Berita lelaki terkaya dunia tamatkan status duda jadi perhatian, majlis perkahwinan Pengasas Amazon, Jeff Bezos dengan tunangnya Lauren Sanchez bakal berlangsung di Venice, Itali hujung bulan nanti.
Destinasi romantik Venice bakal menjadi pentas cinta agung dua insan berpengaruh dunia, Jeff Bezos dan Lauren Sanchez menjelang 24 hingga 26 Jun 2025. Tatkala dunia menjangka pesta mewah, pasangan ini memilih sebaliknya. Dikatakan majlis penyatuan cinta mereka akan lebih bersifat peribadi, tenang dan sangat bersahaja.
Menurut sumber eksklusif kepada US Weekly, Lauren Sanchez bakal mengenakan busana khas couture rekaan Dolce & Gabbana sepanjang majlis yang berlangsung selama beberapa hari.
Wanita yang kini berusia 55 tahun itu merupakan seorang filantropi, wartawan Amerika dan penerima anugerah Emmy serta juruterbang berlesen, selain memiliki perniagaan sendiri.
Menurut sumber, majlis perkahwinan ini dikatakan bernilai hampir RM60 juta (bersamaan kira-kira £10 juta) namun bagi Bezos yang memiliki kekayaan RM1.034 trilion (bersamaan $220 bilion), angka itu cuma setitis dari lautan harta yang dimiliki lelaki terkaya dunia itu.
Bahkan kos itu dilihat jauh lebih rendah daripada perbelanjaan tahunan lelaki berusia 61 tahun itu untuk menyelenggara kapal layar mewah bernama Koru iaitu sebanyak RM159.8 juta setahun (bersamaan $34 juta), miliknya.
SuperyachtSuperyacht
Fakta Menarik Tentang Kapal Layar Koru Milik Jeff Bezos
1.Kapal Layar Berharga RM2.35 Bilion
– Harga anggaran: $500 juta (~RM2.35 bilion)
– Panjang: 410 kaki
– Kos penyelenggaraan tahunan dianggarkan sekitar $30 juta (~RM141 juta)
2. Rekaan Klasik & Eksklusif
– Mempunyai badan kapal berwarna biru navy
– Dilengkapi tiga tiang layar tinggi menjulang
– Direka dengan gaya klasik abad ke-19, termasuk wooden figurehead di haluan kapal
Ads
3. Kapal Layar Terbesar Dunia
– Mengatasi Sailing Yacht A dari segi struktur dan fungsi belayar sebenar
– Tiga tiangnya memberi siluet yang unik dan prestasi belayar tulen
4. Penggunaan Tenaga Lebih Hijau
– Dibina untuk bergantung secara signifikan kepada sistem layar
– Dikhabarkan mempunyai teknologi pemulihan tenaga kinetik
– Menjadikannya lebih lestari berbanding kapal layar motor biasa
5. Vesel Sokongan ‘Abeona’
– Panjang 250 kaki
– Dilengkapi helipad dan hangar
– Membawa bekalan tambahan, permainan air, dan kru sokongan
– Menyokong operasi dan pengembaraan mewah Koru di laut terbuka
Ads
6. Pembinaan Secara Rahsia
– Dibina oleh limbungan kapal terkenal di Belanda, Oceanco
– Mula dipesan pada tahun 2018 di bawah nama kod Project Y721
– Hanya diserahkan kepada Bezos secara rasmi pada tahun 2023
7. Makna Koru
– Diambil daripada perkataan Maori yang bermaksud ‘gelung’ atau ‘lingkaran’
– Melambangkan permulaan baru, sangat simbolik buat fasa baharu hidup Bezos
Dari Kapal Layar ke Kota Cinta
Ads
Berita lelaki terkaya dunia tamatkan status duda jadi perhatian, majlis perkahwinan Pengasas Amazon, Jeff Bezos dengan tunangnya Lauren Sanchez bakal berlangsung di Venice, Itali hujung bulan nanti.
