‘Seorang wanita yang sudah agak berumur dan sepatutnya lebih matang, kita harus memilih perjuangan kita dalam hidup ini; we have to learn to choose our battles in life.’
Sememangnya kita semua tahu bahawa terlalu mementingkan kecantikan diri adalah tabiat yang superficial dan beauty is only skin deep… walau bagaimanapun kita tetap mahukan kecantikan fizikal yang terbaik untuk diri kita.
Ini kerana naluri manusia secara semula jadi tertarik kepada semua yang cantik belaka dan oleh sebab itu, mereka yang lebih cantik di mata orang lain akan mendapat perhatian daripada orang sekeliling dan akan menjadi satu objek yang dipuji dan suka didampingi.
Sebagai contoh, kajian Dion et al,1972; Miller,1970 mendapati bahawa masyarakat percaya bahawa mereka yang mempunyai ciri-ciri fizikal yang menarik lebih bahagia, peramah, berjaya, jujur dan sebagainya.
Daya tarikan fizikal boleh mempunyai kesan yang mendalam daripada segi peluang pekerjaan, peluang menjalin persahabatan, alam percintaan dan perkahwinan.
Di dalam banyak kes, masyarakat menganggap ciri-ciri positif seperti kepandaian dan kejujuran terdapat pada mereka yang dipandang menarik dari segi fizikal tanpa menyedarinya.
Daripada segi persepsi pandang pertama juga, mereka yang lebih menarik akan mendapat lebih perhatian yang positif daripada mereka yang kurang menarik dari segi fizikal.
Oleh kerana penekanan terhadap kecantikan fizikal ini, industri kecantikan dan antipenuaan adalah a multi-billion dollar industry dan terus meningkat setiap tahun.
Dalam aspek mengejar kecantikan fizikal ini, ramai yang mempunyai pendapat yang berbeza-beza. Sememangnya ada 2 sudut pandangan seseorang iaitu mereka yang betul-betul anti terhadap mengejar kecantikan fizikal dan mereka yang akan melakukan apa sahaja untuk mencantikkan diri mereka dan mengejar kecantikan adalah apa yang difikirkan setiap waktu.
Dalam dunia yang pada hakikatnya tidak adil dan tidak ideal, dalam isu mengejar kecantikan ini, kita haruslah mengambil pendekatan yang realistik dan seimbang. Walaubagaimanapun, sebarang keputusan yang diambil pun, hasilnya mestilah sesuatu yang membawa kepada ketenangan tanpa apa-apa konflik moral yang akan berombak dalam jiwa kita yang boleh menyebabkan kita hilang ketenteraman jiwa.
Sebagai seorang wanita yang sudah agak berumur dan sepatutnya lebih matang, kita harus memilih perjuangan kita dalam hidup ini; we have to learn to choose our battles in life.
Pandangan masyarakat sememangnya bukan semuanya betul dan sememangnya kecantikan fizikal bukanlah segalanya. Tetapi di dalam dunia yang kurang ideal ini, kecantikan fizikal memainkan peranan yang cukup penting di mana kita patut memberikan perhatian yang wajar kepada keadaan fizikal kita sendiri.
Ini bukanlah bermakna kita harus bersikap obsesif dalam mengejar kecantikan fizikal dan jangan sekali-kali cuba membuat perbandingan kecantikan diri kita dengan orang lain kerana ini akan membuatkan kita kecewa dan frust.
Terimalah hakikat di dalam hidup ini pasti ada yang lebih cantik, lebih pandai, lebih berbakat dan sebagainya daripada kita. Yang penting hanyalah memastikan kita jujur dalam memastikan kita telah mencuba yang terbaik untuk diri kita sendiri dan percayalah bahawa sekiranya kita berjaya be the best for ourselves, itu sahaja adalah cukup untuk kita berdaya saing dalam dunia ini.
Malangnya, ramai yang belum lagi memecah rekod sendiri sudah sibuk untuk memecahkan rekod orang lain.
Wanita inspirasi, Puan Vera Waters yang berumur 78 tahun yang amat di kagumi pernah memberitahu dalam ceramahnya.“There are no ugly people, only lazy people”– tiada orang yang hodoh, hanya mereka yang malas.
Apa yang beliau maksudkan adalah bukannya kejayaan dari segi kerjaya memerlukan sifat disiplin, sekiranya seseorang itu boleh berdisiplin dalam mengikuti rejimen harian kecantikan dan kesihatan, dia juga boleh berjaya untuk menjadi seseorang yang menarik dari segi fizikal.
