Bermula dari kejayaan mendapat keputusan cemerlang 17A1 dalam SPM, nama Dr Nur Amalina Che Bakri terus disebut-sebut. Biarpun jauh di perantauan, beliau tetap berusaha membantu rakyat Malaysia yang memerlukan serta aktif berkongsi ilmu di media sosial.
Kini jasa dan pengorbanan Dr Amalina, 34, mula mendapat perhatian ramai. Bayangkan di sebalik ruang waktunya yang padat dengan kerja klinikal sebagai doktor bedah, beliau masih menjalankan kajian perubatan dalam bidang kanser payudara serta COVID-19 sebagai felo akademik kajian klinikal di Imperial College.
Jika sebelum ini Nona pernah mengiktiraf sumbangannya dalam Nona Superwoman Awards 2020, terbaharu beliau menerima anugerah pula di Britain.
UK Women of the Future Award 2021 telah dianugerahkan kepada Dr Amalina dalam kategori profesion perubatan.
Wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan dan dibesarkan di Batu Pahat, Johor itu adalah antara 25 wanita di Britain yang merangkul anugerah berkenaan.
“Saya amat berbesar hati menerima anugerah ‘Highly Commended’ dalam kategori profesion di UK Women of the Future Award 2021.
Saya berasa rendah diri kerana dikelilingi wanita muda di Britain yang menerajui pelbagai bidang seperti perubatan, undang-undang, teknologi, sains, kejuruteraan, sukan dan banyak lagi.
Congratulations to the other finalists and winners, you are all superheroes!” Dr Amalina
Penghargaan itu mendapat perhatian warga maya yang turut mengucapkan sekalung tahniah kepada Dr Amalina.
Memetik kata-kata Dr Amalina ketika ditemu bual Majalah Nona, beliau sempat berkongsi harapan dalam kerjayanya.
“Kesibukan sudah menjadi lumrah dalam kamus seorang doktor dan anda perlu belajar sepanjang hidup untuk menjadi doktor yang cemerlang.
It is a very challenging job but it is also very rewarding. Anda boleh mengubah dunia menjadi lebih baik dengan membantu meningkatkan kualiti kehidupan pesakit, and this can be a tremendously satisfying experience. It is something that money can’t buy.
Saya mahu menjadi inspirasi kepada anak-anak muda untuk meneruskan kerjaya di mana ia boleh meninggalkan impak positif pada orang lain.
Bagi mencapai matlamat ini, saya perlu bekerja keras, fokus dengan cita-cita saya dan lebih bermotivasi tinggi untuk berjaya dalam hidup.
Nasihat saya, berusahalah bersungguh-sungguh buka minda dan keluar dari zon selesa. Anda perlu tetapkan matlamat dalam hidup seterusnya jujur pada diri sendiri. Atur pelan A – Z tanpa rasa mengalah.” Dr Amalina.
Tabahnya Semangat Isteri HERO Christchurch Ini Malah KASIHAN Dengan Pengganas Pembunuh Suaminya
Ambreen Naeem kehilangan suami dan anak dalam serangan bersenjata secara rambang di Christchurch. Suaminya Naeem Rashid dikatakan menjadi seorang HERO dalam tragedi ini apabila terdapat saksi yang melihat Rashid cuba merampas senjata yang dibawa oleh pengganas tersebut ketika orang ramai sedang bersiap-siap menunaikan solat jumaat di Masjid Linwood.
Dalam satu temubual Ambreen Naeem bersama stesten televisyen New Zealand Ambreen begitu tenang menjawab soalan wartawan yang bersiaran. Langsung tiada buti air mata yang gugur menggambarkan keredaannya melepaskan suami dan anak tercinta.
“Saya tahu suami seorang lelaki yang berani, selalu menolong orang dan sangat penyayang. Suami dan anak sulung saya benar-benar membuat saya bangga kerana mereka mati di jalan Allah SWT dan menyelamatkan nyawa umat Islam yang lain. Both of them were beautiful souls.
Saya begitu bangga dengan suami saya apabila bertindak melindungi nyawa orang lain dengan mempertarungkan nyawa sendiri. Anak sulung saya pula merupakan seorang anak yang baik dan sama seperti bapanya suka menolong orang demi jalan Allah,” ucap ibu kepada 4 orang anak lelaki ini.
Ketika diajukan pertanyaan tentang perasaan wanita ini apabila kehilangan dua insan yang paling disayanginya nyata Ambreen begitu positif dan tenang, “Rentetan daripada tragedi ini saya hanya bersedih dan kasihan apabila memikirkan yang pengganas tersebut langsung tidak mempunyai rasa cinta dan sayang dalam hatinya,” itu yang terpacul daripada mulutnya.
