Biasanya waktu pagi adalah masa paling sibuk untuk wanita lebih-lebih lagi apabila sudah bergelar ibu. Lebih mencabar, jika ia adalah anak pertama kerana baru si ibu nak membiasakan diri dengan rutin baru.
Akhirnya, si ibu akan ke pejabat tanpa solekan dan separuh siap! Tapi jika anda tahu bagaimaan untuk menggunakan ruang masa singkat untuk bersiap, tentu anda masih kelihatan cantik. Jom cuba trik ini.
Bedak asas : 30 saat
“No-makeup” look adalah pilihan utama kini. Solekan tipis yang masih memberi seri pada wajah anda. Caranya: Hanya gunakan tinted moisturizer dari jenama pilihan anda. Atau boleh juga menggunakan cecair bedak asas dan sapu rata menggunakan berus.
Pemerah pipi: 30 saat
Jika anda seorang yang pantas bersolek, gunakan bronzer dan pemerah pipi secara berasingan. Boleh juga menggunakan pemerah pipi saja supaya wajah tidak kelihatan pucat. Sapuan sekata pada tulang pipi boleh menampakkan wajah lebih berseri dan runcing.
Ada juga yang menggunakan pemerah pipi dari jenis stick. Ia mudah dan tidak melecehkan. Biar apa pun bentuk pemerah pipi yang anda gunakan, pastikan jangka masanya hanya 30 saat untuk sapuan ringkas dan kemas!
Ads
Tightline : 1 minit
Disebabkan memakai penggaris mata mengambil masa lama dan merumitkan, trik tightline ini pula membolehkan mata anda masih kelihatan besar dan cantik tanpa terlalu workhard. Gunakan berus atau pensel mata kalis air dari rona hitam atau coklat gelap. Paling penting; waterproof!
Anda hanya perlu berdiri di hadapan cermin dan tambahkan penggaris mata tepat di atas bulu mata atas. Ia akan menciptakan garisan halus yang kemas agar mata tampak lebih besar.
Ads
Maskara : 30 saat
Masakara adalah produk wajib yang akan memberi impak besar dalam solekan. Hanya 30 saat, mata anda tiba-tiba kelihatan terbuka luas. Sapuan maskara perlu teliti, supaya tidak comot dan mencacatkan solekan ringkas anda.
Jika maskara yang anda miliki mudah membuatkan solekan comot, tukarlah kepada jenama lain yang lebih sesuai. Tak perlu mahal, asalkan selesa untuk dipakai.
Penyamar cela atau concealer : 30 saat
Ads
Masalah paling besar wanita adalah lingkaran gelap bawah mata. Walaupun sudah mencuba kaedah alami dengan menekap timun pada mata namun kesan gelap masih kelihatan. Sapuan concealer pada bahagian tersebut boleh menyembunyikan titik ‘kelemahan’ anda.
Ada yang suka menggunakan jari untuk sapuan rata concealer tetapi ada juga yanglebih selesa menggunakan berus. Jika mengguankan berus, anda boleh menjimatkan masa untuk mencuci saki baki sapuan pada tangan!
Warna bibir : 30 saat
Akhiri solekan ringkas anda dengan gincu bibir. Boleh juga menggunakan pelembap bibir yang berwarna supaya titik kecantikan lebih terserlah. Jangan biarkan bibir kering dan pucat. Dan jangan pula over do dan salah memilih warna gincu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ratu Jordan, Rania Al Abdullah dilahirkan pada 31 Ogos 1970 dan merupakan graduan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari American University of Cairo pada tahun 1991 yang
pernah berkhidmat di sektor perbankan dan teknologi sebelum berkahwin dengan anak lelaki sulung Raja Jordan, King Hussein iaitu Putera Abdullah Al Hussein pada 10 Jun 1993.
Hasil perkahwinan selama hampir 30 tahun, Queen Rania dan Putera Abdullah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Putera Hussein, Puteri Iman, Puteri Salma dan Putera Hashem.
Sebagai Ratu Diraja Jordan, Queen Rania dikenali di seluruh dunia bukan saja kerana kecantikan yang dimiliki bahkan jiwa penyayang beliau membela nasib golongan kurang
bernasib baik terutamanya kanak-kanak dan wanita di Jordan.
Selain itu, beliau juga dilihat sangat komited merapatkan jurang perbezaan kaum dan budaya di peringkat antarabangsa.
Tumpuan utama Queen Rania adalah pendidikan dan beliau percaya setiap kanak-kanak Jordan sama ada lelaki mahupun perempuan perlu diberikan hak pembelajaran sepenuhnya mengikut peredaran masa kini.
