Pesanan arwah papa jadi azimat buat Efin Fawzy. Dilahirkan dalam keluarga yang aktif berniaga dan diberi pendedahan mengenai ilmu perniagaan sejak muda mendorong pengasas Finn Beauty, EDA AFINIE DATO’ HJ MOHD FAUZI menerokai bidang kecantikan.
Berkongsi penglibatannya dalam dunia perniagaan, wanita yang mesra disapa Efin Fawzy ini memberitahu, dia telah mula berjinak dalam bidang perniagaan secara sambilan di syarikat milik bapanya, Allahyarham Dato’ Hj Mohd Fauzi yang mengusahakan perniagaan dalam bidang automotif ketika masih menuntut di universiti.
Pesanan Arwah Papa Jadi Azimat
Diberi kepercayaan besar oleh arwah bapanya, Efin berasa sangat bertuah meskipun dididik menghadiri kursus dan mesyuarat syarikat sejak usia masih remaja. Namun ilmu yang ada menjadi bekalan dirinya menjadi usahawan wanita berjaya pada hari ini.
“Selepas habis peperiksaan SPM saya meneruskan pengajian di UiTM. Pada masa itu arwah papa sudah memberi kepercayaan untuk saya terlibat menguruskan perniagaan keluarga. Walau secara sambilan namun arwah papa dan mama meletakkan kepercayaan penuh kepada saya. Sejak kecil juga keluarga telah dedahkan saya dalam bidang automotif.
Saya ikut saja kehendak kedua ibu bapa dan faham apa yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan. Kadang tu terfikir juga kenapa saya tidak diberi peluang untuk tentukan pilihan sendiri.
Sebagai seorang wanita sebenarnya sejak kecil saya memang minat bab kecantikan. Bayangkan masa zaman sekolah lagi saya dah bawa sample produk kecantikan dan pernah jual di sekolah,” kongsi Efin yang merupakan graduan bidang perniagaan dan pemasaran.
Kental
Bicara usahawan wanita yang berasal dari Kelantan ini lagi, dek kerana minat dalam dunia kecantikan dirinya tekad memulakan perniagaan berkaitan kecantikan dengan mengeluarkan produk kolagen pada tahun 2014. Namun disebabkan dalam masa yang sama sibuk menguruskan legasi perniagaan arwah papa, Efin tidak sempat memberi fokus sepenuhnya dalam perniagaan kecantikannya.
Ads
“Pada masa itu saya berhadapan dengan pelbagai komitmen. Jadi tak sempat nak fokus. Lebih kurang setahun juga saya ambil masa menguruskan produk tersebut.
Namun dalam perniagaan ada naik turunnya. Paling penting kena yakin dan kental. Kadang tu agak tertekan bila kita tengok orang lain berjaya namun didikan arwah papa sangat bermakna buat saya.
Arwah papa pernah cakap jangan pernah putus asa. Kalau sekali kita gagal, atau dua kali gagal tak semestinya gagal selamanya. Kena kuat, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian,” kongsi Efin.
Mengimbas kembali bagaimana Finn Beauty ditubuhkan, isteri dan ibu kepada dua cahaya mata ini menjelaskan sejak berhijrah ke Kuala Lumpur selepas pandemik COVID-19 dirinya menubuhkan perniagaan sendiri.
Ads
“Finn Beauty terlahir daripada minat saya dalam bidang kecantikan. Terdapat empat jenis produk iaitu Finn Beauty Skincare, Losyen Whitening Booster (Ibu Putih), Facial Beauty Green Jade Face Massage dan Finn Hijab.Tag line yang digunakan ‘Beauty and Shine with Finn Beauty.’
Dua perkara yang membezakan produk saya dengan produk lain adalah saya akan buat kajian dan mencuba sendiri produk sebelum dipasarkan. Saya bukannya jenis yang keluarkan produk sebab sesuatu produk itu tular. Malah punya formula sendiri dalam penghasilan produk kecantikan,” kongsi Efin yang bersyukur walau produk yang dihasilkan baru saja dilancarkan namun mendapat tempat di hati pelanggan setia.
