Hari ini, 18 Mac 2020 kerajaan Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan terhadap rakyat dalam usaha mencegah penularan wabak koronavirus. Langkah pencegahan tersebut berkuatkuasa sehingga 31 Mac ini yang meliputi enam aspek. Ini termasuk larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpuan di seluruh negara; sekatan
menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara; sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara; penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta; penutupan semua institusi pendidikan tinggi awam dan swasta serta penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali beberapa perkhidmatan penting negara antaranya minyak, kesihatan, penyiaran, bomba, lapangan terbang dan keselamatan.
Selain Malaysia, negara Eropah seperti Sepanyol turut melaksanakan kuarantin terhadap rakyat mereka. Begitu juga Itali yang mengambil langkah lebih drastik, lockdown memandangkan penyebaran Covid-19 yang begitu cepat dan ketara hingga menjadikan ia negara kedua tertinggi selepas China.
Bimbang dengan ancaman wabak berkenaan… selebriti antarabangsa, Jennifer Lopez turut menjalani kuarantin sendiri di rumah sebagai usaha membendung Covid-19. Bercakap kepada Elle Magazine, Jennifer Lopez atau lebih dikenali sebagai JLo menjelaskan situasi pandemik ini nyata menakutkan dirinya dan keluarga. Lebih-lebih lagi dia bakal melancarkan koleksi kasut terbaru bersama DSW.
“Sekarang kita semua terperangkap di dalam rumah. Ya, seperti orang lain saya juga menjalani kuarantin di rumah memandangkan keadaan dunia yang tidak menentu yang kian membimbangkan. Bagaimanapun, kita perlu mencari jalan untuk kekal fokus meskipun bekerja dari rumah supaya terus bersemangat untuk berjaya.”
Sepanjang kuarantin di rumah, JLo turut memastikan dia dapat menikmati masa produktif dan berkualiti bersama anak-anak iaitu Emme Maribel Muniz dan Maximilian David Muniz yang kini berusia 12 tahun. Sepasang anak kembar ini adalah hasil perkahwinan JLo bersama bekas suaminya yang juga penyanyi popular, Marc Anthony.
“Dengan situasi hari ini, bersyukurlah jika masih diberikan kesihatan yang baik. Sihat dan dapat menjalani kehidupan di rumah pun sebenarnya adalah ‘reset button’ untuk kita memperbaiki kehidupan. Jujurnya, pada saya… walau terpaksa bekerja dari rumah, saya boleh isi masa dengan membaca skrip, merancang projek terbaru, bersenam dan mempelajari rutin tarian baru.
Ini kerana, tempoh kuarantin ini jugalah adalah masa untuk kita persiapkan diri sebelum kembali aktif dengan rutin harian biasa. Jadikan masa ini sebagai persediaan untuk kerjaya yang lebih menyinar. Tak ada sesiapa pun yang mahu keadaan seperti ini berlaku tapi jika ia jalan terbaik, kita seharusnya mengambil peluang ini sebaik mungkin.”
Tambahnya lagi, “Hari ini merupakan detik yang sukar buat semua orang di seluruh dunia. Ramai yang jatuh sakit dan dijangkiti. Tapi kita harus kekal positif dan terus bekerja seperti biasa walaupun di rumah. Anak-anak saya juga terpaksa belajar di rumah biarpun baru berusia 12 tahun! Mereka belajar secara dalam talian dan saya gembira dapat sentiasa berada di samping mereka ketika ini. Bagi saya, tiada yang lebih berharga berbanding dapat meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak.”
Jadi, sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan terhadap rakyat Malaysia sepanjang dua minggu… sewajarnya kita ambil ‘kebaikan’ di sebalik tempoh kuarantin ini untuk merancang kerjaya dan kehidupan ke arah lebih baik. Jangan sia-siakan ‘peluang’ yang ada dan lebih menghargai diri semasa masih sihat. Stay safe, Malaysians and take care!
Sumber: Elle Magazine