
Kulit yang berminyak kadang kala menjadi masalah ketika bersolek. Ia boleh menjejaskan solekan serta mudah luntur. Namun begitu, usah jadikannya sebagai halangan untuk anda tampil berseri. Ikuti 5 cara berikut.
CUCI MUKA SEHINGGA BERSIH
Perkara pertama sekali perlu anda buat jika kulit berminyak. Cuci muka sebersih-bersihnya sebelum memulakan solekan. Jika kurang bersih kulit akan mudah berjerawat kerana kulit berminyak mudah bertindak balas dengan kotoran yang melekat di wajah. Gunakan pemersih muka yang sesuai agar kulit tidak terlalu kering.
GUNAKAN PRIMER
Menggunakan primer sebagai asas membantu solekan tahan lebih lama. Kawasan berminyak seperti zon T (dahi, hidung dan dagu) tidak kelihatan berkilat. Gunakan produk berasaskan bebas minyak khususnya primer, bedak asas, bedak dan pemerah pipi.
PRIMER KHUSUS UNTUK MATA
Ada yang menggunakan concealer bagi menutup lingkaran hitam bawah mata. Namun disarankan agar menghindari concealer di sekitar kelopak mata. Sebaiknya gunakan primer yang dirancang khas untuk mata agar pembayang mata dapat melekat dengan sempurna dan mampu menyerap minyak di kelopak mata.
KURANGKAN PENGGUNAAN BEDAK TABUR
Jika bedak tabur digunakan secara berlebihan dengan harapan minyak di wajah berkurang itu adalah cara yang salah. Ini kerana ia akan membuatkan pori-pori kulit menghasilkan minyak lebih banyak. Maka, gunakan bedak tabur hanya di sekitar yang berkilat atau berminyak. Gunakan jenis berformula matte translucent yang dapat menghilangkan minyak pada semua warna kulit.
KERTAS MINYAK
Sentiasa sediakan kertas minyak yang dapat menyerap minyak berlebihan di wajah. Tekan perlahan kertas minyak di kawasan berminyak saja, bukan dengan cara menggosok-gosok pada kulit wajah. Lakukan dengan cara yang betul.
Mencari Produk Terbaik Di Pasaran? Ayuh Semak Himpunan PRODUK KECANTIKAN TERBARU Dalam Bulan September Ini

Perkembangan inovasi produk penjagaan kulit membuat mata rambang melihatnya. Tak tahu nak pilih yang mana satu. Jenama kecantikan berlumba-lumba memberi yang terbaik dan menyediakan manfaat maksimum demi kecantikan wanita.
Wanita sekarang lebih prihatin tentang kecantikan dan mendambakan produk yang mudah dan berkesan. Ayuh, tengok apa yang terbaru di pasaran.
(a) EUCERIN® AQUAPORIN MIST SPRAY
Jadual kerja yang padat ditambah pula dengan stres menghadapi deadline menjadi punca kulit kusam dan tidak bermaya. Eucerin® memperkenalkan Aquaporin Mist Spray dengan manfaat 10 dalam 1 melalui formulasi unik dan berkesan untuk meningkatkan penghidratan kulit sebanyak 30 kali ganda.
Selain itu ia juga berfungsi untuk mengunci kelembapan agar kulit tampil muda dan licin. Bahan utama, Hyaluronic Acid, berupaya memastikan kulit kekal hidrat lebih lama dan mengunci kapasiti air di atas permukaan kulit wajah agar dapat memberikan kelembapan yang berpanjangan. Hyaluronic Acid juga mengandungi manfaat anti-penuaan yang dapat mengurangkan kemunculan garis halus dan kedutan.
(b) BOTANIST BOTANICAL TREATMENT
Kecantikan rambut perlu diperhalusi kerana boleh mencipta masalah seperti keguguran, rapuh dan kelemumur. Setiap wanita perlu lebih teliti memilih syampu dan perapi rambut biar bertepatan dengan jenis rambut dan masalah yang dihadapi.
Rangkaian produk penjagaan rambut dari Jepun yang terkenal memelihara keindahan rambut sekali gus mengekalkan kecantikannya melalui Botanist hadir dengan formulasi terunggul. Setiap satunya dicipta dengan penuh teliti dan bahan yang terpilih agar menyempurnakan kecantikan rambut sebenar. Botanical Treatment menyuntik lembapan pada akar rambut sehingga ke hujungnya. Rambut pasti akan sihat dan bersinar secara semula jadi.
(c) GOLD RUSH PARIS HILTON
Bintang terkenal Hollywood Paris Hilton sekali lagi memperkenalkan rangkaian terbaru koleksi wangiannya, Gold Rush. Wangian penuh dengan nilai feminin dan sukar dilepaskan ini menyalur refleksi aura Hollywood yang glamor dan klasik.
Hadir dengan bauan oriental bersama wangian buah-buahan sitrus menyuntik aroma yang segar. Menggabungkan nilai mewah dan feminin melalui nota manis vanila, praline dan cashmere woods. Aroma yang menyengat rongga hidung menyemarakkan rasa kewanitaan yang dipersembahkan melalui potongan botol yang dihias indah.