Walau kini sudah berjaya muncul dengan produk sendiri namun Efin berasa sedikit terkilan kerana arwah papa tidak sempat melihat kejayaannya. “Sekarang saya sudah buka perniagaan sendiri. Namun arwah papa sudah tiada, arwah meninggal dunia pada tahun 2022. Agak sedih bila arwah papa tak dapat lihat kejayaan saya.
Jika dulu kalau nak buat apa-apa saya akan minta nasihat papa. Sekarang ni sudah tak ada tempat mengadu. Namun saya bersyukur dan bertuah kerana arwah papa ajar dari awal lagi macam mana nak tangani masalah. Apa yang arwah ajar, sampai sekarang saya boleh gunakan dalam kehidupan,” kongsi Efin yang turut terharu dengan semangat dan dorongan ahli keluarga lain seperti ibu dan suaminya yang banyak membantu.
Ads
Akui pelbagai cabaran ditempuhi malah Efin juga sangat bertuah kerana insan terdekat merupakan antara sumber inspirasi dalam dirinya bertahan apabila berhadapan saat sukar.
“Sokongan tak semestinya dari segi kewangan, nasihat dari mama, suami, keluarga dan team Finn Beauty merupakan pemberi semangat dan inspirasi untuk naik semula. Kalau jatuh sekejap saja, namun bangkitlah semula. Bila lihat wajah anak-anak saya akan kembali tenang. Mereka merupakan sumber inspirasi dan kekuatan.
Malah sahabat baik gelar saya superwoman. Sebabnya walau sibuk uruskan perniagaan, namun saya tetap kendalikan dua orang anak yang juga merupakan atlet. Tugas sebagai seorang ibu juga saya galas apatah lagi kedua anak sangat sibuk jadual mereka. Tanggungjawab saya memang berat namun saya rasa gembira,” terang Efin.
Diaju mengenai perasaan sebagai salah seorang penerima Nona Superwoman Award 2024, Efin sangat percaya anugerah berprestij ini mampu memberi impak yang besar pada produk Finn Beauty.
“Nona Superwoman Award merupakan anugerah yang sangat berprestij. Malah melalui platform ini menambah kepercayaan pelanggan terhadap jenama Finn Beauty. Pada saya kepercayaan pelanggan sangat penting. Bila pelanggan percaya pada produk sekaligus dapat mempengaruhi keberlangsungan suatu perniagaan dan hubungan ini perlu dijaga dengan baik,” luah Efin yang mengimpikan perniagaannya berjaya hingga peringkat global.
Mengakhiri perbualan, Efin turut percaya komunikasi antara peniaga dan pelanggan sangatlah diutamakan. Komunikasi yang efektif dengan pelanggan dapat membantu membangun kepercayaan dan hubungan yang kuat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Berkat usaha dan kesungguhan untuk mengembangkan perniagaan, medispa yang dibuka sejak 2017 itu semakin mendapat tempat di kalangan warga kota. Lebih membanggakan, kurang dari satu tahun ia beroperasi, Dr Siti Khadijah Awang Amat telah melebarkan sayap perniagaan ke negeri Sabah dengan pembukaan cawangan baharu Katalina Aesthetic & Wellness di Kota Kinabalu dan Sandakan, Sabah dan sebuah klinik keluarga dikenali sebagai Katalina Family Clinic di Kota Kinabalu, Sabah.
“Alhamdulillah berkat usaha dan doa, saya berjaya mengembangkan perniagaan dari penubuhan Katalina Medispa pertama di Melawati, saya berjaya membuka cawangan di Sabah dalam tahun yang sama. Ia merupakan kejayaan yang di luar jangkaan, disertakan berkat usaha dan kesungguhan,” ujar wanita cantik yang mesra disapa Dr Kat ini memulakan bicara.
Dr Kat bukan sahaja merupakan seorang doktor perubatan, malah turut mengembangkan bakatnya sebagai seorang penyanyi, pelakon, ahli perniagaan dan turut terlibat dalam bidang pengacaraan. Bahkan, beliau merasakan pengalaman yang dimilikinya sekarang sangat berharga walaupun baru setahun jagung melibatkan diri dalam dunia perniagaan
“Alhamdulillah usaha dan titik-peluh saya selama setahun lebih terlibat dalam dunia perniagaan. Ia berbaloi apabila menerima penganugerahan Usahawan Muda 2018 daripada pihak Perdasama Putrajaya baru-baru ini. sekarang saya menerima pengiktirafan daripada Majalah Nona untuk anugerah Nona Best Medispa & Wellness 2018. Syukur, Ahamdulillah”, ujarnya ternyata masih belum puas dengan kejayaan yang diperolehnya dan berazam untuk menambahkan usaha untuk terus memajukan diri dalam dunia keusahawanan.
