Figura bapa disifatkan sebagai seorang hero kepada anak-anaknya. Lelaki yang menjadi pelindung dan membuatkan si anak rasa selamat di sisinya. Tular di media sosial baru-baru ini apabila wajah Timbalan PM, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan sedikit berbeza apabila muncul di kaca TV menerusi Buletin Utama, menyaksikan mata beliau yang kelihatan sedikit bengkak dan lebam.
Malah dalam posting Instagram milik Timbalan Perdana Menteri itu 2 minggu lalu, beliau lebih banyak mengenakan kaca mata hitam. Tidak gelabah dengan spekulasi yang dilemparkan, anak sulungnya Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dengan tenang tampil menjelaskan bapanya mengalami kerosakan saraf optik dan memerlukan pembedahan.
“Saraf mata dia tak function (berfungsi). Sebab tu mata dia jadi ‘jatuh’. Buat muka buat apa, bukan super star pun. Kalau sampai mudarat sebab saraf mata, kena la buat sesuatu. Tapi biasalah orang lagi seronok fitnah daripada tahu perkara sebenar,” tulisnya membalas komen netizen di Instagram.
Bukan itu sahaja, Nurulhidayah menjelaskan bahawa sebagai ahli politik, ayahnya perlu kuatkan semangat dan tetap bertugas demi rakyat dan negara walaupun sakit kerana ayahnya memikul satu tanggungjawab besar yang diamanahkan.
Nurulhidayah berkata bapanya masih dalam proses pemulihan dan tidak berehat lama selepas pembedahan mata. Pada 22 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan Zahid bercuti selama dua minggu.
Nona bertandang ke kediaman Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid atau Datuk Nurul pada awal Mei lalu sambil ditemani bapanya secara eksklusif, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Tiada kasih sayang yang lebih besar daripada kasih sayang ibu bapa terhadap permata sulungnya. Anak pertama yang mendidik kita erti keluarga bahagia dan menjadi harapan menjaga adik-beradik yang lain. Selain ibu dan isteri, anak perempuan sulung juga cinta hati sebenar seorang insan bergelar bapa.
Sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, bukan mudah untuk mengatur temu janji apatah lagi dengan kepadatan jadual beliau dalam pelbagai urusan pentadbiran negara.
Namun demi memenuhi permintaan Nona yang ingin mendekati keperibadian Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang bapa, segalanya bagai dipermudahkan. Keluar daripada limelight sebagai ahli politik, NONA menyelami kasih sayang seorang bapa dalam diri pemimpin nombor dua negara ini.
KEPADATAN JADUAL
Ads
Pada usia menjangkau 70 tahun, Dato’ Seri Ahmad Zahid jujur mengakui sukar membahagikan masa untuk keluarga terutama sekali sebagai bapa untuk anak-anak tersayang.
“Sejak 1 Oktober 1987, saya akui berlaku ketidakadilan untuk anak-anak sepanjang saya bergiat aktif dalam politik secara sepenuh masa. Ketika itu saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan.
Tapi Alhamdulillah isteri, anak-anak dan cucu-cucu faham. Yang penting, sebagai seorang bapa dan datuk, saya perlu bijak bahagikan masa untuk mereka. Mungkin masa tidak panjang, tapi saya manfaatkan masa tersebut sebaik mungkin bersama-sama,” ujar Dato’ Seri Ahmad Zahid memulakan bicara.
Kata bapa kepada 5 cahaya mata itu lagi, keperibadian dirinya banyak dipengaruhi oleh bapa tersayang, Raden Hamidi Abdul Fatah yang menjadi role model kehidupannya.
“Tak seperti anak-anak lain yang dapat selalu berjumpa bapa setiap hari, saya pula kurang bernasib baik. Sebaik menamatkan persekolahan darjah enam, saya ‘melangkah keluar rumah’ untuk menyambung pelajaran di peringkat menengah dan seterusnya sehingga menamatkan pengajian di universiti. Tetapi arwah bapa merupakan seorang guru agama yang tegas dalam mendidik anak-anak. Dalam ketegasan itu, penuh sifat kasih sayang.
Saya masih ingat kenangan ketika ‘mengubah suai’ motor yang beliau gunakan untuk pergi mengajar. Tanpa background mekanikal, saya dan adik overhaul motor tersebut.
Bila arwah tahu, kami kena marah tapi itulah momen yang tak boleh saya lupakan,” imbau beliau sambil tersenyum mengingati momen bersama bapanya yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun, 9 tahun yang lalu.
