Baru-baru ini, nama putera Arab Saudi menjadi bualan selepas khabarnya baginda akan menghadiahkan setiap seorang pemain Arab Saudi sebuah kereta jenama Rolls Royce Phantom kepada setiap pemain sebagai ganjaran atas kerja keras yang ditampilkan oleh mereka sewaktu pertembungan sengit menentang Argentina pada aksi pembukaan kumpulan C temasya Piala Dunia 2022 Qatar. Hebat! Namun siapakah sebenarnya Putera Mahkota Arab Saudi ini yang dilihat sungguh pemurah.
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman baru-baru ini telah dinamakan sebagai Perdana Menteri negara itu yang baharu. Ia merupakan sebahagian daripada rombakan kabinet, yang telah diperkenan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud pada Selasa, menerusi pengumuman oleh TV Al Ekhbariya.
Selain Mohammed, Timbalan Menteri Pertahanan yang juga seorang lagi anak Raja Salman, iaitu Putera Khalid, telah dinamakan sebagai Menteri Pertahanan, mengambil alih portfolio yang sebelum ini disandang abangnya. Mohammed sebelum ini merupakan Timbalan Perdana Menteri.
Ads
Selain itu Al Ekhbariya menyebut, rombakan kabinet turut melihat Putera Mansour bin Mutaib bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Abdulaziz bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, masing-masing kekal sebagai sebagai Menteri Dalam Negeri dan Menteri Tenaga.
Ini antara beberapa fakta menarik tentang baginda.
Ads
1. Pada 6 April 2008, Mohammed bin Salman berkahwin dengan sepupunya, Sara binti Mashour. Dia adalah anak perempuan Mashour bin Abdulaziz, bapa saudara Mohammed bin Salman.
2. Hasil perkahwinannya dengan Sara, Mohammed bin Salman mempunyai lima anak, tigalelaki dan dua perempuan. Mereka ialah Putera Salman, Putera Mashur, Puteri Fahda, Puteri Noura dan Putera Abdulaziz.
3. Mohammed bin Salman melanjutkan pengajiannya di Universiti King Saud, Riyadh, Arab Saudi. Baginda mengambil jurusan undang-undang.
4. Mohammed bin Salman memiliki sekurang-kurangnya 18 kereta mewah. Kereta termurah ialah Range Rover Sentinel dengan harga $500,000.
5. Bapa Mohammed bin Salman, Raja Salman memintanya membaca satu buku setiap minggu. Ini menjadikan Mohammed bin Salman seorang pengumpul buku bacaan yang berkualiti. Malah dikhabarkan dia mempunyai bilik khas untuk membaca buku.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak PKP ini kita memang digalakkan untuk duduk di rumah. Tetapi ketua keluarga dibenarkan untuk keluar rumah namun tidak boleh melebihi 10 kilometer. Mungkin juga ada yang tidak keluar langsung kerana menggunakan perkhidmatan penghantaran barang atau pembelian atas talian saja.
Bagaimana pula dengan kereta kita? Memandangkan pusat servis dan bengkel tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh ini, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk memastikan kereta anda kekal berada dalam keadaan baik sepanjang PKP. Apa yang paling penting adalah lakukan pemeriksaan 5-mata pada kereta.
1. Cecair/Bendalir
Cecair di dalam kereta memainkan peranan penting bagi hampir kesemua aspek termasuklah kecekapan, prestasi dan penjimatan bahan api. Dengan memastikan cecair pada kereta berada pada paras optimum, ia akan membantu melancarkan pemanduan anda. Terdapat lima jenis cecair yang perlu diambil kira iaitu minyak pelincir, cecair penyejuk, minyak brek, cecair stereng berkuasa serta cecair pencuci cermin hadapan.
Bahagian yang paling penting ialah minyak pelincir. Komponen yang berada di dalam enjin akan berputar beribu-ribu kali dalam masa satu minit, dan minyak pelincir inilah yang akan membantu melancarkan putaran tersebut. Bagi memastikan minyak pelincir mencukupi, hampir kesemua kereta akan dilengkapi batang celup atau dipstik di bahagian enjin yang biasanya berwarna kuning dan pemegangnya kelihatan seperti cincin. Matikan enjin terlebih dahulu, tarik batang celup, lap sisa minyak dengan kain bersih, dan ulangi sekali lagi untuk mendapat bacaan yang tepat.
