Bagi peminat drama Korea tentu rasa teringin merasa hidangan yang sering dimakan oleh pelakon K-Drama. Kini, MyeongDong Topokki menyajikan hidangan popular Korea, jadi kita tak perlu susah-susah lagi ke Korea untuk menikmati hidangan popular mereka.
Bersandarkan tagline, “Eat Once, Crave More” restoran makanan jalanan Korea, MyeongDong Topokki semakin mendapat tempat di hati penggemar makanan Korea. Kita tak perlu susah-susah ke Korea semata-mata nak makan toppokki.
Bermula pada tahun 2014, dan apabila melihat kejayaan dan sambutan luar biasa menu hidangan jalanan Korea ini, Ketua Pegawai Eksekutif, Cravito Holding, Vincent Lua bagai tak menang tangan lantas membuka 4 buah outlets lagi bagi menampung permintaan terhadap hidangan istimewa ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Cravito Holding, Vincent Lua
Seterusnya Vincent Lua selaku pemegang saham terbesar MyeongDong Topokki ini telah membuka peluang untuk menjadi francaise restoran ini. Sehingga kini terdapat 50 outlet MyeongDong Topokki dan 7 buah outlet lagi bakal di buka.
Memulakan perniagaan di usia 29 tahun sememangnya kejayaan yang dimilik lelaki ini benar-benar menyuntik inspirasi. Bercerita tentang penglibatan awalnya dalam dunia perniagaan, “Saya sendiri tidak pernah merancang untuk menjadi usahawan. Segalanya bermula apabila saya bekerja di sebuah syarikat perbankan dan bergaul dengan usahawan berjaya. Mereka selalu berkongsi ilmu dan pengalaman dalam perniagaan lalu merangsang semangat saya untuk terjun dalam bidang keusahawanan ini.
Dipendekkan cerita saya telah melakukan pelbagai kolaborasi bersama usahawan lain sebagai pelabur dalam bidang hartanah dan pusat kecergasan. Akhirnya, peluang perniagaan dalam bidang makanan dan minuman (F&B) yang ‘serasi’ dengan saya,” tutur pemegang Ijazah Kewangan & Pengurusan dari Universiti Curtin Malaysia ini memulakan bicara.
SASARAN
Sebagai perintis konsep makanan baharu seperti ini di Malaysia, Vincent Lua begitu bersemangat bercerita tentang perniagaan makanan Korea ini. “MyeongDong Topokki mengambil inspirasi nama sebuah jalan yang terkenal di Korea yang popular dengan makanan jalanan. Manakala Topokki pula adalah hidangan paling mendapat sambutan di situ. Maka lahirlah, MyeongDong Topokki.
Saya memilih mengusahakan bisnes ini kerana menyedari agak sukar bagi masyarakat Malaysia mencari hidangan jalanan Korea yang halal. Jadi, tercetusnya idea untuk merealisasikan impian peminat makanan Korea menikmati hidangan tanpa waswas.
Ads
Pada Julai lalu MyeongDong Topokki telah mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (JAKIM). Seperti yang diketahui bukan mudah untyk mendapat Sijil Halal ini kerana semasa penyediaan, pengendalian, pemerosesan, pembungkusan atau pemindahan produk hendaklah dalam keadaan bersih dan tidak mengandungi bahan ramuan yang tidak halal. Kualiti, standard dan kebersihan makanan sentiasa menjadi prioriti kami di MyeongDong Topokki.
Kami memilih produk makanan halal kerana industri makanan halal merupakan industri yang berpotensi tinggi untuk diperkasakan dan melakarkan perkembangan positif melalui strategi terancang dan inklusif. Pasaran global mempunyai prospek pasaran yang luas untuk dibangunkan secara global,” ucap lelaki yang membesar di Brunei Darussalam ini.
Bercerita lanjut tentang strategi pemasaran yang diatur oleh lelaki berusia 36 tahun ini, “Teras utama dalam perniagaan ini adalah inovasi. Justeru saya bersama team selalu menginovasikan hidangan dengan mengeluarkan menu yang lazat terutama buat mereka yang tidak berpeluang untuk menjejakkan kaki ke bumi Korea lebih-lebih lagi untuk mendapatkan hidangan jalanan Korea yang halal. Hidangan signiture kami sudah tentu Topokki, Ramyun dan Jigae.
