
Sejuk perut ibu mengandung bila pengorbanannya dibalas oleh kejayaan anak-anak, tidak kiralah dalam karier mahupun akademik. Atlet terjun wanita negara Ng Yan Yee mendedikasikan pingat emas yang baru dimenanginya pada Sukan SEA ke-31 buat ibu tercinta. Ia sebagai ‘hadiah’ paling bermakna bersempena Hari Ibu tahun ini.


Menurut Yan Yee, ibunya antara insan terpenting serta ‘tulang belakang’ kepada perjalanan kariernya sebagai seorang atlet.


Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) jurusan pemakanan ini menyatakan, pencapaian yang dilakarnya itu juga dikhaskan kepada semua ibu seluruh dunia yang banyak berkorban demi melihat anak mereka berjaya.

TEPATI RAMALAN
Temasya Sukan SEA ke-31 berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional Vietnam. Atlet berusia 29 tahun ini menepati ramalan menewaskan tujuh pencabar lain untuk membawa pulang emas, sementara rakan senegara Ong Ker Ying meraih pingat perak dan gangsa milik wakil Singapura Fong Kay Yian.


Yan Yee menyumbangkan pingat emas kelima kontinjen negara. Ia adalah emas kedua peribadinya di temasya sukan dwitahunan itu selepas menjuarai acara 3m papan anjal seirama bersama gandingan Ker Ying.
Yan Yee dinobatkan juara apabila mengumpul keseluruhan 270.60 mata menerusi lima terjunannya, diikuti Ker Ying (242.40 mata). Malaysia menyasarkan menyapu bersih lapan pingat emas acara terjun yang ditawarkan pada Sukan SEA kali ini, untuk mengulangi pencapaian edisi 2019 di Filipina yang menyaksikan kem terjun membolot kesemua empat pingat emas dipertandingkan
Yan Yee berkata beliau belum memikirkan perancangan pascatemasya Sukan SEA ke-31, namun telah memikirkan mengenai persiapan menghadapai Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary bulan depan dan Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.


“Saya akan teruskan latihan dan belajar macam biasa. Kita lihat bagaimana sebab pandemik semuanya berubah dan Sukan Asia 2022 juga ditangguhkan. Jadi, selepas ini kita hanya berlatih untuk Sukan Komanwel dan Kejohanan Dunia.”
Kredit: Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Erti Merdeka, Kekejaman Penjajah Pernah Buat Tan Sri Zaleha Ismail Menyorok Dalam Hutan!

Sebaris ayat, cinta kepada bangsa dan negara Malaysia, saya sanggup mati untuknya… hampir membuatkan jantung penulis luruh ke kaki. Terasa besarnya hati wanita itu, dan alangkah kecilnya jiwa penulis di depan tokoh yang banyak berjasa ini.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 ini, yang jatuhnya pada tahun penuh dugaan, dengan pandemik COVID-19 dan kelembapan ekonominya, ayuh kita bangkitkan semangat patriotisme dan rasa cintakan negara sehebat mungkin.
Siapa lagi yang lebih layak mengimbau besarnya nilai kemerdekaan di negara kita, jika bukan mereka yang pernah melalui sendiri peritnya kehidupan pada zaman penjajahan.
Ya, saban kali tibanya tanggal 31 Ogos, nostalgia berbual mesra di kediaman Tan Sri Datin Paduka Seri Zaleha Ismail, sampai sekarang masih meninggalkan rasa rindu mahu membalik masa.
Kalau perlu dikumpulkan semua sumbangan mantan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu, rasanya tidak cukup sehari. Wanita bijak lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi) dari Universiti Malaya ini memegang portfolio kerjaya yang begitu impresif sejak remaja.

Sambil membiarkan penulis ralit meneliti album-album gambar lama, kotak kenangan Tan Sri Zaleha sebagai anak pra-merdeka pun mula terbuka.
Layar nostalgia hitam putih bagai berputar menceritakan kisah keperitan hidup, termasuk yang dilalui sendiri oleh beliau sekeluarga. Paling sukar dilupakan, tentu sekali sewaktu anak jati Kuala Langat itu membesar pada zaman pemerintahan Jepun.
Penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 menandakan satu detik perubahan antara pemerintahan orang Inggeris kepada Jepun. Tan Sri Zaleha yang baru memasuki Sekolah Melayu Sg. Pelek pada ketika itu turut menerima tempiasnya.
“Setiap pagi kami dipaksa berbaris, berdiri menghadap matahari terbit sambil menyanyikan lagu kebangsaan Jepun, Kimi Ga Yo. Hari-hari menyanyi, sampaikan sekarang pun saya hafal liriknya… Kimigayo wa… Chiyo ni, yachiyo ni…” nyanyi Tan Sri Zaleha sambil merenung jauh.

