Dalam suasana enam negeri berhadapan Pilihan Raya Negeri, nampaknya Konsert Search Fantasia Bulan Salju di Arena Of Stars (AOS) masih mampu menarik lebih 4,000 peminat setia kumpulan rock legenda itu untuk berhibur dalam kedinginan malam di puncak Genting Highlands baru-baru ini.
Ternyata, sambutan hangat yang diterima oleh kumpulan lagenda itu membuktikan kewibawaan Search yang ditunjangi Datuk Amy selaku vokalis, Hillary Ang (gitar), Nasir (bes) dan Man Keedal (gitar) masih kukuh dan relevan sehingga ke hari ini.
Membuka tirai konsert tepat jam 8.45 malam, penonton disajikan dengan alunan muzik padang pasir yang menterjemah pengembaraan Search bersama peminat sejak empat dekad lalu. Membuka persembahan, Amy atau nama sebenar, Suhaimi Abdul Rahman memukau peminat dengan himpunan lagu rancak seperti Bencana, Derap Komando serta Langit Dan Bumi.
Para penonton yang menyaksikan persembahan ini turut sama menyanyikan lagu-lagu popular antaranya termasuklah Menawan Rasa, Gelora Cinta, Honky Tong Kosong dan Fantasia Bulan Madu yang sememangnya bergema di seluruh Arena Of Stars itu.
Lebih menarik apabila ‘salju’ mula menyelimuti khalayak mengiringi untaian romantis yang didendangkan. Satu pengalaman menarik berjaya diterjemahkan penuh bermakna, sesuai dengan judul konsert dibawakan khas MIC Entertainment Group itu, iaitu Fantasia Musim Salju.
Antara lagu ‘slow rock’ yang turut dipersembahkan Amy adalah Rozana, Laila Nama Mu Teratas , Nigina, Setelah Hujan, Meniti Titian Usang, Kejora dan lagu wajib, Isabella.
Sebagai kelainan untuk konsert kali ini, Searh menampilkan Arthur Kam sebagai pemain dram jemputan, selain menggunakan khidmat Naini Daimi sebagai drummer kedua. Untuk rekod, Naimi sebelum ini pernah mengejutkan peminat setia Search apabila mempamerkan ketukan dram yang padu ketika menjayakan konsert berskala besar pertamanya bersama kumpulan rock itu di Nusafest, bulan lalu.
Diari Habil Qabil, Yin & Yang dan Gothic Malam Edan menjadi ‘battle’ yang cukup sengit menyaksikan Man Keedal, Nasir, Amy, Hillary dan Rie Tsuji yang berada di posisi keyboard, komited dengan instrumen masing-masing.
Genting Highlands turut melakar sejarah peribadi buat Search apabila muncul sebagai kumpulan rock tempatan pertama mementaskan konsert di pusat peranginan itu.Tirai konsert berdurasi 180 minit ini dilabuhkan dengan lagu Pawana yang dipetik daripada album Fenomena, sekali gus menjadikan Konsert Search Fantasia Bulan Salju antara konsert berprestij.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak dianjurkan bermula tahun 1990/1991, industri seni tanah air selama 31 tahun ini telah diwarnai dengan kehadiran finalis Hero Remaja daripada generasi berbeza. Legasi yang dipegang oleh pencarian ini justeru diteruskan menerusi Hero Remaja 2021.
Pencarian Hero Remaja anjuran Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. dengan kerjasama Astro Ria kembali untuk edisi kesebelasnya pada tahun ini dengan misi mencungkil pelapis bakat baharu industri seni di samping menjadi suara baharu kelompok remaja di Malaysia.
Bukan hanya pakej paras rupa dan fizikal positif yang dicari, ia juga kekal menjadi platform nombor satu bagi mengangkat bakat, versatiliti dan personaliti berkaliber ke peringkat seterusnya.