Demi memastikan ia bukan sekadar cakap kosong, Queen Rania mewujudkan pelbagai inisiatif antaranya menerusi Jordan Education Initiative, Queen Rania Teachers Academy, Madrasati (atau bermaksud sekolah) dan Edraak yang bermaksud kesedaran.
Tidak cukup dengan itu, Queen Rania juga terlibat dengan United Nations Foundation dan World Economic Forum serta menjadi individu penting dalam UNICEF dan dilantik UN sebagai Panel Kehormat yang berperanan meningkatkan taraf kehidupan penduduk dunia menjelang tahun 2030.
Paling mengagumkan, kerana naluri keibuan yang menebal dalam diri Queen Rania berpeluang menghasilkan beberapa buku kanak-kanak yang berkisar pengalaman beliau
sewaktu kecil. Antara naskhah istimewa karya Queen Rania adalah The Sandwich Swap, Eternal Beauty, Maha of the Mountains dan The King’s Gift.
Memang terinspirasi dengan semangat dan jiwa besar Ratu Jordan ini. Malah, personaliti Queen Rania turut menjadi perhatian penggemar fesyen lantaran gaya dan cita rasa
menawan yang ditampilkan Queen Rania tatkala berada di khalayak. Tidak keterlaluan jika dikatakan, beliau tidak ubah seperti supermodel yang cantik berjalan di karpet merah. Cukup memukau!
Disebabkan kecantikan, usaha murni dan peribadi menarik yang dimiliki, Queen Rania turut diberi julukan sebagai antara Personaliti Diraja Tercantik Di Dunia menerusi portal Heart.co.uk. Sebaris dengan kenamaan diraja terkenal seperti mendiang Lady Diana.
Setiap kali muncul bertemu rakyat dan menghadiri majlis rasmi, kelibat Queen Rania pasti mencuri tumpuan. Apa sahaja busana yang dipakai nampak terletak kemas di tubuh langsingnya.
Kredit foto: Instagram Queen Rania
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mata merupakan organ yang mempunyai keistimewaan yang sukar digambarkan melalui kata-kata. Melalui mata, seseorang individu dapat melihat keindahan dunia ciptaan Allah dan sudah sewajarnya deria istimewa ini memerlukan perhatian yang sebaiknya.
Mata sememangnya antara organ kompleks yang cukup besar maknanya kepada setiap manusia. Sejak berzaman, kita mendengar orang menyebut kata indah iaitu ‘dari mata turun ke hati’. Walaupun mata cukup penting, namun ramai yang terlupa beberapa perkara sensitif berkait mata apatah lagi semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini, mata terlalu terdedah di skrin komputer, kaca televisyen dan gajet.
NONA mendapatkan pandangan dari Pakar Oftalmologi (MATA) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Maimunah Abdul Muna’aim mengenai penjagaan mata terutamanya di kalangan kanak-kanak di saat mereka lebih banyak menghabiskan masa di hadapan skrin komputer dan laptop sama ada untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mahupun bermain permainan komputer.
DR MAIMUNAH ABDUL MUNAI’AIM
NONA: Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, ramai ibu bapa dan anak-anak terdedah pada gajet untuk urusan kerja dan belajar secara online. Apakah kesan jangka pendek dan panjang sekiranya terlalu terdedah di hadapan skrin?
DR MAIMUNAH: Memandangkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) pastinya masa perlu di isi dengan aktiviti yang berfaedah. Di zaman berteknologi tinggi sudah pasti anak-anak lebih arif dengan penggunaan gajet. Tugasan yang diberi oleh guru sekolah juga dibuat melalui Google Classroom, kahoot dan aplikasi belajar secara maya. Tidak kurang juga gajet digunakan untuk bermain permainan atas talian dan menonton video. Aktiviti fizikal agak terhad apabila berada di dalam rumah.
Kesan jangka pendek,jika melihat skrin atau melakukan kerja sekolah atau pejabat secara berterusan, anak-anak atau ibubapa itu sendiri akan terdedah dengan gejala “digital eye strain” di mana mereka akan merasa tidak selesa, mata kering dan kesat, mata rasa cepat penat, pedih, berair, penglihatan kabur dan pening. Ini daripada akibat mata kurang berkelip kerana asyik melihat gajet. Selain itu ada sesetengah daripada anak-anak kecil akan kerap mengelipkan mata tanpa disedari untuk menghilangkan rasa tidak selesa itu. Ibu bapa akan mula perasan dengan tabiat mata berkelip itu. Anak-anak juga mudah menjadi agresif jika ibu bapa melarang mereka bermain gajet.