Meneraju sebuah organisasi dalam perniagaan tugas saya lebih kepada mengatur dan menguruskan perjalanan syarikat agar lancar dan mengikut rancangan yang telah ditetapkan. Jika diimbau kembali ketika hari pertama saya membuka outlet ini bagaikan tak percaya apa yang dicapai pada hari ini.
Saya bermula dengan bekerja seorang diri, semua saya lakukan sendiri seperti urusan sumber manusia, berjumpa dengan influencer dan macam-macam lagi. Perniagaan terus berkembang dan sehingga kini saya mempunyai jumlah keseluruhan staf 500 orang,” kata bapa kepada Lua Yu Ting, 5 tahun dan Lua Yu Ru, 2 tahun ini.
Ads
SOLUSI
Tidak dinafikan untuk berjaya banyak yang perlu ditempuh sepanjang menjalankan sesuatu perniagaan, Vincent Lua juga tidak terkecuali. Salah satu cabaran yang ditempuh oleh usahawan ini ialah apabila negara sedang berdepan dengan COVID-19. “Sebagaimana yang kita tahu, saat mendepani penularan pandemik COVID-19 semua usahawan melalui masa yang sukar.
Namun, bagi saya setiap krisis merupakan suatu peluang. Jika kita mengharap dan menunggu krisis ini berlalu, ia tidak akan memberi makna. Sebagai contoh, ketika pandemik pelanggan tidak boleh makan di premis perniagaan. Jadi, sebagai usahawan apa yang perlu kita lakukan? Apabila pelanggan tidak dapat datang membeli produk, kami datangkan produk kepada mereka.
Cara yang kami laksanakan adalah menyuntik inovasi di setiap menu hidangan agar berada dalam keadaan baik ketika proses penghantaran. Dalam erti kata lain, setiap hidangan dibungkus dengan sempurna agar pelanggan dapat menikmati hidangan tersebut umpama di restoran. Bagi saya setiap krisis yang melanda perlu pendekatan yang berbeza. Bagi menghadapi krisis pandemik COVID-19 ini kita memerlukan solusi permasalahan pelanggan yang tidak boleh keluar rumah atau makan di restoran,” ucap Vincent Lua yang mempunyai prinsip hidup tak pernah putus asa ini.
Ketika diajukan pertanyaan apa yang diimpikan oleh lelaki ini 5 tahun akan datang, jawabnya, “Saya tidak pernah memandang saya dan perniagaan ini sebagai individu. Kami bekerja dalam satu pasukan dan bergerak pantas membina organisasi agar berdaya saing. Dalam masa lima tahun akan datang, saya menjangkakan pasukan kami sudah menawan pasaran Asia Tenggara.
Ads
Namun, bagi mencapai impian tersebut saya perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan ketua jabatan dan pengurus syarikat ini boleh berfikir untuk memajukan bisnes atau dengan kata mudah duplikasi diri saya dalam diri mereka.
Paling penting bagi saya adalah pasukan kami gembira dengan tugas masing-masing dan menyerlahkan keupayaan mereka dan secara tak langsung kreativiti makin berkembang,” kata Vincent Lua yang bersyukur kerana mempunyai sebuah team yang tahu tanggungjawab masing-masing.
ANTARABANGSA
Menyentuh tentang perancangan tahun 2022, “Saya sangat teruja dengan kehadiran 2022 kerana kami sudah merancang untuk meluaskan pasaran ke beberapa buah bandar di negara kita dan juga Brunei. Kami juga dalam persiapan untuk menjelajah pasaran Wilayah Metropolitan Jakarta iaitu Jabodetabek atau nama singkatan dari Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi.
Nasihat saya buat siapa sahaja yang memulakan perniagaan di musim yang mencabar ini adalah tidak mudah putus asa dan apa yang dilakukan biar berterusan. Dalam apa juga perniagaan pasti ada cabaran dan dugaan sebagai usahawan kita perlu kuat untuk terus bergerak ke depan. Apa sahaja cabaran yang datang kita perlu selesaikan tanpa timbul perasaan putus asa,” ujar Vincent Lua.
Pengurusan stres sangat penting dan lelaki yang suka membaca ini mempunyai formula yang tersendiri. “Bagi saya stres berlaku apabila kita tak bijak menguruskan setiap permasalahan. Jika kita tahu bagaimana untuk menguruskan stres sudah pasti kita mampu untuk menangani setiap permasalahan tersebut.
Saya tidak akan membenarkan stres mempengaruhi kehidupan kerana ia tidak membantu apa-apa. Cara yang paling efisien untuk menangani stres bagi saya adalah dengan membaca. Membaca dapat menambah ilmu dan mencari solusi kepada setiap permasalahan. Saya akan membaca buku-buku berkaitan kewangan, digital, artificial intelligence (AI), mata wang kripto dan seumpama dengannya,” kata Vincent Lua mengakhiri perbualan.
Siapa sangka mula-mula jual minyak wangi secara dropship mampu mengubah persepsi lelaki ini dalam dunia bisnes.
Menjadi pemacu utama organisasi jenama minyak wangi tempatan, De’Xandra™ perjalanan karier Ketua Pegawai Eksekutif muda ini tidak semudah yang disangka.
Safwan Ismail tidak terus berada di atas malah pernah melakukan pelbagai kerja di awal pembabitannya dalam perusahaan minyak wangi yang mula bertapak sejak 2015 ini.
“Sebenarnya saya sudah terlibat dengan jenama De’Xandra™ sejak dari awal lagi. Isteri saya yang memberi galakan untuk menyertai bisnes ini.
Kalau nak diceritakan mula-mula saya menjadi agen dropship jual minyak wangi ketika bergelar mahasiswa lagi. Saya sendiri tak pernah membayangkan terjebak dalam dunia perniagaan lebih-lebih lagi memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat.
Namun, persepsi saya berubah apabila mula mendapat hasil jualan atau ‘gaji’ dropship. Bayangkan ketika saya masih belajar di universiti saya mampu membeli sebuah kereta hasil daripada jual minyak wangi semata-mata.
Walaupun ia merupakan sebuah kereta kecil namun sebagai seorang siswa ia merupakan sesuatu yang luar biasa dan di luar jangkauan saya. Keseronokan berniaga mula hadir sedikit demi sedikit dalam diri.
Setelah tamat pengajian saya terus bekerja dengan syarikat milik keluarga ini bermula di jabatan jualan. Banyak ilmu yang saya kutip ketika bekerja di jabatan ini, sebut apa yang tak dilakukan daripada membungkus produk, mengangkat produk, mengepos produk dan lain-lain lagi.
Kemudian saya telah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengurus oleh Ketua Pegawai Eksekutif De’Xandra™ ketika itu, Ernayanee Nur Julaimi.
Seterusnya saya menerajui jabatan operasi dan terkini diberi kepercayaan untuk menjalankan tanggung jawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif De’Xandra™.
Saya tidak melalui jalan pintas untuk berada di kedudukan sekarang malah tanggung jawab saya lebih besar kerana organisasi syarikat ini adalah milik keluarga.
Namun, apa yang membanggakan saya di sepanjang perjalanan karier ini saya telah melihat ramai jutawan dilahirkan. Tahun ini sahaja seramai 40 orang jutawan telah menikmati hasil titik peluh mereka,” tutur graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Ijazah Sarjana Muda Perakaunan ini.
CABARAN
Bercerita tentang cabaran menguruskan perniagaan keluarga, lelaki yang berusia 32 tahun ini bersikap terbuka. “Kalau nak sebut tentang cabaran, tidak kira kita berada dalam syarikat keluarga mahupun bekerja dengan orang lain tetap ada cabaran.
Cara kita menangani setiap permasalahan sangat penting. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tidak berselerak. Pertelingkahan tetap ada tapi kami perlu bijak mengasingkan urusan pejabat dan urusan keluarga.
Satu lagi cabaran yang saya kira memberi impak besar kepada syarikat ialah produk keluaran kami ditiru. Namun, situasi ini telah menyemarakkan lagi semangat kami untuk terus berjuang dan memberikan yang terbaik kepada reseller,” kata Safwan yang menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar Shah Syed Nor Albukhary sebagai Superhero dalam perniagaan.
Menelusuri tugas ketua pegawai eksekutif muda ini, “Secara dasarnya, tugas saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif adalah memastikan semua perancangan syarikat berjalan dengan lancar, setiap sasaran Ahli Lembaga Pengarah dicapai dan mencari peluang perniagaan, mengukuhkan penjenamaan serta meluaskan rangkaian (networking).
Walaupun masih baharu tapi saya beruntung mempunyai isteri yang menyokong dari belakang. Lebih istimewa apabila isteri turut terlibat dengan pengurusan syarikat dan tahu setiap perincian apa yang berlaku dalam syarikat.
Kami boleh berkongsi macam-macam perkara dan isteri sentiasa mengingatkan saya sekiranya bertindak berlebihan,” ujar suami kepada Ezureen Nur Julaimi juga bergelar Ketua Pegawai Kewangan (CFO) De’Xandra™.
PERANCANGAN
Melupakan dugaan yang ditempuh saat dunia dilanda pandemik COVID-19, Safwan teruja bercerita tentang perancangannya tahun 2022. Bersandarkan tagline De’Xandra™ Scent of life, lelaki yang berasal dari Terengganu ini mempunyai taktik yang tersendiri mendepani tahun 2022 nanti.
“Sebagaimana usahawan lain, kami juga terkesan kala pandemic COVID-19 yang menular di negara kita. Dugaan tersebut memberi banyak pengajaran namun pelbagai perancangan dan strategi telah diatur untuk tahun 2022. De’Xandra™ bersama-sama dengan 33 ribu reseller akan all out menerobosi pasaran minyak wangi tempatan dan juga luar negara.
Setakat ini kami telah menawan pasaran antarabangsa seperti Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura, Kemboja, China dan Hong Kong. Banyak lagi peluang untuk memasarkan minyak wangi di negara lain.
Selain itu, saya sedang merancang sebuah kolaborasi antara De’Xandra™ bersama dua jenama terkenal antarabangsa. Segalanya masih dalam perancangan namun berada di peringkat akhir,” ujar Safwan yang mengamalkan gaya hidup sihat dan tetap mencuri masa melakukan aktiviti berbasikal dan berlari.
Sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat, suami dan ayah sudah tentu sukar bagi lelaki yang mudah mesra ini menyeimbangkan masanya bersama keluarga.
“Sudah tentu masa saya banyak dihabiskan di pejabat. Tetapi, saya tidak pernah membawa kerja pejabat ke rumah. Di rumah adalah masa saya bersama dengan keluarga terutama anak-anak.
Hujung minggu pula memang masa untuk keluarga dan biasanya kami akan keluar berjalan-jalan atau membeli-belah. Masa berkualiti bukan bererti lama mana yang diperuntukkan tapi bagaimana kita mengisi masa dengan keluarga.
Lagi satu, kalau berjanji dengan anak-anak seboleh-bolehnya jangan dimungkari,” pesan ayah kepada Nur Iman Zahra, 6 tahun, Muhammad Iman Al-Fateh, 4 tahun, Muhammad Iman Irsyad, 3 tahun dan Nur Iman Hanania, 1 tahun ini.
Bergelar Selebriti Chef Jutawan dan menempa nama dalam bidang masakan tempatan dan antarabangsa bukan suatu laluan mudah buat Datuk (Dr) Redzuawan Ismail. Pengiktirafan demi pengiktirafan yang diraih lelaki berusia 64 tahun ini membuktikan bakat miliknya bukan sembarangan.
Sempat mengusik Datuk Chef Wan yang bergelar Selebriti Chef Jutawan digalasnya. “Apa yang ada pada gelaran Jutawan tersebut? Benar saya berjaya, nilai syarikat milik saya memang berjuta tapi saya tak melihat ia sesuatu yang perlu digembar-gemburkan.
Kehidupan saya sederhana sahaja dan tidak bermewah-mewah. Bagi saya kejayaan yang dimiliki kini bukan bersandarkan kepada berapa banyak wang di dalam simpanan.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Kejayaan sebenar bagi saya adalah apa yang membuatkan saya rasa bahagia. Kalau dengan tolong orang membuatkan rasa bahagia itu timbul, mengapa tidak? Apabila kita membantu mereka yang memerlukan, Allah SWT akan bagi kita keberkatan hidup.
