Kalau dulu setiap kali menonton berita mahupun rancangan televisyen kendaliannya, kita sering ‘terpukau’ dengan pesona yang dimiliki personaliti penyiaran tersohor ini. Puan Sri Normala Samsudin dan gelaran ‘Wanita Melayu Terakhir’ sememangnya tak dapat dipisahkan.
Wajah terkini Puan Sri Normala Samsudin yang masih kekal menawan.
Kini Puan Sri Normala bebas daripada pentas glamor mahupun spotlight umum. Tenang menjalani kehidupan peribadi, isteri kepada bekas ahli politik Tan Sri Azmi Khalid ini menetap di Perlis. Hanya sekali sekala sahaja akan turun ke Kuala Lumpur jika ada urusan penting.
Bersama suami tercinta, Tan Sri Azmi Khalid.
PERNAH HIDUP SUSAH SEMASA KECIL
Benarlah, pengalaman hidup menjadikan siapa kita pada hari ini. Banyak yang kita belajar maka banyaklah juga pengalaman yang akan kita dapat. Berikut perkongsian paling berharga daripada Puan Sri Normala Samsudin buat para pembaca.
“Ketika kecil saya sudah merasa hidup susah. Hidup membantu keluarga, melihat bagaimana ibu yang bergelar ibu tunggal mencari wang demi keluarga. Saya melihat ibu seorang yang sangat kuat. Macam-macam usaha yang dilakukan oleh ibu demi mencari sesuap nasi antaranya dengan menoreh getah, berkebun dan sebagainya.
Ibu tersayang Puan Sri Normala Samsudin.
Kalau bulan Ramadan ibu akan kerja lebih kuat. Wang hasil torehan getah, ibu akan kumpul untuk membeli kain pasang dan menjahitnya pada sebelah malam untuk dijadikan baju raya. Alhamdulillah berkat rajin belajar saya juga pandai menjahit antaranya langsir dan baju kurung Johor. Semua kerja-kerja orang perempuan saya dah belajar sejak kecil. Dalam erti kata lain persediaan saya untuk menjadi seorang isteri seperti memasak dan melakukan kerja-kerja rumah sudah dididik oleh ibu sejak awal lagi.
Saya kagum dengan ibu kerana semangatnya yang luar biasa telah menjadikan siapa saya sekarang ini. Antara kata-kata ibu yang paling terkesan dalam hidup saya ialah tentang hikmah perceraian. Ketika saya pernah gagal dalam perkahwinan, demi menjaga hati saya, ibu berkata soal jodoh Allah yang tentukan. Semua yang terjadi ada hikmah dan kita kena sabar. Ringkas saja kata-katanya tetapi penuh makna tersirat.
PANDAI MEMASAK
Ads
Bagi saya orang perempuan perlu ada usaha untuk belajar memasak. Sedap atau tidak itu bukan perkara utama. Apa yang penting adalah usaha dan sentiasa praktis walaupun tak pernah pegang senduk. Saya sendiri sejak usia 9 tahun sudah pandai memasak. Sebagai anak sulung pagi-pagi lagi saya sudah ke dapur untuk masak cekodok dan lempeng pisang.
Saya dan adik perempuan memang diajar untuk tahu memasak sejak kecil. Bukan hanya belajar tanak nasi atas dapur kayu dan membuat kuih-kuih kampung bahkan kami juga belajar bagaimana cara nak kukur kelapa. Selain menoreh getah, ibu juga adalah penjual kuih-kuih kampung.
Antara menu-menu daripada air tangan Puan Sri Normala.
Siang ibu menorah getah, malam pula ibu sediakan bahan-bahan untuk buat kuih. Sebelum Subuh kuih dah siap untuk dihantar kepada penjual. Walaupun untung tak besar namun dapatlah juga beli baju sekolah dan pensil. Lagi pun niat saya bantu ibu buat kuih nak cari duit belanja sekolah. Lama-lama jadi seronok pula bila dapat upah bantu buat kuih. Hasilnya, kita menjadi anak-anak yang sentiasa ingat kesusahan orang tua yang membesarkan kita.