Manakala kesan jangka panjang pula dapat dilihat apabila sepanjang tempoh PKP ibubapa dan anak-anak dikehendaki berada di dalam rumah untuk memutuskan rangkaian Covid 19 ini. Kita dapati penggunaan gajet telah digunakan dalam tempoh masa yang lebih lama berbanding hari biasa. Risiko pada anak-anak kecil jika berada di dalam bangunan untuk jangka waktu yang lama dan kurang pendedahan kepada cahaya matahari akan mengurangkan paras hormon dopamine di dalam saraf retina, dan menyebabkan bola mata membesar dengan tidak terkawal, dan seterusnya menyebabkan rabun jauh.
Kajian mendapati kanak-kanak yang mempunyai rabun jauh mempunyai dopamine yang rendah berbanding kanak-kanak berpenglihatan normal. Dopamine merupakan tindakbalas kimia yang dihasilkan oleh tubuh apabila terdedah kepada cahaya matahari. Ia didapati bertindak untuk merencatkan proses pemanjangan bola mata yang menjadi antara punca rabun jauh. Selain daripada itu penggunaan gajet juga akan menyebabkan regangan bebola mata turut berlaku apabila proses akomodasi berlaku pada masa yang lama. Ini juga akan menyebabkan pemanjangan bola mata dan menyumbang kepada peningkatan kuasa rabun jauh pada kanak-kanak.
Cahaya biru pada skrin gajet menghasilkan gelombang biru yang bergelombang rendah tetapi bertenaga tinggi. Cahaya biru ini dapat menembusi kornea mata, kanta mata sehingga ke bahagian saraf retina mata. Sekiranya seseorang terdedah terhadap cahaya biru pada skrin gajet secara berterusan dan berpanjangan kajian menunjukkan ia akan memberi kesan jangka panjang yang boleh merosakkan sel saraf mata dan meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit degenerasi makula.
NONA: Apakah saranan terbaik untuk ibu bapa had waktu gajet untuk anak-anak?
DR MAIMUNAH:Sebagai ibubapa, pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengajar anak-anak mengehadkan waktu bersama gajet. Menurut garis panduan American Academy of Pediatrics 2016, bagi kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke bawah tidak digalakkan mengunakan gajet, bagi umur 2-5 tahun hendaklah di hadkan kepada 1 jam sehari dengan program yang berkualiti. Manakala bagi umur 6 tahun ke atas hadkan kepada 2 jam sehari tetapi dengan pengawasan rapi daripada ibu bapa. Tetapkan undang-undang setiap 20 minit untuk berhenti sebelum diberikan gajet kepada anak-anak, boleh setkan loceng ‘alarm’ di telefon bimbit sebagai ingatan untuk berehat, selain itu ibu bapa juga boleh beri ganjaran jika anak-anak mematuhi peraturan.
Bagi memastikan kita menggunakan gajet secara berhemah anda dinasihatkan untuk mengamalkan beberapa amalan ini:
Saya sarankan jika anda tinggal di rumah yang ada halaman, supaya galakkan anak-anak bermain atau bersenam ringkas di depan rumah bagi mendedahkan mereka dengan cahaya matahari untuk merangsang hormone dopamine, tapi jangan sampai keluar daripada halaman rumah, bagi yang tinggal di flat atau apartmen anda boleh menikmati cahaya matahari daripada balkoni rumah.
NONA:Pada pandangan Dr,apakah aktiviti yang boleh dilakukan untuk merangsang minda anak-anak kecil dan mengelakkan mereka dari pengaruh gajet?
DR MAIMUNAH: Banyak lagi aktiviti dan perkara yang boleh digunakan untuk mengisi waktu lapang anak kecil selain gajet. Sebagai ibu bapa kita perlu bijak menentukan alternatif tersebut. Aktiviti mewarna, melukis membina lego, membaca buku antara perkara yang boleh di lakukan bersama-sama. Selain itu bermain monopoly, sahiba dan catur juga boleh merangsang minda anak- anak. Permainan tradisional seperti congkak juga amat digalakkan. Untuk anak-anak yang lebih kecil, bermain “kinetic sand” untuk sensori dan skill sosial adalah bagus untuk perkembangan mereka.
Bagi yang bersekolah rendah, ibu boleh mengajak untuk mencuba resepi baru, masak bersama-sama, kemas rumah bersama-sama.Jika bapa pula boleh mengajak anak bercucuk tanam secara kecil-kecilan contonhya dengan cara hydrophonic, membasuh kereta bersama-sama, bermain ping pong di dalam rumah semasa dalam PKP ini juga amat menyeronokkan. Bagi Muslim pula mungkin boleh bertadarus bersama-sama atau boleh buat cabaran menghafal surah-surah pilihan bersama keluarga.
