Semua orang tahu bahawa kecantikan itu satu nilai yang tinggi. Jika mahu memilih perhiasan rumah pasti akan dicari yang cantik. Pakaian juga begitu, nilainya pada kecantikan. Makin cantik, makin tinggi harganya. Kecantikan sebenar seorang wanita terserlah melalui jiwa sehingga membentuk keperibadian seorang Muslimah sejati.

Wanita yang memiliki kecantikan sebenar sentiasa berfikiran positif, yakin diri, sentiasa bersangka baik, tidak sombong, pemaaf, berlapang dada, positif menerima teguran, ringan tulang, ceria dan penyabar. Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Mohd Badiuzzaman atau lebih dikenali sebagai Ustazah Sharifah Khasif berkongsi 10 ciri-ciri kecantikan sebenar bagi seorang wanita di mata Allah SWT. Paling penting ialah cantik di mata Dia, bukan pada manusia.

Hakikatnya, kebanyakan kaum Adam mengimpikan pasangan yang cantik. Begitu juga wanita yang ingin memiliki pasangan yang tampan atau sedap mata memandang.

Tetapi benarkah cantik itu yang akan dinilai apabila bergelanggang di pentas rumah tangga? Dalam bab memilih pasangan, cantik memang dianggap sebagai nilai utama. Bahkan terdapat amalan dalam sesetengah masyarakat, semakin cantik si gadis maka semakin tinggi harga mahar dan hantarannya.

Percayalah, biarpun seorang suami inginkan pasangan yang cantik tetapi hakikatnya dia lebih perlukan yang matang sebagai teman. Maka asasnya, bukan isu utama anda itu cantik atau sebaliknya. Paling utama ialah pembentukan diri dan sikap anda dalam menuju alam rumahtangga.

Maka, siapakah wanita itu?

  1. Wanita yang sentiasa berpegang kepada Al Quran dan Sunnah Rasul-Nya.
  2. Wanita yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tuanya.
  3. Wanita yang sentiasa patuh dan taat kepada suaminya (jika sudah bersuami).
  4. Wanita yang sentiasa menutupi auratnya serta tidak berlebihan jika berhias.
  5. Wanita yang sentiasa menjaga kehalusan dan kesopanan dalam tutur kata.
  6. Wanita yang sentiasa menjauhkan diri dari sekumpulan orang yang suka membicarakan buruk orang lain dan tidak suka memfitnah.
  7. Wanita yang sentiasa menjaga keindahan, kemuliaan akhlak dan tingkah lakunya.
  8. Wanita yang sentiasa bersikap ramah dan saling menyayangi.
  9. Wanita yang sentiasa hormat kepada yang lebih tua dan menghargai kepada yang lebih muda.
  10. Wanita yang pandai menempatkan diri baik dalam tutur kata serta sikapnya ketika bergaul dan di mana jua dia berada.

 

Berusahalah untuk menjadi wanita yang sentiasa menyenangi dan disenangi teman-teman, bertolak ansur, pandai mengurus diri dan rumah dengan baik. Belajar dan terus belajar. Jangan selesa dengan kecantikan dan paras rupa sehingga anda menjadi seorang yang rugi untuk tidak belajar dan terus ego untuk berubah.

Buang sifat negatif dan berusaha membentuk kematangan diri. Ingat, anda akan beralih kepada sebuah kehidupan yang sangat praktikal, bukan teori yang mengasyikkan lagi. Seorang wanita biasa akan terlihat lebih cantik di mata Allah SWT. Dan, seorang wanita cantik akan terlihat jauh lebih cantik di mata Allah SWT. Wallahualam.

 

Jangan Lupa Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: