Inilah yang dinamakan jodoh! Tak kira status mahupun pangkat, jika takdir sudah tertulis sebagai suami isteri maka terjadilah. Pendedahan ibu kepada selebriti cantik Noor Neelofa Mohd Noor, Datin Noor Kartini mengenai detik perkenalan dirinya dan suami iaitu Dato’ Abdul Halim Khan baru-baru ini nyata mengundang reaksi positif warga net.
Bersempena ulang tahun perkahwinan mereka, Datin Noor Kartini secara eksklusif berkongsi sisi peribadi tersebut dengan followers tersayang. Semuanya selepas dia mendapat pertanyaan ramai yang ingin mengetahui kisah percintaannya bersama suami tercinta. Lantas, ibu sembilan anak ini akhirnya membuka cerita di Instastory miliknya.
“Happy anniversary sayang. You are truly a blessing from Allah SWT. Terima kasih sayang atas segala kasih sayang, segala nikmat kehidupan yang kita lalui bersama. Terima kasih sayang menjadi contoh yang baik kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
Terima kasih telah menjadi suami yang pengasih, sahabat yang penyayang dan teman yang setia. Moga kita akan bersama hingga ke syurga. Amiin. Love you sayang.”
Menurut Datin Noor Kartini, dia dan suami mula berkenalan daripada seorang rakan mereka yang bergelar ‘Dato’. Pada awal perkenalan, mereka hanya berbalas pandangan ketika masing-masing berada di dalam kereta yang berasingan.
Ads
Bagaikan panahan asmara, ‘Dato’ yang memperkenalkan Datin Noor Kartini dan Dato’ Abdul Halim mengajak mereka berdua untuk keluar makan.
“Malam tu Dato’ tanya mama free tak nak ajak keluar makan. Mama pun keluar dan tiba-tiba uncle pun ada dekat situ. Lepas saja jumpa masa tu, mama terkejut sebab tiba-tiba esok lusa uncle nak kahwin dengan mama. Baru kenal 3 hari dan dia tahu mama ada anak 5 orang. Allah mudahkan jodoh kami.”
Ads
Dedah Datin Noor Kartini lagi, dia bersyukur suami menerima anak-anak dengan baik dan menyifatkan Dato’ Abdul Halim Khan seorang suami yang sangat bertanggungjawab.
“Uncle ni penuh kasih sayang dan kasih sayang dia sangat besar. Dia sangat menghormati dan menjaga mak dia. Dia jaga, menghormati dan membahagiakan mama juga. Rasanya ni asbab kejayaan uncle dalam kehidupan dia.”
Ads
Tambah ibu jelita ini lagi, sikap suami yang tidak pernah berkira dengan anak-anak membuatkan dia lebih bersyukur. Malah, suami melayan kesemua anak secara sama rata dan sebab itu dia menjadikan insan berjiwa murni berkenaan sebagai tulang belakang dalam mengusahakan bisnes.
“Dulu sebelum mama ada bisnes sebenarnya uncle dah mula bisnes. Masa tu semua family mama dia bantu yang mana tak berkemampuan. Alhamdulillah.
Mama bersyukur sangat sebab bukan senang nak cari seorang lelaki yang budiman menerima seorang ibu tunggal macam mama dan anak-anak dengan ikhlas.”
Sembilan anak Datin Noor Kartini ialah Noor Sara Dinna, Noor Nabila, Noor Neelofa, Noor Nellisa, Nur Athira, Mohamed Aqief, Nur Athisha, Nur Ameera dan Mohamed Faliq. Selain itu, Datin Noor Kartini juga merupakan usahawan Kucate, Young and Glow dan Aunty Tini Kitchen.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dari syarikat korporat ke dunia penjagaan kanak-kanak, Muhaini Mahmud akhirnya menemui kerjaya yang diimpikan. Bersandarkan sifat keibuan yang tebal, wanita jelita berusia 43 tahun ini bangkit bersama rakan kongsi, Nadira Yusoff mengasaskan Kiddocare Sdn Bhd. Misi mereka jelas, mahu membantu menangani isu pengasuh di Malaysia dan menjana pendapatan wanita yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Peramah dan menyenangkan. Begitulah personaliti Muhaini ketika pertemuan kami di program MySTEP di The Club, Bukit Utama. Tampil anggun dalam persalinan sut serba putih, Muhaini mesra menyapa penulis sambil menerangkan program latihan team Kiddocare yang sedang berlangsung waktu yang sama.