NONA: Kaum lelaki juga suka melekat bermain permainan Computer Game. Bagaimana nak hadkan masa penggunaan dan cadangan terbaik untuk elak mata dari rosak?
DR MAIMUNAH: Kaum lelaki khususnya para suami seharusnya perlu bijak mengawal diri daripada terus melekat dengan gajet. Mereka perlu mengawal diri untuk tidak terlibat dengan permaianan atas talian yang berunsur keganasan, Selain itu mereka perlu menghindarkan diri daripada membeli permainan atas talian yang dirasakan memberi unsur negatif kepada diri. Mereka harus bijak mengurus masa dengan baik jika mahu terlibat dalam permainan atas talian ini. Para suami boleh berbincang dengan isteri waktu yang sesuai untuk bermain, seelok-eloknya bermain selepas isteri siap kerja rumah kerana suami boleh membantu menjaga anak-anak. Selain itu untuk mengeratkan lagi hubungan suami isteri mungkin kedua-dua boleh bermain bersama-sama jika semua kerja rumah telah siap dan pastikan anak-anak tidak terabai semasa bermain permaianan atas talian ini.
Cara terbaik untuk mengelak mata rosak hendaklah mengamalkan peraturan 20/20/20, menggunakan “filter” sinaran lampu biru, untuk elak rasa tidak selesa titiskan pelembap mata jika merasa mata kering, menjaga pencahayaan semasa bermain dan juga boleh melakukan senaman ringkas pada mata semasa rehat. Di sini ada beberapa teknik senaman mata yang boleh dilakukan.
KEBAIKAN TEKNIK SENAMAN MATA
TEKNIK 1-KERDIPAN MATA
TEKNIK 2- TEKNIK ANGKA LAPAN
TEKNIK 3- ‘PALMING’
Teknik 4: Penumpuan dekat dan jauh
TEKNIK 5- ZOOMING
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kebelakangan ini, diet berasaskan tumbuhan kian popular. Namun, ia bukan sekadar gaya dan ikutan semata-mata. Berita baiknya, kajian sains turut menyokong kebaikan diet ini. Diet berasaskan tumbuhan terdiri daripada makanan yang diperoleh daripada sumber buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, kekacang, biji-bijian, dengan sedikit atau beberapa produk berasaskan haiwan tertentu.
Pakar Dietetik bebas, Goo Chui Hoong mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang pemakanan. Ia mendorong beliau ke arah kerjaya dalam bidang pemakanan dan nutrisi. Selain bergelar pakar dietetik, beliau pernah bergelar pensyarah, jurulatih kulinari serta pengarang. Beliau juga telah menerbitkan 3 naskhah buku termasuk “Food for Your Eyes” dan “Lite Malaysian Favourites” yang berjaya meraih anugerah.
Menurut Goo Chui Hoong, istilah-istilah seperti ‘flexitarian’, vegetarian (lakto-, ovo-, lakto-ovo-) dan vegan merupakan variasi diet berasaskan tumbuhan.
“Diet berasaskan tumbuhan bermanfaat untuk kesihatan kerana tinggi serat, vitamin dan mineral serta kurang lemak tepu. Ini dapat membantu penurunan berat badan serta mengurangkan risiko diabetes jenis 2, penyakit kardiovaskular dan beberapa jenis kanser . Sesetengah makanan yang tinggi serat juga mempunyai indeks glisemik (GI) lebih rendah.
Selepas dimakan, makanan yang rendah GI meningkatkan paras gula dalam darah secara perlahan dan ini dapat membantu menguruskan diabetes jenis 2 dengan baik. Hasil gabungan serat yang tinggi dan GI yang rendah membolehkan anda berasa kenyang lebih lama, dan secara tidak langsung membantu anda mengurangkan pengambilan snek serta memilih makanan berkalori rendah bagi mengawal berat badan.
Makanan berasaskan tumbuhan biasanya lebih rendah lemak dan lemak tepu. Mengurangkan pengambilan lemak tepu (digantikan dengan lemak politaktepu atau karbohidrat kompleks) dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok. Di samping itu, diet berasaskan tumbuhan juga bermanfaat dari segi pencegahan kanser khususnya kanser usus. Serat daripada makanan berasaskan tumbuhan dapat mencegah sembelit serta membekalkan tenaga kepada bakteria baik dalam usus.
