Memimpin sebuah syarikat barangan kemas terkemuka seperti Habib bukanlah satu tugas yang mudah. Bayangkan ketika segalanya berjalan lancar, tiba-tiba pula dunia dilanda pandemik COVID-19. Cabaran mengemudi perniagaan buat Pengarah Eksekutif Habib Group, Datin Sri Zarida Noordin bertambah sukar.
Dalam temu bual eksklusif bersama Majalah Nona, banyak pengalaman menarik yang dikongsikan sepanjang menempuh dugaan berniaga sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.
Sebagai isteri kepada Pengarah Urusan, Dato’ Sri Meer Sadik Habib yang juga rakan niaganya, mereka berdua tidak menafikan ‘pening kepala’ apabila semua kedai terpaksa ditutup.
“Pertama kali kena PKP, kami suami isteri tertanya sesama sendiri. Apa kita nak buat ni? Kita ada 1,300 pekerja. Kedai-kedai semua kena tutup.
Siang malam kami bincang. Macam mana nak survive? Macam mana nak bayar gaji staf? Itulah persoalan pertama yang membimbangkan saya dan suami.”
Menariknya, Datin Sri Zarida menemui keindahan bekerja dari rumah apabila beliau mula ‘terbiasa’ dengan tugas mengemas dan memasak, sambil kerap bermesyuarat secara online di rumah. Normal baharu ini juga menyimpan hikmah tersembunyi, beliau dapat bersenam dan menumpukan masa untuk spring cleaning!
Ikuti perkongsian menarik wanita hebat ini dalam video Superwoman Talk bersama Editor Majalah Nona, Norzalina Mohd Alias…
Sejak dahulu lagi, personaliti Datin Sri Zarida yang mesra cukup menyenangkan saya. Orangnya penuh sifat keibuan serta bersemangat tinggi. Kala berbicara tentang fesyen, Pengarah Urusan PANDORA Malaysia & Brunei ini juga jelas berpengetahuan tinggi.
Semoga kekuatan diri beliau menjadi inspirasi kepada usahawan wanita lain. Berbekalkan niat yang murni, ketabahan dan sikap positifnya boleh menjadi pendorong agar kita lebih berani mendepani cabaran.
“Jadilah Wanita Berduit! Yang Cantik Dah Banyak..” – IFA RAZIAH Tegaskan Wanita Perlu Ada ‘Pendirian’ Untuk Berjaya
Penyanyi yang sohor dengan imej ‘Miss Diva’, Ifa Raziah yang sering tampil memperagakan barangan kemas seperti loket hati gergasi, serta pengasas Serifa Beauty & Health mengakui bahawa cabaran wanita masa kini bukan hanya perlu tampil cantik semata-mata.
Malah, jelas Ifa yang kini merupakan Pengarah Urusan dan Pengasas jenama StarVendors, wanita kini perlu berpendirian teguh, berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu terlalu bergantung sepenuhnya pada pasangan.
Wanita Perlu Bentuk Karakter Tegas Dan Berpendirian Untuk Berjaya!
Ifa turut menjelaskan bahawa karakter wanita yang tegas dan berpendirian seperti ini yang membuatkan dirinya mempunyai kekuatan dalam mengendalikan urusan syarikat.
Sering membawa watak antagonis, hingga jelmaan wanita yang bermasalah itu sedikit sebanyak terpalit dalam kehidupan Ifa Raziah. Siapa sangka Ifa kini bergelar usahawan yang sangat menginspirasikan.
Kini Ifa mengadaptasi seluruh pengalamannya sebagai anak seni selama lebih dua dekad untuk memajukan bisnes pengurusan acara, StarVendors Event Sdn Bhd.
“Saya sebenarnya seorang individu yang bersemangat dan suka memberikan komitmen dalam setiap pekerjaan. Termasuklah dalam arena bisnes.
“Harapan saya agar suatu hari nanti semua kerja keras ini dapat meninggalkan legasi kepada anak-anak. Mungkin bila dah berusia nanti, saya dapat abadikan diri beribadah sepenuh masa sambil monitor saja bisnes yang mereka uruskan.” ujarnya.
“Jadilah wanita yang berduit kerana wanita yang cantik dah banyak!”– Ifa Raziah
Terkenal sebagai seorang wanita yang ekspresif, serta mempunyai sifat disiplin yang tinggi, rezeki Ifa Raziah dalam bidang seni terus mengalir tanpa henti.