Keberkatan untuk mendapat nikmat syukur, sihat tubuh badan dan mampu melakukan kebaikan dengan lapang dada,” ucap anak Pahang yang bergelar selebriti chef Malaysia ini.
Lebih selesa hidup sederhana Datuk Chef Wan juga tidak bermewah-mewah untuk rewards dirinya. “Biasanya saya rewards myself dengan melancong. Melalui melancong kita berupaya mengenal budaya asing dan nilai kemanusiaan.
Selain itu, apabila melihat orang lain bahagia juga adalah suatu rewards untuk diri saya. Saya selalu buat perkara-perkara kecil seperti mengembirakan kanak-kanak yang berada di hospital dengan patung atau permainan. Nikmat melihat orang lain bahagia ini sukar diungkap dengan kata-kata,” ucap Datuk Chef Wan.
BISNES
Menelusuri perniagaan milik Datuk Chef Wan yang semakin gah berdiri dan berjaya meletakkan dalam kelas yang tersendiri. Restoran De.Wan 1958 by Chef Wan semakin dikenali kerana memperkenalkan dan menghidangkan masakan moden Malaysia.
Paling istimewa apabila setiap menu yang dihidangkan adalah resipi istimewa air tangan chef terkemuka ini. “Alhamdulillah kerana rangkaian restoran kami mendapat sambutan luar jangkaan.
Buat masa ini tiga buah restoran sedia ada dan lapan buah restoran lagi bakal dibuka, secara keseluruhannya sebelas buah restoran menjelang bulan Jun 2022 nanti.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Apabila bisnes ini berkembang dengan begitu pantas ia merupakan suatu cabaran untuk saya. Kami mempunyai 110 chef bumiputera muda dan saya juga menjadi sumber inspirasi kepada mereka.
Segala pengalaman saya selama 30 tahun dalam bidang kulinari ini diturunkan kepada mereka. Saya kongsi segala resipi dan selalu menasihati anak muda ini untuk melakukan kerja dengan teliti, sentiasa menjaga disiplin dan selalu lengkapkan diri dengan skil di tempat kerja.
Apa yang saya kongsikan dengan semua staf bahawa nama Chef Wan ini adalah jenama. Perniagaan makanan ini selalu kena berkualiti tinggi dan konsisten serta perkhidmatan terbaik.
Sebab dalam bidang pemakanan (F&B) ini segala-galanya adalah bergantung kepada kualiti dan konsistensi. Apabila dua faktor ini berjaya dicapai kita akan melihat pelanggan pasti akan datang lagi.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Kita perlu menjadi lebih kreatif, empat bulan sekali tukar menu dan cabar chef untuk mengeluarkan idea baharu. Bagi mencapai objektif ini kita perlu melatih chef muda ini bukan semata-mata memberi gaji setiap bulan,” tutur penulis buku 400 Resipi Terbaik Chef Wan ini.
CABARAN
Teruja merungkai formula yang digunakan oleh Datuk Chef Wan merencana perniagaan kala ekonomi negara tidak stabil akibat mendepani penularan pandemik COVID-19.
“Saya selalu percaya life never stop, tidak kira bagaimana situasi yang mendatang saya selalu menerima cabaran. You will notice a lot of successful people dare to take risk. Kita kena ada formula istimewa dalam menjalankan perniagaan.
Jika tak berjaya dengan cara ini sudah tentu ada cara lain yang boleh dipraktikkan. Itu sebab selain restoran kami mengeluarkan macam-macam produk seperti mangkuk tingkat, kuih tart, roti, kuih-muih, sambal dan juga kerepek.
Perlu ada sumber kewangan kecil untuk membantu keseluruhan operasi perniagaan. Apabila kita betul-betul berusaha sudah pasti apa yang diusahakan itu mendapat ganjaran yang setimpal.
Dalam saat ekonomi kita diuji kita tak boleh patah semangat dan mengundur diri. Orang yang berjaya akan sentiasa mencari jalan untuk maju ke depan tanpa mengira kelemahan diri dan saya kira itu adalah semangat yang perlu ada untuk terus sukses.