Menurut Ambreen, beliau akan terus mengunjungi masjid jika kerajaan New Zealand mengeluarkan arahan membuka semula semua masjid yang ditutup buat sementara. “Tiada apa yang dapat menghalang saya untuk terus mengunjungi masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah. Malah tragedi ini membuatkan saya lebih kuat dan bersemangat.
Jika dilihat ramai orang yang mahu dikebumikan jenazah di tanahair sendiri tetapi suami saya telah berpesan untuk menyemadikan pusaranya di mana nyawanya dicabut oleh Allah SWT. Jadi saya mengikut amanat yang telah diberikan oleh suami dan kebumikan jenazah di New Zealand,” katanya”.
Bercerita tentang kedatangan keluarganya ke New Zealand apabila suaminya yang bekerja sebagai pegawai bank mahu menukar karier sebagai pensyarah. Lalu suaminya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di New Zealand. Keluarga ini yang berasal dari Pakistan turut mendapat pujian dari Perdana Menteri pakistan Imran Khan.
Pegang 3 Kali Gelaran Juara Dunia, Ratu Tenpin Boling Negara Shalin Zulkifli Akhirnya Bersara
Bila sebut sahaja nama Shalin Zulkifli secara automatik pasti terbayangkan kehebatan wanita ini beraksi dalam acara sukan tenpin boling. Gelaran juara demi juara yang diraih oleh wanita ini benar-benar menyuntik inspirasi lebih-lebih lagi kepada atlet wanita negara.
Digelar Ratu Tenpin Boling memang selayaknya lantaran wanita yang dilahirkan di Kota London ini pernah menjuarai Kejohanan Dunia 2003 di Malaysia, 2007 di Mexico dan 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Jasa dan bakti wanita yang kini berusia 42 tahun ini mengharumkan nama negara bukan calang-calang. Shalin banyak menghabiskan masa remaja di gelanggang boling bagi memastikan prestasinya kekal berada di tahap terbaik dan mula bermain boling sejak usianya 9 tahun lagi.
Pemegang Ijazah Sains Sukan ini juga telah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali iaitu di tahun 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002. Bukan itu sahaja malah Shalin mempunyai kerjaya cemerlang dengan mengumpul 74 pingat di peringkat senior.
Walau bagaimanapun baru-baru ini Ratu Tenpin Boling ini telah membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada mewakili Malaysia secara rasmi. Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Maradona Chok mengesahkan perkara ini seperti yang dilaporkan oleah BERNAMA.
Semoga Shalin terus cemerlang dalam kerjaya yang bakal diceburinya selepas persaraan ini dan membantu anak bangsa untuk terus gah di gelanggang tenpin boling negara.
Wanita Besi Di Sebalik Senyuman, PROF TOH CHOOI GAIT Terima Pingat Kolej Perubatan Diraja Ediburgh
Tekad yang tinggi, semangat berani dan sedikit tuah. Itulah Profesor Toh Chooi Gait, Profesor Pergigian Restoratif Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Kuala Lumpur, yang berhasil mencapai ikhtisar (resume) yang mengagumkan. Bagi beliau ia satu kebanggaan tidak ternilai yang menjadikannya orang yang tetap merendah diri. Pada Hari Wanita Sedunia kali ini, kami berbicara dengan beliau mengenai perjalanannya yang penuh inspirasi, yang dilakukan kerana beliau sukakannya.
Masa untuk keraian. Majlis separa rasmi yang dihadiri tetamu dari seluruh dunia penerima pelbagai anugerah. Antaranya, Profesor Toh Chooi Gait yang diraikan. Beliau bangga dan bersyukur atas pengiktirafan yang diberikan kepadanya iaitu Pingat Antarabangsa Fakulti Pembedahan Pergigian 2022 oleh Kolej DiRaja Pakar Bedah Edinburgh (RCSEd). Sebagai seorang felo pergigian luar negara, ia adalah satu pengiktirafan kepada sumbangan penting beliau kepada Fakulti Pergigian, kolej dan bidang pergigian secara keseluruhan.
Dikenali sebagai seorang yang ikhlas dan baik budi, maka tidak hairanlah apabila para hadirin diminta oleh Profesor Toh untuk berdiri bersamanya, lalu beliau membalas tepuk sanjungan mereka ke arah kamera siaran langsung, semasa beliau menyampaikan ucapan penerimaan pingat. “Untuk pencapaian ini, kami berterima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kemajuan peribadi dan profesional kami. Terima kasih juga kepada ahli keluarga atas kasih-sayang dan sokongan mereka.” Tepukan sanjung para hadirin bergema kuat dan berlarutan panjang di seluruh dewan, sama-sama berkongsi sentimen beliau.