(d) SHISEIDO PERFECT UV PROTECTOR & BB FOR SPORTS
Kunci untuk kulit yang sihat dan cantik adalah dengan melindungi kulit daripada sinar matahari yang berbahaya. Sapu krim tabir suria setiap kali sebelum keluar rumah terutama wanita Asia.
Rangkaian kosmetik Shiseido telah membangunkan kuasa pelindung tabir suria yang khusus untuk membantu masalah wanita. Hadir dengan UV Protector HydroFresh SPF 50+ PA++++ yang bertekstur ringan dan tidak melekit apabila disapu atas kulit. Shiseido’s NEW BB for Sports SPF 50+ PA+++ pula didatangkan khusus buat wanita yang mementingkan kesihatan dengan bersenam di luar. Mempunyai tiga pilihan warna Light, Medium, Dark untuk variasi warna kulit berbeza.
(e) LANEIGE WATER GLOW BASE CORRECTOR
Memiliki kulit yang sihat dan berseri menjadi dambaan setiap wanita. Melalui formulasi terbaru Laneige’s Baby Blue Boosting™ berkuasa untuk memperbaiki dan memperbaharui tona kulit. Water Glow Base Corrector menghasilkan refleksi sinar biru yang memancar daripada kulit.
Malah turut menyatukan lembapan bawah kulit daripada terlepas ke udara dan meninggalkan kulit yang lembap dan lembut secara semula jadi. Boleh digunakan sebelum memulakan solekan, membuat solekan tahan lebih lama serta diperkaya dengan perlindung matahari.
(f) VERBENA FRESH SHOWER GEL
Cuaca yang panas dan lembap membuat kulit tidak selesa dan melekit. Langkah terbaik untuk menyegarkan semula kulit adalah dengan mandi di bawah pancuran air. Keselesaan berganda apabila tubuh diaplikasi dengan rangkaian L’Occitane’s New Limited Edition Classic Verbena Fresh Shower Gel.
Gel mandian bersama menthol ini membersih kulit dalam masa yang sama menyuntik kesegaran maksmimum. Diperkaya dengan bahan ekstrak verbena organic, menghasilkan haruman segar berpanjangan.
(g) MELVITA BOURBON GERANIUM FLORAL WATER
Hampir 70 peratus kandungan dalam tubuh adalah air. Kehilangan air yang banyak dalam tubuh akan membuatkan kulit kering dan mudah lesu. Melvita Floral Water ini direka khusus untuk membantu wanita hidrat kulit dan menyediakan kulit untuk menerima nutrisi produk yang seterusnya.
Dengan haruman bunga mawar yang segar membuat pori-pori kulit semakin mengecil, tekstur kulit semakin halus dan terlihat segar dan berseri. Boleh juga digunakan sebagai asas sebelum memulakan solekan.
(h) DIPTYQUE L’OMBRE DANS L’EAU
Haruman lembut dan segar sering memerangkap rongga hidung sehingga berpaling melihat siapakah pemilik yang berbau harum itu. L’Ombre Dans L’Eau yang membawa maksud bayang di dalam air adalah haruman wanita yang istimewa kerana menggabungkan daun Blackcurrant dan bunga ros Bulgarian.
Kedua-dua item ini diadun sempurna bersama sehingga menghasilkan haruman yang segar dan sedap dihidu. Terokai wangian daripada Diptyque’s ini yang direka indah oleh Serge Kalouguine, tukang minyak wangi yang terkenal di Perancis yang telah mengabdikan diri selama hamper 30 tahun dalan industri minyak wangi. Hamizatul Maizan Mohamed
3 Sahabat Ini Sering Kongsi Kisah Suka Duka, Sama-Sama Sukses Dalam Karier

Di kalangan wanita topik seperti kecantikan, fesyen, kesihatan dan gaya hidup sering menjadi perbualan setiap kali berjumpa dengan teman-teman baik.
Bukan saja dapat bertukar-tukar pendapat dan idea bahkan mereka juga dapat mengeratkan lagi persahabatan setelah masing-masing sibuk dengan urusan kerja.
Dr Azni, Shafira dan Azlin tiga sahabat baik yang mempunyai persamaan antaranya berkaitan fesyen dan kecantikan.
SALING KONGSI KISAH SUKA DUKA
“Selalunya kalau berjuma kami suka bercakap tentang kehidupan termasuk ketawa tentang hal-hal remeh. Ketawa sangat penting kerana ia banyak membantu saya mengatasi tekanan hidup. Selalunya kami akan jumpa pada waktu makan tengah hari atau minum petang.
Saya suka fesyen dan suka meneroka warna dan corak. Ia umpama menjadikan diri saya seperti orang baru setiap hari.” kongsi Dr Azni yang merupakan seorang pensyarah.
Bagi Shafira Dalina pula, setiap kali berjumpa biasanya mereka sama-sama berkongsi cerita dan pengalaman suka duka bagi mengeratkan hubungan mereka yang sentiasa sibuk dengan kerjaya dan kehidupan masing-masing.