Ads
RAMADAN
“Ramadan tahun ini tak banyak beza seperti tahun-tahun sudah. Selalunya sebelum Ramadan saya akan buat perancangan awal dari segi lokasi sama ada akan berpuasa di Perlis atau Shah Alam. Kalau di Perlis sambutannya lebih meriah bermula pada waktu Subuh sampailah ke sahur.
Di sebalik tabir sesi fotografi NONA MEI 2020 yang lalu.
Dari segi juadah saya sendiri yang akan memasak untuk keluarga walaupun ada pembantu rumah. Saya yang akan tentukan apa yang hendak dimasak termasuklah bahan-bahan yang diperlukan. Selalunya suami dan anak-anak sukakan hidangan yang ringkas-ringkas sahaja dan tidak pedas. Kalau Ruhila selalunya akan meminta saya untuk masakkan laksa, kengsom atau masak rebus asam singgang.
Bersama anak perempuan, Dr Ruhila. Sama cantik!
Antara kenangan malam raya paling manis ialah ketika saya dan adik beradik perempuan sama-sama membuat kuih raya, lemang dan ketupat. Selalunya selepas dengar pengumuman raya barulah kami akan pergi menangkap ayam peliharaan keluarga kemudian disembelih untuk dijadikan rendang. Momen ini paling seronok kerana kami sangat teruja untuk menyambut raya.
Ads
NASIHAT
“Doa ibu sangat penting kepada anak-anak. Saya sering mengingatkan anak-anak perempuan tentang persediaan dan tanggungjawab sebagai isteri. Dalam rumahtangga perlu banyak bersabar dan berkompromi. Walaupun adakalanya kita rasa kita betul tetapi cuba bercakap secara baik dengan suami. Kalau di tempat kerja kita seorang ketua, di rumah kita tetap seorang isteri dan ibu. Sentiasa berdoa agar suami mudah lembut hati.
Wanita zaman dulu lebih banyak bertenang dan sabar. Selalunya orang-orang yang lebih tua akan sentiasa ada untuk memberikan nasihat. Contoh ibu saya, walau macam mana pun kehidupannnya dalam rumahtangga ibu tidak pernah bising atau tunjuk depan anak-anak. Tidak bercerita sana sini.
Sebaliknya pula yang berlaku pada zaman ini. Ada masalah sikit terus kongsi di media sosial. Ini sebenarnya satu ‘penyakit’ merbahaya. Bagaimana buruknya keadaan rumahtangga atau terguris hati dengan suami jangan sesekali memuat naik status di media sosial. Saya sendiri tak menyokong perbuatan ini.
Ibu dan anak, sama cantik.
Bagi saya tanpa ilmu seseorang itu tak akan mampu pergi lebih jauh. Sebagai wanita juga kita perlu bekerja. Jangan terlalu bergantung kepada duit suami terutama pada zaman sekarang. Harus ada prinsip ‘saya perlu bekerja’. Maka, setiap anak perlu dididik dengan pelajaran. Sekurang-kurangnya dengan adanya ilmu mereka tahu untuk handle kehidupan yang kian mencabar.
Sekarang ini saya banyak menguruskan kerja-kerja di rumah termasuk berkebun seperti menanam ulam ulaman, pokok pisang, pokok rambutan dan sebagainya. Memandangkan anak-anak pun dah besar maka masa saya lebih banyak di Perlis. Selain itu, saya juga aktif dengan aktiviti hiking.”
Kredit Foto: Instagram @normalasamsudinofficial
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Reputasinya dalam aktiviti kebajikan tiada siapa pun dapat melupakan. Lapan tahun, Dato’ Ruby Khong merupakan pendorong utama di belakang Kechara Soup Kitchen (KSK), sebuah yayasan yang bertujuan untuk memberi makan dan menyediakan bantuan perubatan kepada gelandangan di Malaysia.
