Hotel Sultan di Jakarta menjadi saksi anak Malaysia bernama Penny Choo diiktiraf anugerah berprestij daripada Rangkaian Usahawan Wanita ASEAN (AWEN). Wanita hebat ini diangkat sebagai penerima Anugerah Usahawan Wanita Cemerlang ASEAN 2022 di atas usahanya memajukan BloomThis sekaligus menaikkan industri penjualan bunga segar secara online.
“Saya amat berbesar hati menerima anugerah ini, kerana ia mengiktiraf kerja keras dan kesungguhan saya selama ini. Saya pasti setiap usahawan wanita dapat menyelami keperitan yang dirasai pada setiap hari hanya untuk memastikan perniagaan mereka bertahan.
Saya sendiri berdepan cabaran yang sama dan saya bersyukur atas semua perkara yang saya pelajari selama ini sehingga saya berada di sini pada hari ini, berdiri sama tinggi bersama penerima-penerima anugerah lain yang juga sedang mengecapi hasil usaha mereka.” Penny Choo
Anugerah AWEN 2022 bertujuan untuk menghargai usahawan-usahawan wanita dalam negara-negara anggota ASEAN yang memberikan sumbangan besar kepada industri masing-masing dan bertujuan merancakkan penglibatan wanita dalam semua peringkat aktiviti ekonomi.
Meskipun Penny Choo berkelulusan Ijazah Sains Pemakanan dan Farmaseutikal, kecintaan wanita ini terhadap bunga mengatasi segala-galanya. Berpegang kepada minat itu, beliau cekal mengusahakan bisnes flower gifting iaitu BloomThis sehingga menjadi antara yang terbaik di tanah air.
Sejak zaman kuliah lagi, Penny Choo sudah menyibukkan diri membuat pelbagai kerja sambilan bagi menambah wang poketnya sebagai pelajar. Penny pernah menjadi promoter separuh masa, guru tuisyen dan wakil jualan sebelum akhirnya melabuhkan tirai kerjaya sebagai Penasihat Nutrisi.
Dua tahun kemudian, Penny menyertai sebuah syarikat farmaseutikal sebagai product specialist tanpa menyedari di situlah tempat pertemuannya dengan bakal suami, Giden Lim. Selain bibit-bibit cinta, perkenalan mereka turut menemukan minat sebenar Penny iaitu menggubah bunga yang dipendam rapi selama ini.
Rupa-rupanya Giden juga lahir dari keluarga yang menyenangi bunga. Ibunya mempunyai sebuah kedai bunga di Pulau Pinang dan Giden pernah bekerja memasarkan produk-produk bunga ibu tersayang di platform e-dagang. Kali pertama Penny melihat website tersebut, beliau nampak betapa besarnya masa depan dan potensi memajukan bisnes tersebut.
Maka bermulalah misi pasangan ini membangunkan bisnes flower gifting bersama-sama. Dua tahun berusaha keras menembusi pasaran dan mencipta produk baru, belum menjamin kejayaan bisnes sepenuhnya. Maklumlah, pelanggan juga masih baru dengan konsep pembelian bunga secara online.
Penny enggan menyerah. Beliau menyertai MaGIC Accelerator Program dan belajar dengan tunjuk ajar CEO MaGIC sendiri, Cheryl Yeoh. Transformasi ini berjaya membawa Penny dan Giden kembali lebih kuat malah lahirnya syarikat bernama BloomThis pada tahun 2015.
Dengan tenaga hanya dua pekerja iaitu Penny dan Giden sendiri, mereka berusaha membangunkan BloomThis dari rumah. Selama enam bulan pertama, Giden menguruskan pemasaran dan mengambil tempahan, sementara Penny bekerja menggubah bunga dan menyimpan tangkai-tangkai bunga segar dalam peti sejuk rumah mereka.
BISNES DARI RUMAH
Bermula dari bisnes kecil-kecilan yang dijalankan dari apartmen kecil, Penny dan Giden kemudiannya berpindah ke tempat ibu mereka. Tak lama kemudian, mereka menyewa sebuah lot pejabat yang kecil dan kini akhirnya berpindah ke lot kilang seluas 40,000 kaki persegi.
Nama BloomThis kini tersenarai di antara pemain industri bunga online terbaik di Malaysia dengan cawangan merangkumi Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Singapura. Selain perkhidmatan langganan bunga, syarikat Penny juga meluaskan seleksi produknya kepada kek, aiskrim, hamper serta banyak lagi mengikut permintaan pelanggan.
Bisnes bunga BloomThis bukan sekadar melengkapi hari bahagia seseorang, malah perkahwinan, pembukaan kedai dan kelahiran bayi. Mereka memberi definisi baru kepada hadiah berasaskan bunga dengan standard kualiti tertinggi.
Penny bersama pasukan Bloomsquad-nya turut menginovasikan bisnes bunga dengan pelbagai kempen dan kolaborasi baru bagi memastikan ia sentiasa relevan dengan zaman. Antaranya bekerjasama dengan jenama Kate Spade New York, Coach, SKII, dUCk, Haagen-Dazs, Baskin Robbins dan Inside Scoop.