PANGLIMA KELUARGA
Ads
Sering dilabel sebagai individu lantang di media sosial, sosok Datuk Nurul Zahid sememangnya menjadi sebutan apabila timbul isu berkait dengan bapanya. Melihat keakraban dua beranak ini sepanjang sesi fotografi berlangsung, tidak hairanlah mengapa kedua-duanya mempunyai bonding yang kuat dan menyokong antara satu sama lain.
Melihat kesibukan jadual tugas sang bapa, Datuk Nurul Zahid mempunyai pandangannya tersendiri. Beliau menyifatkan sudah menjadi lumrah seorang bapa untuk mencari rezeki untuk keluarga. Justeru, wanita hebat ini cukup mengagumi pengorbanan lelaki bergelar bapa di mana-mana sahaja.
“Sebenarnya Abah selalu berlaku adil pada kami. Kalau bukan ahli politik pun, Abah tetap akan sibuk dengan kerjaya. Jadi sebagai ‘panglima’ keluarga, saya akan ke depan untuk menjaga air muka dan maruah keluarga kami. Saya ambil pendekatan saya sendiri yang lebih mengetahui tentang keluarga serta tak endah dengan kata-kata orang,” akui Datuk Nurul Zahid tanpa berselindung.
Ketika ditanya tentang penglibatan anak perempuan sendiri dalam dunia politik, sebagai seorang bapa, Dato’ Seri Ahmad Zahid mempunyai pandangan yang tersendiri.
“Saya tak galakkan Nurul masuk politik, tapi tak juga melarang. Malah saya juga selalu melarang dia daripada bersusah-payah mempertahankan diri saya. Biarkan masyarakat melihat realiti sebenar. Bagi saya, yang penting realiti politik yang sangat dinamik dan tiada batas sempadan. Kebebasan media perlu ada etika,” tutur si bapa sambil melirik anak kesayangan yang mesra disapa Kak Long dalam keluarga itu.
Tambah Dato’ Seri lagi, sempena Aidilfitri lalu, ramai yang datang memohon maaf pada beliau secara terbuka, mungkin kerana terlajak mengatanya secara terang-terangan tanpa perasaan.
Ads
“Maka sempena sambutan Aidiladha ini, saya maafkan semua. Asalkan tak buat lagi,” pinta Dato’ Seri Ahmad Zahid yang turut mengambil pendekatan memaafkan lebih besar ertinya dalam kehidupan.
Ketika ditanya mengenai perangai mereka yang saling mempengaruhi satu sama lain, dua beranak ini rupa-rupanya mempunyai persepsi yang tulus mengenai perwatakan yang banyak mempengaruhi keperibadian keluarga ini.
“Minda dan sikap saya on & off… Saya tak suka bawa masalah politik balik ke rumah dan sebaliknya. Alhamdulillah saya dapat tidur dengan lena. Saya tak fikirkan masalah,” ujar Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid.
“Pada pandangan saya pula, Abah merupakan seorang yang pandai reset perasaan. Dia sangat profesional terutamanya dari segi emosi. Saya juga banyak mengikut cara Abah dari segi priority hidup. Utamakan apa yang penting dalam kehidupan iaitu mak, abah, suami dan keluarga,” balas Datuk Nurul Zahid.
Generasi berganti, harapan Datuk Nurul Zahid sebagai seorang anak ini mencuit perasaan.
“Abah sudah menjangkau usia 70 tahun. Kalau boleh saya nak Abah hidup tenang dan habiskan sisa hidupnya di samping anak-anak. Kami adik-beradik boleh berbakti untuk Mak dan Abah.
Seandainya Allah bagi ujian Mak atau Abah sakit, saya sendiri akan berkorban menjaga mereka hingga ke akhir hayat. Sebab bagi saya, tak guna jika kita ada harta di dunia tapi tak boleh berbakti dan beri kasih sayang pada ibu bapa.
Saya tahu dari segi harta, Abah boleh cari sendiri. Apa sahaja Abah dan Mak boleh cari sendiri. Tapi kasih sayang anak memang Abah dan Mak tak boleh cari di mana-mana. Dan saya juga tak boleh dapat Abah atau Mak seperti itu kerana mereka tiada galang gantinya,” akhiri Datuk Nurul Zahid seraya mengakhiri perbualan.
Suatu ketika dahulu, beberapa selebriti tanah air pernah memberi kejutan dalam industri hiburan apabila mengumumkan berhijrah ke arqah lebih baik, mengenakan busana patuh syariah, berhijab dan berniqab.
Ini merupakan satu perkembangan positif apabila figura-figura kesayangan ramai ini memilih untuk menjadi role-model kepada para peminat untuk lebih mendalami islam. Antara selebriti yang memilih untuk berniqab adalah, Waheeda, Fynn Jamal, Ina Naim, Diana Amir dan Neelofa.
