Pernah dihimpit dengan kemiskinan dan bergelar anak yatim piatu sejak zaman persekolahan lagi hingga terpaksa menempuh liku kehidupan tanpa figura penting, ibu dan ayah. Pengasas empayar perniagaan Loveliee Beauty dan Asyalliee Group terus cekal mengorak langkah menggapai kejayaan.
Ads
Pemilik nama penuh, Siti Syasya Rosaelmi Baba atau lebih dikenali sebagai Asyalliee akui, merasa sedikit terkilan kerana tidak berkesempatan berkongsi kejayaan yang diraih hari ini bersama kedua orang tua.
Kini diusia 27 tahun, Asyalliee dilihat semakin aktif menguruskan perniagaan , sekaligus menjadi wanita, isteri, ibu dan majikan yang berkeperibadian tinggi.
Asyalliee Impi Bina Rumah Anak Yatim, Rumah Orang Tua Dan Madrasah
Dalam temu bual bersama Nona, Asyalliee turut mendedahkan impiannya selama ini.
“Dalam masa 10 tahun akan datang, perniagaan saya dah jadi auto run supaya saya boleh fokus 100 peratus kepada impian selama ini, iaitu nak ada rumah anak yatim dan orang tua.
“InshaAllah, itu salah satunya tujuan sebab sebagai seorang anak yatim, saya kurang dapat kasih sayang daripada kedua ibu bapa, tak sempat jaga arwah ibu dan ayah, nak balas jasa mereka walau saya tahu mereka tak dapat dibayar langsung.
“Saya mahu beri kasih sayang yang sangat banyak daripada saya sendiri dan mereka (Penghuni rumah anak yatim dan orang tua) yang ada di situ nanti. Jika diizinkan, saya juga nak buat madrasah atau perkara yang lebih ke arah keagamaan,” ujarnya.
Kehidupan Asyalliee hari ini menjadi inspirasi ramai kerana dia mampu memiliki semua yang diidamkan individu seusianya. Ada suami penyayang, anak-anak comel, bisnes maju, rumah besar, kereta mewah dan populariti.
Disebalik Kemewahan Hari Ini, Asyalliee Akui Pernah Hadapi Zaman Gelap
Ads
Namun bagi empunya diri, perjalanan hidupnya tidak seindah yang disangka. Sejak kecil dia sering dilemparkan dengan kata-kata sindiran dan hinaan daripada orang sekeliling kerana taraf keluarganya yang miskin.
“Dari kecil sejak arwah ayah meninggal, saya lalui kehidupan susah dengan arwah mak sebab arwah mak kerja sebagai tukang masak di kedai. Kami hanya mampu tinggal di suatu tempat sempat yang saya sifatkan bukan sebuah rumah pun. Waktu tu ramai hina arwah mak.
Mak orang Thailand, dengan kerja sebagai tukang masak ramai yang hina dan tak suka dia. Tapi arwah mak sangat kuat dan kalis kecaman. Disebabkan kehidupan kami yang sangat susah waktu itu, arwah mak meninggal dalam keadaan koma.
Ads
Doktor sahkan arwah ada barah otak. Bila arwah meninggal, kami terfikir arwah meninggal sama ada kerana keadaan terlalu miskin sampai dia tak tahu ada barah otak sebab hanya makan ubat dan tak buat pemeriksaan kesihatan. Atau arwah mak tahu tapi tak beritahu anak-anak.”
Sejak pemergian arwah, Asyalliee yang merupakan anak keempat daripada lima beradik tinggal bersama kakaknya. Namun masalah lain pula timbul apabila dia didera mental dan fizikal.
Mujur, kakak sulung sempat selamatkan Asyalliee. Dek kerana mahu berdikari, dia sanggup ambil tawaran menjadi model dan review produk di media sosial ketika masih di bangku sekolah lagi. Rezeki tersebut diraih selepas video Asyalliee menjadi tular di media sosial.
“Ada hikmah dan rezeki lepas video saya viral di media sosial. Orang panggil buat review dan ambil job jadi model. Dalam masa sama saya masih sekolah. Dari situ saya dah start berdikari sendiri sampai sekarang. Habis je belajar saya terus berhijrah ke Kuala Lumpur untuk cari kerja.”
Untuk rekod, Asyalliee berkahwin dengan Eboy Arbaain pada 25 Februari 2017. Hasil perkongsian hidup, dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Haider Mikael, Helena Adrianna dan Hayyan.
Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid atau Mawar Rashid merupakan figura wanita tabah yang membesarkan tiga orang cahaya mata sendirian, setelah mengumumkan berpisah dengan bekas suami, Raf Yaakob pada November tahun lalu.