Pada saya jika kita merasakan situasi sekarang sebagai suatu halangan yang mematahkan semangat, susah untuk kita mara ke depan. Apabila kita memikirkan bahawa situasi sekarang adalah sementara sahaja dan kemungkinan masa depan yang lebih cerah.
Sekiranya situasi ini berterusan kita perlu merancang lebih awal bagaimana mahu menanganinya. Dalam perniagaan tidak boleh ada satu perancangan sahaja kerana bukan sahaja melibatkan diri kita sebagai majikan malah melibatkan kehidupan semua pekerja dalam organisasi,” tutur lelaki yang lahir pada 6 Januari 1958 ini.
Memang benar setiap ujian pasti ada hikmahnya. Pasangan suami isteri ini pernah diuji rugi ratusan ribu ringgit namun tidak mengeluh malah terus berusaha sehingga ke titik kejayaan.
Semangat dan daya juang Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ailezee Rich Sdn. Bhd. Aliff Kadir dan Zirra Abdullah benar-benar cetus inspirasi. Dalam masa yang singkat pasangan usahawan kosmetik ini telah berjaya meletakkan jenama Skin Dessert by Ailezee Rich sebaris dengan jenama kosmetik tempatan terlaris di pasaran.
Meneraju sebuah organisasi dalam perniagaan bukan suatu tugas yang mudah dan bergelar sebagai usahawan perlu berani menanggung risiko dan bijak mencari peluang yang ada.
Walaupun keterlibatan awal lelaki yang berasal dari Kelantan ini dalam dunia perniagaan kosmetik hanya mahu membantu isteri semata-mata, namun sekali kaki melangkah lelaki yang bijak berkomunikasi ini tidak berpaling lagi.
“Memang pada awalnya saya tidak berfikir untuk terjun dalam dunia perniagaan. Sebenarnya isteri saya yang begitu minat berniaga dan memulakan perniagaan pertamanya selepas kami berkahwin.
Ketika itu saya masih lagi bekerja sebagai kakitangan awam dan membantu isteri apabila berkelapangan dengan membuka perniagaan kelengkapan perkahwinan.
Namun, dugaan datang apabila berlaku fenomena banjir besar di Kelantan pada tahun 2014. Habis semua barang-barang kelengkapan perkahwinan tersebut ranap dan kami mengalami kerugian lebih kurang RM100 ribu,” ujar Aliff yang rugi ratusan ribu ringgit ketika fenomena banjir tersebut.
Walaupun pernah diuji rugi ratusan ribu ringgit namun, pasangan suami isteri ini tidak goyah dengan ujian tersebut malah terus melangkah ke depan. “Ujian banjir besar itu kami tempuh dengan tabah dan mula mencari peluang baharu.
Isteri saya beralih kepada perniagaan kosmetik dengan menjadi dropship. Setelah hampir 3 tahun menjual produk kosmetik jenama lain kami berdua mengambil langkah drastik dan mencabar diri dengan melahirkan produk kosmetik sendiri.
Di samping itu, mungkin sudah tiba masanya untuk kami memikul amanah membawa team yang menyertai kami dari awal lagi untuk terus mara ke depan.
Kami berdua juga beruntung kerana mempunyai sebuah team yang kuat dan saling menyokong antara satu dengan yang lain. Maka lahir produk sulung kami ketika itu iaitu produk pelembap, Skin Dessert Moisturizer Treatment,” ucap Aliff penuh semangat.
Perancangan sangat penting dalam dunia perniagaan bagi memastikan terus berdaya saing. Keterujaan pasangan suami isteri ini merealisasikan strategi perniagaan mereka sekali lagi diuji.
“Pelbagai rancangan telah kami aturkan untuk menjenamakan produk ini, namun sebagai manusia biasa kita hanya mampu merancang. Baru bertatih mengeluarkan produk sendiri, kami sekali lagi diuji apabila dunia dilanda pandemik COVID-19.
Setiap ujian, saya ambil sebagai cabaran dalam meneruskan bisnes. Kami mencari alternatif dengan menjual face mask ketika musim pandemik.