Kiddocare diasaskan dengan tujuan membantu ibu bapa yang bekerja untuk menjaga anak-anak di rumah menggunakan perkhidmatan pengasuh terlatih dan boleh dipercayai.
“Semuanya bermula apabila Nadira mendapat idea untuk mengasaskan Kiddocare. Secara kebetulan idea tercetus apabila beliau terlupa untuk mengambil anak dari taska kerana terlalu sibuk bekerja. Dia hanya menyedari perkara ini apabila guru taska menelefonnya pada lewat petang.
Saya pula seorang ibu tunggal kepada anak lelaki, Mateen Maliq yang baru berusia setahun waktu itu. Jadi saya sangat memahami keadaan ibu bekerja, terutamanya ibu tunggal yang sentiasa memikirkan anak-anak dan sama ada mereka dijaga dengan baik atau sebaliknya.
Iya, memang susah nak mengimbangi kerjaya dan komitmen dalam satu masa.
Pengasas Kiddocare, Nadira Yusoff dan Muhaini Mahmud
Muhaini mempunyai pengalaman luas dalam dunia korporat
Ibu-ibu sebenarnya menghadapi cabaran dan tekanan yang besar apabila bekerja. Mereka mempunyai komitmen tambahan terhadap pekerjaan. Tetapi apabila berlaku sesuatu yang besar berkaitan keluarga, hendak atau tidak mereka terpaksa mengambil cuti sehingga menjejaskan tugas.
Jadi berdasarkan hal ini, timbul idea penubuhan Kiddocare untuk membantu ibu bapa mendapatkan pengasuh yang boleh dipercayai untuk anak-anak mereka sewaktu bekerja.
Selain itu, masa bekerja yang fleksibel dan peluang menjana pendapatan di Kiddocare mampu memperkasakan semula wanita daripada komuniti B40 untuk menyara keluarga.
Kami juga memberi peluang pendapatan kepada wanita yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 yang lepas. Ada banyak kisah kejayaan mengenai pengasuh kami dan bagaimana Kiddocare telah mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.” Muhaini
ILMU & LATIHAN
Bercerita isu pengasuh tanpa kelayakan yang banyak menjalankan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak, Muhaini pantas menekankan pentingnya ilmu dan latihan kepada bakal pengasuh Kiddocare.
“Kami selalu memberi latihan kepada mereka melalui kursus-kursus dan mengajar kemahiran asas seperti kursus penjagaan kanak-kanak, kursus CPR & Safety serta sebagainya. Malah dalam kerja asuhan mereka pun kami akan buat pemantauan dan penilaian berterusan.
Bukan itu saja. Kami juga akan sering berbincang tentang apa yang baik dan apa yang boleh diperbaiki.
Dengan ini dapat melengkapkan kemahiran mereka bukan sahaja sebagai pengasuh, malah sebagai seorang insan kerana semua kursus ini dikendalikan oleh pakar industri yang berwibawa dan berpengalaman.” Muhaini
Tonton temu bual Nona bersama Nadira Yusoff dan Muhaini Mahmud tentang aspirasi penubuhan Kiddocare untuk ibu bapa Malaysia ni…
Menyelami sejarah kerjaya Muhaini, wanita jelita asal Kuala Lumpur ini rupanya memiliki kelulusan tinggi dan pernah bertugas di syarikat korporat terkemuka Malaysia. “Saya memiliki ijazah dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Kemudian saya melanjutkan pengajian pasca siswazah dalam Sains Aktuari di City University di London.
Kerjaya saya bermula dalam sektor korporat dan di sana saya berkhidmat kira-kira 14 tahun. Lebih lima tahun sebagai Perunding Aktuari di The Actuarial Partners dan lebih lapan tahun sebagai Pengarah Hal Ehwal Korporat di The Weststar Group. Saya banyak menimba pengalaman dan itulah yang membantu saya sehingga hari ini untuk menubuhkan Kiddocare.
Pada awal kerjaya saya ketika muda, memang menjadi kebiasaan apabila kita terbiasa mencurahkan segala usaha dan tumpuan kepada kerja supaya boleh mencapai standard hidup yang lebih baik dan maklum jugalah, sektor korporat ini memang penuh dengan cabaran, tekanan dan kerja yang tak habis-habis jadi saya mempunyai jadual kerja yang sangat sibuk dan padat ketika itu.”