Malah, penghijrahan selebriti tanah air ini telah membuka mata ramai tentang kepentingan menjaga dan menutup aurat dengan sempurna. Begitu juga dengan penghijrahan selebriti jelita, Diana Amir sejak dua tahun lalu benar-benar memberi inspirasi kepada semua.
Team NONA berpeluang bertemu mata dan menemu bual beliau sewaktu sesi rakaman No Turning Back bersama Hijabista, Diana sempat menjawab beberapa persoalan yang diutarakan.
Berniqab Untuk Diri Sendiri, Demi Dapat Redha Allah
“Saya rasa ini satu fasa untuk saya, untuk diri saya nak dekatkan diri pada Allah SWT. Jadi saya cuma mengharapkan semua orang doakanlah.
“Bagaimanapun yang pentingnya saya tidak melanggar syarak dan yang paling penting sekali hati saya melakukan apa-apa sahaja bukan hanya berniqab tapi ibadah yang lain ikhlas lillahi ta’ala dan semoga mendapat rahmat Allah. Itu sahaja sebenarnya,” ujar pelakon Strawberi Cinta ini.
Bagaimana Diana Gapai Istiqamah?
Ditanya mengenai perjalanan untuk istiqamah, Diana menjelaskan bahawa kita haruslah mencari hikmah dalam setiap tindakan yang dilakukan agar segalanya terasa dipermudahkan olehNya.
“Perjalanan untuk istiqamah itu saya rasa paling penting untuk semua orang adalah dia. Kalau niat dia kerana Allah, insyaAllah pastinya kita berjalan kepada Allah, Allah akan ‘berlari’ nak membantu kita. Nak dekatkan diri kita kepada Allah SWT.
“Jadi, saya rasa kita sebagai hamba Allah yang banyak kekurangan ini haruslah bersangka baik dengan Allah. Jadi apa saja yang kita buat, kita kena cari apa kebaikan di sebaliknya.
“Kalau kita dapat yang buruk-buruk, kita akan rasa susah. Kita akan rasa banyak cabarannya. Tapi kalau kita nak istiqamah, cari apa hikmahnya yang kita akan dapat. Itu akan mudahkannya. InsyaAllah,” kata Diana.
Untuk rekod, setelah hampir 10 tahun berhijab, pelakon dan pengacara Diana Amir akhirnya mengambil keputusan memakai niqab sejak dua tahun lalu.
Terkesan dengan kisah para sahabat yang sudah dijanjikan syurga namun tetap berusaha memenuhi segala tuntutan Allah membuatkan dirinya sedar bahawa dia juga perlu berusaha.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Hijabista
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Karisma dan pemikiran optimis Dr. Abdullah @ Maliq Alias dalam mengemudi empayar perniagaan estetik miliknya wajar menjadi inspirasi kepada individu yang mahu bergelar usahawan.
Meskipun sedar industri kosmetik dan kecantikan masa kini berdepan banyak persaingan namun anak jati kelahiran Johor ini nekad mendalami lapangan kerjaya berkenaan bersandarkan niat murninya untuk memberikan khidmat rawatan terbaik dengan cara yang selamat.
Menelusuri latar belakang Dr. Abdullah @ Maliq atau mesra disapa Dr. Maliq, beliau yang merupakan Pengarah Urusan Dr Cute International Sdn Bhd memiliki 15 tahun pengalaman dalam bidang perubatan dan berpengetahuan luas dalam dunia kecantikan selama tujuh tahun.
Graduan Ijazah Sains Bioperubatan ini menerima pentauliahan Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) pada tahun 2015 dan pengiktirafan sebagai Doktor Estetik dua tahun kemudian.
Terdahulu, Dr. Maliq pernah berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Ketua Unit Non-Communicable Disease (NCD), Ketua Unit Penyelidikan dan Ketua Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS). Pada tahun 2016, Dr. Maliq membuka klinik pertamanya iaitu Poliklinik Desaru di Johor Bahru.
Foto Koleksi Majalah Nona
Mengulas pembabitannya dalam dunia kecantikan, anak bongsu daripada lapan beradik ini memberitahu beliau sendiri tidak menyangka mampu menguruskan pusat kecantikan estetik sendiri biarpun minat terhadap kesihatan dan kecantikan mula bercambah dalam diri sejak kecil lagi.