Seperti apakah majlis perkahwinan ini bakal dilangsungkan? Sumber menjelaskan bahawa kapal layar Koru akan berlabuh di San Basilio berdekatan pusat kota Venice. Di sinilah juga terletaknya Hotel Cipriani, lokasi penginapan para tetamu elit.
Pasangan mempelai dijangka tinggal di atas Koru bersama keluarga terdekat, manakala tetamu lain termasuk selebriti akan mendiami suite mewah di Cipriani dan Aman Canal Grande, sebuah lokasi romantik tempat George Clooney dan Amal pernah mengikat janji.
Antara tetamu yang dikhabarkan bakal menghadiri majlis perkahwinan lelaki terkaya dunia tersebut termasuklah selebriti terkenal seperti Katy Perry, Kim Kardashian, Kris Jenner dan Eva Longoria yang kesemuanya dilihat menghadiri sambutan hujung minggu bujang Lauren Sánchez baru-baru ini di Paris.
Namun bintang sebenar dalam kalangan tetamu bukanlah golongan ternama Hollywood. Sebaliknya, ia adalah ibu Bezos, Jackie, yang melahirkan beliau ketika usia baru 17 tahun, dan ayah angkatnya, Mike Bezos — insan luar biasa yang sanggup menggadai seluruh simpanan hidup mereka sebanyak RM1.15 juta (bersamaan $245,000) demi membantu anaknya membina impian yang kini menjadi empayar.
Tiada kad jemputan mewah atau emel rasmi yang dihantar. Segalanya berlangsung secara rahsia, bagai bisikan angin di antara dinding-dinding batu Venice yang berusia berabad lamanya.
Fondazione Cini di Pulau San Giorgio Maggiore dikatakan menjadi lokasi utama perkahwinan, sebuah biara indah yang sunyi dari hiruk-pikuk pelancong setiap hari Rabu, termasuk pada tarikh dijangka berlangsungnya majlis — 25 Jun. Ia pernah menjadi lokasi Sidang Kemuncak G7, menjanjikan keselamatan dan privasi tanpa kompromi.
Hotel Cipriani telah ditempah keseluruhan 79 biliknya dari 24 hingga 26 Jun, dengan satu malam di suite musim puncak mencecah RM120,000 semalam (bersamaan £20,000). Di sinilah juga terletaknya Taman Casanova yang terkenal dengan kisah-kisah asmara klasik, kini menjadi saksi kepada cinta moden yang tidak kurang menggetarkan rasa.
Perkahwinan ini bukan sekadar majlis. Ia adalah puisi yang ditulis dengan harapan dan kenangan. Dalam dunia penuh kepura-puraan, Jeff dan Lauren memilih keindahan yang tenang, dalam dan bererti. Di tengah kota cinta, dua jiwa bakal disatukan, bukan dengan gemerlapan berlebihan, tetapi dengan kemegahan hati yang saling melengkapi.
Berita pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub menhadap Ilahi sekitar minggu lepas masih lagi dirasai oleh pengikut termasuk setiap ahli keluarga terutama isteri dan anak-anak beliau.
Antara yang paling terkesan sudah semestinya anak perempuan allahyarham, Fatihah Salahuddin. Terbaru di platform Facebooknya, Fatihah dan keluarga masih lagi dalam proses menerima hakikat yang ‘hero’ kesayangan mereka sudah tiada.
Meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, selepas ditidurkan susulan pembedahan akibat pendarahan otak, Timbalan Presiden AMANAH itu meninggalkan isteri, Datin Seri Fatimah Taha, dan enam anak iaitu empat lelaki dan dua perempuan.
Sejujurnya kami masih dalam ‘processing’ atas pemergiannya. Terasa seperti ayah hanya keluar bekerja, cuma bezanya ayah sudah tidak pulang. Al-Fatihah buat ayah,” tulisnya.
Menyingkap memori yang hanya tinggal kenangan, Fatihah yang juga seorang peguam turut menyatakan dia mempunyai persamaan dengan arwah bapanya iaitu lemah dalam mata pelajaran Matematik sewaktu di bangku sekolah.
Pun begitu, kehidupan alam persekolahannya seimbang kerana bertuah mempunyai seorang ibu yang tegas dalam membimbing mereka adik-beradik selain menjadi ‘cikgu Matematik’ di rumah.
