Amboi, tidak ubah seperti pengantin baru. Walhal selebriti cantik Rozita Che Wan dan suami tersayang, Zain Saidin ini sudah pun enam tahun berkahwin. Tapi dari riak wajah kedua-duanya jelas terserlah jiwa mereka yang tetap hangat dilamun cinta. Iyalah, dapat isteri secantik Che Ta mesti Zain tatang isteri tercinta bagai minyak yang penuh. Tambahan lagi, hasil perkongsian hidup selama enam tahun… rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran seorang anak perempuan comel iaitu Aaisyah Dhia Rana.
Bagi Che Ta dan Zain, tanggal 11 Disember merupakan detik terindah yang harus dikenang sepanjang hayat. Demi menghangatkan kembali perhubungan dan rasa kasih, pasangan ini sepakat menyambut ulang tahun perkahwinan keenam mereka tahun ini dengan mengadakan majlis persandingan.
Selain gaun perkahwinan meleret indah dan pelamin yang mewah serta megah, tetamu yang hadir turut diberikan cenderahati kenang-kenangan. Malah, Che Ta sempat mengenakan dua persalinan pada malam sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang bertempat di Royale Palace. Memang meriah!
Seperti tahun-tahun sebelumnya, Che Ta sekali lagi mengungkapkan ucapan romantis buat suami tercinta. “Bernikah denganmu mungkin adalah jawapan terindah dari Tuhan, atas doa yang paling sederhana dalam setiap tahajudku. Tuhan, aku hanya ingin bahagia bersamanya Zain Saidin.”
Kongsinya lagi, “Jika kamu mencari sempurna maka itu bukan cinta yang sesungguhnya, mencari cinta sejati bukan hanya menerima segala kelebihannya, namun juga mau menerima segala kekurangan. Thank you sayang menerima segala kekurangan I.”
Pelamin persandingan serba mewah dan indah Zain Saidin dan Che Ta pada malam tersebut adalah ilham kreatif KL Wedding Ministry, barangan kemas yang digayakan pula dari Habib Jewels, door gift dari Najib Bakery dan hand bouquet dari Man Kajang. Zain segak mengenakan tuxedo sementara Che Ta menggayakan dua gaun kembang dari Altelia Amani dan Ambersze. Wajah cantik Che Ta pula pada majlis berkenaan ditata rias jurusolek terkenal di kalangan selebriti iaitu Kasih Cicie.
Walau meniti usia lewat 40an namun kejelitaan ibu tiga anak ini tetap mempersona. Bahkan ramai yang memuji dan mencemburui kecantikan yang dimiliki Che Ta. Untung Zain. Meskipun 11 tahun berbeza umur dengan Zain tapi Che Ta pandai menjaga penampilan diri agar sentiasa tampil menarik. Yang penting, bukan sahaja untuk keselesaan sendiri tapi juga untuk tatapan suami tercinta.
Berkongsi foto terbaru sekitar sambutan ulang tahun perkahwinan mereka baru-baru ini, Che Ta sambil berseloroh berkata, “Walaupun dah 6 tahun kahwin, perasaan malu dengan suami tetap kena ada. Tu yang dok pulun berbengkong, jaga badan. Kadang kita ni nama kata dah berlaki dah tak jaga penampilan. Dah kena cerai baru la cari salon, telan ubat kurus, lumur lotion. Apa-apa pun yang penting, kena maintain.”
Mengimbas kenangan pernikahan mereka berdua, Zain dan Che Ta disatukan sebagai suami isteri pada 11 Disember 2013 di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam. Che Ta menerima wang hantaran bernilai RM23,200 dan belanja mas kahwin sebanyak RM9,300.
Sumber: Instagram Rozita Che Wan
Kredit foto: Black Pepper Production