Wanita India cukup sinonim dengan kecantikan eksotiknya… bermata besar, berhidung mancung, berkulit tanned dan berambut hitam lebat mengurai. Maka tidak hairanlah jika kebanyakan juara Miss World berasal dari negara gajah putih itu.
Antaranya Juhi Chawla, Aishwarya Rai, Sushmita Sen, Priyanka Chopra dan Lara Dutta. Itu belum lagi dicampur dengan finalis Top 10 dari India dalam pertandingan yang sama, kecantikan mereka sesungguhnya tiada tandingan!
Jadi sempena perayaan Deepavali minggu ini, Nona membariskan beberapa petua ringkas untuk mewujudkan kecantikan alami bak wanita India. Selamat mencuba.
(1) Gunakan Air Sejuk
Bagaimana mahu memastikan mekap tahan lama? Petuanya mudah saja. Selepas anda mengoles bedak asas cecair (liquid foundation) ke seluruh wajah, semburkan sedikit air sejuk hingga ke bahagian leher agar mekap tidak luntur. Selepas kering, barulah diikuti dengan langkah mekap seterusnya.
(2) Koko sebagai krim malam
Koko mengandungi kafein yang berfungsi untuk merangsang kulit agar lebih produktif dan awet muda. Anda boleh menyapu krim malam yang terbuat dari koko seperti ini dengan mudah.
Resipi Krim Malam Koko
- 2 sudu besar minyak badam
- 2 sudu besar lanolin
- 1 sudu teh serbuk koko
- 2 sudu teh air mawar
Di atas api yang perlahan, campurkan minyak badam, lanolin dan serbuk koko hingga sebati. Pastikan anda mengacau dengan senduk kayu kerana senduk besi akan mengubah komposisi bahan tadi. Selepas sebati, tuangkan air mawar dan sejukkan di dalam bekas. Gunakan krim ini setiap malam untuk kulit yang sihat.
(3) Hilangkan kantung mata
Bawah mata anda gelap dan sembap kerana kurang tidur? Atasi dengan daun pudina. Tumbuk lima helai daun pudina dengan sedikit air, campur sedikit minyak badam dan setengah sudu teh madu. Kacau dan pupurkan ke bawah mata sebelum tidur.
(4) Rambut bebas kelemumur
Jika rambut berkelemumur, amalkan petua wanita India dengan kuning telur ini. Campur 4 sudu besar minyak rosemary dengan sebiji kuning telur. Ratakan ke seluruh rambut dan picit dengan perlahan. Ramas rambut dan gunakan minyak zaitun hangat untuk hasil lebih sempurna.