Dia sebenarnya memulakan perjalanannya seperti jelitawan VIP lain, bergaya anggun hadir ke pelbagai keramaian tetapi kala turun menyusuri lorong-lorong ibu kota segala-galanya ditinggalkan. Hanya tampil ringkas dengan membawa visi untuk memberi bantuan seikhlas mungkin kepada mereka yang memerlukan. Itu dua tahun lalu, sewaktu perjalanannya bersama KSK dan kini beliau terus gembira meniti hidup baru yang lebih aktif…
Sesiapa sahaja pasti merasakan keseronokan tatkala bertemu Dato’ Ruby. Sikapnya yang positif dan memberi inspirasi kepada masyarakat sekeliling membezakan keseronokan peribadi dan tuntutan untuk berbudi kembali kepada dunia sebagai tempat yang lebih baik. “Ya! 8 tahun saya bersama KSK dan dua tahun lalu saya melepaskan tanggungjawab itu kerana ingin memberi ruang rehat kepada diri sendiri. Perjalanan saya dengan KSK telah menjadi satu kenangan terindah.
Terlalu banyak cerita untuk diberitahu dan dikongsi tetapi yang boleh saya katakan… Setiap hari, sama ada dari pejabat KSK dan di sepanjang jalan ibu kota, saya melihat ramai sukarelawan dari pelbagai latar belakang yang tampil memberi bantuan kepada rakyat kita yang miskin dan tiada tempat tinggal. Ini menyejukkan hati saya bahawa masih ada banyak rakyat Malaysia yang prihatin dan tidak mengabaikan tanggungjawab mereka kepada manusia lain yang kurang bernasib baik. Hidup ini akan lebih bermakna kiranya kita dapat memberi senyuman terindah buat mereka yang memerlukan.”
Sejak tidak aktif bersama KSK, Dato’ Ruby menghabiskan masa untuk dirinya berehat, melancong, keluar bersama rakan-rakan, bermain golf dan melukis. “Setelah puas berehat selama sebelas bulan, saya mula terasa sepi dan timbul keinginan untuk aktif kembali. Melalui laman sosial, saya terlihat adanya peluang sebagai konsultan untuk satu projek jangka pendek. Tanpa berfikir panjang, saya terus menghubungi pihak tersebut dan saya diterima sebagai Project Consultant, Malaysia Global Innovation & Creativity Centre (MAGIC) di bawah naungan Kementerian Kewangan. Projek ini telah berjalan dengan jayanya pada tahun lepas 2016.
Kejayaan itu, membuatkan saya masih diperlukan untuk kelangsungan projek jangka lebih panjang. Tugasan ini amat menarik, sebagai contoh ramai ibu tunggal yang berjaya menjalankan pelbagai perniagaan. Kita ingin mereka turun padang di kawasan luar bandar untuk berjumpa dengan wanita lain untuk sama-sama melaksanakan perniagaan tersebut sebagai francais dengan kerjasama TEKUN. Saya akan membawa pihak terlibat untuk memberi penerangan dan informasi tentang peluang perniagaan,” ujar Dato’ Ruby yang juga merupakan Special Advisor, UN World Food Programme (WFP).
Kata Dato’ Ruby tentang kejayaan wanita hari ini, “Ini adalah senario yang sihat apabila semakin ramai wanita yang agresif bekerja. Saya gembira melihat trend sekarang yang membuka banyak peluang untuk wanita yang mempunyai anak untuk bekerja dengan menyediakan pelbagai kemudahan. Saya percaya dengan sokongan ekosistem kita, pasti ramai wanita ingin kembali bekerja selepas berkahwin dan mempunyai anak. Contohnya kalau dahulu kurangnya kemudahan untuk ibu menyusukan anak tetapi sekarang kemudahan itu telah diperbanyakkan dan memudahkan pergerakan wanita ke mana sahaja.”