“Tahun 2016 saya bina kerjaya sebagai General Practice dengan buka klinik sendiri dan kegembiraan itu tak berpanjangan kerana ibu saya meninggal dunia pada tahun sama. Saya rancang buka klinik estetik tapi bila berlakunya Covid-19, saya mula ubah nature bisnes dan lebih fokus kepada online.
Maka tahun 2021 lahirlah jenama Dr Cute atau DC. Alhamdulillah walau tak pernah terlintas hendak jadi doktor kecantikan pada mulanya. Tapi saya syukur dengan percaturan Allah,” ujar Dr. Maliq yang mendedahkan penyebab utama beliau menjadi doktor estetik kerana masalah kulit berjerawat yang dialami hingga membuatkannya mahu menghasilkan produk penjagaan kulit formulasi sendiri.
“Saya sendiri buat R&D dan kumpulkan bahan-bahan untuk formulasi produk. Semuanya bermula dua tahun lepas dengan kerjasama beberapa kilang. Sebelum dijual, kami terlebih dahulu uji keberkesanan produk itu. Kalau keputusan baik dan tak memudaratkan baru ia dikomersial di pasaran.
Seperti fesyen, dunia kecantikan juga berubah-ubah dengan pantas. Bila ada new ingredient yang dipercayai berkesan untuk kulit, saya sebagai doktor tak mahu masyarakat kita ketinggalan supaya produk tempatan memiliki kualiti yang setanding antarabangsa.”
Sepanjang dua tahun DC berada di pasaran, Dr. Maliq sudah menghasilkan 10 rangkaian produk termasuk penjagaan kulit dan supplemen seperti pembersih wajah, krim pencerah, sunscreen, serum, set jeragat, vitamin C dan minuman pelangsingan.
Foto Koleksi Majalah Nona
“Produk DC tergolong gred perubatan, bermakna proses formulasi produk kulit itu melibatkan ramuan aktif yang lebih fokus membantu masalah kulit misalnya kalau pengguna berjeragat, kami akan gabung bahan seperti alpha arbutin dan niacinamide bagi merawat masalah berkenaan.
Satu kelebihan bila doktor menjadi pengasas produk ialah kami hasilkan produk yang selamat serta tidak mengandungi bahan-bahan terlarang seperti merkuri yang dikategori di bawah racun terkawal.”
Aktif memasarkan produk secara atas talian, nama Dr Cute bukan lagi asing dalam platform media sosial terutamanya TikTok.
Dr. Maliq memiliki ratusan ribu followers di media sosial tersebut dan menggunakan pengaruhnya untuk memperjuang produk kulit selamat kepada pengguna khususnya golongan wanita. Bahkan dia sering menjadi rujukan warga maya berkaitan isu kesedaran produk berbahaya dan seumpamanya.
Tak hairanlah dalam tempoh dua tahun jenama DC diasaskan ia berjaya mencapai jualan mencecah enam angka.
“Tahun ni kita dah pecah rekod dan berjaya capai jualan sasaran RM7,000,000. Saya pun dah ada kilang sendiri di Kuala Terengganu tahun ini. Kami looking forward untuk ada lebih banyak produk.
Saya syukur ia diterima baik masyarakat dan klien. InsyaAllah sedikit waktu lagi, kita akan berkolaborasi dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk penyelidikan berkaitan kesihatan kulit.
Tak dinafikan bila saya selaku pengasas lantang bersuara mengenai produk berbahaya di media sosial dan beritahu kebenaran, ada segelintir pihak yang rasa kurang senang dengan mengatakan saya cuba tutup periuk nasi orang dan mahu lariskan produk sendiri.
Hakikatnya, keselamatan pengguna menjadi keutamaan kerana saya juga seorang doktor yang perlu jaga keselamatan mereka,” telus Dr. Maliq yang pernah menerima ugutan dan kecaman di media sosial.
Foto Koleksi Majalah Nona
Sudah menjadi lumrah usahawan dan pengasas yang tidak terlepas daripada berdepan pelbagai cabaran sebelum mendaki puncak kejayaan. Begitu juga Dr. Maliq yang tidak terkecuali menerima kritikan dan tohmahan pihak tertentu sepanjang berkecimpung dalam industri ini.
“Sepanjang bergiat aktif secara online, saya dapat banyak sangat tentangan, ugutan dan dikecam teruk. Kalau dulu, bertugas sebagai doktor saya tak expose diri ke hadapan. Apatah lagi saya pun seorang introvert.
Bila dikecam, saya menangis. Waktu itu saya rasa keliru adakah ini jalan yang saya pilih. Tapi bila mengenangkan idola saya iaitu Rasulullah SAW, saya kembali bangkit.
