
Tidak kira samada lelaki atau perempuan, sarung kaki atau stoking antara item fesyen yang sering digunakan. Stoking juga memberi perlindungan kepada kaki agar menyerap peluh mahupun mengelak kecederaan. Justeru, mencuci stokin dengan betul dan bersih boleh memanjangkan tempoh penggunaan sekali gus menjimatkan duit poket anda. Nona kongsikan tip membasuh stoking dengan betul!
GUNA AIR SEJUK
Sebaiknya semua bahan yang elastik tidak dicuci dengan air panas. Ini bagi mengelakkan getahnya hilang regangan.
JANGAN GUNA BERUS BAJU
Jika anda mencuci baju dengan tangan, jangan memberus stokin dengan berus baju. Ia akan menyebabkan stoking hilang elastik dan rosak.
JANGAN GUNA PELEMBUT DAN PELUNTUR
Kedua-dua bahan ini akan menyebabkan tenunan stokin menjadi longgar dan berkemungkinan bahan-bahan yang ditanam ke dalam stoking tertanggal.
ELAK JEMUR DI BAWAH PANCARAN TERUS MATAHARI
Setelah mencucinya, sebaiknya jemur di tempat yang teduh dan berangin. Proses pengeringan mungkin mengambil masa namun sekiranya dijemur di tempat yang panas, ia boleh merosakkan fabrik stoking anda.
Bau Mulut Jejas Penampilan Wanita, Ikut 10 Cara Mudah Ini Atasi Masalah HALITOSIS

Aduh! Tak selesanya duduk berbual dengan individu yang mengeluarkan ‘aroma’ dari mulutnya. Sepuluh minit pertama boleh lagi buat tak tahu, tapi lama-kelamaan, rasa nak muntah pun ada!
Itu adalah antara situasi yang perlu dilalui apabila berhadapan dengan individu yang mempunyai masalah halitosis atau masalah nafas berbau. Bahkan ia cukup memalukan kerana boleh menyebabkan orang lain merasa kurang selesa ketika berbual dengan anda.
Ada juga yang berasa rendah diri, tidak kurang juga ada yang mudah merasa tersinggung sekiranya ditegur oleh mereka yang rapat dengannya.
Ada juga yang segan untuk bercakap dengan orang lain. Soal tidak mengambil berat soal kesihatan dan kebersihan mulut boleh membawa padah!
PUNCA NAFAS BERBAU
(1) BAKTERIA
Punca utama nafas berbau adalah daripada bakteria yang membiak di dalam mulut. Bakteria hidup dan membiak dengan menggunakan lebihan makanan yang terselit di celah gigi, lalu merembeskan hasil perkumuhan yang terdiri daripada asid dan sulfur yang menyebabkan bau kurang menyenangkan.
Kebanyakan bakteria ini bersifat anaerob (hidup tanpa oksigen). Maka sebab itulah bakteria ini hidup di kawasan yang susah dibersihkan antaranya ialah celah gigi, poket gusi di bawah plak yang melekat pada gigi, di karang yang melekat di poket gusi serta di celah rekahan pada lidah. Kawasan terlindung ini juga sukar untuk mendapatkan bekalan oksigen.
Apabila anda mendapat selesema, alahan, ubatan atau perubahan hormon, hingus anda menjadi likat. Hingus yang pekat ini akan meleleh ke bahagian belakang lidah atau tonsil seterusnya melekat di situ. Ia juga menjadi tempat persembunyian yang ideal untuk bakteria bersembunyi.
Jika anda mengalami masalah gusi dan tulang gigi yang kronik ia juga boleh menyebabkan nafas berbau. Penyakit ini menyebabkan tulang gigi anda menurun dan mengakibatkan poket gusi anda dalam dan sukar dibersihkan tanpa bantuan doktor gigi. Poket yang dalam ini juga sememangnya tempat bagi bakteria anaerob membiak.
(2) KURANG PENGHASILAN AIR LIUR DAN MULUT KERING
Air liur adalah bahan pembilas mulut semula jadi. Ia membilas mulut sepanjang masa. Secara tidak langsung ia membuang cebisan kecil makanan dari permukaan licin gigi. Ketika tidur, perembesan air liur adalah kurang. Sebab itulah kita mendapat bau nafas yang kurang enak setelah bangun dari tidur.
Kekurangan rembesan air liur menyebabkan air liur menjadi likat, sukar untuk membilas mulut, menjadikannya kurang oksigen dan menyebabkan pembiakan bakteria anaerob di dalam mulut.