Tak dinafikan Mawar Rashid memiliki wajah cantik dan peribadi yang baik. Malah, Mawar disifatkan sebagai seorang wanita yang mesra dan tak lokek dengan senyuman. Selain itu, Mawar dilihat cukup akrab dengan ibu tersayang iaitu Marinee Abdullah atau disapa dengan panggilan Abai.
Abai Asal Chiang Mai, Thailand
Setiap posting Mawar di media sosial, pasti ada momen jelitawan ini di samping Abai. Bahkan peminat tersentuh dengan cara wanita ini menghargai ibu tersayang, meski dia juga kini sudah bergelar ibu kepada tiga anak.
Menelusuri latar belakang Mawar, ibu kepada Raden Muhammad, Raden Seri Rosabella Cinta, dan Raden Seri Riyanna Sayang ini sebenarnya mempunyai darah keturunan Melayu-Siam.
NONA difahamkan ibu Mawar, berasal dari Chiang Mai, Thailand sebelum berkahwin dengan ayahnya iaitu Wan Abdul Rashid yang meninggal dunia ketika Mawar masih kecil.
Meskipun ibu Mawar kini sudah berumah tangga sekali lagi, bersama sahabat karib jejaka asal Brunei, namun Abai sentiasa berada di sisi Mawar dalam keadaan susah mahupun senang.
Cara Mawar Hargai Ibu Tersayang Buat Netizen Tersentuh
Pada tahun 2020, usahawan Mawarose ini pernah membawa ibunya mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci dan mengagumi kekuatan insan istimewa ini sepanjang membesarkan dirinya.
“Abai (Mummy), adik nak minta maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki kalau adik ada terbuat salah dengan Abai. Kalau adik ada terkasar, kalau adik ada buat Abai kecik hati. Abai memang the best mom, the best grandmother..
“Adik tak dapat balas jasa Abai terlalu besar. Adik hanya boleh berusaha sebaik-baiknya untuk bagi kesenangan kat Abai. Adik tak nak terlambat cause I love you so much. And Abai dah banyak guna tenaga Abai untuk anak-anak sampailah sekarang.
“Abai tolong jaga semua cucu-cucu Abai, termasuklah Rafael. Sampai sakit pinggang Abai. Abai memang satu dalam sejuta Abai. Abai baik dengan semua orang, selalu nak masakkan bagi orang, selalu nak tolong orang, pemurah, sangat lembut dengan orang, sangat rendah diri, sangat bijak, sangat rajin, sangat CEKAL.
I wanna be like you. Tu pun tak tahu mampu ke tak sebab tu adik selalu panggil Abai bidadari sebab Abai terlampau baik dengan anak-anak, cucu-cucu, keluarga dan semua orang! I love you so much Abai. Doakan bisnes Mawarose berjaya Abai,” titip Mawar di Instagram miliknya.
Untuk rekod, Mawar Rashid berkahwin dengan Raden Ahmad Faizal Yaakob yang juga adik kepada selebriti popular Dato’ Fadzley Yaakob pada 9 November 2017. Bagaimanapun jodoh mereka putus ditengah jalan apabila sah bercerai pada November tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata Raden Muhammad, Raden Seri Rosabella Cinta, dan Raden Seri Riyanna Sayang.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Sepanjang dua tahun negara memerangi wabak akut pernafasan teruk itu, nama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah juga sentiasa di tangga teratas serta dikenali sebagai adi wira oleh setiap warga Malaysia.
Ruang waktu yang diberikan cukup singkat. Pagi Jumaat yang hening, awal-awal lagi kami sudah berkejaran ke Putrajaya demi memastikan sesi bersama Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M ini, tidak seminit pun disia-siakan.
Tepat jam 10.30, Tan Sri Dr Noor Hisham muncul dengan senyuman, segak bersut biru, berkemeja putih dan bertali leher batik. Karisma beliau cukup menyerlah meskipun terlihat jelas riak-riak kepenatan di matanya.
Bagi Tan Sri, setiap hari dunia mempelajari sesuatu yang baharu mengenai virus COVID-19. Semua pihak mesti bersiap membuat perubahan kerana memerangi musuh di luar berbeza dengan memerangi musuh yang sedia menyusup ke dalam.
Cabaran hidup bersama COVID-19 semakin sukar.
Belum reda varian Delta, muncul pula varian Omicron yang diklasifikasikan sebagai varian dalam pemerhatian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Penularan strain baharu ini bagaikan suatu ‘teguran keras’ tatkala penghuni dunia mula alpa tentang kelonggaran SOP COVID-19 – lebih membimbangkan dan mungkin juga kalis vaksin, selain mempunyai kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi.