Saya kena kuat dalam perjuangan ini supaya saya dapat kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya produk merkuri yang bukan sekadar menjejaskan kulit tapi juga kesihatan tubuh badan.
Semua orang nak cantik, putih dan miliki kulit mulus tapi berpada-pada. Pilihlah produk atau item yang selamat sebab nyawa kita hanya satu. Bila buah pinggang rosak, tak boleh ganti.
Sepanjang saya kerja di klinik dan bertugas sebagai doktor di KKM, saya jumpa ramai pesakit yang menderita sebab nak cantik. Paling teruk, pesakit umur 20an yang alami buah pinggang rosak disebabkan ambil supplemen berbahaya, drip putih dan pakai produk merkuri. Ada juga masalah kemandulan disebabkan produk merkuri,” tegasnya.
Sebelum mengakhiri perbualan, doktor berusia 41 tahun ini memandang persaingan positif dengan keistimewaan produk keluarannya biarpun kebanyakan pengasas produk kecantikan terdiri daripada individu popular seperti selebriti dan pempengaruh media sosial.
“Saya suka persaingan sihat ini dan untuk saya sebagai seorang yang mempunyai latar belakang perubatan, saya lebih fokus kepada memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat. Bukan semata-mata untuk melariskan produk jualan sendiri.
Pada akhirnya, produk yang berkesan dan berkualiti akan kekal lama di pasaran. Selagi boleh beri yang terbaik, saya akan berusaha sebab kita tahu bisnes ini kalau lihat dari perspektif lebih luas ia menjurus kepada menyelesaikan masalah orang. Bagaimana kita nak bawa diri dan berikan yang terbaik kepada komuniti.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Jika kita lihat, golongan selebriti, pempengaruh mahupun public figure. Mereka sentiasa menatarias wajah untuk tampil elegan dan menawan dikhalayak ramai. Namun, pernahkah hijabi terfikir adakah mereka ini tidak pernah mempunyai masalah kulit? Bagaimana golongan ini mengekalkan kulit wajah yang sihat dan sentiasa cantik?
NONA sempat menemubual penyanyi yang mempunyai vokal serta kelunakkan suara yang tidak perlu dipertikaikan lagi iaitu Ernie Zakri dan bertanyakan tentang beberapa perkara berhubung kecantikan kulit wajah dan ini respon yang dikongsikan Ernie khas buat wanita diluar sana!
Pernah Tak Ernie Hadapi Atau Berdepan Dengan Masalah Kulit?
Secara semulajadinya, saya tidak pernah menghadapi masalah kulit yang serius, kulit saya adalah jenis normal. Tetapi kadangkala ada juga naik jerawat satu dua dan itu adalah perkara biasa bagi kulit normal.
Ernie Pernah Hadapi Masalah Kulit Kusam Dan Teruk, Ketika Mengandung Akibat Perubahan Hormon
Tapi semasa saya mengandungkan anak saya yang pertama, Nur Khawla Soleha dahulu saya mempunyai masalah kulit ketika saya mengandung.
Perasaan pertama kali berdepan dengan masalah kulit yang agak kronik ketika itu, sudah tentu membuatkan saya terus down. Tetapi saya bersyukur kerana ada support system yang baik iaitu suami saya ketika itu.
“Sebab ketika hamil, kita tidak boleh mengambil ubat-ubatan untuk merawat kukit wajah, kita juga tak boleh apply krim sebarangan pada wajah kita.
“Jadi nak tak nak saya tetap kena jalani fasa itu dan saya faham perasaan mereka yang mempunyai masalah kulit dan mempunyai keinginan untuk memulihkan kulit wajah mereka.
“Perkara yang paling penting adalah, jangan dengar cakap orang. Kerana mereka tidak tahu apa sebenarnya masalah kukit yang kita hadapi dan berpunca daripada apa.
“Jadi, bila kita dah berjumpa especially keluarga atau kawan-kawan kita selalunya mereka suggest, kau pakai itu elok, kau pakai ini elok untuk selesaikan masalah kulit yang kita hadapi. Jangan dengar atau terpengaruh ya!
“Kita kena pergi kepada yang pakar, minta nasihat mereka dan mungkin pakar lebih sesuai untuk membantu kita. Itu lebih baik, kerana kadang-kadang bila kita cuba pakai produk yang dicadangkan dengan sembrono sahaja, kita akan merisikokan keadaan kulit muka kita dan keadaan akan menjadi lebih teruk,” jelas Ernie.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Siapa sangka dari sebuah rumah teres usang menjadi kediaman sentuhan moden elegan, jari-jemari emas Ashikin Amran terbukti berhasil mix & match hiasan tanpa bocorkan kocek.