Status sebagai seorang VIP, “Membawa status tentu sahaja menuntut saya untuk menjaga tatasusila, kesopanan dan penampilan di mata umum. Ya! Benar perkara ini perlu dititik beratkan tetapi saya juga merupakan manusia biasa yang mempunyai banyak kelemahan dan mungkin hari-hari tertentu sedih, malas atau tidak ingin berjumpa dengan sesiapa kerana ingin masa untuk bersendiri. Saya percaya jika kita menjadi diri sendiri dan ikhlas dengan sesiapa sahaja, kita akan bersikap jujur dengan mereka.
Jika saya boleh membantu, saya akan cuba untuk menolong tetapi jika ia di luar daripada kemampuan, saya akan berterus-terang dan meminta maaf kerana tidak dapat memenuhi permintaan itu. Saya bersyukur dengan individu yang masih sudi untuk datang bagi meminta bantuan tetapi seperti saya katakan tadi, kita hanya manusia mungkin tidak semua dapat dipenuhi.
Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. “Berbicara tentang anak saya Elisa, 29 dan Clifford, 28, saya bersyukur mereka juga berminat untuk melakukan kerja amal. Saya berbangga dengan Elisa yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Sepatutnya majlis itu boleh diabadikan sebagai sebuah majlis besar-besaran dengan menelan belanja jutaan ringgit, tetapi anak saya sanggup mengetepikan impian perkahwinan itu dengan mendermakan RM1.5 juta yang kami beri kepada sebuah badan kebajikan dan juga menderma untuk pekerja sosial yang akan melanjutkan pelajaran di Oxford University.
Keputusan yang dibuat itu amat menyentuh hati saya sebagai seorang ibu dan amat bangga dengan tindakan itu. Saya bersyukur mempunyai anak-anak yang sangat baik dan sentiasa mengambil berat orang di sekeliling mereka,” jelas Dato’ Ruby yang turut bangga dengan kejayaan anaknya, Clifford yang bakal menjadi seorang pilot suatu hari nanti.
Pada waktu senggang, tetamu VIP ini bukan memilih aktiviti untuk membeli-belah atau menghabiskan waktu di spa tetapi beliau senang sekali melayari Google. “Mungkin hobi ini jarang sekali menjadi pilihan ramai wanita tetapi itulah hakikatnya. Saya suka Google kerana terdapat banyak ilmu, informasi dan perkembangan semasa yang boleh diperoleh dari situ. Melalui cara ini saya dapat menambah pengetahuan dan mengikuti perkembangan semasa dengan mudah. Buat semua wanita, lakukanlah apa sahaja yang terbaik yang boleh memberi faedah kepada diri sendiri asalkan tidak menyusahkan atau menyakiti orang lain,” terangnya mengakhiri perbualan. #nonasuperwoman #inspirasinona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Namanya mula dijulang saat menjuarai program realiti masakan popular iaitu MasterChef Malaysia musim pertama. Dr Ezani Farhana Md Monoto atau lebih dikenali sebagai Dr Ezani wajar dijadikan inspirasi oleh seluruh wanita kerana selain bergelar Cef selebriti, Dr Ezani juga memikul tanggungjawab sebagai Pegawai Pergigian di Pusat Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.
IDOLA
Sejak kecil Dr Ezani sangat cemerlang dalam akademik serta bercita-cita untuk menjadi seorang doktor gigi. Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang mengutamakan pendidikan sementelah bapa beliau merupakan Pegawai Pendidikan. Ibunya pula merupakan seorang Pengetua.
“Sejak kecil saya menjadikan kejayaan kakak dalam pelajaran sebagai pendorong untuk saya sukses. Dari sudut memasak pula semestinya ibu sebagai inspirasi. Semasa kecil saya sering membantu ibu berniaga makanan secara kecil-kecilan. Saya dan suami berimpian untuk membuka restoran sendiri. Sebab itulah kami sering kali menyertai festival-festival makanan. Suami juga minat memasak dan sering membantu saya di dapur.