****************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
****************
KEIBUAN
Menjadikan masa bersama si kecil sebagai momen ‘me time’ dan cara menghilangkan stres, Muhaini kebiasaannya suka melancong atau bersantai di rumah dengan anakanda tersayang.
“Selain itu, saya suka melakukan aktiviti fizikal seperti berlari, berbasikal, ‘personal training’ di gym dan bermain golf apabila kerana saya percaya senaman itu bukan sahaja penting untuk tubuh dan kesihatan kita, malah ia berfungsi sebagai penghilang stres. Bila saya melakukan aktiviti-aktiviti tersebut, saya rasa seperti bebanan kerja dan hidup saya teralih sementara.”
Muhaini juga bijak mengagihkan tugas di Kiddocare di antara sesama rakan kongsi. Katanya, mereka akan melihat kepada minat, kecenderungan dan kemahiran masing-masing dalam bisnes.
Muhaini Mahmud
Nadira Yusoff
Misalnya, jika ada sesi bersama pelabur, mungkin yang lebih mahir bercakap dan bersosial akan lebih ‘ke depan’ dan jika ada promosi yang perlu dilakukan melalui laman web atau media sosial pula, yang lebih mahir menulis atau mereka bentuk bahan promosi akan melakukan tugas ini.
“Tetapi apa pun tugas kami berdua, kami sentiasa membincangkan pelan tindakan kami dan kami juga akan saling memberi komen dan cadangan kepada satu sama lain. Di antara kami, ada banyak perbincangan, input dan komen yang diberikan dan kami sering menyelesaikannya bersama-sama.” Muhaini
Kini Kiddocare giat melakukan promosi untuk menarik para pelanggan seperti pakej harga murah, pemberian diskaun dan sebagainya.
Mengakhiri pertemuan, Muhaini turut berkongsi impian mereka.
“Kiddocare juga sering bergandingan dengan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, swasta dan NGO untuk mencari hubungan kerjasama dan sinergi, dan dengan memaksimumkan pengaruh pihak-pihak ini, kami dapat berkembang dan menyebarkan konsep perniagaan kami kepada jaringan audiens yang lebih besar.
Setakat ini, khidmat asuhan kami meliputi bandar-bandar besar di Malaysia tetapi kami menyasarkan supaya khidmat Kiddocare boleh dicapai di mana-mana sahaja di Malaysia. Itulah yang kami ingin usahakan.
Dalam pada itu, kami juga memasang niat untuk berkembang ke negara-negara jiran juga kerana konsep perniagaan kami yang unik ini saya rasa ada potensi untuk dimajukan sebagai suatu konsep yang boleh mengubah dan memodenkan industri jagaan kanak-kanak.
Seperti di Malaysia, saya yakin negara-negara jiran yang lain juga ada potensi yang besar untuk kami ke sana.
Selain meluaskan perniagaan, kami akan sentiasa mencari peluang untuk menambah baik lagi model perniagaan semasa kami supaya tidak ketinggalan dan dapat memenuhi kehendak pelanggan kami yang sedia ada dan juga menarik lebih ramai lagi pelanggan yang baharu.” Muhaini
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Foto: Nor Yanti Shaharudin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Jelas kelihatan wajah kegembiraan Datuk Chef Wan dan team De.Wan 1958 di sosial media apabila di beri peluang buat kali kedua untuk menyediakan hidangan enak sempena meraikan ulang tahun perkahwinan Negarawan ulung Tun Dr. Mahathir dan Tun Siti Hasmah. Tentunya momen-momen ini akan menjadi kenangan terindah selamanya.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir meraikan 64 tahun anniversary perkahwinan dan alhamdulillah dalam usia 90an, pasangan ini di beri kesihatan yang baik. Majlis sederhana tetapi elegan telah diraikan bersama anak-anak dan cucu tersayang.
“Saya dan my team De.Wan sangat teruja, bertuah dan gembira diberi peluang ini. Ianya satu kenangan terindah kerana bukan semua berpeluang di beri kesempatan ini, syukur alhamdulillah. Tun dan keluarga sangat suka makanan dari De.Wan. Tun selalu cakap dengan saya, ‘Saya suka makanan Chef Wan ni sebab setiap dish itu mempunyai rasa yang berlainan dan sangat sedap’. Flavour is there, tidak terlampau pedas atau manis. Tun tidak suka makanan yang banyak sangat lemak, Tun suka yang masakan ringan seperti bakar-bakar.