Seterusnya, fungsi cecair penyejuk adalah untuk menghalang enjin daripada terlalu panas dengan memindahkan haba dari enjin ke radiator. Kebiasaannya bekas cecair penyejuk adalah berwarna putih dan jenis telus, terletak di bahagian depan ruang enjin untuk memudahkan memeriksa secara visual paras cecair penyejuk di dalamnya.
Selain itu, cecair penting lain ialah cecair brek yang bertanggungjawab menggerakkan pelbagai komponen sistem brek kereta anda. Paras cecair brek mudah untuk diperiksa. Cari penutup berwarna putih di bahagian belakang yang berdekatan dengan kabin kereta. Sekiranya penutup tersebut adalah jenis telus, ia akan lebih mudah untuk diperiksa, dan jika sebaliknya, anda hanya perlu membuka penutup untuk melihat paras cecair di dalam bekas tersebut. Pastikan enjin kereta dimatikan dan keadaan kereta tidak panas sebelum membuka penutup.
Sistem stereng kuasa juga memainkan peranan penting. Kebanyakkan kereta masa kini dilengkapi dengan sistem stereng kuasa hidraulik yang membantu menjadikan pemanduan jauh lebih mudah walau dalam apa jua kelajuan. Untuk memeriksa cecair stereng, cari reservoir di ruang enjin. Selalunya ia mudah dilihat kerana penutupnya akan dilabelkan sebagai “Power Steering”. Jika tiada sebarang label, cari ikon stereng. Sesetengah kereta mempunyai reservoir separa telus yang akan memudahkan anda memeriksa paras cecairnya sementara sesetengah kereta yang lain pula mempunyai batang celup yang terlekat di penutup.
Akhir sekali, cecair pencuci cermin hadapan juga jangan dilupakan. Pastikan ia diisi agar cermin hadapan kereta anda dapat dibersihkan untuk memberi anda pandangan yang lebih jelas.
Sekiranya cecair berkurangan, isi semula cecair tersebut tetapi jika anda tidak tahu bagaimana untuk melakukannya, kunjungilah ke mana-mana pusat servis setelah tempoh PKP berakhir.
2. Bateri
Bateri kereta memainkan peranan penting untuk menghidupkan komponen elektrik di dalam kereta. Selain menghidupkan enjin kereta secara berkala untuk memastikan alternator mengecas bateri, kita juga perlu memastikan pengapit bateri dipasang ketat, bersih dan tidak berkarat.
Pemeriksaan bateri secara fizikal juga penting untuk mengetahui sekiranya terdapat sebarang keretakan. Pertama, anda perlu memeriksa sama ada terdapat bonjolan pada permukaan bateri. Selepas itu, periksa pengapit bateri untuk melihat kesan-kesan hakisan.
Catat tarikh anda menukar bateri pada buku panduan pemilik. Sebagai alternatif, jika anda mempunyai voltmeter di rumah, anda boleh memeriksa voltan bateri. Bacaan di bawah 14v semasa enjin dihidupkan bermakna bateri anda lemah. Seeloknya, periksa alternator anda jika bacaan lebih rendah daripada itu.
3. Lampu
Perkara seterusnya yang perlu anda periksa adalah lampu. Pastikan lampu depan, lampu belakang, lampu brek dan lampu isyarat berfungsi sebelum anda memulakan pemanduan. Satu cara mudah untuk memeriksa lampu belakang adalah dengan meletakkan kereta berdekatan dengan dinding dan gunakan cermin pandang belakang untuk melihat sama ada lampu berfungsi dengan baik. Sekiranya terdapat mana-mana lampu yang tidak terang, ganti mentol di pusat servis terdekat selepas tempoh PKP berakhir.
4. Tayar
Tayar kereta adalah sama seperti sepasang kasut dan sekiranya dijaga dengan rapi, ia akan memastikan keselamatan anda dan kenderaan lain di jalan raya. Perkara pertama yang perlu diperhatikan adalah jika terdapat sebarang rekahan, koyakan atau lekukan. Pada masa yang sama, perhatikan sekiranya terdapat bahagian tayar yang kekurangan angin. Sekiranya ada, anda perlu mengepam tayar tersebut. Tetapi, lakukan hanya jika anda benar-benar perlu keluar untuk mendapatkan barang keperluan.