LAHIRKAN ANAK SENI
Jika masih ingat nama-nama besar yang telah dilahirkan daripada pencarian Hero Remaja rata-rata telah mengharumkan jenama ini di dunia luar.
Antaranya termasuklah juara sulungnya, Esma Daniel (Hero Remaja 1990/1991) yang kekal relevan sebagai pelakon dihormati, Rozaidi Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi (Hero Remaja 2001/2002) yang kini menaungi Persatuan Seniman Malaysia, Kamal Adli (Hero Remaja 2007/2008) dan Fattah Amin (Hero Remaja 2011/2012) yang pernah mengungguli gelaran bintang paling popular di Malaysia tidak lama dahulu.
Tidak ketinggalan, naib juara bagi edisi terdahulu serta barisan finalis lain juga telah berjaya mengukuhkan nama dalam industri seni dan bidang karier lain.
Ini termasuklah Ar. Azhar Sulaiman, Norman Hakim, Wan Shahlim, Zawen Anuar, Fizo Omar, Syafiq Kyle, Saharul Ridzwan, Ben Amir, Ben Ali sehinggalah ke hero generasi baharu seperti Alif Muhaimin, Farhan Asri, Harris Annuar, Ikmal Amry, Nabil Aqil, Safwan Nazri, Adam Yusuf, Nadhir Nasar, Umar Hisham, Meerqeen, Jabir Meftah, Hazeeq Deen, Aniq Suhair, Imran Aqil, Hariz Hamdan dan ramai lagi.
CABARAN PANDEMIK
Menurut Raqim Ahmad, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro yang mewakili saluran Astro Ria selaku penganjur bersama dan penyiar rasmi program Hero Remaja 2021…
“Selepas hampir dua tahun mendepani krisis COVID-19, umum pastinya jelas mengenai kekangan dan cabaran yang perlu dihadapi oleh seluruh sektor termasuklah industri penyiaran akibat penularan wabak tersebut.
Melihat daripada sudut yang positif, kedatangan pandemik mendorong kami melipatgandakan usaha keras secara lebih kreatif, inovatif dan proaktif agar misi penting yang lebih mustahak iaitu membawakan kandungan hiburan berkualiti kepada audiens secara berterusan dapat dijayakan.
Syabas saya ucapkan kepada seluruh tenaga kerja terutamanya pasukan produksi kerana berjaya merealisasikan penganjuran edisi kesebelas dengan begitu baik sekali. Saya juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua finalis yang bertanding. Semoga pencarian edisi kali ini mampu meneruskan legasi penganjuran tahun-tahun sebelum ini.”
Mengulas lanjut mengenai penganjuran Hero Remaja 2021, Fiezreen Ahmad selaku Editor Pengurusan Majalah Remaja berkata…
“Hero Remaja merupakan sebuah jenama yang banyak melahirkan individu-individu berbakat dan terkenal tanah air sejak tahun 1990 lagi. Tidak kiralah jika sekarang mereka bergelar seorang pelakon, penyanyi, model, hos, DJ radio ataupun usahawan, pertandingan ini dilihat sebagai satu titik mula dalam merealisasikan impian mereka untuk melangkah lebih maju di dalam kehidupan terutamanya di dalam bidang seni menerusi populariti yang mereka kecapi.”
MENDEBARKAN
12 finalis Pencarian Hero Remaja 2021 ialah AFIQ HAMIDON (20, Selangor), ALIF HAIQAL (21, Kuala Lumpur), AMIR AHNAF (21, Terengganu), ARYAN NAIM (24, Negeri Sembilan), AQIL TAQEE (22, Kuala Lumpur), FARHAN NORDIN (23, Johor), FAZZIQ MUQRIS (21, Selangor), IDEEN AZMAN (21, Melaka), MIERUL AIMAN (23, Putrajaya), SYAZANI ZAINAL (19, Selangor), ZAID ERAKAD (23, Selangor) dan ZAIM YAZID (22, Selangor).