“Bercakap tentang fesyen, fashion is ever-evolving. Sebelum mencuba sesuatu fesyen penting untuk seseorang itu melihat kesesuaian bentuk badan, ketinggian serta warna kulit.
Saya menggemari motif-motif yang menyerlahkan ciri-ciri wanita seperti ruffles, pleats, embellishment, renda dan sebagainya. Saya begitu menitikberatkan tentang perincian dan kualiti. Walau seringkas manapun saya sentiasa berusaha untuk menyerlahkan penampilan dengan cara tersendiri.”
Shafira Dalina Kamarudzaman merupakan Eksekutif di salah sebuah bank dan kini berusia 38 tahun.
Sementara Azlin Zulkharnain berpendapat, apa lagi yang sering dibualkan oleh golongan wanita kalau bukan gosip.
“Gosip tu sebenarnya sekadar penambah rasa saja. Takkan sepanjang masa nak kena serius saja, pasti membosankan. Kami banyak berkongsi tentang cerita, pengalaman dan saling memberi atau bertukar idea tentang sesuatu perkara.
Pandangan saya tentang fesyen ialah bagaimana seseorang mengekspresi dirinya melalui penampilan. Fesyen melambangkan karakter dan cita rasa seseorang. Tak semua trend sesuai kerana banyak faktor yang perlu dititikberatkan agar tak menjadi mangsa fesyen.”
Usahawan berusia 33 tahun ini lebih selesa memilih gaya praktikal yang bukan saja memberi keselesaan bahkan meningkatkan lagi keyakinan dirinya.
Cegah Sebelum Merebak. Elak 7 Tabiat Buruk Punca Jerawat Kian Parah & Sukar Dirawat

Mencegah jerawat bukannya mudah, lebih-lebih lagi kalau 7 tabiat buruk ini masih dilakukan. Gunalah produk paling mahal sekali pun, kalau tabiat-tabiat ini tidak ditinggalkan ia boleh mengakibatkan jerawat kian parah.
Tabiat buruk ini menjadi punca jerawat semakin berleluasa yang mungkin anda sendiri tidak pernah sedari. Jom semak 7 kebiasaan berikut yang mungkin sedang anda lakukan tanpa sedar.
MENYENTUH WAJAH DENGAN TANGAN KOTOR
Selain gemar menyentuh wajah dengan tangan kotor, apa saja yang melekat di kulit wajah seperti telefon bimbit, solekan mahupun peluh boleh menyebabkan munculnya jerawat. Sebaiknya, bersihkan secara rutin agar tidak menjadi sarang bakteria yang boleh mengakibatkan wajah semakin berjerawat.
RAMBUT YANG TIDAK DICUCI
Tidak semua orang mencuci rambut setiap hari sehingga menyebabkan rambut yang kotor melekat pada kulit wajah seterusnya menimbulkan jerawat. Cucilah rambut anda secara rutin dan sebaiknya elak menggunakan produk rambut di sekitar dahi.
MUDAH KALAH DENGAN UBAT JERAWAT
Untuk merawat jerawat memerlukan jangka masa tertentu sebelum menampakkan hasilnya. Secara normal, perubahan atau hasil tidak mungkin dapat dilihat hanya dalam masa sehari mahupun seminggu. Jangan terburu-buru untuk ganti ubat jika tak nampak hasilnya. Sesetengah ubat ada yang memakan masa selama sebulan atau lebih untuk menampakkan hasil.
TERLALU KERAP CUCI MUKA ATAU SKRUB
Boleh mengakibatkan kulit semakin sensitif dan iritasi kerana wajah mengeluarkan minyak untuk melembapkan serta melindungi wajah. Cukup sekadar mencuci dua kali sehari dengan air dan sabun yang sesuai dengan keadaan kulit. Jika berjerawat elak menggunakan skrub.
MENCUCI WAJAH DENGAN CARA YANG SALAH
Jika anda mencuci wajah menggunakan tuala pastikan lihat dulu kebersihannya. Bakteria yang ada ada padanya mungkin akan berpindah ke wajah sehingga menimbulkan jerawat. Selain itu, jika anda terlalu kerap melakukan eksfoliasi, kulit mudah mengalami keradangan dan rosak.
GEMAR MEMICIT JERAWAT
Sebaiknya tinggalkan jauh-jauh tabiat ini. Memicit jerawat bukan boleh menghilangkannya malah menyebabkan kerosakan dan bekas luka pada kulit wajah. Gunakan ubat yang betul untuk mengurangkan jerawat seterusnya mengelakkan bekas luka.
TERLALU BANYAK MAKAN MAKANAN MANIS
Kajian menunjukkan kandungan gula dalam makanan seperti roti putih, kek, coklat dan makanan manis yang lain boleh menimbulkan jerawat. Sebaiknya hadkan pengambilan makanan dengan kandungan gula yang tinggi. Selain patuh saranan doktor jangan lupa perhatikan tabiat-tabiat yang boleh menyebabkan jerawat agar perawatan anda tidak sia-sia.