Tiada kata yang dapat menggambarkan rasa syukur dan gembira seorang ibu apabila anak perempuan disunting sebagai isteri. Itulah gambaran yang boleh digambarkan buat Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa apabila anak ketiganya, Nur Ne’ma al Solehah selamat bergelar isteri kepada pilihan hatinya, Afif Nu’man bin Azamirudin minggu lalu.
Berkongsi kegembiraan di laman Instagram miliknya, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa dan suami, Dr. Ustaz Azahar Yaakub menerima kehadiran menantu lelaki dalam majlis akad nikah yang diadakan di Musolla Madinatul Huffaz baru-baru ini. Dr Ustaz Azahar Yaakub menikahkan sendiri anak perempuannya itu pada majlis tersebut.
Dalam pada itu, isteri kepada Ustaz Dr Azahar Yaakub itu sempat menitipkan rasa kesyukuran dan mendoakan agar ikatan yang terjalin berkekalan serta diberkati olehNya.
Lebih istimewa, kedua-dua belah keluarga pengantin lelaki dan perempuan bersahabat baik sebelum ini.
“Dua keluarga ini sejak dahulu bersahabat baik. Kini, kami sudah menjadi besan dengan penyatuan pasangan mempelai ini. Doa kami mudah-mudahan pernikahan ini penuh keberkahan, barakah untuk seluruhnya, barakah dengan apa yg akan dikurniakan oleh Allah untuk pasangan ini dan bermanfaat perkahwinan ini untuk ummah , aamiin,” ujar Ustazah Norhafizah Musa lagi.
Sempat menitipkan pesanan mesra buat keluarga tercinta, Ustazah Norhafizah Musa bersyukur tiga dari tujuh orang zuriatnya kini sudah selamat mendirikan rumahtangga.
“Syukur Ya Allah, 3 orang anak kami telah diatur Allah jodoh terbaik buat mereka. Alhamdulillah. InshaaAllah ada rezeki 4 orang anak lagi masih ada walimatul urus mereka,” ujarnya yang mengadakan majlis walimatul urus untuk anak ketiganya baru-baru ini.
Ustazah Norhafizah yang juga Tokoh Pendakwah Wilayah Persekutuan (Majlis Sambutan Maal Hijrah Wilayah Persekutuan) 2015 mendirikan rumah tangga dengan Ustaz Dr Azahar Yaakub dan dikurniakan tujuh cahaya mata.
Penerima NONA Motivator Award, NONA SUPERWOMAN 2022 menjadi inspirasi apabila pada usia mencecah 43 tahun, beliau menerima doktor falsafah (PhD) dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Malaysia dengan tesisnya bertajuk ‘Pendekatan psikoterapi Islam dalam mengurus tekanan pesakit kanser payudara’.
Malah, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Dakwah dan Pembangunan Insan juga dari universiti yang sama. Ustazah Norhafizah pernah bertugas sebagai pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur sebelum bersara pada Mei 2022.
Kini, beliau dan suami merupakan pengerusi dan penasihat kepada Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz yang terletak di Gombak, Selangor.