Melihat keazaman yang dimiliki oleh wanita, Dr Kat turut melahirkan rasa kagum dengan penglibatan wanita secara menyeluruh dalam dunia perniagaan kerana ia merupakan tugas dan tanggungjawab yang besar lantaran perlu membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.
“Wanita kini lebih berdaya saing dan pintar dalam meneliti, menilai, seterusnya menjalankan sesebuah perniagaan sehingga berjaya. Kita seharusnya bersyukur dan menggunakan sebaik-baik peluang yang negara kita berikan untuk kaum wanita di Malaysia bagi memajukan lagi diri kita bukan sahaja dalam institusi keluarga tetapi juga perniagaan. I believe women must be independent as well in order to be survived and successful,” ujarnya lagi.
Sebelum mengakhiri perbualan, Dr Kat yang mempunyai cita-cita yang tinggi sempat menitip pesanan untuk setiap wanita agar mampu berjaya mengharungi cabaran bukan sahaja dalam menjalani kehidupan seharian, malah ia boleh diguna pakai di dalam dunia perniagaan.
“Semangat jitu dan sentiasa berfikiran positif. Tingkatkan produktiviti dan berdiri di atas tapak kaki sendiri. Itu adalah motivasi diri yang saya jadikan panduan untuk berjaya. Saya merupakan seorang wanita yang mempunyai cita-cita dan semangat juang yang tinggi. Jadi, ia menjadi azimat untuk saya berani berhadapan dengan cabaran. Selain itu, anak-anak adalah inspirasi dan penguat semangat saya untuk terus berjaya. Motto hidup yang saya amalkan, work hard until you don’t have to introduce yourself menjadi azimat untuk saya kekal fokus, Insyaallah,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam mengejar kesenangan hidup, adakalanya wanita leka dengan 3 perkara ini. Tambahan pula bila sudah mendapat gelaran dan berada di puncak kerjaya.. ada di antara kaum wanita yang mula merasa bongkak hingga timbul perasaan riak. Reaksi tersebut nyata mengundang rasa kurang senang bagi penceramah motivasi terkenal, Datuk Prof Dr Che Muhaya yang dianugerahkan Nona Motivator Award sempena Nona Superwoman Award, semalam.
Sambil menggalakkan lebih ramai wanita mencipta pelbagai kejayaan dalam apa jua bidang kelak, Datuk Prof Dr Muhaya turut berkesempatan menzahirkan maksud tersurat di sebalik istilah inspirasi. Jelasnya, “Bila kita sebut inspirasi.. in spirit – dalam roh. Bila inspirasi, kita buat sesuatu daripada jiwa kita dan menyentuh jiwa lain. Siapa yang bekerja dengan inspirasi atau menjadi sumber inspirasi akan memberi kesan yang lebih besar daripada hanya fizikal saja.”
Ditanya bagaimana untuk menghindarkan diri daripada perkara yang mendorong kepada kemurkaan Allah SWT, dalam nada tenang dan bersahaja beliau melontar bicara.
“Kita nak wanita di luar sana kejar 3 perkara. Kebanyakan wanita yg silap dia kejar 3 perkara yang luaran. Contohnya nak cantik, nak lawa, nak famous, nk kaya. Ini semua boleh menyebabkan penyakit hati sebab nak lawa ada orang lawa lagi, nak kaya ada orang kaya lagi.. jadi takkan habis.Itu dunia.. itu topeng saja.
Sebaik-baiknya, kita nak orang kejar 3 perkara ini. Apa dia? Pertama, akhlak yang baik. Kedua, silaturrahim yang baik iaitu hubungan dengan semua orang pun baik dan ketiga beri manfaat sebanyak mungkin. Itu yg hebat!”
Pastinya, setiap bait kata yang dituturkan Datuk Prof Dr Muhaya mampu menyuntik semangat, inspirasi dan aura luar biasa kepada sesiapa pun yang mendengarnya. Bagi Nona, Datuk Prof Dr Muhaya dikurniakan kelebihan dari Allah SWT yang mampu meneutralkan emosi serta semangat seseorang hanya dengan melalui kata-kata. Sesungguhnya Nona Motivator Award memang selayaknya diberikan kepada wanita hebat ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setiap individu pasti mempunyai cita-cita untuk merubah kehidupan. Begitu juga azam yang ditanam dalam diri Siti Zaharah Ismail atau lebih mesra di sapa Zara yang kini mengusahakan jenama FYZARA. Memilih perniagaan berasaskan tekstil, siapa sangka hanya bermodalkan RM40, wanita ini membuktikan di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Siti Zaharah Ismail atau lebih mesra di sapa Zara yang kini mengusahakan jenama FYZARA.
“Saya memilih untuk menjalankan perniagaan dalam bidang tekstil, kerana saya ingin membantu para wanita untuk tampil cantik dan anggun disisi insan tersayang. di FYZARA, kami menyediakan kain ready made tetapi lebih kepada kain pasang secara menyeluruh,” ujar Zara memulakan bicara.
Pernah bertugas di sebuah syarikat swasta sebagai kerani kira-kira 11 tahun, Zara nekad merubah haluan sebaik sahaja melihat peluang dalam bidang perniagaan terbuka luas dan pelbagai perkara boleh diterokai. Akhirnya Zara nekad melepaskan jawatannya pada tahun 2017.
“Banyak faktor yang mendorong Zara ingin merubah gaya hidup. Zara berasal dari keluarga yang susah. Kepahitan dan kesusahan masa itu membuat Zara nekad mahu merubah kehidupan dan salah satu cara ialah untuk mula berniaga.
Bukan tidak bersyukur dengan apa yang ada, cuma Zara punya impian yang tinggi menggunung,” ujar Zara memulakan kisah perjalanan perniagaannya yang menjadi sebahagian dari diari kehidupannya kini.
Sokongan dan dorongan dari suami tersayang, Mohammad Haffiz Abd Halim yang banyak berkorban membantu dalam perniagaan meletakkan jenama Fyzara
Wanita ini mempunyai Big Why untuk berjaya dan kisah perjalanan ibunya menjadi aspirasi untuk dirinya memberi kehidupan yang baik untuk keluarganya. Kisah kehidupan yang dilalui oleh ibu banyak menjadi pengajaran dan pengalaman berguna untuk dirinya dan sekaligus dia nekad untuk memenuhi segala impian ibu tersayang selagi hayat dikandung badan.
Sememangnya sebak apabila mengenang kembali keperitan hidup ketika itu. Tetapi Zara bersyukur dengan kegagalan dan cabaran itu membuat Zara bangkit untuk meneruskan kehidupan. Dari kegagalan itu Zara menjadi lebih kuat untuk membantu lebih ramai orang. Zara bersyukur kejayaan yang dikecapi kini bukanlah kejayaan seorang diri tetapi berkat sokongan dan dorongan dari suami tersayang, Mohammad Haffiz Abd Halim yang banyak berkorban membantu dalam perniagaan meletakkan jenama Fyzara sehingga ke hari ini.
Foto: FB @fyzara
Tambah Zara lagi, restu dan pengorbanan seorang insan bergelar suami dan keluarga banyak menjadi pendorong buat dirinya berjaya dalam bidang perniagaan. Apatah lagi, suami merupakan insan yang melihat jatuh bangun si isteri untuk memajukan perniagaan, kekuatan dan sokongan yang ditunjukkan oleh sang suami menjadikan Zara lebih bersemangat untuk meneruskan cita-cita mengembangkan lagi perniagaannya.
Tidak hairanlah mengapa wanita yang memegang motto “Kegagalan adalah sebahagian daripada hidup kita” ini bingkas bangun mengatur strategi untuk merubah cara hidup apatah lagi apabila dia cepat bangkit daripada kegagalan. Dengan bermodalkan hanya RM40 sahaja wanita muda ini mula mengambil kain sikit demi sedikit dari pembekal.