Seterusnya adalah tekanan tayar anda. Sebaiknya, periksa tekanan tayar menggunakan tolok tekanan tayar. Tekanan tayar yang betul boleh didapati di dalam buku panduan atau di tepi pintu pemandu. Tekanan tayar yang disyorkan adalah berbeza untuk setiap kereta. Bahaya sekiranya anda menggunakan tayar dengan tekanan yang terlalu rendah atau terlalu tinggi kerana ia akan menjadi punca kehausan tayar yang tidak rata dan anda perlu menukar tayar dengan lebih cepat.
Perkara lain yang perlu dititikberat adalah bebenang tayar. Setiap tayar dilengkapi dengan indikator bunga-haus yang terletak di antara blok bunga. Berfungsi membantu anda memantau kehausan tayar tersebut, penunjuk ini dijarakkan secara rata dan diletakkan selari dengan alur. Sekiranya ia dilihat separas dengan penunjuk, maka sudah tiba masa untuk anda mengganti tayar baharu.
5. Bilah pengelap
Pengelap cermin hadapan yang berfungsi dengan baik akan dapat memastikan keselamatan anda di jalan raya. Semakin kerap kita menggunakannya, ia akan secara beransur-ansur menjadi keras dan merekah, menyebabkan terdapat garis-garis yang akan mengaburi penglihatan ketika memandu. Untuk mengetahui sama ada bilah pengelap anda berfungsi dengan baik, anda boleh hidupkan fungsi pengelap, sebaik sahaja anda menyedari pengelap tidak memberikan sapuan yang jelas malahan meninggalkan garisan atau mengeluarkan bunyi, ini bermaksud anda perlu menukarnya sebaik sahaja tempoh PKP tamat.
Selain mengangkat bilah pengelap tersebut sekiranya kereta anda diparkir di bawah terik matahari, anda juga boleh membersihkan bilah tersebut dengan tuala lembap untuk menghilangkan kotoran atau minyak untuk memastikan ia boleh digunakan dalam tempoh masa yang lebih lama.
Itu sahaja yang dapat dikongsikan. Panduan ini dapat memastikan setiap komponen penting pada kereta anda dapat berfungsi dengan baik dan dalam pada masa yang sama untuk memastikan keselamatan anda, keluarga, serta pengguna jalan raya yang lain, tanpa mengira tempoh PKP atau pada bila-bila masa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jenama Pa&Ma sudah cukup dikenali sejak lebih 20 tahun lalu; majalah dan portal keibubapaan No.1 Malaysia.
Memahami keperluan bayi dan ibu hamil, Pa&Ma sebagai jenama besar yang cukup diyakini oleh para ibu memperkenalkan satu lagi produk terbaharunya iaitu e-Bazaar by Pa&Ma Baby Fiesta.
Setelah berjaya menganjurkan pesta barangan bayi iaitu Pa&Ma Baby Fiesta 2019, kini Nu Ideaktiv Sdn Bhd selaku penganjur pesta, mewujudkan portal reviu pertama produk jualan barangan bayi, ibu hamil dan berpantang dari seluruh pelusuk tanah air.
Budaya beli-belah atas talian kini bukan perkara asing lagi di kalangan masyarakat. Namun bagi menjadikan pembelian lebih selamat, para ibu perlu mendapatkan maklumat tepat mengenai sesuatu produk.
Berasaskan ini, e-Bazaar by Pa&Ma baby Fiesta diwujudkan. Lebih fokus dan memudahkan pencarian maklumat barangan keperluan yang dikehendaki, pelanggan boleh berhubung terus dengan para peniaga yang membuka kedai online di e-Bazaar ini bagi membuat pembelian.
E-Bazaar by Pa&Ma Baby Fiesta ini turut memainkan peranan sebagai portal reviu yang telus. Di sini para pembeli boleh meninggalkan reviu dan pengalaman sepanjang berurusan dengan pengedar barangan tersebut selain mendapat maklumat reviu daripada barisan karyawan Pa&Ma yang prihatin keperluan bayi dan ibu.
E-Bazaar by Pa&Ma Baby Fiesta mengambil pendekatan memberikan pengalaman membeli-belah di atas talian yang lebih telus, mudah dan berfokus.
Ini menjadikan pencarian barang menjadi lancar dan tersusun. Selain itu, e-Bazaar turut menawarkan promosi jualan kilat atau FLASH SALE yang bakal diadakan untuk sebarang perayaan.
