Ketika baru berusia 18 tahun Emma Raducanu sudah pun bergelar jutawan. Tahun lepas menyaksikan kemuncak kerjaya pemain tenis muda ini apabila dia bukan saja berjaya menamatkan pengajian peringkat A Levels dengan keputusan cemerlang. Bahkan meraih kejayaan mengagumkan apabila dinobat sebagai juara Kejohanan Tenis US Open 2021!
Emma yang sebelum ini menduduki tangga ke-338 dunia kini melonjak ke ranking 10 dunia. Hasil kemenangan US Open tersebut, dia membawa pulang wang kemenangan bernilai USD2.5 juta atau kira-kira RM10.2 juta.
Rentetan kejayaan luar biasa pada usia muda, Emma menjadi pemain tenis wanita termuda menggantikan rekod Maria Sharapova yang memegang gelaran itu pada tahun 2015.
Pada April 2021, Emma berjaya menamatkan pengajian di Newstead Wood School dan meraih keputusan cemerlang di peringkat A Levels. Kejayaan Emma menjulang piala US Open 2021 membawanya terus ke kedudukan pertama selaku pemain tenis wanita Britain.
Ads
Atlet cantik ini dilahirkan pada 13 November 2002 di Toronto, Canada. Memetik laporan Express UK, bapa Emma iaitu Ian Raducanu berasal dari Bucharest, Romania.
Sementara ibunya, Meizhai Dong atau dikenali sebagai Renee ialah wanita keturunan Shenyang, China. Kedua-dua ibu bapa Emma bekerja dalam bidang kewangan.
Ads
Difahamkan Emma berhijrah ke United Kingdom ketika berusia dua tahun. Dia juga merupakan anak tunggal kepada pasangan tersebut. Portal Tatler mendedahkan sejak kecil Emma sudah menunjukkan minat dalam pelbagai bidang sukan termasuklah menunggang kuda, berenang, luncur ski, go-kart, motor cross dan ping pong.
Tidak cukup itu, Emma juga pernah mengikuti kelas tarian balet. Bagaimana pun minat Emma dalam sukan tenis mula bercambah selepas ibu bapanya memperkenal sukan tersebut seawal umur Emma lima tahun.
Ads
Meskipun menyokong penuh kerjaya sukan anak tersayang, namun ibu bapa Emma tidak pernah memberi tekanan kepada anak tunggal mereka ini untuk menyertai pelbagai kejohanan terutamanya ketika musim Covid-19.
Berjiwa aktif dan lasak, Emma merupakan peminat sukan Formula One. Dia mempunyai dua kerakyatan iaitu British dan Kanada. Selain itu, Emma juga boleh berbahasa Mandarin, menonton rancangan TV Taiwan dan menggemari sajian Romania.
Pada 22 Oktober 2021, jenama fesyen mewah Dior mengumumkan Emma Raducanu sebagai duta mereka.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tiada yang lebih menggembirakan hati seorang ibu hamil tatkala doktor mengesahkan bayi yang dikandung adalah kembar. Sudah tentu kehadiran bayi kembar itu sangat dinanti-nantikan oleh seluruh ahli keluarga.
Begitulah perasaan dialami oleh Datin Belina Abdul Hamid yang berketurunan Melayu-Pakistan, bersyukur apabila dikurniakan sepasang anak kembar seiras iaitu Shahirah Safiyya Datuk Samsudin dan Shahirah Silfiyya Datuk Samsudin yang sangat comel serta bijak. Kedua-duanya kini berusia 6 tahun.
“Safiyya dan dan Silfiyya dilahirkan secara pembedahan caesarean pada 1 Februari 2014 di Hospital Prince Court Kuala Lumpur. Alhamdulillah menjaga Safiyya dan Silfiyya tidak sesukar mana. Kedua-duanya tak kuat meragam.
Detik mencabar itu saya hanya alami ketika dalam berpantang. Saya tak nafikan menjaga anak kembar ni perlu banyak sabar dan mental yang kuat. Hanya mereka yang alami saja tahu bagaimana rasanya.
Bila nak susu, kedua-duanya akan menangis. Saya perlu menyusukan Safiyya dan Silfiyya serentak sambil terpaksa menahan sakit kesan pembedahan caesarean. Kalau tak kenyang atau tak puas menyusu kedua-duanya akan menangis lagi.
Itu yang kadangkala membuatkan saya rasa amat tertekan. Perlu buat dua perkara dalam satu masa. Detik ini memang sangat mencabar bagi saya yang pertama kali melahirkan serta menjaga anak kembar.
