Berada dalam tempoh yang lama di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerkan (PKP) mungkin ada yang jemu makan nasi. Sekali sekala bolehlah anda cuba untuk tukar kepada makanan lain, janji menyihatkan.
Antaranya, menggantikan nasi dengan quinoa yang semakin menjadi trend dalam kebanyakan program diet masa kini.
Seiring dengan peningkatan kesedaran kita terhadap gaya hidup sihat kini terdapat pelbagai produk makanan kesihatan di pasaran. Namun dalam lambakan itu pilihlah yang benar-benar terjamin kelulusannya agar tidak menyesal di kemudian hari.
Quinoa adalah biji-bijian yang berasal dari tanaman Chenopodium quinoa. Jenis-jenis quinoa ialah berwarna putih, merah atau hitam.
Quinoa boleh didapati di pasar raya mahupun dibeli secara atas talian. Protein yang terkandung dalam quinoa lebih tinggi berbanding produk bijian yang lain.
Kehebatan quinoa lebih kepada kualiti proteinnya yang terbentuk daripada asid amino. Selain itu, kandungan serat dalam quinoa lebih tinggi berbanding dalam bijian lain, namun lebih rendah berbanding dalam kekacang.
Quinoa banyak mengandungi mineral seperti zat besi, mangan dan fosfor. Vitamin yang banyak terdalam quinoa ialah vitamin B dan vitamin E yang bertindak sebagai antioksidan.
MANFAAT KESIHATAN
- Pengganti karbohidrat khususnya pada pesakit celiac disease.
- Bagus diamalkan oleh pesakit diabetes kerana kandungan serat yang tinggi memperlahankan pelepasan gula ke pembuluh darah sehingga membantutkan tindak balas insulin dalam badan.
- Mempercepatkan rasa kenyang.
- Melancarkan sistem saluran pencernaan.
- Membantu mencegah sembelit.
CARA MENGGUNAKAN
Sebelum digunakan, quinoa perlulah dibilas sebersih-bersihnya untuk menghilangkan saponin pada permukaannya. Saponin menyebabkan quinoa terasa pahit ketika dimakan.
Pilihan lain ialah membeli quinoa yang sudah dibilas sebelum dibungkus.
Cara memasak quinoa hampir sama seperti memasak nasi. Apa yang anda perlukan ialah air sebanyak dua gelas untuk memasak satu gelas quinoa. Masukkan air kemudian rebus selama lebih kurang 15 minit sehingga seluruh air meresap.
Disebabkan rasanya yang tawar, quinoa boleh digunakan dalam pelbagai jenis masakan baik campuran sayur untuk hidangan pembuka, makanan utama sebagai pengganti nasi, hidangan penutup atau sebagai kudapan.
RESIPI QUINOA BERKHASIAT
Bahan-bahan:
- 2/3 cawan quinoa (dibilas)
- 1 cawan santan atau susu rendah lemak
- 2 sudu kecil ekstrak vanila
- 1-2 sudu kecil gula (atau ikut cita rasa)
- Secubit serbuk buah pala
- ¼ sudu kecil serbuk kayu manis
- Topping (kacang tanah, buah-buahan kering, santan atau cip coklat)
Cara Membuat:
Campurkan semua bahan ke dalam periuk dan panaskan dengan api sederhana. Masak selama 15-20 minit atau sehingga quinoa meresap semua cecair dan menjadi gebu. Akhir sekali, hiaskan dengan topping pilihan anda. Siap! Mudah, bukan?