“Di kampung kami, ada seorang budak lelaki yang tugasnya memberi signal jika askar Jepun datang. Setiap kali signal berbunyi, kami semua akan bertempiaran lari ke hutan dan bersembunyi.
Kami akan menyorok di celah-celah perdu pokok sehinggalah suasana kembali selamat. Bimbang jika dijumpai, nyawa akan melayang. Yang gadis akan diperk0sa, kanak-kanak dihambat dengan benet. Orang lelaki atau warga tua pula akan dipukul tanpa belas kasihan.
Pada ketika itu, arwah bapa saya bertugas sebagai penghulu kampung. Namun kerana tak sanggup melihatkan kekejaman askar Jepun, dia tekad meletak jawatan. Bayangkan kalau mereka datang ke kampung, habis rumah-rumah penduduk digeledah.
Bukan itu saja, kami juga pernah menyaksikan bom meletup di depan rumah. Bayangkan betapa takut dan cemasnya pada waktu itu. Mujurlah tiada sesiapa yang tercedera,” imbau Tan Sri Zaleha.
SEKOLAH INGGERIS
Sekitar tahun 1945, setepatnya selepas Perang Dunia Kedua berakhir, beliau sekeluarga pun berpindah ke Bagan Lalang. Cerita Tan Sri Zaleha, di sekolah ada seorang guru bernama Cikgu Atan yang tiba-tiba bertanya, ‘Ada sesiapa yang nak masuk ke sekolah Inggeris?’ kepada semua anak murid.
Maka dia pun cepat-cepat mengangkat tangan, tekad mengambil peperiksaan dan akhirnya diterima masuk ke High School Kajang.
“Pernah saya disindir oleh datuk saudara yang sangat skeptikal terhadap sistem pembelajaran Inggeris. Katanya pelajar Melayu di sekolah Inggeris pasti tak tahu mengucap nanti. Tapi saya keraskan hati. Saya belajar bersungguh-sungguh, lulus ujian dan berpindah lagi ke Methodist Girl School di Kuala Lumpur.
Persepsi negatif orang dulu-dulu terbukti salah kerana pelajar Muslim sebenarnya tidak perlu pun mengikuti kelas agama Kristian sewaktu belajar.
Kebetulan waktu itu, ayah saya menyambung tugas sebagai penghulu kampung di Seputeh, seterusnya ke Sungai Penchala. Saya masih ingat, hari-hari ayah akan mengayuh basikal tuanya untuk menghantar saya ke sekolah.
Perjalanan kami agak jauh, namun masa itulah saya yang membonceng basikal ayah dapat memeluk erat pinggangnya.
Tidak lama kemudian, ayah ditukarkan ke Salak Tinggi. Di situlah bermulanya fasa berdikari yang sebenar apabila saya terpaksa menumpang di rumah bapa saudara di Kampung Baru.
Berbekalkan duit tambang bas 10 sen, dapatlah saya berulang-alik ke sekolah dengan selesa setiap hari. Dan satu perkara hebat yang saya pelajari sewaktu di Methodist Girl School adalah tentang selflessness. Tentang memberi, dan bukan menerima semata-mata.”
KEMERDEKAAN

Kenangan menyambut hari kemerdekaan, tanggal 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sehingga kini masih basah di fikiran Tan Sri Zaleha. “Ketika itu saya masih menuntut di Tingkatan 6.
Awal pagi jam 4, saya sudah keluar rumah di Kampung Baru menuju ke stadium. Dalam cuaca yang agak mendung dan hujan renyai-renyai, saya dan tunang sanggup berpayung semata-mata ingin menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut.
Sampai di Stadium Merdeka, saya lihat ramai yang sudah tiba lebih awal daripada kami. Selain masyarakat yang berbilang bangsa, ramai juga menteri dan pemimpin yang hadir. Upacara yang sepatutnya berlangsung jam 8 pagi, ditunda ke pukul 9 kerana hujan lebat.
Saya ingat lagi, sambil saya menanti dengan perut yang berkeriut belum bersarapan, baju yang basah tadi pun sempat kering. Kemudian tibalah saat yang dinanti-nantikan. Detik Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan lafaz keramat, Merdeka! Merdeka! Merdeka! jantung saya bagai ditiup semangat berkobar-kobar.”
Bezanya anak muda dahulu dan sekarang, sambung Tan Sri Zaleha, adalah pada jati diri yang semakin hilang. “Dulu kami sanggup berhujan dan berpanas, berjalan beramai-ramai dengan satu tujuan untuk menyelesaikan sesuatu isu.
Mungkin sejak kecil telah didendangkan dengan semangat agar menuntut kemerdekaan, kami jadi ‘agresif’ dan berjiwa patriotik.
Anak-anak pasca merdeka pula seharusnya merasa bertuah kerana dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan negara tanpa perlu bersusah payah. Golongan muda sekarang dapat membesar dengan selesa, tak seperti pada zaman saya dulu. Namun jangan sesekali dilupa bahawa pencapaian kita hari ini, harus dipertahankan dari generasi ke generasi.
Ingat, bukan mudah meraih berkat ‘kebebasan’. Jika kita hanyut dibawa arus budaya luar, tak mustahil jika suatu hari nanti ia hilang semula,” pesan Tan Sri Zaleha sambil menekankan pentingnya mengekalkan identiti bangsa Melayu sejati dalam setiap jiwa anak muda.
EVOLUSI
Kesempatan meniti tahun demi tahun dan melihat sendiri evolusi yang berlaku di Malaysia, membuatkan Tan Sri Zaleha percaya tentang kuasa pendidikan. “Selepas kemerdekaan, banyak peningkatan yang berlaku terhadap kehidupan rakyat secara progresif. Saya sendiri berevolusi. Contohnya daripada terpaksa berjalan ke sekolah sejauh 10km, bertukar naik basikal, kemudian naik bas dan akhir sekali naik kereta milik ibu bapa.
Evolusi sebenarnya berkait rapat dengan ilmu. Saya yakin jika kita tidak menuntut ilmu, kita sukar menyumbang bakti secara direct kepada negara. Dengan pengetahuan yang dimiliki juga, kita bukan sahaja dapat menjana ekonomi dan membantu keluarga, malah dapat berjasa melalui sektor yang diceburi.

Sebagai contoh, saya sendiri merupakan seorang anak kampung yang susah. Namun usaha belajar tanpa jemu akhirnya meletakkan diri saya sebaris di barisan Kabinet Malaysia. Percayalah, peluang itu selalu ada bagi mereka yang berusaha.
Kesempatan melalui pelbagai zaman yang berkembang pesat, selalu membuatkan saya bersyukur ke hadrat Ilahi. Saya bangga kerana dari semasa ke semasa, negara kita mampu menyediakan pelbagai prasarana yang diperlukan rakyat.
Kemudahan pendidikan dan peluang pekerjaan melimpah ruah, maka terpulanglah bagaimana kita harus memanfaatkannya. Sebab itu berulang-ulang saya tekankan, orang perempuan mesti belajar bersungguh-sungguh supaya kita senang mendapat pekerjaan yang baik,” ulas wanita yang menjadikan tokoh Indra Gandhi dan almarhumah Tan Sri Aishah Ghani itu sebagai idola terhebat.
Satu perkara yang penulis kagum tentang Tan Sri Zaleha, adalah fokus beliau terhadap sesuatu yang sedang dibuat. Masakan tidak, di saat sembang kami meleret ke cerita lain, beliau tiba-tiba akan kembali bertanya tentang soalan sebenar yang ditanyakan penulis. Begitulah sikap wanita pintar ini, orangnya tidak mudah melencong.
“Ya, begitu juga jati diri kita. Sayangilah tanah air ini dan martabatkan semula bangsa Melayu. Saya tidak bercakap soal racism, tetapi realiti sejarah pernah mencatatkan bahawa bangsa kita adalah bangsa yang amat gagah dan berani.
Berbanggalah dengan identiti nenek moyang kita, sepertimana bangsa keturunan Red Indian atau puak asli Afrika pada asal-usul mereka. Saya ingin melihat kegemilangan bangsa Melayu yang terbilang, tak kira dari rumpun apa pun, kita harus bersatu-padu,” akhiri beliau.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mula Perniagaan Tanpa Modal Sejak Kolej, Pengasas DIANZ Pernah ‘Terduduk’ Sebelum SUKSES