Malam tu kita hidangkan udang galah segar yang di bakar, Tun sangat suka cicah bersama sos. Tun tidak makan ikan tetapi kami sediakan juga buat anak-anak dan cucu. Walaupun Tun bukan seorang yang suka makan banyak, tetapi dia akan menikmati semua makanan itu sikit-sikit. Hidangan lain yang menjadi kegemaran Tun, kerabu pucuk paku, pomelo dan kuzi kambing. Turut dihidangkan rendang dan gulai udang nenas.
Pencuci mulut, Tun Dr. Mahathir dan Tun Siti Hasmah sangat suka Bubur Som Som yang tidak terlalu manis, kita hanya letak sedikit gula sahaja. Alhamdulillah, persediaan makanan untuk majlis ini tidaklah terlalu sukar kerana kami sudah biasa dan bukan sesuatu yang baru. Keluarga Tun pula selalunya travel ke sana-sini dan kerap kali dihidangkan dengan makanan western. Jadi kalau ke restoran De.Wan mereka sangat gembira untuk menikmati hidangan Melayu yang berkualiti,” jelas Datuk Chef Wan.
Sambil menikmati hidangan enak dari De.Wan 1958, pasangan kesayangan rakyat Malaysia ini turut teruja menikmati pemandangan indah kota metropolitan Kuala Lumpur berlatar belakangkan kemegahan bangunan KLCC. Tentu sahaja merupakan salah satu seni bina kebanggaan buat Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah.
“Saya ingin berkongsi sedikit buat semua, sewaktu kami bertiga sama-sama berdiri melihat Menara KLCC, saya berkata kepada Tun… Kalau dulu ramai yang menunding jari mengutuk Tun dan mungkin hari ini masih ada juga, mengata membazir buat bangunan ini, KLIA, Cyberja dan Putrajaya. Tetapi inilah mercu tanda negara yang kita semua sentiasa bangga malah bukan kita sahaja, seluruh dunia. Saya bangga sebagai rakyat Malaysia dengan apa yang telah Tun laksanakan. Saya percaya, semua ini adalah tanda ingatan buat generasi kita seterusnya, pengorbanan Tun kepada negara Malaysia.
Tun senyum dan pusing kepada saya dan berkata, ‘Tapi saya bukan lagi Perdana Menteri Malaysia Chef Wan!’ Saya menjawab, ‘Tak mengapa Tun, sekarang masanya buat Tun berehat. Walaupun Tun bukan lagi Perdana Menteri tetapi percayalah ramai rakyat Malaysia selalu fikir Tun adalah Perdana Menteri Malaysia terbaik di hati kami semua…”
Pesanan terbaik Tun Dr. Mahathir buat Datuk Chef Wan, “Chef Wan tolonglah memartabatkan makanan Melayu di mata luar dan bantulah chef-chef lain untuk turut berjaya seperti Chef Wan. Tun juga ingatkan saya, kalau masak makanan berkhasiat dan jangan makan berlebihan untuk menjaga kesihatan kita. Kalau pergi ke sekolah-sekolah, tolonglah nasihat anak-anak kita jangan ada sikap malas, perlu sentiasa berusaha dan perlu bekerja keras. Saya percaya, Chef Wan adalah yang terbaik untuk menasihat generasi muda ini seperti mana seorang bapa menasihati anaknya.”
Ucapan Datuk Chef Wan buat pasangan romantis ini, “Happy Anniversary buat Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah. Pasangan ini menjadi contoh terbaik kepada semua rakyat Malaysia. Walaupun dalam keadaan rutin hidup yang sibuk tetapi mereka telah membesarkan anak-anak dengan baik dan berjaya. Saya dapat lihat kekuatan kasih sayang dalam keluarga ini sangat erat, alhamdulillah. Semoga perkahwinan terus kekal bahagia sepanjang hayat mereka.”
Senyum itu mungkin tidak seghairah dulu lagi, jika terukir sekalipun hanya untuk memberi kebahagiaan kepada suami dan anak-anak. Gerak gaya tidak lagi selincah, mata layu biarpun jernih mutiara tidak mampu ditumpahkan lagi. Dugaan ini sememangnya telah ditakdirkan terjadi malah diri sendiri redha menerimanya, namun di sebalik ketabahan itu sukar di padam rasa hiba yang amat jauh di pendam. Dalam sekelip mata sebahagian dari aset milik insan bernama wanita telah tiada…
Dalam suasana hening senja sunyi dan sayu, dua belah tapak tangan memohon doa dari yang Esa… “Ya Allah ku mohon pada Mu, berilah kekuatan yang ada pada Mu buat hamba mu ini…”
Ini luahan rasa serorang wanita hebat melawan derita kanser….