Itulah saat yang tidak akan beliau lupakan, yang ternyata jauh berbeza daripada ketika perjalanan kerjaya beliau baru bermula.
Permulaan yang belum pasti
Sebagai seorang pelajar muda, Profesor Toh sentiasa cemerlang dalam pelajaran. Matlamatnya adalah menjadi seorang doktor. Walau bagaimanapun, pada tahun peperiksaan yang akan menentukan kemasukannya ke universiti, situasi peribadi menyebabkan prestasinya merosot. Namun, beliau tetap memohon tempat di Universiti Singapura (sekarang Universiti Nasional Singapura) dalam bidang perubatan. Beliau turut meletakkan jurusan pergigian, kejuruteraan dan perakaunan masing-masing sebagai pilihan kedua, ketiga dan keempat.
Tawaran pertama yang diterima beliau adalah jurusan perakaunan. Beliau melepaskan tawaran itu. Selepas itu, beliau ditawarkan tempat dalam jurusan kejuruteraan di Singapura. Sambil ketawa beliau berkata, “Saya mahu menolak tawaran itu juga!”, tetapi abang yang mendanai pengajian beliau menasihatinya untuk menerima tawaran tersebut. Profesor Toh menerima takdirnya dan hadir untuk memulakan pengajian kejuruteraan di Universiti Singapura.
Itulah titik perubahan dalam hidupnya. Beliau bertuah kerana ada pelajar yang berhenti daripada kursus pergigian pada saat-saat akhir dan itu membuka ruang untuknya. Walaupun bukan pilihan pertama iaitu perubatan, ia tetap lebih dekat dengan minatnya berbanding bidang kejuruteraan.
Tidaklah mudah baginya menerima jurusan itu, tetapi semakin beliau mempelajarinya, semakin terpesona beliau akannya. Beliau mendapat keputusan cemerlang setiap tahun dan menamatkan pengajian dengan kepujian. Profesor Toh merupakan seorang daripada 10 orang pelajar yang berjaya mencapainya sehinggakan dekan fakulti mengajak beliau menyertai universiti sebagai ahli fakulti, tetapi sekali lagi beliau menolak tawaran itu. “Nampak sangat saya memang pandai menolak tawaran,” dia bergurau.
Sebenarnya, Profesor Toh adalah seorang wanita yang tahu apa yang beliau mahukan. Pertamanya, beliau mahu bekerja di Kuala Lumpur kerana pasangannya yang kini adalah suaminya, akan berada di kotaraya itu. Kedua, beliau sedar bahawa dunia akademia adalah langkah seterusnya dalam perjalanan hidupnya kerana beliau memang mahu menjadi seorang pakar. Oleh itu beliau memerlukan latihan pasca-siswazah. “Saya tiada wang untuk meneruskan pengajian selepas mendapat ijazah tetapi saya tahu apabila berada dalam akademia, seseorang itu akan dihantar membuat latihan kepakaran,” ujar beliau jujur.
Kerana itulah Profesor Toh menyertai Fakulti Pergigian Universiti Malaya, yang merupakan fakulti pergigian pertama dalam negara. Pada tahun 1974 itu juga merupakan pertama kalinya kerajaan memansuhkan syarat perkhidmatan wajib kerajaan kepada graduan baru bidang pergigian. Beliau turut mencipta sejarah sebagai pembantu pensyarah termuda yang dilantik menyertai Universiti Malaya.
Tidak lama selepas itu, Profesor Toh terbaca iklan tawaran biasiswa Komanwel. Beliau memohon dan berjaya mendapatkan biasiswa berkenaan untuk melanjutkan pengajian pasca-siswazah di Institut Pergigian Eastman di Kolej Universiti London. “Sepanjang hidup saya ini perjalanannya bersahaja dan sudah tertulis. Saya memperolehi semua pengalaman indah yang tidak dapat dilupakan ini. Barangkali saya dilahirkan begitu bertuah atau sebenarnya ada penjaga pari-pari yang melindungi saya,” ujar beliau.