“Kegagalan adalah sebahagian daripada hidup kita” -SITI ZAHARAH ISMAIL @ ZARA
Memandangkan lokasi pembekal berdekatan dengan tempat kerja lama, Zara memanfaatkan waktu ‘lunch’ untuk keluar mencari kain. Rasa penat sememangnya singgah dalam dirinya tetapi dek kerana minat dan semangat yang kental, ia menjadi pembakar semangat untuk dirinya meneruskan usaha sehingga kesungguhannya membuahkan hasil dan menarik perhatian pembekal untuk menjalinkan usahasama dengannya.
Ketika memulakan perniagaan, Zara tidak pernah menyangka perniagaan berasaskan tekstil atau kain pasang ini akan mendapat tempat di hati para pelanggan. Dalam masa yang sama, Zara perlu bijak menggunakan pelbagai medium untuk mempromosikan produk jualannya.
Saya melihat perniagaan kain pasang ini memang boleh pergi jauh kerana kain ini tidak akan lapuk dek zaman. Mungkin kerana niat hendak membantu pelanggan mendapatkan kain-kain yang cantik menyebabkan Zara dekat dengan pelanggan. Zara mula belajar mengenai ilmu perniagaan,” ujar Zara menyambung bicara.
“Sebelum ini, Zara menjalankan perniagaan tanpa asas atau ilmu dalam bidang perniagaan. Zara sekadar berniaga secara suka-suka dan tidak menyimpan impian yang besar. Tetapi segalanya berubah apabila Zara mula mengikuti kelas dan bergaul dengan individu-individu yang banyak membantu Zara memacu jenama FYZARA sehingga ia mampu sampai ke tahap kini. Antara kejayaan manis yang pernah dicapai termasuklah jualan mampu mencecah lebih RM100,000 sebulan!
Zara bukan sahaja belajar bagaimana hendak berjaya dalam perniagaan, malah Zara juga membetulkan hubungan dengan Allah dan keluarga. Alhamdulillah apabila terdapat bimbingan dan matlamat yang betul, rezeki mudah masuk dan strategi perniagaan yang dikongsi memberikan rezeki yang melimpah ruah untuk jenama FYZARA.”
Bersama kakitangan FYZARA yang menjadi tulang belakang kejayaan Zara
Antara pencapaian dalam bidang perniagaan yang dikecapi oleh Zara termasuklah pembukaan butik FYZARA pada tahun 2018 yang lalu. Bermula dengan hanya seorang kakitangan, kini Zara mempunyai 30 orang kakitangan di bawah jenama FYZARA.
Lebih membanggakan, dalam musim dunia berhadapan pendemik COVID19, FYZARA menambah satu lagi lot kedai untuk bahagian pengurusan butik dan bakal membuka sebuah lagi butik untuk memenuhi permintaan peminat kain pasang. Tidak hairanlah penerima Nona Best Textile Entrepreneur Award ini mampu mengembangkan perniagaannya dengan cara tersendiri.
Ketika ditanya bagaimana perniagaan terjejas semasa pendemik COVID19 melanda, Zara mengakui timbul kerisauan untuk melalui tempoh tersebut tetapi pada waktu yang sama merancang strategi terbaik untuk meneruskan kelangsungan perniagannya.
“Waktu itu saya ingat lagi saya stuck dengan bekalan stok dan banyak pembekal tidak dapat menghantar bekalan kepada saya. Bayangkan permintaan tinggi tapi kain tidak ada. Demi memenuhi permintaan pelanggan Alhamdullilah saya dapat menempuhi cabaran tersebut dengan baik.
Pada pandangan saya, terdapat hikmah yang tersembunyi di sebalik musibah ini apabila jenama FYZARA mula dikenali kerana saya menggunakan medium media sosial untuk membuat Live serta mempromosikan produk kerana kebanyakan pelanggan berada di rumah dan dapat menumpukan perhatian pada FB live setiap hari.
Alhamdulillah saya dan team dapat harungi perniagaan kami dengan jayanya,” ujar Zara penuh kesyukuran.
“Zara percaya jika adanya cabaran mesti ada benda baik akan menyusul. Selalu bersangka baik dengan apa sahaja yang hadir.Insyallah kita tidak terlalu memikir dan jadi down. Selain itu, wanita akan rasa lebih dihormati apabila kita mempunyai ilmu dan kerjaya.Zara yakin setiap wanita ada keistimewaan yang tersendiri,” ujar Zara seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!