Dalam bidang perubatan saya sangat mengagumi dan menghormati Prof Dr Muhaya Mohamad. Beliau memberi inspirasi buat saya untuk menjadi seorang wanita yang kuat dalam kehidupan. Sesibuk mana pun beliau tetap ada masa untuk bersama suami dan anak-anak. Beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Tun Fatimah.
Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad
Saya menganggap beliau sebagai srikandi kerana ketika masih bergelar pelajar perubatan di universiti beliau berkahwin namun tetap cemerlang dalam pelajaran dan bergelar pelajar terbaik. Beliau seorang yang sangat impresif. Beliau juga tersohor dalam bidang motivasi dan perniagaan,” bicara Dr Ezani.
PERUBAHAN
“Saya merupakan graduan jurusan pergigian di Universiti Adelaide, Australia. Sementara menunggu panggilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) saya menyertai program realiti MasterChef Malaysia musim pertama terbitan Astro.
Sebenarnya semasa belajar di luar negara pun saya gemar memasak. Rakan-rakan ramai yang menyokong saya untuk menyertai program tersebut. Tawaran menyertai MasterChef Malaysia datang serentak bersama surat panggilan KKM untuk berkhidmat di Sabah.
Saya memohon penangguhan jawatan selama setahun dari KKM atas alasan terikat dengan program MasterChef Malaysia,” kongsi anak jati Muar, Johor ini.
Percaturan ibu kepada seorang anak ini tidak sia-sia apabila beliau menjuarai program MasterChef Malaysia musim pertama. Nama Dr Ezani semakin popular sekali gus mengubah kehidupannya secara total.
Sering berkongsi hobi mencipta resipi baharu bersama kakak dan ibunya, doktor muda ini turut menjadikan mereka sebagai sumber inspirasi. Selain mengagumi kepetahan dan kemahiran Datuk CHef Wan dalam dunia masakan. Menyentuh obsesi dan kemahiran yang dimilikinya, Dr Ezani mengakui gemar menghasilkan pastri dan pencuci mulut.
TUGAS HAKIKI
Pada tahun 2013 Dr Ezani bergelar Pegawai Pergigian di Pusat Kesihatan UPM Serdang. Bermula secara kontrak akhirnya kini beliau bertugas secara sepenuh masa di universiti tersebut.
“Tugas saya sebagai doktor gigi bermula pada hari Isnin hingga Jumaat. Saya bertanggungjawab membantu pesakit menyelesaikan masalah berkaitan. Kebanyakan pesakit atau klien terdiri daripada pelajar dan kakitangan universiti UPM. Setakat ini saya gembira dengan kerjaya ini dan tiada stres.
Hujung minggu saya peruntukan untuk aktiviti berkaitan masakan seperti program televisyen, fotografi dan sebagainya. Saya bersyukur suami turut membantu menjaga anak kerana masanya fleksibel. Suami merupakan Doktor Sakit Puan dan Pensyarah di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM),” kongsi Dr Ezani.
“Cabaran kerjaya saya ialah bagaimana menyelesaikan masalah pesakit. Cari punca mengapa giginya sakit di samping menerapkan kepentingan pemeriksaan secara teratur selain menitikberatkan penjagaan sendiri. Cabut gigi tiada masalah tetapi sebagai doktor saya perlu tahu prosedur dan risikonya terhadap pesakit,” akhiri Dr Ezani dengan senyuman. Dr Ezani turut memiliki produk sendiri iaitu Supreme Belgian Chocolate Cookies keluaran Pastri Bella by Dr Ezani.
Dr Ezani juga kini memiliki kedai kek di Tamarind Square, Cyberjaya dinamakan Pastribella Bakeshop. Pesanan kek dan pastri dari Pastribella Bakeshop ini juga boleh dibuat secara online. Untuk maklumat lanjut boleh lihat di Instagram Pastribella Bakeshop.