“Alhamdulillah, masa SPM saya dapat 6A, 3B. Math saya dapat B. Ayah juga sebenarnya agak lemah dalam matematik. Menurut abang saya, saya mempunyai otak ayah. Mak saya pula pandai matematik dan seorang yang kreatif. Dulu kalau buat latihan matematik dengan mak tak sah kalau saya tak nangis,” tulisnya lagi.
Selain itu, Fatihah yang memiliki firma guaman sendiri malah pernah menjadi Pegawai Khas kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof turut menyatakan dia mewarisi bakat kepetahan berbicara berada di hadapan orang ramai dari bapanya.
Kelebihan itu mula disedari Fatihah sewaktu menyertai kelas pengucapan awam (public speaking) yang pada asalnya dipilih kerana kurang menggemari kokurikulum jenis aktiviti lasak di universiti.
Fatihah juga sudah terbabit dalam Wanita Muda Amanah (WARDA) juga mengakui memerhati dan mengamati bahasa tubuh bapanya ketika sedang memberi ceramah sewaktu kecil dahulu. Malah, impiannya untuk sepentas memberi ceramah bersama arwah bapanya menjadi kenyataan sewaktu musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Simpang Jeram tempoh hari.
Bukan itu sahaja, peguam syarie ini sempat berpidato beberapa kali di hadapan arwah bapanya sepanjang menyertai Parti Amanah Negara sejak 2016.
Sementara itu, Fatihah mendedahkan dirinya masih dan sedang mempelajari kemahiran diplomasi yang dimiliki oleh arwah bapanya untuk menjadi seorang pendamai dan berjiwa besar.
“Itulah kualiti saya idamkan daripada ayah. Dengan kualiti itulah membuatkan ayah disenangi kawan dan lawan sehingga hujung nyawanya,” coretnya menerusi hantaran di Facebook.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diberi peluang berada di atas pentas bersama wakil dari seluruh dunia membuatkan Kimi Tomas bersemangat untuk meneruskan impiannya sehingga dinobatkan ‘Mrs Global Asian 2023’ yang berlangsung di Melaka pada Mac lalu.
Memetik perkongsian di Utusan Borneo Online, wanita berusia 35 tahun ini turut memenangi ‘Best National Costume’ serta tiga tempat teratas bagi kategori ‘Darling of the Crowd’.
“Pertandingan edisi pertama ini disertai 22 delegasi dari sembilan negara sudah pasti membuatkan saya teruja, apatah lagi mewakili Sarawak, sekali gus wakil dari Borneo.
“Ini merupakan satu pencapaian terbesar dalam hidup, sudah pasti saya amat berterima kasih kepada keluarga, sahabat handai serta mereka yang menyokong dan kata-kata semangat buat saya sejak dari mula hingga akhir pertandingan,” katanya.
Kimi yang menetap dan bekerja di Kuala Lumpur turut berterima kasih kepada Tiara Management & Leading Management yang diasaskan Leo Raynold yang juga dari Sarawak dan Nickson Sim kerana memberi peluang untuknya menyerlah dalam pertandingan tersebut.
Malah, Kimi bertuah kerana berpeluang memperagakan gaun malam dan kostum tradisional yang direka khas pereka Sarawak Gilbert Headhunter.
Menerusi pencapaiannya itu, Kimi mahu semangat yang ada padanya menjadi contoh kepada golongan wanita untuk terus bersemangat dalam menggenggam kejayaan.
Malah, kejayaan yang dicapainya itu turut membanggakan dirinya bukan sahaja sebagai seorang wanita yang mempunyai kerjaya serta berumahtangga, tetapi juga sebagai rakyat Sarawak dan mewakili masyarakat Dayak di mata dunia.
Jelas Kimi, pertandingan berprestij dunia itu memberi peluang kepada kaum wanita untuk menyerlahkan diri bukan sahaja menonjolkan peranan seorang wanita bahkan menjadi landasan untuk mewakili wanita di dunia menyuarakan pendapat serta kesedaran yang diperjuangkan.
“Sekiranya anda (wanita) diberi peluang dalam apa jua bidang atau pertandingan, lakukan yang terbaik dan semampu yang boleh. Saya yakin kejayaan itu akan menjadi milik anda.
“Jangan pernah putus asa, rezeki kita memang berbeza namun pencapaian kita pastinya indah dan membuahkan hasil bila kita bersungguh-sungguh,” UNGKAPnya.
Semoga Kimi terus sukses dan menjadi inspirasi buat seluruh wanita.
Kredit Foto: Utusan Borneo Online
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tekad yang tinggi, semangat berani dan sedikit tuah. Itulah Profesor Toh Chooi Gait, Profesor Pergigian Restoratif Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Kuala Lumpur, yang berhasil mencapai ikhtisar (resume) yang mengagumkan. Bagi beliau ia satu kebanggaan tidak ternilai yang menjadikannya orang yang tetap merendah diri. Pada Hari Wanita Sedunia kali ini, kami berbicara dengan beliau mengenai perjalanannya yang penuh inspirasi, yang dilakukan kerana beliau sukakannya.
Masa untuk keraian. Majlis separa rasmi yang dihadiri tetamu dari seluruh dunia penerima pelbagai anugerah. Antaranya, Profesor Toh Chooi Gait yang diraikan. Beliau bangga dan bersyukur atas pengiktirafan yang diberikan kepadanya iaitu Pingat Antarabangsa Fakulti Pembedahan Pergigian 2022 oleh Kolej DiRaja Pakar Bedah Edinburgh (RCSEd). Sebagai seorang felo pergigian luar negara, ia adalah satu pengiktirafan kepada sumbangan penting beliau kepada Fakulti Pergigian, kolej dan bidang pergigian secara keseluruhan.
Dikenali sebagai seorang yang ikhlas dan baik budi, maka tidak hairanlah apabila para hadirin diminta oleh Profesor Toh untuk berdiri bersamanya, lalu beliau membalas tepuk sanjungan mereka ke arah kamera siaran langsung, semasa beliau menyampaikan ucapan penerimaan pingat. “Untuk pencapaian ini, kami berterima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kemajuan peribadi dan profesional kami. Terima kasih juga kepada ahli keluarga atas kasih-sayang dan sokongan mereka.” Tepukan sanjung para hadirin bergema kuat dan berlarutan panjang di seluruh dewan, sama-sama berkongsi sentimen beliau.
Itulah saat yang tidak akan beliau lupakan, yang ternyata jauh berbeza daripada ketika perjalanan kerjaya beliau baru bermula.
Permulaan yang belum pasti
Sebagai seorang pelajar muda, Profesor Toh sentiasa cemerlang dalam pelajaran. Matlamatnya adalah menjadi seorang doktor. Walau bagaimanapun, pada tahun peperiksaan yang akan menentukan kemasukannya ke universiti, situasi peribadi menyebabkan prestasinya merosot. Namun, beliau tetap memohon tempat di Universiti Singapura (sekarang Universiti Nasional Singapura) dalam bidang perubatan. Beliau turut meletakkan jurusan pergigian, kejuruteraan dan perakaunan masing-masing sebagai pilihan kedua, ketiga dan keempat.
Tawaran pertama yang diterima beliau adalah jurusan perakaunan. Beliau melepaskan tawaran itu. Selepas itu, beliau ditawarkan tempat dalam jurusan kejuruteraan di Singapura. Sambil ketawa beliau berkata, “Saya mahu menolak tawaran itu juga!”, tetapi abang yang mendanai pengajian beliau menasihatinya untuk menerima tawaran tersebut. Profesor Toh menerima takdirnya dan hadir untuk memulakan pengajian kejuruteraan di Universiti Singapura.
Itulah titik perubahan dalam hidupnya. Beliau bertuah kerana ada pelajar yang berhenti daripada kursus pergigian pada saat-saat akhir dan itu membuka ruang untuknya. Walaupun bukan pilihan pertama iaitu perubatan, ia tetap lebih dekat dengan minatnya berbanding bidang kejuruteraan.