Dalam masa yang sama, pelanggan turut diberi peluang menyertai pelbagai pertandingan menarik dan berpeluang memenangi pelbagai barangan bayi dan ibu. Pelanggan turut ditawarkan diskaun pembelian oleh para peniaga kami yang berdaftar.
Paling utama dan yang dicari pelanggan di e-Bazaar by Pa&Ma baby Fiesta ini ialah kepelbagaian tawaran produk keperluan asas bayi seperti lampin pakai buang, susu, penjagaan kesihatan dan kebersihan badan, produk berpantang, kemasan lembut bayi, makanan dan banyak lagi memenuhi ruangan e-Bazaar ini.
PELUANG PERNIAGAAN
Bagi para pengusaha produk barang bayi dan ibu hamil yang berminat menempah slot kedai online dalam e-Bazaar by Pa&Ma Baby Fiesta ini, anda boleh menghubungi pihak urusetia dengan segera.
Ini merupakan satu lagi pilihan platform untuk anda mempromosi dan menjual produk kepada pelanggan sasaran kerana kami akan temukan anda dengan lebih 4 juta pengunjung ke laman web Pa&Ma.
Kami juga tidak mengambil sebarang komisen atas sebarang produk yang terjual.
Namun bagi melancarkan proses pengurusan keseluruhan e-Bazaar, yuran tahunan paling minimum iaitu RM300 atau serendah 0.82 sen/hari akan dikenakan bagi urusan penyelenggaraan.
Lebih menarik lagi, kepada para peniaga yang membuka kedai online dalam e-Bazaar by Pa&Ma Baby Fiesta akan diberi tambahan 3 bulan percuma slot kedai online di e-Bazaar. E-Bazaar by Pa&Ma Baby Fiesta boleh dilayari di sini (klik).
Untuk pertanyaan lanjut berkenaan kedai online anda, sila hubungi urusetia: 019-675 3057 atau email ke event@ideaktiv.com
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam berhadapan pendemik COVID19, ramai di kalangan individu terjejas dari segi pendapatan sama ada terpaksa dipotong gaji atau elaun, cuti tanpa gaji ataupun diberhentikan kerja.
Pastinya ia memberi kesan terhadap pengurusan kewangan apatah lagi jika mempunyai keluarga untuk ditanggung. Inisiatif kerajaan mengumumkan Program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini disambut dengan rasa kelegaan khususnya bagi individu atau ahli yang menghadapi masalah kewangan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, seramai lapan juta pencarum KWSP layak untuk mengeluarkan wang mereka sehingga RM10,000. Manakala had pengeluaran i-Sinar juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 membabitkan peruntukan RM70 bilion.
Namun begitu, setiap individu harus bijak menguruskan kewangan supaya wang yang diterima dapat disalurkan atau digunakan sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan menjalani kehidupan dalam saat sukar ini. Antara perkara yang boleh diberi perhatian khusus adalah menanamkan tabiat menabung dan seterusnya melabur bagi kegunaan di masa hadapan.
Secara umumnya golongan pelabur ini terbahagi kepada beberapa kumpulan. Sebelum anda melangkah lebih jauh dalam dunia pelaburan, anda perlu tahu dalam kumpulan mana anda berada. Carilah di mana letaknya diri anda, analisis diri dan buat perancangan yang sesuai untuk anda.
PENDATANG BARU
Mereka yang berada dalam kumpulan ini adalah golongan yang baru berjinak-jinak dengan dunia pelaburan dan memiliki pengalaman melabur yang agak cetek. Kesedaran untuk mencapai matlamat kewangan menerusi tabungan dan pelaburan memang ada. Namun, dalam keghairahan membuat pelaburan, mereka ada kalanya mendapatkan panduan daripada sumber maklumat atau orang yang salah. Memulakan langkah dengan gerak yang songsang akhirnya menjuruskan diri menjadi mangsa skim penipuan. Tip:
Dapatkan panduan melabur daripada pakar atau sekurang-kurangnya mereka yang berpengalaman, misalannya daripada mereka yang berlesen. Sentiasa berhati-hati dengan peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi, terutamanya dengan kadar yang segera, jangan cepat “gelap mata”. Bersabarlah, jangan bertindak terburu-buru terutama bila wujudnya sebarang keraguan. Sebaliknya, ambil masa untuk belajar dan membuat analisis mengenai pelaburan yang bijak.