Program pencarian Hero Remaja 2021 akan menemui penonton selama lapan episod pada setiap hari Sabtu, jam 9.00 malam mulai 11 September 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand.
Program Hero Remaja 2021 menampilkan juara Dewi Remaja 2019, Shaza Bae dan juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar sebagai pasangan hos yang akan menceriakan hujung minggu anda.
Selain itu, juara Dewi Remaja 2005/2006 iaitu Scha Alyahya juga akan kembali ke kerusi Juri Tetap. Sebelum ini, beliau pernah menggalas tanggungjawab itu semasa program pencarian Hero Remaja 2020. Kali ini, Scha akan bergandingan dengan pelakon, pengacara, penerbit, pengarah dan usahawan terkenal, Dato’ Rosyam Nor.
Untuk pengetahuan, bukan hanya gelaran juara Hero Remaja 2021 yang akan menjadi rebutan. Malah, dua lagi kategori berasingan iaitu Hero Inspirasi dan Hero Favourite juga boleh dibawa pulang oleh mana-mana finalis semasa acara final.
Pencarian Hero Remaja turut meraikan kehadiran penaja, NIVEA Men yang akan mempersiapkan para finalis dan mewarnai lagi intipati program sepanjang musim ini. Bagi mengikuti info terbaru mengenai pencarian Hero Remaja 2021, kunjungi laman web www.remaja.my/hero, Facebook [majalahremaja] dan Instagram [majalahremaja].
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahniah buat Syafiqa Melvin dan suami, Azhar Othman yang selamat menerima kehadiran seorang lagi cahaya mata mereka baru-baru ini. Berita kehamilan kakak kepada pelakon Syatilla Melvin ini didedahkan secara eksklusif kepada Nona sewaktu penggambaran Nona Lifestyle di kediaman pasangan berkenaan sekitar Julai 2025.
Menanti kehadiran anak kecil dengan penuh syukur dan teruja, Syafiqa atau mesra disapa Kak Long selamat melahirkan anak keempat pada awal Januari lalu.
Menerusi perkongsian di media sosial, Kak Long memuat naik gambar anak kesayangan namun belum bersedia mendedahkan wajah anak kecil itu kepada umum.
Titip Syafiqa Melvin atau nama penuhnya Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin, “Alhamdulillah anak bongsu ibu abah dah pun selamat dilahirkan pada Jumaat 2/1/26.
Anak yang tak disangka-sangka rezekinya, masa mengandungkan anak ibu, ibu terpaling aktif, macam-macam benda yang ibu buat, dan alhamdulillah anak ibu aktif tanpa ada apa-apa komplikasi, walaupun jarak kandungan dengan kakak Ameena dekat, tapi alhamdulillah Allah memang mudahkan segalanya.”
Tambahnya lagi, “Memang sungguh, bila Allah yang bagi, Allah juga akan jaga. Jangan risau jangan overthinking. Semoga anak ibu abah tumbuh sihat, menjadi anak solehah yang menyejukkan mata dan hati semua orang. Anakku Fateema Safeea.”
Syafiqa yang merupakan bekas Juara pencarian Gadis Melayu dan pengacara Bersamamu ini mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan, Azhar Othman pada 24 Disember 2023.
Menerusi perkahwinan ini, mereka dikurniakan seorang lagi anak iaitu Ameena Sofeea yang lahir pada 26 September 2024.
Meniti usia 36 tahun, Syafiqa ialah anak sulung kepada lima beradik dan pernah berkahwin dengan ahli politik, Datuk Seri Zainal Abidin Osman ketika berusia 23 tahun. Bagaimana pun Allahyarham Datuk Seri Zainal meninggal dunia pada tahun 2018 akibat kanser darah.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Zayyan Sufi berusia sembilan tahun dan Zahara Sumayya.
Semoga kehadiran Fateema Safeea menjadi pelengkap dan menyerikan lagi rumah tangga Syafiqa Melvin serta suami tercinta.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!