Label Sugarscarf sebagai jenama fesyen Muslimah tidak perlu diperkenalkan lagi. Bermula dengan bisnes tudung, ia kemudian bertapak kukuh hingga menembusi pasaran luar negara dengan rangkaian produk Muslimah termasuk pakaian dan kosmetik.
Menguruskan perniagaan bersama suami tercinta, Muhammad Zulkarnaen Mohd Ali, empayar Sugarscarf yang dahulunya dijalankan secara dalam talian kini diangkat sebagai salah satu jenama hijab premium.
Berasal dari keluarga susah telah mendorong usahawan wanita ini untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan. Enggan membebankan kedua-dua ibu bapa dan mahu mendapat wang saku sendiri, Pengarah Pengurusan Sugarscarf International, Nur Atiqah Sulaiman tidak segan berniaga di kalangan rakan-rakan ketika zaman persekolahan.
“Sebenarnya saya sudah mula berniaga semasa di sekolah menengah lagi. Oleh sebab saya sukakan benda yang kreatif dan unik, saya sanggup bersengkang mata menghasilkan beberapa keping kad untuk dijual kepada rakan sekelas.
Duit hasil jualan itu pula saya gunakan untuk beli keperluan diri. Mungkin sudah terbiasa pegang duit sendiri dan tak mahu susahkan mak ayah, saya bawa minat berniaga itu sehingga ke universiti.
Sewaktu jadi pelajar universiti, macam-macam barang yang saya jual. Salah satu daripadanya adalah kasut kerana saya peminat kasut termasuk baju dan aksesori wanita. Saya juga pernah masak nasi lemak ayam dan menjualnya ke setiap bilik hostel. Alhamdulillah, ramai yang membeli.
Ads
Memang seronok kalau ingat kembali detik itu dan tak timbul langsung perasaan malu sebab saya perlukan duit untuk tampung bayaran pengajian dan kos sara hidup di universiti.
Kerana tak mahu bergantung pada bisnes yang sama saja, saya cuba menjual tudung pula. Dari satu bilik ke satu bilik hostel saya ketuk selain turut menjual tudung di blog,” telus Eyqa.
Siapa sangka perniagaan sambilan ketika menuntut di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) pada tahun 2006 itu membuahkan hasil apabila pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Multimedia ini aktif mengorak langkah meluaskan perniagaan secara dalam talian.
Ads
Tanpa memohon pinjaman wang daripada mana-mana institusi perbankan, Eyqa yang ketika itu sudah berumah tangga memutuskan untuk mempunyai label tudung sendiri.
“Seingat saya waktu itu bulan Jun 2008 dan saya dan suami hanya bermodalkan RM800 untuk uruskan perniagaan ini. Kami bermula semuanya dari bawah. Mak dan ayah pada mulanya agak bimbang tetapi selepas melihat kesungguhan dan kejayaan bisnes ini akhirnya mereka akur dan sentiasa menjadi tulang belakang kami hingga ke hari ini.”
Demi memenuhi kehendak pelanggan yang sering dahagakan keluaran terbaharu, Eyqa yang tidak lepas dilanda segala macam ujian mengakui belajar tentang pasaran dan sasaran produknya melalui buku dan pengalaman. Beliau percaya jika mahu berjaya dalam industri ini, seseorang itu tidak harus terikut-ikut dengan trend sebaliknya berusaha mencipta kelainan.
Ads
“Sejujurnya cabaran paling besar dalam bisnes adalah memastikan aliran keluar masuk wang dipantau dan terjaga. Kena tahu ke mana hala duit tersebut dan bajet yang diperlukan untuk projek seterusnya. Tak boleh sedikit pun berlaku kebocoran kerana ia menjadi salah satu punca kejatuhan perniagaan.
Sebab itu saya amat menitikberatkan soal cash flow. Cabaran lain yang kami kena kawal adalah komitmen para pekerja. Walau sesibuk mana pun majikan misalnya saya perlu ambil tahu tentang kebajikan mereka supaya kekal konsisten dengan tugas yang diberi. Ada ketika saya akan hantar staf ke bengkel keusahawanan untuk menaikkan motivasi diri mereka.
Saya tidak anggap semua ini perkara sukar kerana apa yang paling utama sebenarnya mengekalkan matlamat Sugarscarf. Memang tak dinafikan ada di kalangan peniaga yang cuba untuk meniru produk peniaga lain. Benda ini sudah jadi lumrah.
Saya sendiri sudah mendaftarkan rekaan Sugarscarf dan sepatutnya peniaga yang meniru boleh dikenakan saman. Bila difikirkan balik, semua ini duniawi dan tak perlu bergaduh. Lagipun ia melibatkan proses yang panjang. Takkan sebab fesyen kita hendak naik turun mahkamah. Siapa yang bekerja keras dan bijak mengatur strategi, pada akhirnya akan menang.”