Tidak rugi apa-apa pun, malah mendapat lebih banyak lagi
Eastman adalah sebuah pusat rujukan bagi kes-kes rumit dan sukar. Peluang berada di situ adalah pendedahan tidak ternilai buat Profesor Toh. “Latihan pasca-siswazah sangat penting. Ia membuka minda. Ia mengajar kita untuk berfikir secara lateral dan mencari penyelesaian.” Selepas menamatkan program sarjana dan memperolehi kelayakan fellowship dari Kolej Pakar Perubatan dan Pakar Bedah DiRaja Glasgow dalam tempoh sembilan bulan sahaja, Profesor Toh mendapati beliau masih mempunyai masa di bawah program biasiswanya sebelum boleh pulang ke tanah air. Beliau ada terfikir untuk menduduki peperiksaan kelayakan fellowship dari Kolej DiRaja Pakar Bedah England, tetapi seorang rakan sekerja mencadangkan beliau untuk menduduki peperiksaan bagi mendapatkan Diploma Pergigian Restoratif yang baru sahaja dilancarkan Kolej DiRaja Pakar Bedah Edinburgh.
Dalam kumpulan pertama 11 pelajar, beliau mendapati hanya seorang sahaja yang lulus peperiksaan tersebut. Malah ketua jabatan pelajar itu sendiri agak skeptis dengan pencapaian tersebut. Namun, Profesor Toh nekad. “Ia satu kelayakan tambahan. Saya tak rugi apa-apa pun,” fikirnya pada waktu itu. Ternyata ia adalah peperiksaan yang paling susah pernah beliau duduki, tetapi akhirnya bersama lima orang lagi calon, beliau lulus peperiksaan itu! “Ada juga beberapa orang pensyarah kanan dari universiti lain. Salah seorang daripada mereka bahkan membawa alatan sendiri dengan segala peralatan terkini untuk digunakan semasa peperiksaan. Saya pula terpaksa menyewa peralatan!” katanya sambil tertawa.
Selepas menamatkan pengajian di UK, Profesor Toh kembali ke Universiti Malaya dan mendedikasikan 30 tahun seterusnya memperluaskan keupayaan jabatan sambil terus menjadi sosok proaktif dalam memperkembangkan bidang pergigian di Malaysia. Dalam tahun-tahun itu, beliau tidak pernah duduk diam dan sentiasa memacu ke hadapan. Antara pencapaian beliau termasuklah menjadi Presiden pengasas Persatuan Penyelidikan Pergigian Antarabangsa (IADR) Seksyen Malaysia; Presiden Persatuan Pendidikan Pergigian Asia Tenggara (SEAADE); Ahli Majlis pengasas Akademi Pergigian Estetik Malaysia; Pengerusi Jawatankuasa Peperiksaan Kelayakan Profesional Majlis Pergigian Malaysia (MDC); selain bertindak sebagai penyemak jurnal-jurnal tempatan dan antarabangsa.
Enggan Bersara
Pada tahun 2007, ketika orang lain memilih untuk bersara atau sekurang-kurangnya kekal dalam zon selesa masing-masing, Profesor Toh pula menerima panggilan dari IMU yang mempelawa beliau untuk menubuhkan fakulti pergigiannya. Fikirnya, “Ini sesuatu yang menarik. Saya boleh buat apa yang saya mahu buat selama ini tetapi dilihat terlalu pelik di universiti awam!”
Namun begitu, ia adalah satu cabaran. Beliau perlu meyakinkan ahli-ahli kanan dan rakan-rakan kongsi fakulti untuk menyokongnya dalam beberapa idea inovatif yang belum teruji dan dicuba sebelum ini. “Malahan ketika saya merangka kurikulum, rakan kongsi fakulti menyuarakan kesangsian mereka,” ujarnya. Mereka merasakan terlalu banyak perkara di dalam kurikulum tersebut yang boleh menghalang pembelajaran. Tetapi Profesor Toh meyakinkan mereka bahawa, “Ini tidaklah terlalu banyak. Inilah cara untuk membuat mereka belajar.”
“Saya beruntung kerana mempunyai kakitangan yang menghargai arah tujuan saya. Saya bawa mereka keluar dari zon selesa dengan idea-idea baharu, konsep baharu dan cara baharu melakukan kerja,” katanya. Kaedah beliau menyaksikan bilik-bilik kuliah berubah menjadi sebuah platform yang lebih berinteraktif di mana para pelajar meninggalkan tugasan poster dan menyampaikan maklumat dalam bentuk rancangan bual bicara televisyen dan dokumentari dengan mengambil kira audiens, platform media dan mesej yang mahu disampaikan.
“Kita perlu memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mahu belajar dan mengekalkan ilmu tersebut. Jika anda menjadikan maklumat itu kekal relevan dan menarik, orang akan mengingatinya sepanjang hidup mereka. Ia adalah tentang mengubah pengalaman pembelajaran anda,” katanya.
