Anakanda sulung Perdana Menteri ketujuh ini sempat berkongsi bingkisan indah bersama keluarga tercintanya buat pembaca NONA. Di usia 61 tahun, rupa paras isteri kepada Tara Sosrowardoyo dan ibu kepada tiga cahaya mata, Ineza Roussille, Haga Tara dan Shaista Mayada itu masih manis rupawan dengan karakter seorang feminis yang pintar.
Terus saja persoalan tentang watak ibu bapanya di rumah diajukan, lantas disambut dengan senyuman lebar oleh Datin Marina. “Secara jujur, saya melihat kedua orang tua saya sebagai pasangan yang paling ideal di dunia. Mereka seperti ditakdirkan bersama. Amat mesra dan saling melengkapkan antara satu sama lain. Meskipun kedua-duanya tidak ekspresif melahirkan rasa cinta, namun ia terserlah melalui perbuatan dan pandangan mata. Saya juga kenal perangai Ayah saya yang sangat bergantung pada Mak. Kalau ada sesuatu yang mengganggu fikirannya atau waktu dia menjalani rawatan di hospital dahulu, hanya isterinya yang dimahukan untuk berada di sisi.
Semasa kami semua membesar di Alor Setar, Ayah seorang yang garang dan tidak banyak bercakap. Kalau kami tak pergi ke sekolah, macam buat satu dosa besar bagi dia. Saya juga pernah teruk dicubit dan dimarahi apabila tukang kebun kami mengadu saya menjelir lidah kepadanya. Berkali-kali Ayah tekankan betapa pentingnya sikap tertib dan adab sopan terhadap orang lain. Itulah yang saya pegang dan menjadi prinsip hidup sampai sekarang,” cerita wanita yang mesra disapa sebagai Marina itu kepada penulis.
Tun Dr. Siti Hasmah pula, akui Marina turut bersikap tegas kerana beliaulah yang menguruskan semua hal berkaitan pendidikan anak-anak. “Dia memang lemah lembut dan mesra dengan semua orang. Tapi sewaktu kami kecil, dia seorang enforcer kerana mahu melihat kami semua berjaya. Sekarang tidak lagi. Mak merupakan individu paling rajin untuk mengatur percutian keluarga dan dialah yang sentiasa membuatkan kami sekeluarga berhubung antara satu sama lain.
Kami selalu dididik bahawa hajat tak akan tertunai tanpa usaha. Dalam dunia ni tak ada yang percuma. Semua orang mesti bekerja untuk mendapatkan hasilnya. Mereka juga selalu berpesan bahawa pendidikan itu sangat penting. Tak kisahlah kami mahu kerja apa nanti asalkan mesti habis belajar. Kerana tidak dipaksa, maka tak ada seorang pun di antara kami yang mengikut jejak langkah mereka dalam bidang perubatan. Mujurlah sekarang ada dua anak saudara yang menunjukkan minat sebagai doktor,” kata Datin Marina dengan mesra.
Kesibukan sentiasa menjadi halangan buat pemilik syarikat Mosaique Communication ini dan adik-beradik yang lain untuk selalu berjumpa ibu bapa di rumah. Sesekali tiba peluang berkumpul, itulah masanya untuk update hal keluarga masing-masing. “Percaya tak, kadang-kadang saya kena baca akhbar untuk tahu Mak dan Ayah berada di mana! Hakikatnya memang mereka berdua sibuk dengan pelbagai aktiviti di merata-rata tempat. Sebagai anak Perdana Menteri, kami dah biasa dengan situasi ini. Cuma kini agak risau kerana mereka sudah tua dan perlu banyak berehat.
Ads
Ayah sudah biasa bekerja. Sebenarnya kami sekeluarga sudah puas memujuk namun Ayah masih sayangkan perjuangannya. Sampai ke satu tahap, kami jadi putus asa. Selagi dia masih sihat, okaylah. Cuma jauh di sudut hati saya sangat kesian melihat Ayah kerana umurnya yang sudah meningkat,” kata Datin Marina dalam nada tertahan.
Tatkala Datin Marina atau ahli keluarganya yang lain dilemparkan pelbagai tohmahan, mereka sekeluarga mengambil inisiatif untuk saling menyokong satu sama lain. “Saya selalu menerima kritikan negatif tapi alhamdulilah semuanya diuruskan sendiri tanpa melibatkan Ayah atau sesiapa. Mungkin berkat pengalaman di bidang perhubungan awam dulu, saya jadi immune. Saya tak kisah apa orang nak kata. Mereka tak kenal saya tapi menilai dari media sosial saja. Di media sosial, golongan yang menghentam itu memang nampak hero tapi belum tentu mereka berani berdepan saya. Kita semua sama. Yang menghisab cuma Dia.”