Ifa kini terus mencatat satu demi satu kejayaan berskala besar ekoran strategi hidupnya, ingin sentiasa relevan dengan trend semasa.
Selain itu, Ifa turut memberikan satu kata semangat buat para wanita diluar sana agar “Jadilah wanita yang berduit kerana wanita yang cantik dah banyak!” dan kenyataan ini sedikit sebanyak berjaya mencuit perhatian NONA.
Ifa Akan Terus Bebrakti Pada Dunia Seni, Selagi Relevan
Pernah menjulang trofi Artis Versatil Popular dua tahun berturut-turut di ABPBH29 & ABPBH30, Ifa Raziah yang berstatus Dato’ mula terlibat dalam industri seni sejak tahun 90-an lagi.
Seterusnya, bakat beliau berkembang sebagai pelakon, pelawak dan pengacara sebelum kini sebagai Pengasas serta Pengarah Urusan StarVendors Event Sdn Bhd.
“Selagi masih larat dan kudrat mengizinkan, saya mahu terus aktif dalam bidang seni.
“Sebenarnya saya banyak menerima job daripada stesen TV, kehadiran saya sedikit sebanyak menaikkan rating program,” tambahnya.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di https://t.me/majalahnona
Walaupun Berdarah KACUKAN, Zahirah Macwilson & Amelia Henderson Masih Kekalkan Tradisi
Kedatangan Syawal sememangnya memberi nikmat kesyukuran kepada setiap individu untuk mensyukuri setiap pemberian dariNya. Sambutan Aidilfitri tidak bererti tanpa bersama keluarga tercinta. Bagi Zahirah Macwilson, saban tahun dia dan keluarga akan menyambut Syawal di Perth australia bersama ibu tersayang.
Tambah Zahirah lagi, kebiasaannya dia akan menyambut lebaran di Perth bersama ibu tersayang dan pulang ke sana seminggu lebih awal untuk membuat persiapan bersama keluarga.
“Sejak Ira berusia dua tahun lagi, Aidilfitri akan disambut di Perth memandangkan beberapa kaum keluarga mama turut menetap di Perth. Jadi, suasana hari raya tidak banyak bezanya di Malaysia kerana terdapat ramai masyarakat Melayu di Perth,” ujar Zahirah yang turut bertuah dipilih sebagai salah seorang selebriti menghasilkan rekaan baju raya di bawah jenama Starvillion.
“Saban tahun kami akan meraikan Aidilfitri di Perth memandangkan terdapat juga saudara mara yang menetap di sana. Suasana perayaan juga terasa kemeriahannya memandangkan terdapat ramai rakyat Malaysia menetap di sana. Juadah hari raya juga satu kemestian kerana mama akan memasak rendang kesukaan kami,” ujar Zahirah yang pulang ke Perth beberapa hari menjelang Syawal saban tahun.
Dilahirkan di Malaysia, kemudian berhijrah ke United Kingdom dan kemudian menetap di Australia bersama keluarga antara perjalanan kehidupan yang sedang dilalui oleh gadis tinggi lampai ini. Walaupun sewaktu kecilnya dibesarkan di luar negara, ternyata Zahirah tidak pernah lupa akan asal usul jati diri. Keputusan untuk pulang ke Malaysia dan memberikan tumpuan penuh dalam bidang lakonan merupakan keputusan yang dilakukannya demi mengejar impian dan cita-citanya.
Pernah mendalami bidang Pengurusan Sumber Manusia sebelum mengambil keputusan bertukar arah ke bidang lakonan, Zahirah sememangnya seorang wanita yang suka menyahut cabaran dan jitu dalam membuat keputusan mengenai masa depannya.
“Saya seorang wanita yang kuat dan suka mencabar keupayaan diri. Alhamdulillah tiga tahun menjejakkan kaki sebagai pelakon drama, saya belajar dari satu tangga ke tangga yang lain untuk mencapai kejayaan
Ternyata usaha itu bukanlah mudah. Saya harus berusaha untuk mendapat kepercayaan pengarah-pengarah drama. Syukur kerana kehadiran saya diterima dan lakonan yang berbeza mengukuhkan nama saya di bibir para peminat drama tempatan,” ujar Zahirah yang enggan menumpang populariti si bapa dalam mengejar cita-citanya.
Anak sulung dari lima bersaudara ini pernah melalui episod sedih apabila kedua ibu bapanya mengakhiri ikatan perkahwinan setelah hampir 20 tahun mendirikan rumahtangga.Enggan menjadikan kisah keretakan tersebut sebagai kekurangan di dalam institusi kekeluargaan, Zahirah yakin keputusan yang dilakukan oleh kedua orang tuanya adalah untuk kebaikan bersama.
“Saya amat mengagumi mama sebagai wanita yang mempunyai personaliti yang kuat. Sebagai anak sulung, saya sememangnya akrab dengan mama dan sering berkongsi kisah suka dan duka. Mama menjadi tempat saya berkongsi apa sahaja dan kami adik-beradik sememangnya rapat antara satu sama lain.
Sebagai wanita yang memegang pelbagai peranan, Zahirah kagum melihat bagaimana ibunya mempamerkan karektor sebagai seorang wanita yang kuat dalam pelbagai aspek. Selain perlu menguruskan banyak perkara secara serentak. Mujurlah adik-beradik yang lain bersikap supportive.
“Tanpa sokongan keluarga, tak mungkin kami boleh pergi sejauh ini. Setiap kali berjauhan dari keluarga, saya tidak lupa menghubungi mereka dan bertanyakan khabar. Family is where the heart is,’ ujar Zahirah mengakhiri perbualan.
AMELIA HENDERSON MELARAM BAJU RAYA
Suatu ketika dahulu wajah Amelia Thripura Henderosn sering kali muncul di kaca televisyen menghiasi pelbagai ruangan iklan. Bagi model berdarah campuran India dan Scotland ini, memiliki wajah kacukan bagaikan bonus untuk dirinya memandangkan suatu ketika dahulu bayi kacukan sering mendapat tempat untuk melakonkan iklan di kaca televisyen.
“Tidak dinafikan terdapat advantage memiliki wajah kacukan ini. Saya sendiri mula berjinak dalam bidang komersil ketika berusia 10 bulan. Ketika itu, saya diberi peluang terlibat dalam iklan jenama pakaian kanak-kanak terkemuka. Selepas itu, saya banyak melibatkan diri dalam komersil sebelum menceburkan diri dalam bidang lakonan,” ujar Amelia yang memulakan karier dalam bidang lakonan pada usia 6 tahun melalui drama Edah.
Tambah Amelia lagi, sejak kecil dia sudah jatuh cinta dengan bidang seni dan memasang angan-angan untuk meneruskan kerjaya di dalam bidang seni sebaik sahaja menamatkan pengajian.
“Apabila minat telah dipupuk sejak kecil, maka ia bercambah menjadi bunga yang berkembang mengikut acuannya. Begitu juga dengan diri saya. Sejak kecil telah diberi pendedahan dalam bidang komersil seterusnya ke bidang lakonan. Jadi saya memasang impian untuk membuktikan keistimewaan yang dimiliki,” ujar Amelia yang sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Pengantin 100 Hari bergandingan dengan Aiman Hakim Ridza.
Selain bergelar pelakon, Amelia juga ingin kembali menghangatkan pentas seni dan bidang pengacaraan kerana kepetahannya menjadikan dirinya amat disenangi dan mudah untuk didekati.
Bercerita mengenai Aidilfitri, Amelia turut berkongsi kemeriahan Aidilfitri yang diraikan bersama keluarga. Menurut Amelia, sama seperti keluarga lain, peluang untuk memasak bersama dan menyediakan juadah pagi Raya menjadi momen yang dinantikan kerana ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Sama seperti kebanyakan keluarga yang lain, pastinya momen memasak juadah Raya menjadi lebih istimewa kerana dapat berkumpul. Tambahan pula selepas itu dapat menikmati juadah yang di masak bersama. Sudah tentu ia kenangan yang menjadi ingatan,” ujar Amelia yang gemarkan suasana musim perayaan yang meriah dengan amalan kunjung-mengunjung antara satu sama lain.
“Satu lagi perkara yang saya gemari apabila memperkatakan tentang Hari Raya adalah pemakaian pakaian tradisi yang cantik dan ayu mata memandang. Saya juga penggemar fesyen dan amat meminati rekaan dari Rizman Ruzaini, Alia Bastamam, Nurita Harith dan Adila Long,” ujar Amelia yang memilih busana kurung moden untuk diraikan di Aidilfitri.
Bermula Sebagai Kilang OEM, RASSALAB GLOBAL SDN. BHD Bakal Buka Kilang Makanan & Suplemen Kesihatan
Pasti ramai tertanya-tanya mengenai peranan yang dimainkan oleh Kilang OEM atau nama lainnya adalah Original Equipment Manufacturing. Dalam erti kata lain, ia merupakan kilang yang mengeluarkan sesuatu produk untuk founder dibawah jenama atau nama mereka sendiri.
Menurut Rami Zati Najwa Kamarudin Hilmi yang memiliki kilang OEM, RASSALAB GLOBAL SDN. BHD yang terletak di Kapar, Klang, Selangor ini ternyata boleh berbangga dengan kilang yang dimiliki berkat usaha dan iltizam yang tidak pernah mengenal erti penat dan jemu.
“Saya bermula dari bawah. Saya pernah menjadi ejen dropship, pembekal pakaian kanak-kanak sebelum membuka perniagaan sendiri. Saya memberanikan diri menceburkan diri dalam bisnes yang jarang dipelopori oleh individu yang baharu hendak memulakan perniagaan iaitu kilang OEM & kosmetik sendiri,” ujar Najwa yang mempunyai tekad dan azam yang kuat untuk berjaya.
Siapa sangka, hasil usaha tanpa mengenal jemu, Najwa dan syarikatnya, Rassalab Global Sdn Bhd diberi penganugerahan NONA TOP TRUSTED OEM FACTORY AWARD di NONA SUPERWOMAN 2022 baru-baru ini.
Tambah Najwa, sejak menerima pengiktirafan tersebut, banyak impak positif yang dapat dilihat melalui jenama kilang OEM miliknya dimana ia semakin dikenali dan ramai pelanggan baharu membuka mata untuk membuat penyelidikan dan menghasilkan produk baharu di kilang OEM miliknya.
“Syukur Alhamdulillah sejak awal tahun ini rezeki Rassalab Global Sdn Bhd semakin mencurah-curah di mana imej Rassalab sebagai kilang OEM semakin meningkat naik dan mula dikenali ramai. Sekaligus ia memberi impak perniagaan yang semakin maju dan berkembang.
Saya bersyukur dapat menggunakan platform NONA sebagai media yang sudah 40 tahun berada di pasaran membantu usahawan untuk meningkatkan jenama dan seterusnya membina empayar perniagaan yang bukan sahaja boleh berkembang di pasaran tempatan, malah ke luar negara,” ujar Najwa ternyata bangga dengan pencapaian yang diraih oleh syarikatnya.
Bangga dengan perkembangan positif Rassalab Global Sdn Bhd, Najwa sedang dalam perancangan untuk mengembangkan lagi empayar perniagaannya dengan membuka kilang untuk menghasilkan supplemen dan makanan sihat tidak lama lagi.
Sebagai wanita yang mempelopori perniagaan yang memberi impak yang besar dalam pasaran kosmetik dan pembuatan produk, Najwa sempat menitipkan pesanan supaya wanita masa kini perlu mempunyai pendapatan sendiri untuk membantu keluarga dan diri mereka sendiri.
“Jika baru nak berjinak-jinak dengan bisnes jangan takut dan gentar. Modal , perlunya modal untuk mulakan bisnes. Jika boleh, gunakan modal sendiri untuk peringkat permulaan. Tidak dinafikan akan berhadapan dengan kepayahan, tetapi kemanisan akan muncul jua akhirnya,” ujar Najwa memberi inspirasi untuk para wanita bangkit berniaga.
Menyentuh soal kewujudkan banyak kilang OEM di Malaysia, Najwa mempunyai pandangan tersendiri mengenai pemilihan kilang terbaik untuk pelanggan menghasilkan sesuatu produk.
“Pada pandangan saya, sebagai individu yang menjalankan bisnes kita perlu sentiasa up to date formulation baru dan terkini. Oleh itu, Rassalab Global Sdn Bhd sentiasa melakukan quality control dan pemeriksaan yang teliti terhadap setiap produk sebelum pengeluaran untuk memastikan produk kami dalam keadaan yang terbaik.
Selain itu, Rassalab Global Sdn Bhd menggunakan bahan mentah yang premium dan berkualiti tinggi bagi menghasilkan produk yang berkualiti dan eksklusif. Itu motto yang kami pegang selama ini untuk memastikan pelanggan berpuas hati dengan produk yang dihasilkan dan dapat memberi impak untuk jangkamasa panjang,” ujar Najwa seraya mengakhiri perbualan.