APA YANG PATUT ANDA LAKUKAN?
- Membersihkan gigi setiap hari (ambil masa memberus paling kurang dua atau tiga minit). Pastikan anda memberus dan menggunakan benang flos dengan betul kerana ia akan membuang bakteria dan lebihan makanan. Bakteria tidak akan menghasilkan sulfur yang menyebabkan nafas berbau.
- Memberus gigi tanpa menggunakan benang flos seperti anda membersihkan kira-kira 70 peratus sahaja, selebihnya masih kotor.
- Membersihkan lidah setiap hari. Ramai yang terlupa untuk membersihkan lidah semasa menggosok gigi. Ingatlah bahawa banyak bakteria bersembunyi di rekahan lidah dan belakang lidah!
- Bersihkan lidah dengan menggunakan pembersih lidah. Kini banyak berus gigi yang mempunyai pembersih lidah di belakang kepala berus gigi.
- Gunakan berus gigi yang lembut. Berus perlahan-lahan, gerakkan berus dari belakang lidah ke hadapan berulang kali sehingga bersih.
- Amalkan minum air kira-kira dua liter sehari. Meneguk air dengan kerap membuatkan mulut anda sentiasa dibasahi air. Jika anda mengalami masalah kekeringan mulut disebabkan ubat atau mereka yang kerap bercakap, cara ini paling bagus untuk diikuti.
- Minum air boleh merangsang pengeluaran air liur, membilas sisa makanan pada gigi dan melembapkan mulut.
- Elak menggunakan pencuci mulut beralkohol. Menggunakan ubat kumur beralkohol boleh menyebabkan kekeringan mulut. Jadi pastikan ubat kumur anda bebas alkohol.
- Mengunyah gula-gula getah tanpa gula. Guna cara ini jika anda tidak dapat memberus gigi selepas makan tengah hari atau selepas makan makanan kudapan. Sisa makanan dibersihkan dan pengeluaran air liur akan dirangsang sekali gus menyegarkan nafas.
- Bertemulah doktor gigi untuk rutin pemeriksaan paling kurang setahun sekali bagi mengelakkan masalah gigi dan gusi yang menyebabkan nafas berbau. Doktor dapat mengesan sejak awal jika anda mempunyai masalah dan segera mengatasnya sebelum ia menjadi teruk. Rosmah Idayu Abu Samah
Rupa Paras Sempurna & Popular, MARIAN RIVERA Sukses Berniaga & Dah Ada Jenama Baju Sendiri!

Makin rancak Marian Rivera melebarkan empayar perniagaan miliknya. 12 Ogos lalu genap 39 tahun usia ibu dua anak ini. Dalam usia lewat 30an dan statusnya sebagai ibu, penampilan Marian Rivera Gracia Dantes kekal mempersona. Pendek kata, persis anak dara. Pandai isteri Dingdong Dantes ini jaga badan!
Tak dinafikan Marian memiliki raut wajah sempurna! Macam tak puas setiap kali tengok kejelitaannya. Bahkan sejak zaman kanak-kanak lagi, terserlah kecantikan asli aktres popular Filipina ini.
Bertuah empunya badan dikurniakan pakej lengkap. Patutlah sering menjadi buruan syarikat kosmetik dan kecantikan antarabangsa!
Lahir pada 12 Ogos 1984 di Madrid, Sepanyol, anak kepada Francisco Javier Gracia Alonso dan Amalia Revera ini bukan calang-calang wanita. Dia memiliki pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari De La Salle University Dasmarinas.


Bapa Marian merupakan warganegara Sepanyol manakala ibunya pula rakyat Filipina. Disebabkan perkahwinan campur tersebut, Marian mampu bertutur dalam tiga bahasa iaitu Sepanyol, Inggeris dan Tagalog.
Bakat Marian juga mula bersinar selepas kejayaan drama Marimar, Dyesebel, Amaya dan Temptation of Wife. Bahkan Marian juga ada bakat menyanyi. Sebelum ini Marian sudah menghasilkan dua album iaitu Marian Rivera Dance Hits dan Retro Crazy.
Beberapa tahun mencipta nama dalam industri seni Filipina, jelitawan ini memutuskan untuk berkahwin dengan aktor kacak Filipina, Dingdong Dantes pada 30 Disember 2014.
Berdasarkan populariti mereka berdua dan kejayaan masing-masing, perkahwinan mereka turut mendapat julukan The Royal Wedding di Filipina pada tahun berkenaan. Hampir setahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan romantis ini dikurniakan anak perempuan comel iaitu Maria Letizia pada 23 November 2015.
Empat tahun kemudian, rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran cahaya mata lelaki yang dinamakan Jose Sixto G. Dantes IV pada tanggal 16 April 2019.



Selain aktif dengan aktiviti seni, Marian juga sebenarnya pengasas perniagaan bunga-bungaan segar Flora Vida by Marian. Ujarnya, bukan mudah untuk membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga namun kerana tanggungjawab terhadap peminat dan anak anak serta suami dia tetap akan memastikan semuanya berjalan lancar.
“Pada mulanya memang agak sukar menguruskan keluarga dan kerjaya dalam satu-satu masa. Tapi apabila anda sudah dapat membezakan masa satu yang menjadi keutamaan, ia akan menjadi mudah.
Di samping menjaga keluarga, dalam masa sama saya juga akan memantau perniagaan yang diusahakan kerana kedua-duanya adalah penting bagi saya. Walau ada ketikanya susah, tapi saya mampu uruskan keluarga dan perniagaan dengan baik.”