Kini meskipun tidak lagi aktif dalam persatuan, kebanyakan masa Datin Marina masih lagi padat dengan pelbagai program seperti jemputan memberi ceramah di sektor korporat, universiti dan sekolah. Beliau juga masih memikul tugas ahli lembaga Yayasan Maybank dan ahli Asian University for Women (AUW) yang berpangkalan di Chittagong, Bangladesh.
Ads
Daripada pandangan mata penulis, sumbangan Datin Marina teramat besar dalam memperjuangkan hak asasi wanita. Beliau lantang menyuarakan pendapatnya walau ada kalanya disanggah beberapa pihak. Sebagai bekas Presiden Majlis AIDS Malaysia juga, Datin Marina giat membela nasib mangsa HIV/AIDS serta terkenal melalui Sisters In Islam kerana memperjuangkan keadilan serta menuntut kesaksamaan bagi wanita Islam
MERIAH
Ceritera Ramadan menyapa perbualan penulis yang seterusnya dengan Marina. Dibesarkan dengan gaya orang Kedah, Datin Marina sekeluarga biasanya akan mula berbuka dengan hidangan ringan seperti kuih-muih dahulu, sebelum bersolat Maghrib dan bersambung semula dengan menjamah nasi. “Amalan kami sama saja dengan keluarga lain. Saya sendiri berlatih berpuasa secara separuh hari. Sedikit demi sedikit, barulah pandai berpuasa sampai sehari dan alhamdulilah pada usia 8 tahun, sudah boleh berpuasa penuh di bulan Ramadan.
Ads
Bagi saya Ramadan adalah masa yang paling ideal untuk keluarga. Sambil itu juga, inilah masanya untuk merenung semula makna kebesaran bulan Ramadan dan to simplify our life. Kami sudah lama tak pergi berbuka puasa di hotel tapi cukuplah apa yang terhidang di atas meja saja. Inilah bulan yang paling quiet bagi saya, kurang bersosial, kurang marah-marah dan lebih masa untuk beribadah. Cukuplah menyibukkan diri pada bulan-bulan lain.
Sekarang bila keluarga dah bertambah besar dan ramai, kami sepakat adakan dua majlis wajib sewaktu bulan Ramadan. Semua ahli keluarga mesti berkumpul pada malam 1 Ramadan dan malam terakhir berpuasa. Masa inilah kami akan berbuka dan bertarawih sama-sama di rumah dengan keluarga,” imbau Datin Marina yang juga pernah menyambut Ramadan selama lima tahun di kota London.
Sewaktu negara di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir dulu, penulis teringat akan suasana meriah membuat persiapan raya sambil televisyen terpasang rancangan Perutusan Khas Aidilfitri daripada Perdana Menteri. Tatkala bercerita semula tentang kenangan itu kepada Datin Marina, beliau sebagai anak tentulah agaknya lebih teruja. Sambbil tertawa kecil. “Saya tidaklah sampai tertunggu-tunggu ucapan Ayah di depan TV. Bagi saya, itu biasa saja baginya yang sedang menjalankan tugas rasmi sebagai pemimpin.”
Mengakhiri perbualan ini, Datin Marina sempat berpesan kepada semua pembaca Nona agar jangan jemu menambah ilmu. “Pengetahuan adalah kuasa. Sebagai wanita, kita mesti tahu apa hak kita dan perkasakan diri dengan pengetahuan. Dengan itu kita lebih bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran atau kemungkinan yang mendatang,” katanya bersungguh-sungguh.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pada 13 September 2022 genaplah usia cucu sulung kepada chef selebriti terkenal, Datuk Chef Wan yang ke-12 tahun. Tristan Tarreef merupakan anak kepada Serina dengan bekas suaminya yang pertama. Serina turut mempunyai seorang anak perempuan iaitu Isabella Saffiya, 11 tahun. Selain bergelar pelakon dan hos, selaku Pengarah Urusan, Serina juga kini ligat menguruskan rangkaian perniagaannya iaitu Serina Food Empire.