Kredit Foto: Dr Ezani Monoto
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Untungnya bayi comel yang diberi nama Yusoff Al Qardawi ini. Bukan saja menjadi kesayangan ibu bapa, Dato’ Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Shahida Mohd Rashid bahkan kelahirannya pada 25 Jun lalu turut mendapat perhatian meluas. Semalam, di kediaman mewah Aliff Syukri Palace telah berlangsungnya Majlis Tahnik, Cukur Jambul dan Akikah Yusoff Al Qardawi. Diraikan mengikut adat dan budaya Melayu, putera keempat usahawan ternama ini sekali lagi mencuri tumpuan apabila majlis tersebut mendapat sentuhan dekorasi dan pelamin dari Glam Weddings by Dato’ Rizalman. Memang luar biasa cantik!
Tanpa berselindung, Dato’ Seri Aliff berkata majlis menyambut cahaya mata seumpama ini yang menggunakan khidmat Dato’ Rizalman telah lama menjadi impian isterinya. Alhamdulillah, angan-angan Datin Seri Shahida akhirnya menjadi realiti. Enggan berkongsi jumlah belanja yang diperuntukkan untuk acara berkenaan, Pengasas D’Herbs ini turut memaklumkan persalinan yang dipakai beliau, isteri dan Yusoff Al Qardawi juga merupakan rekaan Dato’ Rizalman.
Datin Seri Shahida, biarpun baru dua minggu melahirkan anak namun pesona ibu muda ini tetap terserlah. Kelihatan anggun dan ceria melayan tetamu yang hadir, pertanyaan Nona tentang kelahiran Yusoff Al Qardawi tanpa jahitan dan hanya mengambil masa sejam disambut dengan senyuman manis. “Tak ada apa-apa amalan pun cuma memang daripada anak ketiga lagi memang dah tak ada jahitan.. so, kita banyak berjalan la.”
Mendengar jawapan isteri tercinta, Dato’ Seri Aliff yang berada di sebelah sempat mencelah. “Sebenarnya dia banyak baca Al-Quran setiap hari. Lepas tu dia minum air zam-zam dan waktu beranak dia baca ayat-ayat Al-Quran.” Sambil tertawa, Datin Seri Shahida menambah. “Biasa je, memanglah bila kita mengandung mestilah banyakkan beribadah. Macam tu lah..”
Yusoff Al Qardawi di samping nenda tersayang
Memang merendah diri sungguh Datin Seri Shahida ni. Mengakui beliau bukanlah seorang yang gemar mengumpul koleksi barangan berjenama … namun jauh di sudut hati, Datin Seri Shahida sangat menghargai setiap pemberian suami tercinta. Meskipun ada yang menganggap, air mukanya seolah-olah tidak menyenangi hadiah Dato’ Seri Aliff selepas melahirkan anak mereka baru-baru ini namun tegasnya ia sekadar tanggapan negatif masyarakat.
“Sebenarnya saya suka tapi saya bukan jenis yang karakter macam tu. Saya bukanlah seorang yang ‘gila’ shopping handbag ke, jam tangan ke, barang kemas ke.. memang saya tak suka.”
Pada majlis sama, Dato’ Seri Aliff dan Datin Seri Shahida turut menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri. Selain dihadiri rakan media, rakan bisnes dan masyarakat setempat, beberapa artis tempatan turut kelihatan memeriahkan majlis. Antaranya, Norman Hakim dan isteri, Memey Suhaiza, Joy Revfa, Vie Shantie dan Fasha Sandha.
Mendirikan rumah tangga pada Ogos 2007, pasangan ini dikurniakan tiga orang anak iaitu Ammar Ahyan, 10 tahun, Qadejah El Zahra, 8 tahun dan Ibraheem Adham, 6 tahun. Tahun lalu, Dato’ Seri Aliff dan Datin Seri Shahida mengambil dua anak angkat iaitu Ameena yang kini berusia sembilan bulan dan Qayyum, tujuh bulan. Moga dengan kehadiran cahaya mata baru ini perniagaan Dato’ Seri Aliff terus berkembang maju dan seisi keluarga diberkati Allah SWT.
Kredit foto: Haikal Mulia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!