalanan kerjaya dan kehidupan saya setelah memiliki zuriat.

Sekarang setiap kali habis waktu kerja saya akan terus pulang ke rumah. Waktu lunch pun saya akan pulang untuk menjenguk Rahil. Kalau dulu saya sering tidur lewat kerana nak siapkan assignment atau kerja pejabat, kini memang tidur awal kerana perlu tidur sekali dengan anak. Saya kekalkan work life balance selepas kehadiran Rahil,” ungkap anak kelahiran Perak ini.

BAYI LAHIR AWAL & PRA MATANG
Rahil adalah bayi pra-matang kerana lahir awal iaitu pada minggu ke-33. Due date sebenarnya pada 10 Disember 2020 tetapi pada 26 Oktober jam 10.30 malam air ketuban saya pecah. Mula-mula ingatkan saya terkencing tetapi lepas air jernih tak henti-henti keluar saya dah rasa lain.

Saya meminta pembantu rumah panggilkan suami yang berada di tingkat atas rumah. Selepas melihat keadaan saya, suami ajak ke hospital. Masa tu saya rasa seperti tiada apa-apa lagi. Siap cakap tidurlah dulu, kita pergi esok saja. Tetapi suami tetap ajak pergi malam tu juga. Saya hubungi kakak dan tanya pendapat. Kakak juga minta saya ke hospital segera. Saya akur dan mujurlah kami dah siapkan awal-awal beg ke hospital.

Kami terus ke SJMC. Lepas ditolak ke labor room, jururawat datang check

dan maklumkan bukaan dah 3cm. Masa tu jam 12.30 malam. Disebabkan saya baru 33 minggu, dokotr arahkan saya diberi ubat tahan sakit contraction dan matangkan paru-paru bayi. Tetapi jam 3 pagi saya mula rasa contraction. Doktor maklumkan risiko jika saya bersalin awal tanpa ambil complete cycle untuk matangkan paru-paru bayi. Bimbang bayi mungkin akan dimasukkan ke ICU jika paru-parunya belum matang dan berat tak mencukupi.

Suami ketika itu tak henti-henti membaca surah Yassin dan solat hajat di sebelah saya. Jururawat juga maklumkan jam 7 pagi dia akan cucuk epidural. Pada 27 Oktober jam 6.30 pagi saya rasa sangat sakit. Saya panggil jururawat dan bukaan dah 9cm. Keadaan kelam kabut dan mereka buat preparation. Tak sempat ambil epidural, jam 6.34 pagi lahirlah putera kami dengan berat 2.45kg. Semasa Rahil dilahirkan saya terdengar doktor berkata berat bayi normal maka tak perlu risau. Alhamdulillah Rahil berada 2 hari saja di ICU kemudian dimasukkan ke wad biasa.

Pengalaman melahirkan Rahil membuatkan saya insaf. Sampai terfikir bagaimana ibu saya menanggung sakit sebanyak 7 kali untuk lahirkan anak-anaknya dulu. Saya sangat bersyukur kerana di saat Allah SWT ‘ambil’ semula ibu ketika saya hamil 7 bulan, Allah SWT hadirkan ibu mentua yang sangat penyayang. Beliau menjaga menantunya ini seperti anak sendiri.

Pengalaman mandikan anak, berjaga malam untuk menyusukan dan sebagainya menyedarkan saya betapa besar pengorbanan seorang ibu. Benarlah kata pepatah, syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Saya percaya semua ibu bapa sentiasa mengharapkan anak mereka menjadi insan cemerlang dalam akademik serta memiliki sahsiah terpuji, kukuh pegangan agama dan mendapat kerjaya yang bagus kelak. Saya sendiri dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan soal agama dan akademik. Arwah ibu dan Abah tidak berkompromi bab solat, mengaji dan akademik. Semasa kecil, arwah Abah mewajibkan kami adik beradik solat berjemaah waktu Subuh, Maghrib dan Isya’. Saya juga khatam al-quran dengan arwah ibu.

Saya beritahu suami kalau boleh nak terapkan amalan solat berjemaah seperti arwah Abah ajar dulu. Kalau boleh juga, Rahil khatam al-quran dengan saya atau suami. Jadi, sejak mengandung kami mula belajar ilmu tajwid, bacaan dalam solat yang betul sebagai persiapan mendidik Rahil. Saat itu baru tersedar, banyak lagi kelemahan dan kekurangan. Benarlah, kadang kala teguran Allah tu dihantar melalui anak.

Begitulah jua harapan kami terhadap Rahil. Paling penting, doa kami agar Rahil membesar sebagai insan soleh dan berbakti bukan saja kepada ibu bapa atau keluarga bahkan buat masyarakat serta negara.

Kami akan memberikan pendidikan terbaik buatnya dengan sifat-sifat mahmudah yang dapat membentuk dirinya ke arah kesempurnaan hidup di duniawi dan ukhrawi. Kami juga sepakat untuk memberi kebebasan kepada Rahil untuk memilih minatnya sendiri dalam kerjaya,” kongsi Ida yang berkelulusan Ijazah Sarjana Ekonomi.

Pasangan ini bernikah pada 5 Februari 2016 serta memilih tema Bollywood dan tradisional Melayu untuk majlis resepsi.

Kredit Foto: Instagram @ida_deqda & @ruzaini.jamil

IKLAN
Share