Lebih daripada 3 dekad berada dalam inudstri hiburan tanah air bukanlah satu tempoh yang singkat untuk menilai kejayaan demi kejayaan yang pernah dikecapinya. Pelbagai liku serta kenangan manis pernah dikecapi oleh wanita yang kini masih kekal jelita walaupun usianya telah mencecah 55 tahun. Ibu kepada empat cahayamata ini mencipta keunggulan tersendiri apabila Konsert Sheila Majid sentiasa mendapat sambutan luar biasa dari penggemarnya luar dan dalam negara.
Sungguhpun rekod seninya menunjukkan beliau begitu terkenal dengan persembahan berskala besar, namun, pelantun lagu Sinaran itu masih terbuka jika diminta untuk menghasilkan persembahan mini, terutama jika ia melibatkan para peminat.
Walaupun sibuk dengan persembahan korporat, dinner show dan konsert yang bakal dilaksanakan, ia sama sekali tidak pernah membuatkan wanita ini alpa dengan tugas dan tanggungjawab yang digalas sebagai isteri kepada Dato Hasridz Murshim Hashim Abdullah atau Acis serta keempat-empat permata hatinya. Tugas dan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri sememangnya menjadi keutamaan.
“Saya salute dengan kebanyakan wanita di Malaysia yang mampu menjadi pekerja di pejabat dan menjadi ibu dalam masa yang sama. Ini menunjukkan wanita merupakan insan istimewa yang mampu melangkaui apa sahaja dugaan dan cabaran yang mendatang.
Saya sendiri bersyukur kerana mempunyai pejabat di rumah. Jadi kebanyakan urusan berkaitan kerja dapat dilakukan di rumah. Dengan cara ini, saya dapat meluangkan lebih banyak waktu bersama anak-anak di rumah. Mereka membesar di hadapan mata dan dalam masa yang sama, urusan kerja dapat dijalankan sekaligus,” ujar Sheila yang mempunyai empat orang cahayamata.
Minat dan kesungguhan yang mendalam dalam bidang seni menjadi antara penyebab namanya masih kukuh di dalam industri yang sememangnya mempunyai ramai bakat baru yang tubuh bagaikan cendawan selepas hujan. Namun begitu, bagi Sheila, rasa hormat terhadap bidang yang menjadi sumber rezeki adalah penting untuk memastikan rasa cinta terhadap kerjaya ini tidak akan pudar.
“Saya terus berada dalam bidang ini dek kerana rasa cinta dan passion tanpa berbelah bahagi dalam kerjaya yang saya pilih. Bagi saya, niat seseorang itu penting sebelum masuk ke dalam industri ini. Jika hendak mengejar populariti semata-mata tanpa memikirkan kualiti, ianya akan hanya sia-sia sahaja kerana ia tidak akan dapat bertahan lama. Oleh itu, sekali lagi saya tegaskan pentingnya rasa hormat bukan hanya terhadap kerjaya yang dipilih, malah rasa hormat disekeliling juga penting,” ujarnya lagi.
Ketika diminta mengulas mengenai kenyataannya tentang kehilangan rasa hormat dalam kalangan kelompok muda, beliau tersenyum lalu tertawa kecil. “Saya pernah berhadapan dengan sekumpulan remaja di yang menegur saya secara kasar. Tanpa segan silu, mereka datang dan mencuit saya sambil bertanya benarkah saya Sheila Majid.
Sejujurnya, saya berasa sangat terkejut dengan sikap yang ditonjolkan. Saya sudah berusia dan sebaya dengan ibu mereka. Sekurang-kurangnya, tunjukkanlah rasa hormat kerana ia merupakan budaya kita sebagai rakyat Malaysia. Saya tidak minta disanjung, asalkan rasa hormat terhadap individu yang lebih tua tidak diketepikan” ujarnya panjang lebar.
Tambah pelakon filem Ali Setan itu, mungkin mereka mahu menegurnya dalam nada gurauan, tetapi, ujar Sheila, tidak semua perkara boleh dijadikan bahan lawak.
“Sebagai orang Asia, kita dibesarkan dengan adab. Setiap agama juga tidak membenarkan penganutnya biadab dengan orang lain. Saya amat menitikberatkan soal adab kerana ia melambangkan keperibadian seseorang.
Usah memperkecilkan orang lain dan pilih perkataan yang sesuai ketika bercakap. Namun, jangan terlalu merendah diri sehingga mampu dipijak oleh orang lain,” pesan Dato’ Sheila Majid.
Cantik di usia 50an sememangny bonus yang dimilikinya. Dato’ Sheila Majid mengakui penjagaan kulit dan mengamalkan pemakanan yang sihat serta senaman adalah rahsia untuk kekal jelita. Malah, amalan berpantang ketika melahirkan zuriat adalah penting dan beliau bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar dari ibu tercinta.