Selain perniagaan bunga segar, Marian juga mengeluarkan koleksi fabrik dan dekorasi kediaman rumah serta melancarkan jenama pakaian miliknya sendiri pada Disember lepas.
Sememangnya aura Marian cukup berbisa. Apa sahaja yang dijual mahupun dipromosikan pasti laris di pasaran. Patutlah ramai pengusaha dan syarikat berskala besar berebut-rebut menjadikan jelitawan Filipina ini sebagai duta.
Rindu Lambaian Kaabah, Arab Saudi Sedia Terima Jemaah Malaysia Ikut Syarat Normal Baharu

Tahun ini, kerajaan Arab Saudi sedia membuka pintu negaranya kepada rakyat Malaysia selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri dijemput menjadi tetamu pertama yang dibenarkan masuk ke dalam Kaabah sejak setahun lalu.
Perdana Menteri dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman juga sempat mengerjakan umrah dan melakukan ziarah di Madinah sebelum bertemu Raja Arab Saudi, Yang Teramat Mulia Raja Salman bin Abdulaziz al-Saud yang juga Penjaga dua masjid suci umat Islam, sempena lawatan rasmi ke Arab Saudi.
Malaysia adalah antara negara yang diberikan kelonggaran awal untuk menghantar jemaah umrah ke Arab Saudi berikutan disiplin tinggi ditunjukkan umat Islam di negara ini. Walau bagaimanapun, masalahnya bukan di pihak berkuasa Arab Saudi tetapi kerajaan Malaysia yang tidak membenarkan rakyat keluar masuk negara ini.

SYARAT BARU
Kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat bahawa semua jemaah yang ingin menunaikan haji dan umrah pada tahun ini mestilah berusia di bawah 60 tahun, sihat tubuh badan dan tidak menghidapi sebarang penyakit berjangkit.
Mereka juga sedang mempertimbangkan untuk membenarkan jemaah berusia lebih 60 tahun menunaikan haji tahun ini, dengan syarat sihat tubuh badan (tidak mempunyai penyakit kronik) dan melepasi ujian saringan COVID-19 dibuat tiga hari sebelum penerbangan ke Mekah atau Madinah.
Beberapa SOP ketat seperti sanitasi tubuh badan, suhu diambil, perlu membawa kelengkapan solat sendiri serta menjaga jarak ketika beribadah merupakan antara kebiasaan normal baharu yang sedang dipraktikkan di sana.
Dalam satu dokumentari Masjid Nabawi yang dikongsikan, turut ditunjukkan bagaimana rutin sanitasi dijalankan bagi menjamin kesihatan para jemaah.
Dokumentari ini mengisahkan pembukaan Masjid Nabawi kepada awam pada 8 Syawal 1441H lalu
EKONOMI PERLAHAN
Keputusan Arab Saudi mengehadkan jemaah umrah dan haji berikutan pandemik COVID-19 mengakibatkan kebimbangan terhadap ekonomi di Tanah Suci.
Sehingga 2019, ibadat haji dan umrah menjana pendapatan AS$12 bilion (RM51.42 billion) sekali gus merancakkan ekonomi di Mekah iaitu kawasan paling suci untuk umat Islam.
Kemuncak pembinaan pelbagai pusat membeli-belah, apartmen dan hotel mewah di sekitar Kaabah sejak beberapa tahun lalu menyasarkan keuntungan lumayan meskipun ramai yang sangsi terhadap tujuan asal beribadah di sana.

“Kami tidak pernah melihat Tanah Suci kosong…”
Bayangkan Tanah Suci kosong.
Ekonominya lumpuh.
Hotel-hotel dan shopping mall mewah kini hanya sekadar… papan tanda.
COVID-19 yang melanda Mekah menjejaskan perniagaan yang bergantung dengan jemaah haji dan umrah, selain meranapkan ratusan ribu pekerjaan serta kedai-kedai cenderamata kecil.
Kebanyakannya diberhentikan kerja, gaji dipotong atau ditangguhkan.
Ia diikuti dengan penurunan harga minyak yang menyebabkan tercetusnya langkah berjimat-cermat termasuk menaikkan cukai tambah nilai dan pengurangan elaun kakitangan awam.
Dalam skala lebih besar, pembatalan operasi pengendali haji yang menguruskan hal-hal logistik para jemaah melibatkan ibadat haji selama lima hari menambah kesan buruk.
DEMI MASA DEPAN
Walau bagaimanapun, masih ramai yang khuatir jika ibadat haji yang mengumpulkan ribuan umat Islam di kawasan keagamaan yang kecil itu akan menjadi sumber jangkitan penyakit terbesar.
Pandemik COVID-19 telah melanda negara beraja ini dengan jumlah kes tertinggi di rantau Teluk dengan lebih 178,000 kes jangkitan.
Pada Rabu lalu, Tabung Kewangan Antarabangsa memberi amaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Arab Saudi akan berkurangan sehingga 6.8 peratus pada tahun ini.
Ia merupakan prestasi terburuk sejak krisis harga minyak pada tahun 1980-an.
Yang pasti, kemerosotan ekonomi telah menjejaskan cita-cita Riyadh untuk membina industri pelancongan melalui program pembaharuan tahun 2030 sebagai cara untuk mengurangkan penggantungan negara tersebut kepada hasil minyak.