Tanggal 2 Februari 2018 terjaga dari mimpi indah yang membuai tidur nyenyak, Azian terasa bagai ada biji pertumbuhan di bahagian dada sebelah kanan. “Saya dan suami terus pergi membuat pemeriksaan di sebuah pusat perubatan terkenal Kuala Lumpur, namun dari jam 11 pagi hingga 7 malam tiada apa yang dapat dikesan. Malah saya dinasihatkan untuk mendapat khidmat pakar lain. Saya dan suami membuat keputusan untuk berjumpa pakar sakit puan yang terkenal di Bukit Damansara. Dengan sekilas rawatan doktor mengesahkan adanya pertumbuhan biasa, bayangkan pertumbuhan dari besar biji guli telah menjadi sebesar telur penyu. Keesokan harinya saya terus menjalani pembedahan. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan selamat,” cerita Azian mengimbas kembali detik permulaan dugaan hidupnya bermula. Namun ujian ini mampu dilalui dengan tenang dan penuh kesabaran.
Selepas dua bulan pulang dari percutian bersama keluarga, Azian kembali terasa seperti ada benda terkeluar di kulit pada bahagian dada. Sekali lagi beliau menjalani pembedahan membuang ketumbuhan. Setiap kali rawatan yang dilalui, semuanya di bawa ke lab untuk dikenal pasti penyakit sebenar. Tiba pada saat dan ketikanya, Azian yang telah selesai menjalani pembedahan kali kedua pulang ke rumah dan selang beberapa hari beliau menerima panggilan dari Dr. Habibah dalam nada suara lembut… “Azian, I have bad news!”
Dalam perjalanan ke hospital Azian tidak berhenti terus berdoa untuk kuatkan semangatnya menerima apa sahaja yang bakal di dengar nanti. Salam disambut penuh mesra, hubungan yang rapat antara Azian dan Dr. Habibah membuatkan dirinya cukup selesa. Namun kehadiran Azian seorang diri membuatkan doktor terkejut dan menyuruh beliau menunggu kehadiran suaminya, Ahmad Dani terlebih dahulu yang terpaksa menghadiri temu janji penting. Selepas dua jam menanti, suami tiba dan doktor mula berbicara bahawa Azian mengidap kanser payudara tahap pertama.
“Saya masih berada dalam keadaan tenang ketika itu, mungkin kerana berkat doa yang tidak berhenti serta kehadiran suami di sisi. Lalu saya dipertemukan dengan seorang kaunselor untuk mendapat khidmat nasihat serta maklumat penuh mengenai penyakit ini. Katanya saya boleh melakukan pembedahan tersebut dengan membuang sedikit sahaja bahagian kanser kerana masih di tahap pertama. Tetapi dengan persetujuan suami 100 peratus bersetuju membenarkan saya terus membuang sebelah buah dada demi untuk kesihatan,” ujar Azian sambil diperhatikan suami tercinta.
“Saya redha dengan ketentuan yang telah diberikan. Malah nasib saya ini juga sama keadaan ibu yang turut meninggal disebabkan kanser beberapa tahun yang lalu. Bila saya terlihat suami yang cuba menyembunyikan diri dari menitis air mata di hadapan saya, keadaan itu menjadikan saya lebih bersemangat untuk terus hidup lebih lama dengannya. Kerana itu saya bersetuju untuk melakukan pembedahan secepat mungkin.” Azian turut mendapat khidmat nasihat dari sahabat baiknya untuk terus kuatkan semangat, redha dengan ketentuan Illahi, ikut setiap cakap doktor dan banyak membaca al-Quran.