Melihat kejayaan yang dicapai oleh wanita ini tak sangka rupanya banyak onak dan duri yang terpaksa ditempuhnya sebelum bergelar usahawan berjaya. Walaupun masih muda, pengasas Dianz ini akui dugaan dan cabaran yang ditempuh menjadikan dirinya semakin kuat dan tabah.
“Saya bukan orang senang dan benar-benar bersyukur kerana membuat keputusan yang tepat memulakan perniagaan di atas talian untuk menampung kos sara hidup sebagai seorang pelajar dahulu.

Saya mula berjinak-jinak berniaga secara kecil-kecilan sejak di semester pertama pengajian lagi. Melihat rakan sebilik menggunakan bedak kompak telah mencetus idea untuk saya menjual produk yang digunakannya. Saya gunakan capaian media sosial Facebook sebagai medium jualan saya. Ketika itu belum ramai lagi menggunakan platform itu untuk menjual.

Tanpa sebarang modal saya mula mempromosikan produk tersebut dan tanpa disangka saya mendapat pulangan RM500 dalam bulan pertama. Bagaimana saya menjual tanpa modal? Saya mengambil pre-order dan setelah wang diterima baharu saya akan pos tempahan yang telah dibuat.

Saya meneruskan jualan ini sehingga ke semester akhir pengajian dan pendapatan tertinggi yang pernah saya terima mencecah RM20 ribu sebulan,” tutur Nurul Diana Mohd Pudzi yang tidak pernah lupa menghulurkan wang kepada ibu bapa di kampung halaman walaupun masih belajar.

Pernah ‘tersilap langkah’ dalam mengatur strategi perniagaan bukan alasan untuk wanita yang mesra disapan Dian ini berundur dalam dunia perniagaan. “Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan kegagalan ini mengajar saya tentang ilmu pemasaran. Namun tiada istilah putus asa dalam kamus hidup saya dan mula mengeluarkan produk iaitu topeng muka (mask).

Ketika itu topeng muka begitu popular sebagai produk penjagaan kulit. Saya mencipta kelainan sedikit dengan menghasilkan topeng muka berwarna ungu berbanding dengan topeng muka yang banyak di pasaran dengan warna putih dan hitam.
Rezeki tak pernah salah alamat, dalam masa lapan bulan saya memperoleh keuntungan mencapai RM1 juta. Jualan saya memang 100 peratus bergantung kepada Facebook semata-mata, tidak ada laman sesawang mahupun platform digital yang lain,” terang wanita yang mesar disapa sebagai Dian ini turut bangga mampu berkongsi rezeki dengan membawa 13 orang ahli keluarga menunaikan umrah melalui hasil titik peluhnya sendiri.

Kini jenama Dianz semakin meniti di bibir pengguna produk penjagaan diri. “Saya mengukuhkan jenama Dianz dengan menaikkan 50 papan iklan di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS Highway). Di samping itu, saya telah meletakkan iklan bergerak di 40 buah badan bas Rapid KL terpilih serta troli di 9 buah pasar raya besar Tesco dan Mydin yang terpilih,” tutur wanita yang berusia 28 tahun ini.
*Kelengkapan dapur pun boleh cari di sini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bermula Dari Bawah, DATO’ RIZALMAN IBRAHIM Bongkar Kisah Suka Duka Sebelum Bergelar Pereka Fesyen Tersohor!

Dato’ Rizalman Ibrahim, satu nama yang tidak asing lagi di kalangan para penggemar fesyen. Seorang yang sangat terkenal dengan karya seni rekaan bercita rasa tinggi serta kreatif. Sering menjadi pilihan golongan kenamaan mahupun atasan yang sentiasa percaya dengan kepakarannya. Sejujurnya, bapa kepada dua orang anak lelaki ini sebenarnya seorang yang cukup merendah diri. Dato’ Rizalman selayaknya digelar ‘guru’ dalam industri fesyen tanah air kerana ilmu serta kebolehan luar biasa yang dimiliki.

Berkongsi detik permulaan kariernya, “Kerjaya sebagai pereka fesyen bermula sebaik tamat pengajian di UiTM pada tahun 1993 di salah sebuah butik sekitar Kuala Lumpur. Tugas saya menjahit butang dan cangkuk dengan gaji hanya RM350. Waktu itu kerja hanya enam bulan kerana saya rasa terlalu terkongkong dan tercabar dengan skop kerja.

Saya nekad untuk jadi pereka fesyen berjaya seterusnya berniat mahu membalas jasa ibu bapa. Sebaik berhenti kerja, saya buat freelance. Disebabkan masa itu tiada media sosial sukar untuk saya bertapak dalam industri fesyen.

Pun begitu, saya tidak pernah anggap ia satu halangan. Saya terus berusaha sehinggalah dikenali sebagai pereka fesyen baru yang sering mengetengahkan silhouette daripada kebaya dan kurung yang dimodenkan mengikut cita rasa masyarakat ketika itu.

Saya turut mengeluarkan idea-idea baru seperti baju kurung yang boleh diolah dalam pelbagai bentuk dan sebagainya. Dari situ orang mula mengenali saya sebagai seorang yang suka membuat revolusi terhadap busana-busana tradisional selain menitikberatkan soal kualiti.

Pelanggan pertama saya ialah personaliti televisyen terkenal, Wan Zaleha Radzi yang membeli sepasang kebaya kuning menggunakan fabrik sari. Personaliti lain ialah Fauziah Ahmad Daud, Zarina Zainuddin dan Zakiah Anas. Disebabkan belum ada butik, cara saya menjual ialah dengan meletakkan baju-baju yang sudah dijahit ke dalam beg dan membawanya ke stesen televisyen dengan menaiki bas.

Waktu itu saya masih belum punya kereta sendiri dan tiada pekerja. Semuanya dilakukan sendiri, menjual dari pejabat ke pejabat, pergi ke rumah klien dan sebagainya. Dan bila ada duit sikit saya iklankan hasil rekaan dalam majalah.
Kesimpulannya, agak susahlah dulu kerana perlu bergantung kepada cara pemasaran di samping kualiti produk itu sendiri. Bila sudah ada simpanan barulah saya membuka butik secara kecil-kecilan,” ungkap anak bongsu yang dilahirkan dalam keluarga seni ini. Ibunya seorang tukang jahit manakala bapa merupakan kerani dan jurufoto fesyen. Adik beradiknya pula pandai melukis dan ada yang bergelar pelakon teater serta pelakon radio.

“Saya bersyukur kerana dijadikan siapa diri saya sekarang untuk berkongsi ilmu yang dianugerahkan oleh Yang Maha Esa. Saya hanyalah sebagai medium serta watak di pentas dunia ini yang telah berjaya saya sampaikan dengan sempurna. Kelebihan yang saya miliki ini adalah satu tanggungjawab. Ilmu itu satu amanah. Saya juga memandang risiko serta kritikan sebagai satu fasa kehidupan yang mematangkan.

Sebagai pereka fesyen juga saya perlu tahu siapa pesaing-pesaing untuk menjadi yang lebih baik dan berusaha sampai ke tahap paling atas yang menjadi kunci untuk menjadi pereka fesyen tersohor. Saya juga pakar dalam fesyen dan tahu apa itu fesyen kerana banyak membaca dan mengembara ke negara luar,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang ini yang berusia 49 tahun.

“Harapan saya bila tibanya saat menutup mata, dapatlah pergi dalam keadaan yang tenang tanpa hutang. Sihat tubuh badan serta mampu melakukan ibadah dengan sempurna seterusnya memiliki anak-anak yang soleh. Tidak kisahlah mereka mahu meneruskan legasi saya mahupun tidak. Semoga mereka diberikan jodoh yang solehah dan keturunan yang soleh.

Seterusnya nasihat saya buat generasi muda yang mahu berjaya pertamanya ialah kenal dahulu siapa Pencipta, kenal siapa diri kita dan kenal segala benda yang ada di sekeliling kita. Bila kita tahu semua itu maka kita akan tahu bagaimana formula untuk menjadikan diri kita berguna dan bagus kepada orang lain,” akhiri Dato’ Rizalman.
Foto: Instagram @rizalman71
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