Sambutan ulang tahun kelahiran yang diadakan secara privasi dan santai itu diadakan di salah sebuah hotel mewah sekitar Kuala Lumpur dihadiri beberapa ahli keluarga serta kenalan rapat. Turut kelihatan abang kepada Serina iaitu Chef Riz bersama isterinya yang dikenali sebagai Nurul.
Selain meluahkan rasa syukur kerana mereka sekeluarga dapat berkumpul untuk meraikan ulang tahun kelahiran anak sulungnya itu, Serina turut menitipkan ucapan di Instagram yang cukup menyentuh jiwa seorang ibu.
“Syukur Alhamdulillah Anakku Tristan Tarreef dipanjangkan umur hari ni genap 12 Tahun anak bujangku, Thank you Papa @_chefwan58 belanja lunch also belikan Hadiah for Tristan dan Bella juga. You are the best Atok!!
“Ibu doakan selalu Tristan Tareef jadi anak yang soleh, pelindung keluarga bila dewasa aminn.. always jadi anak yang menghormati orang tua, Ibu bangga lahirkan Abang di dunia ni, anak ibu ni anak yang baik taat, tak pernah berkasar dan lawan cakap Ibu.
“Bila Ibu sedih abang peluk ibu dia faham ibu diduga dengan pelbagai ujian. Alhamdulillah tetap tabah dan redha akhirnya selepas hujan ribut Allah kurniakan Pelangi.”
Tidak ketinggalan, Serian turut berterima kasih kepada suami, Meor Mohammad Aidid, kerana menerima anak-anaknya dengan ikhlas.
“Terima Kasih Ayah Aidid terima anak-anak kita dengan Ikhlas hati. Moga Allah SWT beri ganjaran dan pahala di akhirat. Love My family so much!!”
Menurut Serina, anak lelakinya itu seorang yang sopan, pemalu dan sangat manja dengannya. Memang tidak boleh berenggang.
“Nampak kan Tristan ni orangnya jenis sopan malu-malu gitu..tapi manja sangat..kalau tidur mesti nak berkepit bawak ketiak Ibu dia.
“You will always be my baby Tristan Tareef, walaupun abang dah jadi anak bujang. Sekejap je masa berjalan, rindunya zaman masa dia baby.”
Datuk Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail turut menitipkan ucapan ringkas di Instagram buat cucu kesayangannya itu sebelum beliau ‘terbang’ ke luar negara.
Pelakon Salina Saibi turut menitipkan ucapan di ruangan komen Instagram Serina yang mendoakan agar Tristan dapat menjaga ibunya dengan baik.
“Happiest Birthday hero Mana, jaga Mama tau. Syukur, Alhamdulillah..Semoga dipanjangkan dan diberkati umur mu, Sentiasa dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang baik. Hidup aman, bahagia dengan keluarga tersayang. Sentiasa dalam rahmat dan lindungan Allah SWT.. Dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat…Aamin Allahuma Aamin…”
Kredit Foto: Instagarm Serina Datuk Redzuawan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Sifat penyayang, prihatin dan berjiwa rakyat pasangan diraja, KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan KDYMM Raja Permaisuri Agong kini diwarisi anakanda sulung mereka, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Terbaharu, Tengku Hassanal yang turut digelar ‘The Real Prince Charming’ oleh rakyat jelata itu berkenan mengurniakan Elaun Diraja selama empat bulan kepada Tabung COVID-19 Pahang bagi membantu mereka yang memerlukan.
Meskipun tidak menyatakan nilai elaun baginda secara spesifik, namun dijangka dengan kedudukannya sebagai Pemangku Raja berkemungkinan mencecah lima angka.
Sumber: Facebook Menteri Besar Pahang
Kurniaan kepada Tabung COVID-19 Pahang juga merupakan kurniaan kali kedua oleh Tengku Hassanal yang sebelum ini berkenan mengurniakan Elaun Diraja selama enam bulan ke tabung yang sama pada 1 April 2020.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di laman media sosial rasmi beliau hari ini, yang turut menjunjung kasih atas keprihatinan baginda terhadap rakyat Pahang.
Tengku Hassanal bersama ayahanda dan bonda tercinta
Tabung COVID-19 Pahang dilancarkan oleh kerajaan negeri pada awal pelaksanaan PKP 1.0 khusus untuk membantu rakyat negeri ini terkesan dengan pelaksanaan perintah tersebut yang perlu dilakukan bagi memutuskan penularan wabak itu.
Kurniaan tersebut dilakukan sehari selepas Tengku Hassanal berkenan mengurniakan Elaun Diraja selama tiga bulan ke Tabung Pahang4Palestine bagi membantu penduduk di sana.