Wajah Tan Sri Dr Noor Hisham sedikit stres. Barangkali terlalu banyak perkara penting yang difikirkan termasuk yang terkini, mutasi COVID-19 Omicron terhadap masyarakat sejak kes pertama dikesan di Malaysia pada Disember.
Ekoran risiko varian ini sekaligus turut mendesak kerajaan untuk menangguhkan usaha peralihan fasa endemik buat sementara waktu.
“Di sebalik semangat kita untuk kembali menjalani kehidupan norma baharu, menggerakkan ekonomi, merancakkan bisnes dan giat menembusi pasaran luar, saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia supaya mengamalkan TRIIS.” Tan Sri Dr Noor Hisham
Amalan TRIIS atau singkatan TEST, REPORT, ISOLATE, INFORM dan SEEK merupakan senjata ampuh untuk kita beralih ke fasa endemik.
Terang Tan Sri Dr Noor Hisham lagi, “TRIIS membawa maksud TEST iaitu melakukan ujian pengesanan COVID-19 jika mengalami simptom. REPORT iaitu melaporkan keputusan ujian di aplikasi MySejahtera. ISOLATE iaitu kuarantin kendiri jika positif.
INFORM dengan memaklumkan kepada kontak rapat jika positif dan pihak berwajib jika kesihatan merosot. Serta akhir sekali SEEK, iaitu mendapatkan rawatan jika mengalami gejala berat.”
JASA IBU
Dua tahun berlalu, bermakna sudah hampir 24 bulan tenaga frontliners kesihatan termasuklah Tan Sri Dr Noor Hisham sendiri, di ambang lesu. Meskipun sasaran KKM untuk mencapai imuniti kelompok tercapai namun kes aktif COVID-19 tetap perlu dipantau rapi.
Jasa petugas barisan hadapan negara amat besar, mereka berhempas pulas berkorban cuti dan masa untuk keluarga demi memastikan lengkung wabak berjangkit itu dapat dilandaikan.
Sebagai bapa kepada enam cahaya mata dan suami kepada Puan Sri Datin Sri Nik Suwaida Nik Mohammad Mohyideen, Tan Sri Dr Noor Hisham menaruh kepercayaan besar kepada isteri tercinta untuk menguruskan keluarga.
“Selalunya saya tak sempat ambil tahu hal sekolah anak-anak kerana sibuk bekerja. Isteri saya adalah orang penting di rumah untuk uruskan hal-hal ini dan beliaulah yang menjadi tulang belakang kejayaan saya sampai sekarang.”
Ditanya siapakah superhero di mata Tan Sri Dr Noor Hisham, beliau dengan pantas menjawab, “Semestinya ibu saya. Dialah sumber inspirasi saya hingga berjaya ke tahap ini dan dialah juga kunci keberkatan hidup anak-anak.
Kekuatan dan pengorbanan ibu selama ini mengalirkan energi untuk saya terus berbakti menyumbangkan tenaga kepada bangsa dan negara,” ujar Tan Sri Dr Noor Hisham yang dinobatkan anugerah tertinggi dalam Nona Superhero Award yang dipancarkan secara langsung dari One World Hotel, Petaling Jaya.
HERO NEGARA
Tan Sri Dr Noor Hisham baru saja menerima pengiktirafan antarabangsa, International Surgical Fellowship Award daripada Persatuan Pembedahan Antarabangsa (ISS).
Beberapa bulan sebelum itu, lelaki hebat berusia 58 tahun ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam) pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-48.
“Saya mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat kerana sebaik-baik manusia adalah manusia yang membantu orang lain,” ringkas jawapan Tan Sri sewaktu ditanya tentang prinsip hidup yang dipegang.
Kredibiliti beliau terus menjadi inspirasi setiap petugas kesihatan KKM yang menganggap kerjaya mulia ini sebagai fardu kifayah.
Sebagai seorang Muslim, pengorbanan beliau dalam mewakafkan seluruh hidupnya untuk manfaat manusia lain merupakan sesuatu yang wajar disanjung tinggi.
Disifatkan sebagai frontliner kerajaan terpenting pada waktu krisis ini, kredibiliti Tan Sri Dr Noor Hisham sesungguhnya tidak perlu dipertikaikan.
Seluruh Malaysia mengenali beliau, tidak kira usia dan bangsa, menyanjung tinggi jasa lelaki kelahiran Sepang, Selangor itu dalam mewakili semua petugas kesihatan berjuang melawan virus COVID-19.
