Pengasas HUDA BEAUTY Keturunan Iraq Ini Raih Ratusan Juta Dollar Hanya Melalui Online!

Wow, lain macam penangan produk kosmetik Huda Beauty! Bayangkan dengan hanya menggunakan medium media sosial seperti Facebook, Instagram, Youtube dan bisnes dalam talian sahaja… pengasas Huda Beauty ini berjaya raih jualan mencecah ratusan juta dollar.

Bahkan pengasasnya Huda Kattan mengakui tidak pernah melaburkan duit untuk tujuan pemasaran seperti kebanyakan perniagaan lain yang mempromosikan produk mereka menerusi iklan komersial di media cetak dan elektronik, billboard dan sebagainya. Dah namanya rezeki, walau tanpa strategi pemasaran pun bisnes mereka mampu berdiri sendiri.

Mendekati wanita besi di sebalik jenama bernilai jutaan dollar ini, Huda Kattan yang memiliki darah keturunan Iraq kini meniti usia 36 tahun. Ketika baru berumur dua tahun, keluarganya telah berpindah ke Boston. Memetik laporan Vogue Arabia, Huda dilahirkan pada 2 Oktober 1983 di Oklahoma dan mewarisi keturunan Iraq daripada kedua ibu bapanya yang berhijrah ke United Kingdom untuk mengajar subjek Biologi di samping mendalami bidang kejuruteraan mekanikal.

Huda merupakan anak kedua daripada empat beradik. Kakaknya, Alya ialah 10 tahun berusia darinya dan dia dikurniakan seorang adik perempuan dan lelaki masing-masing bernama Mona dan Khalid. Semasa tinggal di kejiranan Boston, Huda dikenali dengan nama panggilan ‘Heidi’.

Merujuk kenyataan Huda bersama Vogue pada tahun 2015, “Saya suka dengan nama Huda tapi masyarakat di sana menganggap nama tersebut pelik. Bagaimanapun setelah berpindah ke Massachusetts, rakan-rakan menyambut baik nama Huda… begitu juga bila mereka tahu saya berketurunan Iraq.”

Ketika melanjutkan pengajian dalam bidang kewangan di University of Michigan-Dearbon, Huda berkenalan dengan Chris Goncalo iaitu suaminya hari ini. Pasangan ini dikatakan berhijrah ke Dubai pada tahun 2006 dan menyambut cahaya mata perempuan diberi nama Nour Gisele tidak lama kemudian.

Sebelum bergelar usahawan kosmetik berjaya, Huda pernah menjadi makeup artist di Hollywood dan mula didedahkan dengan produk kecantikan melalui kakaknya sendiri, Alya. Figura yang memiliki raut wajah cantik dan bibir mungil ini sudah menjadi blogger sejak tahun 2010 lagi seterusnya mencipta populariti di alam maya selepas tip dan petua kecantikannya menjadi viral.

Berdasarkan laporan Vogue, ibu seorang anak ini pernah menjadi jurusolek di Revlon dan bekerja di beberapa syarikat jenama mewah seperti Cartier dan Mercedes. Mengikut laporan Forbes pula, Huda menceburi bidang solekan dan blog selepas dia rasa tidak puas berkerja dalam bidang kewangan.

Tiga tahun bergelar blogger, Huda mendapat inspirasi menghasilkan bulu mata palsu selepas dia sukar mendapatkan produk berkenaan di pasaran. Bermula dari situlah, empayar Huda Beauty diterajui tiga beradik ini wujud dan terus berkembang hingga ke peringkat antarabangsa.

Hari ini, rangkaian kosmetik Huda Beauty mempunyai 140 produk yang terdiri daripada set pembayang mata, bedak asas, variasi gincu bibir, kuku palsu dan sebagainya yang dianggarkan mencecah jualan tahunan tidak kurang USD 250 juta. Melihat kejayaan itu, tidak hairanlah Forbes menyenaraikan Huda Kattan antara 2019 America’s Richest Self-Made Women berjumlah USD 610 juta.

 

 

 

Sumber: Forbes & Vogue Arabia

IKLAN
Share