Semasa di hospital jururawat ada ajarkan saya bagaimana menyusukan dua bayi serentak. Pengalaman itu amat menakjubkan walaupun penat. Alhamdulillah bila dah besar, Safiyya dan Silfiyya semakin mudah dijaga dan mendengar cakap. Mereka juga penyayang dan prihatin. Kedua-duanya memang banyak persamaan.
Sesungguhnya kenangan menjaga anak kembar adalah detik istimewa dalam hidup saya,” kongsi wanita berusia 34 tahun ini. Selain Safiyya dan Silfiyya, Datin Belina juga memiliki seorang anak lelaki iaitu Shahputra Nasri berusia 10 tahun.
DIDIK ANAK HIDUP BERSEDERHANA
“Saya dan suami menerapkan cara hidup Islam dalam mendidik anak-anak. Kami banyak membaca dan merujuk buku-buku berkaitan cara-cara didikan Islam termasuk amalan Rasulullah SAW.
Manakala dari segi pendidikan pula kami sangat tegas. Kalau waktu bermain mereka bebas bermain tapi kalau waktu belajar mereka perlu fokus betul-betul. Saya seorang ibu yang sangat tegas maka anak-anak mudah mendengar kata.
Satu lagi didikan kami ialah mengajar anak-anak agar tidak bermewah-mewahan. Kami ajar anak-anak bagaimana susahnya untuk mendapatkan sesuatu. Kena usaha sendiri dan hidup bersederhana.
Untuk masa depan anak-anak, beliau dan suami mendoakan agar mereka berjaya dalam apa jua bidang yang diminati seterusnya menjadi insan berguna di dunia mahupun akhirat.”
MAKIN CANTIK & LANGSING
Walaupun memiliki tiga anak, Datin Belina kekal anggun dan langsing persis anak dara. Dahulu, berat Datin Belina pernah mencecah 90kg. Namun kini Datin Belina berjaya mencapai berat ideal iaitu 55kg.
“Setiap kali hamil berat saya memang akan naik dan tak dapat nak kawal kerana selera makan yang melampau. Nak buat macam mana..saya enjoy je saat itu. Apa yang penting lepas bersalin saya akan atur semula diet seimbang dan tak akan tinggalkan senaman.
Semasa hamil anak pertama saya ambil masa 6-7 bulan untuk kembali langsing. Anak kedua iaitu ketika hamilkan Safiyya dan Silfiyya, saya ambil masa setahun untuk dapat badan seperti sekarang.
Setiap hari saya akan kira kalori yang diambil, pastikan tak lebih daripada total sepatutnya. Untuk diet saya dapatkan nasihat pakar. Tak salah nak berdiet tapi jangan sampai tak makan. Cheat day kena ada dalam 1 minggu barulah kita enjoy diet. Saya juga suka berpuasa.
Saya banyakkan minum air kosong dan elak makanan manis, masin dan berminyak. Lagi satu, kalau nak diet rajinkan diri untuk masak sendiri di rumah. Tak boleh malas dan jangan mudah putus asa.
Cabaran ketika diet, setiap hari saya perlu masak sedap-sedap untuk suami dan anak-anak tapi dalam masa sama saya sendiri perlu kawal pemakanan,” ungkap Datin Belina yang mengagumi Ziana Zain kerana masih kekal cantik dan bertenaga walau dalam usia 50an.
“Nasihat saya buat seluruh wanita kalau nak kekal sihat dan cantik kena rajin. Jangan jadikan alasan komitmen sebagai isteri dan ibu untuk ‘malas’ menjaga penampilan. Saya sendiri kurus bukan sebab penat jaga anak. Saya disiplinkan diri dengan diet seimbang dan bersenam secara teratur,” akhiri Datin Belina.
Pernah terlibat dalam perusahaan restoran, Datin Belina kini memilih untuk bergelar suri rumahtangga sepenuh masa. Namun begitu, Datin Belina tetap menjadikan golongan wanita berkerjaya sebagai inspirasi. Apa yang membuatkan Datin Belina kagum ialah kebolehan mereka dalam menguruskan hal kerjaya, keluarga dan peribadi.
Kredit: Instagram belina_hmd
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lagu ‘Jerat Percintaan’ menjadi titik mula kepada kebangkitan ‘Siti Nurhaliza’. Nama ini mula menjadi sebutan bukan saja dek kerana kejelitaan asli yang dimiliki bahkan kehebatan vokalnya biarpun ketika itu beliau masih di bangku sekolah.
