Kehidupan diibaratkan seperti roda yang berputar. Ada ketika di atas dan ada masa pula di bawah. Sekitar 30 tahun lalu nama Syanie Hisham dikenali ramai dalam industri seni. Namun kini bakatnya jarang dilihat di kaca televisyen.
Pun begitu, dia akur menerima pasang surut kehidupan.
Meniti usia 50 tahun, Syanie pernah mendedahkan hanya menerima satu atau dua tawaran lakonan sepanjang setahun.
Apatah lagi sejak dia berhijab selepas mendirikan rumah tangga kira-kira tiga tahun lalu.
Bagaimana pun bintang filem Lagi-Lagi Senario ini tidak menyalahkan sesiapa dan sedar kehendak syarikat produksi masa kini.
Ads
Selain memberi peluang kepada muka-muka baharu untuk mewarnai dunia lakonan tanah air.
Enggan mengalah, Syanie atau nama sebenarnya Syaniza Hisham ligat menjana pendapatan dengan berniaga.
Syanie yang merupakan bekas peserta program Masterchef Selebriti dikhabar mengusahakan perniagaan bersama suami tercinta iaitu Zahril Hafiz Mohammed Nor.
Dalam satu posting yang dikongsikan peminat Syanie di media sosial, memaparkan pelakon dan pelawak ini berniaga dalam satu festival makanan dengan menjual twisted pizza.
Biarpun sudah lama tidak berlakon tetapi wajah Syanie terpahat di ingatan peminat dan melayan mereka dengan mesra.
Menerusi perkongsian Syanie di Instagram miliknya, jelas menunjukkan figura ini seorang yang cekal mendepani ujian hidup.
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bahagia dengan cara sendiri, kekal romantik dan masih saling menghargai. Itulah ungkapan paling tepat bagi menggambarkan kehidupan terkini pelakon cantik Aprena Manrose dan suaminya, Mohd Afiq Hazman.
Biarpun bakal mencecah tahun ke-7 usia perkahwinan mereka, pasangan serasi ini kekal tenang walau masih belum dikurniakan zuriat. Yang penting masing-masing terus saling mencintai, menyayangi dan menyokong antara satu sama lain.
Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena merupakan anak kepada bekas penyanyi dangdut terkenal, Iwan Syahman. Manakala ibunya, Allahyarhamah Rosnah Mohd Noor, seorang pelakon filem popular era 80an kelahiran Pasir Puteh, Kelantan.
Memetik kembali kata-kata Aprena yang pernah dikongsi di Instagram peribadinya pada ulang tahun perkahwinan mereka tahun lalu: –
“6 years of marriage and still counting. A strong marriage rarely has two strong people at the same time. It is a husband and wife who take turns being strong for each other when the other feels weak.
“Thank you kerana tak pernah mengeluh melayan karenah isteri you ni. I love you sayangkuuu. I love you so much! Thank you for everything.
“Minta jasa baik semua doakan semoga kami kekal hingga ke jannah. Semoga doa berbalik pada you all. Amin.”
SUAMI BERI SOKONGAN
Aprena bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan penuh daripada suami dalam apa jua perkara yang dilakukan. Aprena juga tidak pernah menyembunyikan status perkahwinan mereka kerana baginya restu dan sokongan suami sangat penting.
“Saya bersyukur kerana suami sentiasa memberi sokongan dan paling penting sangat sporting. Selalunya sebelum pergi ke set saya akan selesaikan dulu kerja-kerja rumah. Memandangkan kami masih belum mempunyai anak, saya fokuskan kepada tanggungjawab sebagai isteri.
“Cara reward diri pula dengan memberikan hasil yang terbaik dan berkongsi rezeki dengan suami serta ibu bapa. Insha-Allah, hidup kita akan lebih berjaya,” ujar adik kepada Oktovia Manrose ini.
Untuk info, Aprena merupakan graduan Diploma Penyiaran & Filem dari Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU). Antara impian wanita berusia 29 tahun ini ialah ingin bergelar pelakon teater serta mencuba bidang nyanyian dan pengacaraan.
Kredit Foto: Instagram Aprena Manrose
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyanyi Datin Alyah yang kini tampil dengan figura ideal dan lebih segar tidak menafikan sebelum ini dia mengalami masalah gastrik sehingga ada ketika menjadi kekangan buatnya untuk membuat persembahan.
Isteri kepada maestro muzik, Datuk Ramli MS ini menambah, berat badannya juga pernah mencecah hingga 68 kilogram.
“Saya tak nafikan ramai yang bertanya bagaimana saya boleh kurus. Sebenarnya siapa yang mengikuti perkembangan saya pasti ada yang tahu berat badan saya pernah cecah hampir 70 kilogram.
“Ditambah pula saya ada alami masalah gastrik yang teruk hingga muntah-muntah. Malah pernah juga masuk hospital kerana masalah tersebut,” katanya.
“Jadi saya ambil keputusan untuk berjumpa pakar bedah gasteroenterologist Dr Mustafa Mohammed Taher. Saya terlebih dahulu mendapatkan nasihat dan cadangan apa yang terbaik untuk kesihatan.
“Lalu saya jalani bariatric operation tahun lalu dan tiada rahsia untuk disembunyikan. Perkara itu saya ada kongsi di media sosial juga,” ujarnya.
Datin Alyah mengakui dirinya berasa bahagia dengan keputusan melakukan pembedahan bariatrik atas faktor kesihatan meskipun ada suara-suara sumbang mengecam dirinya sekarang kelihatan sangat kurus.
Malah, tegasnya tiada apa yang perlu dimalukan jika seseorang mengambil keputusan melakukan prosedur tersebut kerana hanya diri sendiri yang tahu betapa seksanya menanggung kesakitan.
“Bila orang nampak kita dah kurus, mereka hanya fikir, yelah nak menunjuk-nunjuk. Siapa yang nak fikir, kita pernah sakit sebelum ini? Tiada siapa peduli ya.
“Bila dah kurus pula, ada pula suara-suara berbunyi, kenapa kurus sangat, cengkung muka tu, saya nak awak yang dulu, sekarang kurus sangat,” tulis Alyah dalam sebuah perkongsian video menerusi Instagram.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Melihat susuk tubuh dan penampilan Puan Sri Tiara Jacquelina pasti ramai tidak menyangka selebriti ini sebenarnya sudah pun menginjak usia 59 tahun. Meskipun menghampiri usia 60 tahun namun Puan Sri Tiara seorang wanita aktif dan sentiasa berfikiran positif.