Berkat kerja keras Eyqa dan suami, butik Sugarscarf telah bertapak di empat buah lokasi seluruh Malaysia antaranya di Kuala Lumpur, Shah Alam, Bangi dan Johor Bahru. Malah, pada Oktober tahun lalu, Sugarscarf telah mengadakan peragaan tudung di United Kingdom secara eksklusif khusus untuk pelanggan setia dan blogger antarabangsa. Suziana Abu Daud
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sejak umum bersara dari dunia seni pada Ogos tahun lalu, pasti ramai yang merindui kemunculan Laudya Cynthia Bella di kaca televisyen. Tidak kesal dengan keputusan tersebut, Bella dilihat kian rancak bina empayar dan menjadi usahawan berjaya.
Apatah lagi, jenama L by Laudya Cynthia Bella makin berkembang maju.
Diam tak diam jenama tersebut sudah pun lima tahun bertapak di pasaran Indonesia. Bermula dengan produk muslimah seperti hijab, L by Laudya Cynthia Bella turut mengeluarkan beg, kasut dan produk kecantikan sendiri.
“Alhamdulillah di tahun kami yang ke-5, terinspirasi untuk melahirkan design dengan mengangkat tema 5 Masjid di berbagai-bagai negara yang masyaAllah penuh dengan history dan detail yang cantik.
Seperti Masjid Nabawi Madinah, Masjid Raya Sumatera Barat, Masjid Sultan Ahmed Turkey, Masjid Syekh Zayed Abu Dhabi dan Masjid Al-Aqsa Palestin.
Terima kasih untuk Lgirls yang selalu setia bersama kami. Mohon doa dan supportnya selalu ya.”
Bella yang cukup terkenal di Malaysia sememangnya dikenali sebagai selebriti cantik yang memiliki raut wajah lembut dan berpenampilan sopan. Pada 24 Februari lepas, wanita kelahiran Bandung ini menginjak usia 35 tahun.
Masih bersendiri tanpa kelibat mana-mana jejaka di sisi hingga ke hari ini, Bella bagaimana pun kelihatan tenang di samping keluarga tersayang dan kenalan rapat di Indonesia.
Dia yang sebelum ini berkahwin dengan Engku Emran pada 8 September 2017, berpisah pada Julai 2020.
Walau meraih pendapatan lumayan dalam industri seni namun Bella kini lebih selesa mengusahakan beberapa cabang bisnes miliknya termasuk dalam bidang kulinari, fesyen, muslimah dan kosmetik.
Apa sahaja produk yang dipromosikan Bella pasti laris di pasaran. Malah, pada Julai tahun lalu dia menjalin kolaborasi melancarkan aplikasi islamik Qalby App yang turut disertai selebriti Malaysia, Mizz Nina.
Filem terakhir yang dibintangi Bella ialah Buya Hamka dan sepanjang pembabitan dalam karier seni, Bella berjaya merangkul pelbagai anugerah hasil menjayakan 21 buah filem, 18 sinetron dan 13 drama.
Kerjaya Bella pernah berada di puncak pada tahun 2017 apabila dinobat sebagai Indonesia’s Highest Paid Actresses.
Laporan portal Indonesia turut mendedahkan jelitawan ini menerima bayaran 900 juta Rupiah atau lebih RM268 ribu ketika membintangan filem Box Office ‘Surga Yang Tak Dirindukan 2’!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Che Puan Sarimah Ibrahim pernah menghiasi ruang Tetamu Diraja Majalah Nona untuk edisi Mac 2017 bersama suami tercinta. Suatu masa yang agak panjang. Ketika itu apabila ditanya tentang kehadiran cahaya mata, tuturnya lembut, “Siapa yang tidak mahu menimang anak untuk melengkapkan kehidupan suami isteri. Kami berdua juga mahu mendengar tangisan bayi seperti pasangan lain. Selain berusaha kami berdoa agar suatu hari nanti ada khabar gembira itu,” bicaranya.
Akhirnya doa pasangan sama cantik sama padan ini telah dimakbulkan oleh Allah SWT. Dua hari lalu Che Puan Sarimah telah berkongsi khabar gembira di laman Instagramnya mengumumkan beliau telah hamil, empat bulan. Memang tidak dapat digambarkan kegembiraan pasangan dua sejoli ini. Benar kata orang, rezeki Allah SWT tak pernah salah alamat.
Che Puan Sarimah turut menzahirkan rasa syukur dan keterujaannya buat pertama kali bakal bergelar ibu pada usia 41 tahun. “A wonderful gift from heaven,” kata Che Puan Sarimah yang telah mengikat ikatan perkahwinan dengan cucunda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 46 tahun, atau lebih mesra disapa Tunku Jamie. Pasangan ini bakal menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke4 pada bulan April nanti.