Namun, atas faktor penghantaran yang sukar dan sekatan untuk bergerak ketika musim pandemik kami sekali lagi mengalami kerugian dan ketika itu akaun kewangan syarikat menjadi kosong.
Tiada istilah putus asa dalam kamus hidup kami dan segala pengalaman disimpul rapi digarap pula dengan ilmu dalam perniagaan yang dituntut berserta rezeki daripada Yang Maha Esa, perniagaan kami kembali bersinar apabila produk vitamin C keluaran syarikat mendapat sambutan yang luar biasa selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0,” tutur suami kepada Zirra Abdullah ini.
Zirra yang menjadi tulang belakang suami dan setia bersama turut menambah, “Tugas kami sebagai pengasas produk adalah untuk membangunkan insan dan membantu orang.
Kami nak bantu orang lain jadi jutawan. Bukan mudah bergelar pengasas produk ini kerana banyak kerja di belakang tabir yang orang lain tak tahu,” tutur Zira atau lebih mesra disapa Mommy di kalangan agennya sambil tersenyum manis di sisi suami tercinta.
Bersyukur kerana mempunyai suami yang bertolak ansur dan berwawasan jauh, Zirra akui perjalanannya dalam dunia perniagaan menjadi lebih luas setelah suaminya turut serta dalam syarikat milik mereka berdua. “Mula-mula saya struggle juga nak yakinkan suami untuk meninggalkan kerjayanya untuk menceburi bisnes sepenuh masa.
Sudah semestinya beliau mempunyai kerisauan tersendiri lebih-lebih lagi tugasnya sebagai ketua keluarga. Tapi saya ambil pendekatan dengan membawa suami dalam circle business.
Bila dia sendiri dah terjun dalam circle business, menghadiri kelas keusahawanan dan berkawan dengan orang-orang bisnes, alhamdulillah suami dah mula nampak keindahan dunia bisnes ini.
Ditambah pula dengan pengajian bersama seorang ustaz yang mengajar bahawa setiap rezeki itu datangnya dari Allah SWT, keyakinan suami bertambah dan sebulat suara berjuang bersama saya menguruskan perniagaan.
Alhamdulillah, berkat bekerja bersama-sama, sekarang kami berjaya capai kejayaan di luar jangkaan pun sebenarnya,” ucap wanita kelahiran Che Siti Wan Kembang ini.
LEBAR PERNIAGAAN
Setelah akhirnya masuk ke dunia perniagaan, Aliff dengan mudah dapat beradaptasi dan mula melebarkan sayap perniagaan. Bermula dengan bisnes kosmetik, lelaki yang berusia 36 tahun ini mula berjinak-jinak dengan perniagaan makanan dan minuman (F&B) dan hartanah.
“Saya akan berpuas hati jika dapat memberi balik sesuatu kepada masyarakat. Saya juga percaya mudahnya rezeki kita apabila menggembirakan orang. Banyak kita gembirakan orang banyak lagi Allah akan bagi balik.
Secara umumnya perniagaan Skin Dessert ini lebih kepada wanita. Jadi saya fikir dengan menceburi perniagaan F&B saya dapat membantu suami-suami kepada agen saya untuk bersama-sama dalam bisnes. Seperti saya dan isteri berjaya apabila sama-sama berniaga,itu yang saya nak terapkan kepada agen-agen saya.
Saya baharu sahaja membuka sebuah restoran di Kota Bharu, bersebelahan dengan KB Mall, Skin Dessert Dil Pecal dan bakal melancarkan franchise Takoyaki apabila kilang membuat membuat Takoyaki dibuka secara rasminya awal tahun depan.
Apa yang saya belajar, ada cara apabila kita dah punya modal kita kena cari satu benda yang boleh kita tambahkan kita punya kewangan. Saya juga merancang untuk meneroka ke dalam dunia hartanah tahun depan,” ucap Aliff yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola dalam perniagaan.
Kurniaan terindah, suri hati Raja Britain Raja Charles III iaitu Ratu Camilla rasmi bergelar wanita pertama mendapat gelaran Laksamana Madya (Vice Admiral) UK sempena ulang tahun ke-78.