PELABUR BERWASPADA
Pelabur jenis ini akan mengelakkan diri daripada pelaburan yang berisiko tinggi. Mereka mengambil masa untuk memahami sesuatu produk. Seterusnya membuat analisis dan berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan. Pilihan pelaburan mereka adalah produk yang stabil. Mereka biasanya tidak mengharapkan pulangan yang tinggi dalam pelaburan, cukup sekadar jaminan pulangan dan dapat memelihara modal mereka. Tip:
Jangan cepat percaya dengan janji “pulangan terjamin” atau “modal terpelihara”. Telita setiap tulisan pada prospektus syarikat kerana setiap pelaburan itu pasti mempunyai risiko tersendiri. Anda perlu berhati-hati dengan tawaran yang menjanjikan pulangan terjamin yang tinggi tanpa berhadapan dengan sebarang risiko.
PELABUR PASIF
Setelah membuat pelaburan, golongan ini biasanya menyerahkan segalanya kepada mereka yang bertanggungjawab. Mereka tidak ambil peduli untuk memantau perkembangan pelaburan mereka. Segala penyata kewangan, laporan tahunan, nota kontrak dan pelbagai dokumen pelaburan yang dihantar tidak langsung diambil endah, apatah lagi untuk memfailkan sebagai rujukan akan datang. Sikap tidak acuh dan lepas tangan pelabur ini akan mengundang kesan negatif terhadap pelaburan mereka. Apabila segalanya jatuh merudum, tiada apa lagi yang dapat dibuat melainkan gigit jari. Tip:
Pantau pelaburan anda! Jangan ambil mudah dan mengharapkan agen kewangan anda semata-mata. Ianya duit anda, jadi anda perlu lebih prihatin terhadap pelaburan anda. Jangan sesekali mempunyai persepsi bahawa setiap pelaburan itu akan bergerak sendiri dengan lancar setiap masa. Sensitiviti anda terhadap keadaan pasaran dan prestasi pelaburan akan membolehkan anda menilai semula pelaburan anda terutama jika ianya tidak menguntungkan.
KAKI JUDI
Golongan ini biasanya berani mengambil risiko tinggi. Mereka mudah tertarik dengan khabar angin dan ramalan panas pasaran. Kerugian dalam pelaburan bukan satu yang menggerunkan mereka. Keuntungan cepat dan pelaburan tambah nilai adalah agenda utama dalam pelaburan. Membuat keputusan pelaburan berdasarkan instinct dan bukannya maklumat yang tepat boleh menyebabkan mereka membuat pelaburan yang salah yang akhirnya membawa kerugian yang besar. Tip:
Bergantung kepada naluri dan ramalan panas bukan cara yang bijak dalam membuat pelaburan. Anda perlu ingat keandalan fakta dan angka dalam pelaburan tidak boleh disangkal dengan khabar angin yang tidak tentu kesahihannya. Jangan salah guna keberanian anda dengan mengambil risiko menbuta tuli. Setiap maklumat yang diterima perlu disusuli dengan penilaian bernas. Fahami risiko yang bakal dihadapi dan perlengkapkan diri sebelum berhadapan dengannya.
PELABUR BIJAK
Golongan ini sentiasa memantau setiap pergerakan pelaburan mereka. Setiap keputusan dalam pelaburan yang dilakukan berdasarkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai. Keputusan mereka tidak dikuasai emosi tetapi berdasarkan penilaian tentang keburukan dan kebaikan pelaburan yang bakal dilakukan. Golongan ini sentiasa mendapatkan nasihat daripada mereka yang arif dan berlesen dalam bidang pelaburan. Peka dengan keadaan pasaran dan bersedia menukar strategi pelaburan asalkan matlamat kewangan mereka dapat dicapai. Tip:
Inilah tabiat pelabur yang berjaya. Jangan patah semangat kalau anda tidak tergolong dalam kumpulan ini. Teruskan menimba ilmu daripada mereka yang berpengalaman dan berjaya. Langkah awal penting dalam menentukan kejayaan masa hadapan. Peka terhadap pasaran dan rajinlah belajar. Pelaburan bukanlah sesusah yang disangka, bila anda sudah mendapat “tune” dunia pelaburan, segalanya akan berjalan lancar. Sikap memainkan peranan utama dalam setiap kejayaan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!