Daripada seorang gadis desa DS Siti Nurhaliza kini berada dalam kelas tersendiri. Anak jati Kuala Lipis, Pahang berusia 41 tahun ini tetap berpegang kepada prinsip ‘Tidak Hidup Dek Puji, Tidak Mati Dek Keji’.
MOMENTUM
24 tahun dalam industri, figura tanahair ini turut melalui pelbagai perubahan antaranya era digital. Queen of Pop Malaysia dan Voice of Asia ini sentiasa bersedia menerima perubahan agar terus relevan dalam industri yang kian mencabar.
“Saya sangat bersyukur kerana Allah SWT sudah aturkan perjalanan hidup yang terbaik dari segi sebagai seorang penyanyi, usahawan dan juga isteri serta ibu. Tanggungjawab sebagai penyanyi sebenarnya sangat besar. Saya bermula dengan menyanyi. Bidang ini sebenarnya banyak memberi pengaruh positif kepada kehidupan saya yang lain.
Bagi meneruskan momentum agar terus diingati dan relevan dalam industri, sekarang ini bukan masa untuk saya bersaing dengan orang lain termasuk BBNU. Saya mahu terus kekal dengan rangkaian lagu serta produk yang bagus. Saya juga perlu selalu tampil dengan sesuatu yang baru.
Apabila seorang artis itu sentiasa hadir dengan koleksi single terbaru itu yang akan membuatkan orang akan selalu ingat dengan kita. Janganlah kita terlalu lama sangat ‘duduk diam’ kerana orang akan bertanya adakah kita masih menyanyi atau tidak? Maka, tiket untuk terus diingati ialah sentiasa tampil dengan produk baru tidak kiralah dalam bidang nyanyian atau perniagaan.
Saya sendiri selalu mengeluarkan single sekurang-kurangnya satu dalam setahun, ataupun dua tahun sekali. Saya akan memastikan lagu-lagu yang ingin diperdengarkan berkualiti termasuk persembahan yang bagus agar ia menjadi ‘buah tangan’ yang sentiasa segar dalam ingatan peminat,” tutur ibu kepada Siti Aafiyah Khalid yang kini berusia 2 tahun.
DS Siti Nurhaliza berjaya membuktikan album fizikal masih mempunyai permintaan apabila album ManifestasiSITI2020 mencatat jualan melebihi 5 rubu unit sekaligus layak menerima Anugerah Emas daripada Universal Music. Satu kepuasan buat beliau dan syarikat Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd untuk untuk terus berazam menerbitkan album fizikal dan secara digital.
PERNIAGAAN
Melayari bahtera rumahtangga selama 14 tahun bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa telah menjadikan DS Siti Nurhaliza seorang isteri, ibu, penyanyi serta usahawan yang terhebat. DS Khalid sentiasa menjadi tulang belakang utama untuk terus menjadi pendorong agar tidak mudah mengalah.
“Tidak dinafikan usahawan kecil atau besar terjejas dengan pandemik COVID-19. Saya juga tidak terkecuali. Oleh kerana suami seorang yang cepat bertindak terutama hal-hal berkaitan perniagaan beliau akan lebih serius. Beliau akan segera mencari penyelesaian. Katanya, kita tidak boleh mudah mengalah. Kena teruskan dan cari solusi terbaik.
Kami all out dengan menguatkan platform online dan website. Sebagai pengasas saya yang turut ambil tanggungjawab contohnya membuat makeup tutorial menggunakan produk serta cara menggunakan produk yang betul. Saya juga sentiasa update laman sosial tentang perniagaan, produk-produk yang dijual dan promosi. Cara ini amat berkesan.
Tidak dinafikan kita terpaksa berkorban sedikit dari segi harga produk yang dijual mengikut kesesuaian keadaan sekarang. Ramai yang terjejas dari segi ekonomi, keluarga, dibuang kerja dan sebagainya. Maka kemampuan mereka untuk membeli sudah berkurangan. Dengan harga berpatutan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka. Pada masa sama ia tetap memberi keuntungan kepada kami.
Strategi-strategi syarikat dan team pula kami perlu sentiasa duduk berbincang untuk memikirkan apa seterusnya untuk terus kekal dalam perniagaan. Lebih baik ada sedikit daripada tiada langsung. Maka, harus sentiasa cari jalan yang terbaik. Alhamdulillah laman sosial dan online business kami semakin kuat.
Kami turut membantu wanita-wanita atau sesiapa sahaja yang mahu menambah ekonomi keluarga untuk sama-sama menjana pendapatan dengan menjadi dropship. Tidak perlu keluarkan modal, hanya bantu buat promosi dan ambil pesanan. Ini cara kami mengukuhkan perniagaan dan membantu mereka yang mahu mencari pendapatan lebih,” kongsi pengasas SimplySiti, Creacion by Siti Nurhaliza dan BeauSiti by SimplySiti.
NONA HOMEGROWN AWARD
“Terima kasih majalah Nona kerana memberi penganugerahan berprestij ini. Besar pengertiannya buat saya. Sebagai majalah yang diminati pelbagai lapisan masyarakat bukan sahaja di kalangan high class mahupun medium class, ramai sebenarnya yang suka membaca majalah Nona kerana banyak memberi inspirasi.
Sebagai salah seorang wanita yang turut sama mengikuti perkembangan majalah Nona dan diberikan pula anugerah seperti ini sangat bermakna buat saya. Seseorang itu boleh menjadi inspirasi kepada wanita-wanita lain tidak kiralah sebagai isteri, ibu, usahawan mahupun wanita yang multi-talented. Itulah superwoman bagi saya.
Pun begitu, jangan pula selalu merasakan kita yang terbaik. Sebagai seorang wanita kita masih ada kekurangan namun kita berjaya mengatasi banyak kelemahan dengan cara positif dan bagus seterusnya menjadi inspirasi buat orang lain. Kita bantu orang lain untuk berjaya.
Maka, dari sudut positif itu terlalu besar untuk kita angkat wanita superwoman ini. Doakan saya untuk terus menjadi wanita yang dapat memberi inspirasi serta manfaat kepada orang lain,” akhiri DS Siti Nurhaliza.
Kredit Foto: Instagram @ctdk
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tiap kali mendengar kelunakan suara penyanyi lagenda Dato Jamal Abdillah, pastinya meremang bulu roma dengan kelunakan vokal beliau yang tiada galang gantinya. Sememangnya nilai figura lagenda seperti beliau tidak akan pernah susut. Waima datang ramai pendatang baharu, kedudukan Jamal Abdillah tidak akan goyah.
Membuka suku tahun kedua 2023, Dato Jamal Abdillah membawakan buah tangan istimewa dengan persembahan Konsert Jamal Abdullah Live In Concert yang akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 September ini.
Walaupun kesuntukan masa, penganjur Shiraz Projects yakin tiket Konsert Jamal Abdillah Live In Concert yang akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 September ini akan ‘ sold out’ seperti dijadualkan.
Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, pihaknya memilih Jamal kerana percaya dengan pesona dan kredibiliti penghibur legenda terbabit.
“Jamal adalah satu jenama yang cukup kuat dalam industri muzik tempatan dan figura yang sinarnya tidak pernah padam. Karakter serta pesona Jamal sendiri sudah cukup kuat untuk menarik peminat datang dan mereka juga tidak pernah jemu untuk menonton persembahannya.
“Saya yakin konsert ini akan menjadi konsert yang gemilang dan menjadi momen indah buat semua peminat,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di KLCC, di sini, hari ini.
Sementara itu, Jamal, 64, berkata, dia terharu dan bersyukur kerana Shiraz Projects memberi kepercayaan padanya untuk menjayakan konsert skala besar itu.
“Saya berminat untuk bekerjasama dengan Shiraz Projects kerana konsep dipersembahkan dan pada masa sama, saya juga boleh berinteraksi dengan peminat dalam skala yang lebih besar.
“Saya juga menjanjikan kelainan dengan susunan semula sebanyak 15 rangkaian lagu hits yang dipilih perlu mencapai piawaian konsert,”katanya.
Ditanya artis undangan pula, kata Jamal, ia juga membabitkan penampilan seorang artis lelaki terkenal yang masih dalam perbincangan lagi.
“Saya juga merancang untuk menampilkan dua anak, Osama Yamani,22 dan Zaki Yamani, 17, pada konsert itu nanti,” katanya.
Juara Bintang RTM 1979 ini bakal menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu- lagu hitnya seperti Penghujung Rindu, Kekasih Awal Dan Akhir, Gadis Melayu, Aku Maafkan Kamu dan banyak lagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keberangkatan Datin Lisa Surihani ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan Rukun Islam kelima pada 7 Mei lalu cukup memberi kesan kepada pengarah, pelakon dan penyanyi kumpulan KRU, Datuk Yusry Abdul Halim.