Berikut dikongsikan tip untuk memastikan di dalam kesibukan seharian, amalan-amalan ini adalah a must do:
(a) Pastikan anda mengamalkan kebersihan peribadi yang menyeluruh setiap pagi
Elakkan daripada muka baru bangun tidur, nafas yang tidak segar dan bau badan yang tidak menyenangkan dengan memastikan anda mandi dan gosok gigi setiap pagi sebelum anda keluar.
(b) Pastikan anda memakai sunblock sebelum anda keluar dari rumah dan sebaik-baiknya walaupun anda tidak suka bersolek, pakailah sedikit bedak muka dan gincu bibir yang lembut warnanya
Mentor saya, Mrs. Vera Waters juga pernah memberitahu saya bahawa bezanya seseorang yang wanita yang bersolek dengan yang tidak adalah ibarat menonton televisyen hitam-putih dan warna. Sudah pasti menonton televisyen warna lebih menarik. Lagipun, bedak muka padat akan menyerap peluh yang berlebihan daripada muka anda dan memastikan anda tampil lebih rapi sepanjang hari.
(c) Pastikan anda mulakan hari anda dengan sarapan
Jangan keluar rumah pada waktu pagi dengan perut yang kosong. Sekiranya anda memang tidak biasa bersarapan, sekurang-kurangnya bancuh secawan susu atau Milo yang dicampurkan dengan bijiran oat untuk keperluan serat anda.
Ini akan memastikan perut anda tidak akan masuk angin dan tidak selesa sekiranya kerja anda menyebabkan anda terlambat makan tengah hari. Lagipun, dengan bersarapan, anda akan memastikan metabolisme anda akan berfungsi dengan lebih efisyen.
(d) Minum air putih yang cukup sepanjang hari
Sekurang-kurangnya 8-10 gelas setiap hari. Meminum air putih yang mencukupi akan memastikan organ-organ dalaman anda berfungsi sebaik mungkin dan anda akan dapati daya fikir dan fokus anda akan lebih tajam sepanjang hari. Ini adalah kerana otak kita mempunyai kandungan air sebanyak 75% dan secara keseluruhan badan kita mempunyai kandungan air sebanyak 50-65%.
(e) Amalkan suplemen
Dalam menjalani aktiviti harian di mana kita sentiasa mengejar waktu, bukannya senang untuk memastikan pemakanan harian yang seimbang. Sekiranya, anda termasuk golongan yang tersebut, pastikan anda menambahkan pemakanan vitamin.
Terdapat banyak jenama-jenama yang boleh dipercayai di pasaran. Saya sendiri memastikan saya berdisiplin dalam pemakanan supplemen kerana cara hidup saya yang begitu sibuk membuatkan pemakanan sihat setiap waktu agak sukar. Untuk aktiviti fizikal, saya menghadiri kelas menari untuk mengeluarkan peluh.
(f) Jangan sekali-kali tidur dengan solekan di muka
Setiap malam, saya akan pastikan walau macam mana letihpun saya tidak akan tidur sebelum menanggalkan solekan. Kulit yang tidak dibersihkan akan mengakibatkan pori-pori yang tersumbat dan menjemput jerawat yang tidak diingini untik timbul.
Hindari masalah kulit sebelum ia berlaku. Prevention is always better than cure. Saya selalu menggunakan serum dan krim malam sebelum tidur kerana sel-sel badan akan memperbaiki sebarang kerosakan sewaktu kita sedang tidur.
Penggunaan serum dan krim yang sesuai untuk kulit anda akan memastikan pemulihan kulit yang sempurna dan insyaAllah anda akan berjaya untuk nampak lebih muda daripada usia anda yang sebenarnya.
(g) Kekalkan jiwa yang tenteram
Kecantikan fizikal sahaja tidak sempurna sekiranya tidak berteman dengan aura jiwa yang tenang dan tenteram. Pancarkan aura yang positif bila anda bersama orang lain. Mulakan dan akhiri hari anda dengan sifat selalu bersyukur dengan nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita walaupun hidup kita dirasakan penuh dengan cabaran.
Anggaplah cabaran hidup adalah lumrah yang dilalui oleh setiap orang. Saya selalu mengingatkan diri saya bahawa Allah bukannya menghukum saya dengan cabaran tetapi cabaran menyebabkan saya selalu mengingatkan diri kepada Allah SWT dan supaya saya sentiasa ingat untuk berdoa dan meminta kepada-Nya. KR