Tidaklah mudah baginya menerima jurusan itu, tetapi semakin beliau mempelajarinya, semakin terpesona beliau akannya. Beliau mendapat keputusan cemerlang setiap tahun dan menamatkan pengajian dengan kepujian. Profesor Toh merupakan seorang daripada 10 orang pelajar yang berjaya mencapainya sehinggakan dekan fakulti mengajak beliau menyertai universiti sebagai ahli fakulti, tetapi sekali lagi beliau menolak tawaran itu. “Nampak sangat saya memang pandai menolak tawaran,” dia bergurau.
Sebenarnya, Profesor Toh adalah seorang wanita yang tahu apa yang beliau mahukan. Pertamanya, beliau mahu bekerja di Kuala Lumpur kerana pasangannya yang kini adalah suaminya, akan berada di kotaraya itu. Kedua, beliau sedar bahawa dunia akademia adalah langkah seterusnya dalam perjalanan hidupnya kerana beliau memang mahu menjadi seorang pakar. Oleh itu beliau memerlukan latihan pasca-siswazah. “Saya tiada wang untuk meneruskan pengajian selepas mendapat ijazah tetapi saya tahu apabila berada dalam akademia, seseorang itu akan dihantar membuat latihan kepakaran,” ujar beliau jujur.
Kerana itulah Profesor Toh menyertai Fakulti Pergigian Universiti Malaya, yang merupakan fakulti pergigian pertama dalam negara. Pada tahun 1974 itu juga merupakan pertama kalinya kerajaan memansuhkan syarat perkhidmatan wajib kerajaan kepada graduan baru bidang pergigian. Beliau turut mencipta sejarah sebagai pembantu pensyarah termuda yang dilantik menyertai Universiti Malaya.
Tidak lama selepas itu, Profesor Toh terbaca iklan tawaran biasiswa Komanwel. Beliau memohon dan berjaya mendapatkan biasiswa berkenaan untuk melanjutkan pengajian pasca-siswazah di Institut Pergigian Eastman di Kolej Universiti London. “Sepanjang hidup saya ini perjalanannya bersahaja dan sudah tertulis. Saya memperolehi semua pengalaman indah yang tidak dapat dilupakan ini. Barangkali saya dilahirkan begitu bertuah atau sebenarnya ada penjaga pari-pari yang melindungi saya,” ujar beliau.
Tidak rugi apa-apa pun, malah mendapat lebih banyak lagi
Eastman adalah sebuah pusat rujukan bagi kes-kes rumit dan sukar. Peluang berada di situ adalah pendedahan tidak ternilai buat Profesor Toh. “Latihan pasca-siswazah sangat penting. Ia membuka minda. Ia mengajar kita untuk berfikir secara lateral dan mencari penyelesaian.” Selepas menamatkan program sarjana dan memperolehi kelayakan fellowship dari Kolej Pakar Perubatan dan Pakar Bedah DiRaja Glasgow dalam tempoh sembilan bulan sahaja, Profesor Toh mendapati beliau masih mempunyai masa di bawah program biasiswanya sebelum boleh pulang ke tanah air. Beliau ada terfikir untuk menduduki peperiksaan kelayakan fellowship dari Kolej DiRaja Pakar Bedah England, tetapi seorang rakan sekerja mencadangkan beliau untuk menduduki peperiksaan bagi mendapatkan Diploma Pergigian Restoratif yang baru sahaja dilancarkan Kolej DiRaja Pakar Bedah Edinburgh.
Dalam kumpulan pertama 11 pelajar, beliau mendapati hanya seorang sahaja yang lulus peperiksaan tersebut. Malah ketua jabatan pelajar itu sendiri agak skeptis dengan pencapaian tersebut. Namun, Profesor Toh nekad. “Ia satu kelayakan tambahan. Saya tak rugi apa-apa pun,” fikirnya pada waktu itu. Ternyata ia adalah peperiksaan yang paling susah pernah beliau duduki, tetapi akhirnya bersama lima orang lagi calon, beliau lulus peperiksaan itu! “Ada juga beberapa orang pensyarah kanan dari universiti lain. Salah seorang daripada mereka bahkan membawa alatan sendiri dengan segala peralatan terkini untuk digunakan semasa peperiksaan. Saya pula terpaksa menyewa peralatan!” katanya sambil tertawa.
