DR JILL BIDEN

Rakyat Amerika Syarikat (AS) akhirnya ‘bersuara’ dan memilih pemimpin parti Demokrat, Joe Biden sebagai presiden mereka yang baharu. Keputusan itu diperoleh selepas berlangsungnya pilihanraya negara kuasa besar tersebut pada 3 November lalu yang menyaksikan Joe Biden meraih 284 undi mengalahkan bekas presiden, Donald Trump yang hanya memperoleh 214 undi elektoral!

IKLAN

Selain kelibat Donald Trump dan pencabarnya, Joe Biden yang menarik perhatian dunia … penampilan isteri kepada kedua-dua pemimpin berpengaruh tersebut turut menjadi tumpuan umum.

Jika Melania Trump yang selama ini dikenali kerana keanggunan dan cita rasa fesyen mewahnya, personaliti Dr Jill Biden pula dipercayai semakin menambat hati penduduk Amerika. Mana tidaknya, selain bergelar isteri, ibu dan juga nenek… Dr Jill yang kini meniti usia 69 tahun merupakan seorang tokoh akademik dan menabur bakti sebagai pendidik sepanjang hayatnya.

Dilahirkan pada 3 Jun 1951 di Hammonton, New Jersey, Dr Jill yang menerima Ijazah Sarjana Muda dari University of Delaware kemudian mengajar subjek Bahasa Inggeris di sekolah awam selama 13 tahun selain menjadi pakar bidang tersebut yang turut mengajar di sebuah hospital psikiatrik.

Disifatkan seorang yang pintar, Dr Jill menyambung pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pendidikan di West Chester State College dan bidang Bahasa Inggeris di Villanova University. Seterusnya dia dilantik sebagai profesor di Delaware Technical and Community College.

Ketika bertugas di kolej komuniti, Dr Jill memperoleh pengiktirafan Doctor of Education degree (EdD) dari University of Delaware. Difahamkan dia mengajar di kolej berkenaan selama kira-kira 15 tahun sebelum suaminya, Joe Biden dilantik sebagai Naib Presiden.

Foto kenangan sewaktu Dr Jill Biden bergelar Guru Bahasa Inggeris

Meskipun menyandang status sebagai Second Lady As, namun Dr Jill tetap mahu berkhidmat kepada masyarakat dan kembali mengajar di Northern Virginia Community College sepanjang dua penggal suaminya memegang jawatan Naib Presiden.

IKLAN

Hasil perkahwinan bersama Joe Biden sejak tahun 1977, Dr Jill dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Ashley Biden yang kini berusia 39 tahun. Joe Biden sebelum ini mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu bersama bekas isteri yang meninggal dunia akibat kemalangan.

Joe Biden bertanding atas tiket parti Demokrat sementara Trump pula menerusi parti Republican. Dalam pada itu, rakan seperjuangan Joe Biden iaitu Kamala Harris pula dinobatkan sebagai wanita kulit hitam India – Amerika pertama bergelar Naib Presiden Amerika Syarikat. Dalam pilihanraya presiden Amerika Syarikat 2020 ini juga, Joe mendapat sokongan daripada bekas Presiden, Barack Obama.

IKLAN

 

 

 

Sumber: Forbes