Dilahirkan pada 21 April 1963, Tan Sri Dr Noor Hisham memulakan perkhidmatan sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988 selepas menggengam ijazah kedoktoran Doctor of Medicine dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Selepas menamatkan ijazah kepakaran Master of Surgery dari universiti yang sama, beliau telah melanjutkan latihan pengkhususan dalam pembedahan payudara dan endokrin di Australia pada tahun 1997.
Pada 1 Februari 2008, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan KKM sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013.
Sehingga kini, Tan Sri Dr Noor Hisham masih berkhidmat di Hospital Putrajaya sebagai pakar bedah dan sering melakukan pembedahan ketika beliau tidak bertugas di ibu pejabat.
Lelaki bijak ini juga pernah menerbitkan lebih daripada 60 artikel dalam jurnal perubatan dan pembedahan antarabangsa serta menulis berkaitan pembedahan endokrin terutamanya pembedahan tiroid secara bius setempat.
Kepakaran beliau di dalam bidang pembedahan tiroid ini menjadikan beliau terkenal di seluruh dunia pembedahan dan dijemput untuk memberikan ceramah kepada pakar-pakar bedah di peringkat antarabangsa seperti di Martin Allgower Lecture yang berlangsung di World Congress of Surgery di Krakow, Poland pada 12 Ogos 2019.
Selain berperanan sebagai Ketua dan Pakar Pembedahan Payudara, Endokrin & Pembedahan Am, beliau juga berperanan besar dalam menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama di dunia untuk rawatan Hepatitis C.
Bersama-sama agensi antarabangsa Drug of Neglected Disease (DNDi) yang berpusat di Geneva, Malaysia telah berjaya merevolusi rawatan penyakit itu yang selama ini sukar diakses.
Namun dengan usaha gigih Tan Sri Dr Noor Hisham serta pakar-pakar perubatan tempatan, penyakit Hepatitis C kini boleh didiagnos dengan cepat dan mudah serta boleh dirawat di klinik-klinik dalam komuniti.
Seperkara yang jelas, kebimbangan beliau terhadap COVID-19 sangat berasas melihatkan gaya hidup masyarakat yang kembali rancak mengabaikan SOP.
“Apabila manusia bergerak dan berhimpun, virus juga akan merebak dan menjangkiti individu lain, membiak dan bermutasi hingga mewujudkan varian-varian baharu.
Percayalah, kita masih belum menang. Langkah terbaik bagi memutuskan penularan adalah dengan mengurangkan pergerakan tetapi sekiranya terpaksa keluar rumah, patuhilah prosedur operasi standard (SOP).” Tan Sri Dr Noor Hisham
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Berkat doa ibu, keputusannya menerima pinangan jodoh dengan seorang mekanik rupanya membawa tuah apabila rezeki Mastinah Mohd Sani lepas kahwin mengalir deras.
Sesungguhnya takdir Allah itu indah. Bercerita hati ke hati dengan Mastinah yang mesra disapa Kak Mas, siapa sangka jalan hidupnya yang pernah susah memberikan kejayaan luar biasa buat mereka sekeluarga.
Mencecah usia 50 tahun, Kak Mas kini merupakan Pengarah Urusan Azam Motors yang menawarkan perkhidmatan ‘one-stop centre’ untuk kenderaan automotif. Namakan saja enjin apa – lori kontena, jentolak mahupun bot, semua boleh dibaiki oleh kakitangannya.
Berasal dari Banting, Selangor, Kak Mas mengakui bukan mudah untuk seseorang wanita berada dalam dunia yang kebiasaannya dipelopori lelaki.
Namun baginya, membabitkan diri selama lebih 25 tahun dalam bidang automotif bukanlah perkara sukar malah beliau kini boleh berbangga apabila sudah membuka tiga lagi cawangan bengkel kenderaan di negeri ini.
Memulakan kerjaya sebagai guru Matematik di sebuah sekolah di Sepang, Selangor pada tahun 1991, Mastinah kemudian berhijrah daripada bidang perguruan menjadi ejen insurans.
Ketika bergelar ejen insurans itulah beliau mula berjinak-jinak dalam dunia automotif dan mempelajari selok-belok pengurusan di bengkel kenderaan milik suaminya, Mispan Ribut.
Ibu kepada lima anak dan tiga cucu itu berkata, pada awalnya beliau memasuki bidang automotif untuk membantu suami menguruskan syarikat dengan lebih baik.
Sebaik kehilangan bapa tercinta pada usia belasan tahun, nasib keluarga Kak Mas berubah 360 darjah. Tiada lagi bahu tempat bersandar. Ibu yang sebelum ini hanya surirumah, berhempas-pulas mencari rezeki.
Ikuti kisah hidup Kak Mas secara eksklusif dalam vodcast di bawah…