Imbas semula perkenalan pasangan diraja ini, kedua-duanya nyata saling tidak mengenali antara satu sama lain. “Di awal perkenalan Tunku Jamie menonjolkan dirinya seorang yang peramah dan hanya memperkenalkan dirinya sebagai Jamie. Pertemuan demi pertemuan saya mula sangsi dengan status sebenar dirinya.
Saya melakukan research di Google dan menemukan jawapan sebenar. Sifatnya yang tidak meninggi diri itu benar-benar memikat hati saya. Jangan tidak percaya beliau merupakan jejaka Melayu pertama yang memberanikan diri mendekati saya,” ungkap menantu kepada Tunku Kecil Besar Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha dan Tunku Dara Tunku Tan Sri Naquiah Tuanku Jaafar ini.
Tambah Tunku Jamie, “Saya juga tidak mengenali siapa sebenarnya Sarimah Ibrahim ini. Saya tahu dia seorang selebriti tetapi tidak tahu apa yang dia buat. Pernah melihatnya di majlis-majlis tertentu juga di majalah lalu saya pun membuat research di Google. Pencarian tentang dirinya tidak sukar dan baru saya tahu bahawa dia seorang pengacara popular, pelakon dan penyanyi.
Sesudah mengetahui dirinya pengacara radio Mix Fm saya mula mengubah selera mendengar saluran itu. Saya juga belajar mengenalinya dengan mendengar single Sarimah yang menampilkan penyanyi pop UK, Simon J Bailey dengan lagu You On My Mind,” ujar Tunku Jamie.
“Sebenarnya kami berdua mempunyai banyak persamaan. Kami berdua suka melancong, kedua-dua kami merupakan anak sulung, menikmati pilihan muzik genre yang sama, berkongsi horoskop sama dan kami berdua mempunyai darah keturunan Irish. Sarimah gemar bersenam dan setiap hari dia pasti menghabiskan masa di gym. Mula-mula saya hanya menemaninya bersenam tetapi kini saya juga sudah ketagih bersenam. Saya dapat menurunkan berat badan sebanyak 7 kilogram dalam masa empat bulan,” bicara Tunku Jamie ketika ditemu bual dahulu.
Gambar: Instagram @sarimahibrahim
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nama Min Luna sememangnya tidak asing lagi dalam industri fesyen tanah air.
Berusia 39 tahun, kakak kepada aktres Nadiya Nisaa ini antara fashion stylist yang berjaya membina nama di usia muda.
Bukan calang-calang nama yang pernah menerima ‘sentuhan’ hebat Min Luna dalam penataan gaya antaranya Nurul Izzah Datuk Seri Anwar, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datin Lisa Surihani, Neelofa, Scha Alyahya dan Ella.
Terdahulu, Min Luna pernah berkolaborasi dengan jenama fesyen terkenal iaitu FashionValet untuk Kuala Lumpur Fashion Week 2018 (KLFW2018).
Sebelum ini, Min Luna dikenali dengan imej ranggi sepadan dengan statusnya sebagai fashion stylist popular.
Baru-baru ini ketika ditemui di sebuah pertunjukan fesyen koleksi raya jenama popular, Min Luna tampil manis dengan bertudung. Kurung moden berfabrik emboidery lace rona putih menyerlahkan gaya elegan Min Luna. Ringkas namun tetap vogue!
“Sebenarnya saya dah mula bertudung selepas pulang dari umrah pada Februari lepas. Semasa pulang ke tanah air, saya rasa terlampau sayang untuk buka (tudung).
“Di sana kan kita pakai jadi bila balik tu rasa macam pelik (tak pakai tudung). Dan saya pakai.
“Saya pakai disebabkan pengalaman-pengalaman menakjubkan dekat sana. Inilah perkara paling sukar untuk saya lakukan untuk diri sendiri demi Allah SWT. Diharapkan saya kekal istiqamah.”
Tak dinafikan, dalam proses untuk berubah ke arah kebaikan pasti ada dugaannya. Min Luna tak terkecuali. Namun dia bersyukur kerana keluarganya menerima perubahan itu dengan baik.
“Apa yang membuatkan saya sangat terkejut ialah ada segelintir orang-orang dalam industri yang beranggapan saya tidak akan selamanya pakai tudung.
“Ada juga seolah-olah yang mengharapkan penampilan saya ini bukan selamanya.
“Tapi tak mengapa, saya faham dan memang sudah menjangkakan reaksi-reaksi seperti itu.
“Diharapkan saya dapat memberikan inspirasi yang baik-baik buat semua. Apa pun, saya tetap Min Luna.”
Semoga Min Luna terus kuat dan kekal istiqamah.
Sumber: Instagram Min Luna
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!