Sumber: Facebook Menteri Besar Pahang
Berusia 25 tahun, Tengku Hassanal merupakan graduan dari Akademi Ketenteraan Diraja di Sandhurst, United Kingdom. Baginda juga memiliki Ijazah Perhubungan Antarabangsa dari Geneva School of Diplomacy and International Relations di Switzerland.
Baginda mewarisi sikap ayahanda dan bondanya yang mesra rakyat, kerap kali turun padang untuk aktiviti kemasyarakatan serta tangkas menurunkan bantuan setiap kali berlaku bencana di Pahang.
Berperwatakan segak dan tampan, pesona Tengku Hassanal yang mudah melemparkan senyuman amat disenangi oleh masyarakat. Baginda juga sering menyantuni golongan susah serta tidak canggung bertemu rakyat dari pelbagai lapisan usia.
Tanpa protokol yang ketat, sikap Tengku Hassanal yang humble sama seperti ayahanda dan almarhum nendanya, Sultan Ahmad Shah, yang terkenal dengan prinsip ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kalau Mawi kini lebih selesa berkarya di sebalik tabir sebagai pengarah, Ekin pula makin rancak merencana karier sebagai usahawan. Bakal menyambut ulang tahun perkahwinan ke-12 pada 20 Disember nanti, Ekin atau nama sebenarnya Nora’ashikin Rahmat tetap kelihatan cantik dan menawan seperti dulu. Meskipun hakikatnya Ekin merupakan ibu kepada seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Cahaya Malaika berusia lapan tahun.
Enggan terlalu bergantung kepada suami dan selesa berdikari, wanita jelita berusia 41 tahun ini ligat menguruskan perniagaan miliknya. Jika dulu, Ekin memiliki rangkaian produk kesihatan, Unequein tapi hari ini dia meluaskan lagi empayar niaga dengan menceburi bidang makanan pula. Menariknya, bisnes ini turut diusahakan bersama adik kembar, Aenn atau Nora’ain Rahmat. Dari dulu sampai sekarang, memang susah hendak cam mana satu Aenn dan Ekin sebab muka mereka yang seiras!
Pernah bergelar pelakon, percaturan Ekin untuk menjadi ahli perniagaan nyata membuahkan hasil. Satu per satu produk berjaya dihasilkan dan terbaru, mereka mengambil risiko menjadi usahawan makanan dengan menjual hidangan pencuci mulut Polka Pops Dessert. Difahamkan idea untuk menghasilkan dessert ini bermula sejak Ogos tahun lalu.
Biarpun tidak sampai setahun berada di pasaran namun sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Apatah lagi, Ekin mencurahkan segala keringat dan kreativitinya demi memberikan sajian pencuci mulut terbaik dan mampu dibeli orang ramai. Sebekas Polka Pops Dessert mengandungi pelbagai elemen pencuci mulut menyelerakan dan berwarna-warni seperti pearl (boba), cincau, mochi serta kuah sebagai pelengkap sajian.
https://www.instagram.com/p/B_Rl8CgFZG9/
Bagi memastikan pelanggan tidak jemu dengan sajian ini, Ekin turut mempelbagaikan Polka Pops dengan edisi khas sempena sesuatu perayaan. Antaranya polka pops versi Olaf sempena Krismas dan sempena lebaran ini, polka pops versi raya turut dihasilkan. Istimewanya, sajian ini mengandungi mochi berupa bentuk seperti ketupat, kuih tart dan kuih makmur. Memang kreatif sangat!
Kongsi Ekin, “Alhamdulillah sambutan polka pops edisi raya luar biasa. MasyaAllah thank you so much guys yang dah order and repeat order hari-hari. Syukur alhamdulillah.”
Untung Mawi dikurniakan isteri yang bukan saja pandai menjaga penampilan diri tetapi bijak berniaga dan menjana pendapatan sendiri. Buat Ekin, teruskan usaha dan kerja keras anda. Moga kesungguhan Ekin memajukan diri dan perniagaan ini mampu menjadi suntikan semangat kepada masyarakat untuk berjuang mengejar impian.
Wah, beruntungnya Elisya Sandha dikurniakan seorang ibu mentua yang baik dan sanggup menjaganya selepas melahirkan anak. Tak dinafikan, masih ada dalam kalangan ibu mentua yang berbuat perkara sama terhadap menantu seperti Sheila Rusly ...