Selepas menamatkan pengajian di UK, Profesor Toh kembali ke Universiti Malaya dan mendedikasikan 30 tahun seterusnya memperluaskan keupayaan jabatan sambil terus menjadi sosok proaktif dalam memperkembangkan bidang pergigian di Malaysia. Dalam tahun-tahun itu, beliau tidak pernah duduk diam dan sentiasa memacu ke hadapan. Antara pencapaian beliau termasuklah menjadi Presiden pengasas Persatuan Penyelidikan Pergigian Antarabangsa (IADR) Seksyen Malaysia; Presiden Persatuan Pendidikan Pergigian Asia Tenggara (SEAADE); Ahli Majlis pengasas Akademi Pergigian Estetik Malaysia; Pengerusi Jawatankuasa Peperiksaan Kelayakan Profesional Majlis Pergigian Malaysia (MDC); selain bertindak sebagai penyemak jurnal-jurnal tempatan dan antarabangsa.
Enggan Bersara
Pada tahun 2007, ketika orang lain memilih untuk bersara atau sekurang-kurangnya kekal dalam zon selesa masing-masing, Profesor Toh pula menerima panggilan dari IMU yang mempelawa beliau untuk menubuhkan fakulti pergigiannya. Fikirnya, “Ini sesuatu yang menarik. Saya boleh buat apa yang saya mahu buat selama ini tetapi dilihat terlalu pelik di universiti awam!”
Namun begitu, ia adalah satu cabaran. Beliau perlu meyakinkan ahli-ahli kanan dan rakan-rakan kongsi fakulti untuk menyokongnya dalam beberapa idea inovatif yang belum teruji dan dicuba sebelum ini. “Malahan ketika saya merangka kurikulum, rakan kongsi fakulti menyuarakan kesangsian mereka,” ujarnya. Mereka merasakan terlalu banyak perkara di dalam kurikulum tersebut yang boleh menghalang pembelajaran. Tetapi Profesor Toh meyakinkan mereka bahawa, “Ini tidaklah terlalu banyak. Inilah cara untuk membuat mereka belajar.”
“Saya beruntung kerana mempunyai kakitangan yang menghargai arah tujuan saya. Saya bawa mereka keluar dari zon selesa dengan idea-idea baharu, konsep baharu dan cara baharu melakukan kerja,” katanya. Kaedah beliau menyaksikan bilik-bilik kuliah berubah menjadi sebuah platform yang lebih berinteraktif di mana para pelajar meninggalkan tugasan poster dan menyampaikan maklumat dalam bentuk rancangan bual bicara televisyen dan dokumentari dengan mengambil kira audiens, platform media dan mesej yang mahu disampaikan.
“Kita perlu memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mahu belajar dan mengekalkan ilmu tersebut. Jika anda menjadikan maklumat itu kekal relevan dan menarik, orang akan mengingatinya sepanjang hidup mereka. Ia adalah tentang mengubah pengalaman pembelajaran anda,” katanya.
Perubahan adalah sesuatu yang dekat di hati Profesor Toh. Baginya, perubahan adalah kunci kepada kemajuan. “Tetapi ia perlulah dilakukan atas sebab-sebab yang betul, bukan kerana mengikut trend. Perubahan perlu membawa kepada kemajuan dan meningkatkan kualiti pendidikan, kehidupan atau penjagaan kesihatan,” tambah beliau.
Wanita yang Disegani
Profesor Toh sendiri merupakan seorang pemangkin perubahan dan wanita teladan yang memecahkan pelbagai jenis halangan. Tema Hari Wanita Sedunia tahun ini iaitu ‘Merangkul Kesamarataan’, begitu seiring dengan falsafah peribadi dan perjalanan kerjaya beliau.