Sebelum menjalani pembedahan major kanser payudara, tidak putus-putus Azian memohon dari Nya…“Ya Allah ku mohon pada Mu, berilah kekuatan yang ada pada Mu buat hamba mu ini…Tuhan tolong panjangkan umur ku… ku mohon pada Mu jangan di ambil nyawa ku… berilah aku peluang untuk terus hidup bersama suami dan anak-anak lagi kerana ku rasa mereka masih memerlukan diri ku. Ampunilah segala dosa-dosa ku… Aku memohon ampun dan maaf atas sebarang kesilapan ku dari hari pertama ku di ijab kabul sebagai isteri sehingga sekarang. Sesungguhnya jua ku menghalalkan air susu yang anak ku minum dari hari pertama mereka melihat dunia…” jelas Azian dengan linangan air mata buka berkecai jatuh di pipinya. Hanya beliau sahaja yang tahu betapa kencangnya degupan jantung ketika itu. Tidak terlepas juga Azian memohon maaf pada suami dengan harapan jika apa-apa berlaku jagalah anak-anaknya sebaik mungkin.
Gambar: Hiasan
Bila tersedar, bait-bait pertama yang terdengar “Sayang, I’m with you… Alhamdulillah semuanya selamat” lalu Azian terus terlena menyambung kepenatannya mengharungi pembedahan utama. “Doktor menyarankan pada saya jika ingin membuat implan pada buah dada yang di buang, namun suami berkata jika you sudah redha semuanya biarlah dan I terima you seadanya. Saya mengambil keputusan untuk biarkan sebegini sahaja keadaannya. Namun dalam kekuatan itu saya akur menitis air mata terutama bila waktu magrib dan insyak menjelma, suasana sunyi dan sepi itu cukup menghibakan saya.”
Selepas empat hari, Azian dibenarkan pulang dan mulalah satu lagi proses yang menguji kekuatan semangatnya. Azian berlepas bersama suami untuk mendapatkan rawatan kimo empat kali di Singapura. “Sekali lagi kekuatan saya diuji, selepas menjalani rawatan kimo rambut saya mula gugur, muntah dan lemah badan. Bila saya melihat wajah di cermin, bukan lagi rupa Azian yang dulu tembam dan berisi. Rambut semakin gugur membuatkan saya empat kali potong rambut kerana tidak sanggup melihatnya gugur setiap hari. Namun setiap kali saya turun makan bersama keluarga saya akan pastikan diri ini berhias dengan menarik agar semua anggota keluarga melihat diri ini ceria dan cantik. Sakit atau tertekan biarlah saya menanggungnya sendiri.
Suami menjaga saya dengan penuh kasih sayang, mandikan saya, menyisir rambut yang semakin gugur setiap hari dan sebagainya. Tidak terlepas untuk masakkan saya sayur bayam, jus buah-buahan, kacang hijau dan mengingatkan saya untuk makan ubat. Sehinggalah sekarang rutin itu terus dilakukan oleh suami, saya cukup menghargainya. Keadaan inilah yang membuatkan saya tersentuh mengenang pengorbanan suami dan dia sanggup menerima saya seadanya.”
Suami pernah berkata, “Bagi saya yesterday is history and future is mystery. Happiness is more important! Saya sayangkan isteri dan anak-anak lebih dari segala-galanya, mereka adalah sinar dalam hidup saya. Saya tidak boleh lemah, jika saya pun lemah bagaimana pula isteri saya yang menanggungnya.” Demikianlah utuhnya kasih sayang yang terjalin antara pasangan suami isteri ini.
Alhamdulillahn Azian, selesai menjalani rawatan kimo empat kali. “Selepas selesai ujian kimo ini bukanlah bererti saya telah sembuh dan selamat dari semuanya. Saya perlu terus berhati-hati dan sediakan payung sebelum hujan. Saya berhajat, jika semua berjalan lancar saya dan suami ingin ke rumah pesakit kanser kanak-kanak atau orang tua untuk berkongsi cerita dan memberi mereka kekuatan berjuang dalam meneruskan kehidupan.”
Dua tahun sudah berlalu, hari ini suami hadir di hadapan Azian untuk memberitahu keinginan beliau berkahwin satu lagi. Ada anak dara berusia 25 tahun sedang menanti, cantik dan sempurna segalanya. “Ketika itu, saya tunduk melihat kekurangan diri ini seketika, kemudian saya hanya mampu tersenyum sempit padanya. Saya cuba mengumpul segala kekuatan untuk tidak melepaskan rasa kecewa dan sedih pada suami. Saya hanya mampu berkata, ‘Baiklah saya bersetuju hidup bermadu jika itu bisa membahagiakan you…’ Suami mencium tangan saya, lalu menitis air mata.”
Gambar: Hiasan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!