
Kisah pengasas Eco-Shop Malaysia, Dato’ Sri Lee Kar Whatt bina empayar kedai RM2.60 tanpa ijazah universiti menitip inspirasi dunia perniagaan. Daripada seorang pemuda yang hanya memiliki kelulusan sekolah menengah, beliau berjaya membuktikan bahawa keberanian, kerja keras dan pemahaman terhadap keperluan rakyat mampu membawa seseorang mencapai kejayaan luar biasa sehingga tersenarai sebagai antara individu terkaya Malaysia.
Di sebalik rangkaian kedai RM2.60 yang begitu dekat di hati rakyat, berdiri seorang lelaki yang pernah melalui fasa hidup penuh kesederhanaan. Dato’ Sri Lee bukanlah individu yang menikmati pendidikan tinggi atau memiliki laluan hidup mewah sejak awal.


Berusia 52 tahun, beliau hanya menamatkan persekolahan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Jementah pada tahun 1989 sebelum memilih untuk terus bekerja demi mencari pengalaman dan membantu membina kehidupan sendiri.
Permulaan Hidup Pengasas Eco-Shop Malaysia
Tanpa ijazah universiti, pengasas Eco-Shop Malaysia ini memulakan langkah dalam dunia pekerjaan secara sambilan di syarikat pembinaan dan pengubahsuaian pada tahun 1988. Selepas itu, beliau bekerja dalam pelbagai syarikat berkaitan pembinaan, renovasi dan perkapalan sehingga tahun 1994.
Kehidupan awalnya jauh daripada glamor dunia korporat, namun di situlah beliau belajar tentang disiplin, ketahanan dan realiti sebenar dunia perniagaan.
Pada usia muda, beliau memberanikan diri menubuhkan Hau Sen Enterprise, sebuah syarikat kecil yang menjalankan kerja pembinaan dan pengubahsuaian. Walaupun perniagaan itu sederhana, ia menjadi titik penting yang mengajar beliau tentang pengurusan dan keberanian berniaga.
Bagaimana Eco-Shop Malaysia Bermula
Namun siapa sangka, langkah paling besar dalam hidupnya bermula apabila beliau beralih ke dunia peruncitan pada tahun 2002.
Bersama ahli keluarga dan rakan kongsi termasuk Pang Kueh Khim, beliau membuka sebuah kedai bernama Kedai Ekonomi Hari-Hari di Kota Bharu, Kelantan. Walaupun percubaan pertama itu tidak bertahan lama, kegagalan tersebut tidak mematahkan semangatnya.

Sebaliknya, pengalaman itu menjadi permulaan kepada idea yang akhirnya mengubah landskap peruncitan tempatan.
Pada tahun 2003, beliau menubuhkan Eco-Shop Malaysia dan membuka kedai RM2 pertama di Gemas, Negeri Sembilan. Konsepnya cukup mudah, menyediakan barangan harian berkualiti pada harga mampu milik untuk rakyat biasa.
Ketika ramai melihat perniagaan harga murah sebagai sesuatu yang kecil, Dato’ Sri Lee nampak peluang yang lebih besar. Beliau memahami satu perkara penting, rakyat Malaysia sentiasa memerlukan tempat membeli barang keperluan dengan harga yang tidak membebankan.
Kejayaan Eco-Shop Malaysia Dekat di Hati Rakyat
Daripada sebuah kedai kecil, Eco-Shop Malaysia berkembang menjadi fenomena nasional. Hari ini, rangkaian itu memiliki ratusan cawangan di seluruh negara dan menjadi destinasi pilihan jutaan rakyat Malaysia.
Sama ada di bandar besar mahupun pekan kecil, Eco-Shop sering menjadi ‘penyelamat poket’ untuk keluarga, pelajar dan golongan berpendapatan sederhana.
Kejayaan luar biasa itu akhirnya membawa Dato’ Sri Lee tersenarai antara individu terkaya Malaysia selepas penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia pada Mei 2025. Nilai kekayaannya dianggarkan mencecah USD $1.5 bilion.

Namun apa yang lebih menarik, beliau tidak dilihat sebagai figura korporat yang jauh daripada rakyat. Sebaliknya, jenama Eco-Shop sendiri menjadikan namanya dekat dengan masyarakat.
Dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat, kewujudan Eco-Shop Malaysia memberi ruang kepada ramai orang untuk berjimat tanpa perlu berasa tertekan.
Itulah sebabnya Eco-Shop bukan sekadar kedai RM2.60. Ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia.
Sumbangan & Nilai Murni Dato’ Sri Lee Kar Whatt
Di sebalik kejayaan besar itu, Dato’ Sri Lee juga aktif dalam kerja kebajikan dan keusahawanan sosial. Beliau terlibat dalam Malaysian Social Entrepreneurs Foundation dan pernah menyumbang RM1 juta kepada mangsa gempa bumi di Turki.
Banyak program kebajikan yang dijalankan sebagai inisiatif memberi semula kepada masyarakat. Antaranya program Jelajah Kasih Bersama Eco-Shop, iaitu inisiatif perayaan selama sebulan yang dijalankan dengan kerjasama Kechara Soup Kitchen.

Berlangsung sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan lepas, kempen ini menyalurkan bantuan kewangan dan barangan keperluan bernilai lebih RM20,000 kepada sepuluh rumah kebajikan warga emas di sekitar Lembah Klang dan Johor, selaras dengan usaha menyokong program nasional Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Bagi Dato’ Sri Lee, kejayaan perniagaan bukan sekadar tentang keuntungan, tetapi bagaimana seseorang mampu memberi manfaat semula kepada masyarakat.
Kisah hidup bilionair ini membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya bermula dengan pendidikan tinggi atau latar belakang mewah. Kadangkala, ia bermula dengan keberanian untuk mencuba, kesanggupan bekerja keras dan keikhlasan memahami keperluan rakyat.
Daripada seorang pemuda yang tidak menyambung pengajian ke universiti, beliau akhirnya membina empayar perniagaan yang bukan sahaja berjaya, tetapi benar-benar dekat di hati rakyat Malaysia.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/hadiah-hari-ibu/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