Beliau teringat satu peristiwa pada tahun 90-an ketika dijemput untuk berucap di Korea Selatan sebagai bakal Presiden IADR Divisyen Asia Tenggara. “Mereka tidak menyangka saya seorang wanita!” katanya. Menurut Profesor Toh, kumpulan professor yang kebanyakannya lelaki itu tidak tahu bagaimana mahu berurusan dengannya dan terpaksa menghantar kakitangan lebih muda untuk berjumpa beliau. “Orang-orang muda pula datang berjumpa saya lalu memberitahu saya adalah inspirasi mereka iaitu seorang wanita boleh memegang jawatan yang berpangkat tinggi,” sambung beliau.
Peristiwa itu sudah lama berlalu tetapi Profesor Toh berkata masih belum ramai wanita yang menjadi pemimpin. “Ramai, bahkan orang perempuan pun, masih lebih suka berketuakan orang lelaki kerana mereka merasakan lebih mudah bekerja dengan bos lelaki dan kurang cerewet. Bagaimana wanita boleh bangkit jika wanita sendiri tidak menghargai dan membantu sesama sendiri?” tanya beliau.
Profesor Toh berkata pola pemikiran wanita perlu diubah, malah stereotaip dan stigma mengenai peranan wanita dan lelaki perlu dihentikan. “Kita perlu membebaskan minda. Saya sentiasa mahu menggalakkan wanita dan memberikan keyakinan kepada mereka. Wanita tahu mereka boleh bekerja keras, tetapi mereka lebih suka bekerja di belakang tabir dan tidak mahu tampil ke hadapan.”
Permata yang bersinar
Bagi Profesor Toh, beliau tidak gentar untuk melangkah maju. Walaupun senarai pencapaian cemerlang sudah berada dalam genggaman, beliau terus memikirkan bagaimana beliau boleh memberi sumbangan kepada masa hadapan pergigian.
Kini, beliau sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat luar untuk membina sebuah sistem sokongan keputusan klinikal berkomputer sepenuhnya, selain komitmen dengan IMU. Sistem tersebut akan memberi panduan kepada doktor gigi melalui soalan-soalan dan menghasilkan diagnosis beserta pilihan rawatan berdasarkan bukti dan pelan rawatan berurutan. Ia juga akan memberikan maklumat mengenai bagaimana hendak berkomunikasi dengan pesakit supaya pesakit boleh membuat keputusan bermaklumat. “Saya fikir ia sangat berguna kepada doktor gigi muda atau yang kurang pengalaman,” katanya.
Profesor Toh juga masih terus memperkenalkan falsafah pembelajaran baharu di IMU bersama-sama rakan sekerja beliau yang lain. Antaranya adalah pembelajaran berdasarkan cabaran di mana pelajar bekerja untuk menyelesaikan situasi kehidupan sebenar dalam masyarakat. Menjadi harapan beliau untuk melihat IMU menjadi sebuah universiti masyarakat di mana orang ramai dapat melihat institusi itu sebagai sebahagian daripada keseluruhan ekosistem. Berikut adalah kata-kata beliau: “Masyarakat menyumbang kepada universiti dan universiti menyumbang kepada mereka. Kita adalah rakan kongsi sebenar.”
Sesiapa pun yang mendengar kisah hidupnya sukar untuk tidak terpesona dengan sikap optimis dan proaktif Profesor Toh. Entah apa lagi yang akan beliau lakukan selepas ini, tetapi jika ditanya apakah rahsia kejayaan kerjayanya yang begitu bermakna dan produktif itu, beliau tidak akan katakan yang ia disebabkan kecekalan dan pandangan positifnya. Beliau juga tidak akan mengaitkannya dengan kecerdasan dan kemahirannya. Profesor Toh akan memberitahu anda: “Berkahwinlah dengan pasangan yang betul. Sokongan yang akan anda dapat dari orang sekeliling anda yang akan membawa anda pergi jauh ke hadapan,” ujar beliau.
Prof Toh bersama keluarganya.
Itulah Profesor Toh. Seorang wanita baik budi yang sentiasa merendah diri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kisah cinta Al Ghazali dan Alyssa Daguise sememangnya menarik perhatian ramai. Dari pertemuan pertama sehinggalah akhirnya mereka memutuskan untuk berkahwin, ramai yang ingin tahu...