Perubahan adalah sesuatu yang dekat di hati Profesor Toh. Baginya, perubahan adalah kunci kepada kemajuan. “Tetapi ia perlulah dilakukan atas sebab-sebab yang betul, bukan kerana mengikut trend. Perubahan perlu membawa kepada kemajuan dan meningkatkan kualiti pendidikan, kehidupan atau penjagaan kesihatan,” tambah beliau.
Wanita yang Disegani
Profesor Toh sendiri merupakan seorang pemangkin perubahan dan wanita teladan yang memecahkan pelbagai jenis halangan. Tema Hari Wanita Sedunia tahun ini iaitu ‘Merangkul Kesamarataan’, begitu seiring dengan falsafah peribadi dan perjalanan kerjaya beliau.
Beliau teringat satu peristiwa pada tahun 90-an ketika dijemput untuk berucap di Korea Selatan sebagai bakal Presiden IADR Divisyen Asia Tenggara. “Mereka tidak menyangka saya seorang wanita!” katanya. Menurut Profesor Toh, kumpulan professor yang kebanyakannya lelaki itu tidak tahu bagaimana mahu berurusan dengannya dan terpaksa menghantar kakitangan lebih muda untuk berjumpa beliau. “Orang-orang muda pula datang berjumpa saya lalu memberitahu saya adalah inspirasi mereka iaitu seorang wanita boleh memegang jawatan yang berpangkat tinggi,” sambung beliau.
Peristiwa itu sudah lama berlalu tetapi Profesor Toh berkata masih belum ramai wanita yang menjadi pemimpin. “Ramai, bahkan orang perempuan pun, masih lebih suka berketuakan orang lelaki kerana mereka merasakan lebih mudah bekerja dengan bos lelaki dan kurang cerewet. Bagaimana wanita boleh bangkit jika wanita sendiri tidak menghargai dan membantu sesama sendiri?” tanya beliau.
Profesor Toh berkata pola pemikiran wanita perlu diubah, malah stereotaip dan stigma mengenai peranan wanita dan lelaki perlu dihentikan. “Kita perlu membebaskan minda. Saya sentiasa mahu menggalakkan wanita dan memberikan keyakinan kepada mereka. Wanita tahu mereka boleh bekerja keras, tetapi mereka lebih suka bekerja di belakang tabir dan tidak mahu tampil ke hadapan.”
Permata yang bersinar
Bagi Profesor Toh, beliau tidak gentar untuk melangkah maju. Walaupun senarai pencapaian cemerlang sudah berada dalam genggaman, beliau terus memikirkan bagaimana beliau boleh memberi sumbangan kepada masa hadapan pergigian.
Kini, beliau sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat luar untuk membina sebuah sistem sokongan keputusan klinikal berkomputer sepenuhnya, selain komitmen dengan IMU. Sistem tersebut akan memberi panduan kepada doktor gigi melalui soalan-soalan dan menghasilkan diagnosis beserta pilihan rawatan berdasarkan bukti dan pelan rawatan berurutan. Ia juga akan memberikan maklumat mengenai bagaimana hendak berkomunikasi dengan pesakit supaya pesakit boleh membuat keputusan bermaklumat. “Saya fikir ia sangat berguna kepada doktor gigi muda atau yang kurang pengalaman,” katanya.
Profesor Toh juga masih terus memperkenalkan falsafah pembelajaran baharu di IMU bersama-sama rakan sekerja beliau yang lain. Antaranya adalah pembelajaran berdasarkan cabaran di mana pelajar bekerja untuk menyelesaikan situasi kehidupan sebenar dalam masyarakat. Menjadi harapan beliau untuk melihat IMU menjadi sebuah universiti masyarakat di mana orang ramai dapat melihat institusi itu sebagai sebahagian daripada keseluruhan ekosistem. Berikut adalah kata-kata beliau: “Masyarakat menyumbang kepada universiti dan universiti menyumbang kepada mereka. Kita adalah rakan kongsi sebenar.”
Sesiapa pun yang mendengar kisah hidupnya sukar untuk tidak terpesona dengan sikap optimis dan proaktif Profesor Toh. Entah apa lagi yang akan beliau lakukan selepas ini, tetapi jika ditanya apakah rahsia kejayaan kerjayanya yang begitu bermakna dan produktif itu, beliau tidak akan katakan yang ia disebabkan kecekalan dan pandangan positifnya. Beliau juga tidak akan mengaitkannya dengan kecerdasan dan kemahirannya. Profesor Toh akan memberitahu anda: “Berkahwinlah dengan pasangan yang betul. Sokongan yang akan anda dapat dari orang sekeliling anda yang akan membawa anda pergi jauh ke hadapan,” ujar beliau.
Itulah Profesor Toh. Seorang wanita baik budi yang sentiasa merendah diri.