Namun, diet berasaskan tumbuhan yang kurang terancang sering dipertikaikan dari segi kandungan tenaga dan protein. Berikut merupakan beberapa nutrien yang harus diberi perhatian ketika mempertimbangkan amalan diet berasaskan tumbuhan.
Protein
Protein sangat penting untuk membina tisu otot dan memperbaiki sel-sel badan. Protein berasaskan tumbuhan tidak membekalkan komponen asid amino essential yang lengkap seperti protein berasaskan daging. Bagi mendapatkan kesemua komponen asid amino essential, adalah penting untuk mengambil pelbagai sumber protein berasaskan tumbuhan termasuk:
Terdapat banyak alternatif berasaskan tumbuhan untuk menggantikan daging yang dapat membantu anda membiasakan diri dengan diet tanpa daging seperti:
Kalsium
Kalsium penting untuk kesihatan tulang. Seorang dewasa memerlukan 1,000 mg kalsium/hari. Ini mudah dicapai dengan mengambil produk tenusu (2-3 cawan susu/hari). Namun, sekiranya anda tidak mengambil produk tenusu, anda harus menggantikannya dengan makanan seperti:
Memadankan hidangan anda dengan minuman tanpa tenusu merupakan cara yang mudah namun berkesan untuk memulakan diet berasaskan tumbuhan. Beberapa jenama minuman popular telah pun mula memperkenalkan alternatif tanpa tenusu dalam rangkaian sedia diminum. Cuba semak sewaktu membeli-belah di pasar raya.
Zat Besi
Kekurangan zat besi boleh mengakibatkan anemia. Sumber zat besi berasaskan tumbuhan tergolong dalam jenis bukan hem. Ini bermaksud zat besi daripada makanan berasaskan tumbuhan (contohnya lentil, kekacang, sayur-sayuran berdaun) lebih sukar diserap berbanding dengan zat besi jenis hem yang terdapat dalam makanan berasaskan haiwan. Justeru, bagi mengatasi kekurangan ini, sangat disarankan untuk mengambil sumber zat besi berasaskan tumbuhan daripada makanan yang kaya Vitamin C bagi menyokong penyerapan zat besi. Contoh yang paling mudah untuk diamalkan adalah dengan memadankan segelas jus oren segar dengan makanan berikut:
Vitamin B12
Kekurangan vitamin B12 dapat menyebabkan anemia, keletihan serta kebas kaki dan tangan. Vitamin B12 ini biasanya diperoleh daripada sumber haiwan. Sekiranya anda mengamalkan diet berasaskan tumbuhan yang ketat, maka anda perlu mengambil makanan yang boleh membantu mencegah kekurangan nutrien ini seperti:
Asid Lemak Omega-3
Asid lemak omega-3 bermanfaat untuk kesihatan jantung. Sumber asid lemak omega-3 berasaskan tumbuhan termasuk:
Pilih minyak masak yang diperbuat daripada bahan-bahan ini dan tambahkan sedikit kekacang atau biji-bijian kepada sajian bijirin/smoothie sarapan anda.
Amalan diet berasaskan tumbuhan sebenarnya tidak susah kerana kini terdapat pilihan vegan untuk segalanya, daripada mayones sehingga bak kwa (daging kering) vegan! Berikut beberapa menu saranan untuk sajian makanan berasaskan tumbuhan.”
Berikut adalah pelan sajian yang disarankan oleh pakar dietetik ini.
SARAPAN PAGI
Tosai dengan kari dhal
Atau roti bijirin penuh dengan mentega kacang atau kepingan avokado
Atau minuman/smoothie dengan alternatif susu berasaskan tumbuhan
MAKAN TENGAHARI
Salad gado-gado dengan tempe
Atau mi sup dengan pak choy, rumput laut, cendawan dan kulit fuchok goreng
Atau nasi goreng kunyit dengan tauhu, kekacang, lobak merah
MAKANAN RINGAN (TENGAHARI)
Smoothie pisang yang diperbuat daripada alternatif susu berasaskan tumbuhan
Atau segenggam kekacang campuran dan buah-buahan kering
MAKAN MALAM
Chapati dengan kari kacang kuda, bendi goreng
Atau nasi multibijirin dengan tauhu kukus serta kacang Perancis cincang, sayur campuran goreng dengan kacang macadamia
Atau nasi multibijirin dengan kari bendi, terung & kacang panjang, kubis goreng
Untuk mengenali Pakar Dietetik bebas, Goo Chui Hoong ini dengan lebih lanjut layari www.eatwell.my
Kredit: Ogilvy Malaysia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!