Memulakan kerjaya awalnya sebagai pegawai perubatan kerajaan, nyata membibitkan rasa cinta yang mendalam terhadap bidang estetik buat Dr Wan Hidayu Wan Ahmad yang akhirnya menubuhkan Klinik Nur Raisha kerana minat terhadap dunia kecantikan.
Dress labuh Shanell Harun direka khas untuk Dr Ayu yang lekuk tubuhnya langsing sempurna. Walau sudah beranak tiga, badannya sepertikan anak dara. Setiap tutur kata disusun kemas, Dr Ayu sememangnya seorang wanita moden yang bijak dan tahu apa yang terbaik untuk dilakukan.
Pegawai Perubatan Kerajaan
Berusia 37 tahun, Pengarah Klinik Nur Raisha ini memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan & Surgeri dari Universiti Malaya. Beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai perubataan kerajaan selama tujuh tahun, antaranya di Hospital Sungai Buloh, Pusat Darah Negara dan klinik kesihatan di daerah Kuala Selangor.
“Sebenarnya ketika saya masih bekerja sebagai doktor, ramai pesakit yang mengadu masalah kulit antaranya parut jerawat dan jeragat. Mereka bimbang dengan kesihatan kulit wajah mereka. Jadi itulah yang membuat saya terpanggil untuk membantu.
Selepas meninggalkan sektor kerajaan, saya kembali meneruskan pengajian dalam bidang estetik. Banyak yang perlu didalami walaupun pendidikan saya berlatarkan perubatan. Gabungan ilmu dan pengalaman yang ditimba membuatkan saya bertambah yakin menerokai perniagaan ini,” luah Dr Ayu sambil tersenyum.
Klinik Nur Raisha ditubuhkan pada Januari 2018 di Puncak Alam, Selangor. “Mengambil inspirasi nama anak kedua saya yang kebetulan baru lahir, saya mula memperkenalkan rawatan estetik di kalangan penduduk setempat. Sekarang anak saya dah berumur lapan tahun, dan alhamdulillah klinik juga sudah memiliki ramai pelanggan tetap.
Kami mengambil sedikit masa untuk dikenali kerana memandangkan ada banyak klinik di Puncak Alam. Selepas setahun, Klinik Nur Raisha mula mendapat sambutan dan meningkat dari semasa ke semasa.
Demografi pelanggan juga berkembang, bukan setakat di kalangan warga Puncak Alam malah dari pelbagai negeri. Berkat rezeki yang mengalir, saya berjaya membuka cawangan kedua Klinik Nur Raisha di Publika, Solaris Dutamas pada September 2022.”
Selain layanan mesra, Klinik Nur Raisha cukup disenangi kerana servis dan rawatan estetik yang ditawarkan membantu menyelesaikan masalah pesakit. Kata Dr Ayu, mereka amat mementingkan pendekatan holistik termasuk teknologi yang digunakan.
Umpamanya teknologi rawatan laser yang diiktiraf FDA (Food and Drug Administration), selamat dan efektif untuk merawat sesuatu masalah. “Majoriti pesakit yang datang mengalami masalah jeragat, bintik-bintik hitam, jerawat dan parut jerawat. Semua ini boleh diselesaikan dengan berkesan menggunakan rawatan laser kami,” terang Dr Ayu.
Ads
Berbicara soal kenangan manis sepanjang penubuhan Klinik Nur Raisha, Dr Ayu tanpa berfikir panjang terus berkongsi perihal testimonial pesakit yang berjaya dirawat. “Ya, mestilah ramai. Banyak pelanggan saya mengalami masalah jeragat atau melasma. Ia perlukan banyak rawatan yang berulang.
Ada yang datang selepas pergi ke pelbagai klinik dan habis ribuan ringgit untuk merawat jeragat. Jadi apabila mereka berjumpa saya, saya akan pantau pada setiap sesi. Rawatan ini biasanya mesti dibuat lima ke lapan kali untuk menampakkan kesan. Ada pelanggan Klinik Nur Raisha yang dah buat rawatan 13 kali dan wajahnya memang betul-betul bersih tanpa cela!
Beliau pun sangat gembira walaupun datang dari Subang setiap tiga minggu sekali. Kerana puas hati, beliau selalu bercerita tentang klinik saya kepada kenalannya. Bila kulit sihat, pelanggan pun happy!” kongsi Dr Ayu dengan teruja.
Ditanya pendapat Dr Ayu tentang pertumbuhan klinik estetik yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, wanita jelita ini pantas menjawab, “Memang sekarang ia berkembang pesat dan ramai doktor estetik membuka klinik sendiri kerana permintaan tinggi. Tapi saya rasa itu adalah persaingan yang sihat. Pelanggan ada pilihan untuk memilih klinik yang terbaik, selamat dan menawarkan harga paling kompetitif.
Sebagai usahawan, saya perlu fikir cara terbaik untuk pemasaran dan gunakan strategi bijak untuk menarik pelanggan. Saya fikir usaha perlu lebih dari segi marketing agar Klinik Nur Raisha makin dikenali.”
Menyedari lumrah perniagaan ada naik dan turun, Dr Ayu terbuka bercerita detik paling struggle sepanjang menjalankan perniagaan. “Pertama mestilah modal. Modal untuk membuka klinik sangat besar, apatah lagi kami perlu membeli mesin rawatan yang termaju dan berteknologi tinggi. Semakin bertambah mesin, semakin banyaklah servis rawatan yang boleh ditawarkan.
Ads
Macam saya, start dari kecil-kecil dulu. Bila ada duit, baru beli mesin baru dan tambah secara berperingkat. Tak perlu buat besar-besar pada peringkat awal kerana risikonya sangat tinggi,” nasihat Dr Ayu.
Selain modal, beliau juga berdepan tentangan ibu bapa yang bekerja dalam sektor kerajaan. Jadi agar sukar pada awalnya untuk meyakinkan mereka ketika berhasrat meninggalkan kerjaya pegawai perubatan. Mujurlah kini ibu bapa Dr Ayu memahami dan menjadi pendorong terkuatnya untuk terus cekal berniaga.
“Alhamdulillah saya buat keputusan tepat. Saya sebenarnya didorong push factor tersendiri. Saya mahu anak-anak menjadikan saya contoh untuk berjaya. Jadi sebab tu saya kena kuat semangat walaupun ada waktu-waktu tertentu kita rasa down.
Sebagai manusia biasa, memang normal untuk rasa down tapi jangan terlalu lama dibuai perasaan tu. Betulkan mindset dan fikir positif, insyaallah kita akan baik,” ujar Dr Ayu yang gemar menjadikan hobi melancong sebagai terapi ‘me time’.
Selain berniaga, Dr Ayu rajin menyertai aktiviti kemasyarakatan sebagai usaha kebajikan membantu orang ramai. Antaranya bergiat aktif sebagai ahli PEKAWANIS dan menyumbangkan pengalamannya bersama Biro Hal Ehwal Wanita & Kebajikan di Puncak Alam.
“Saya suka beri kesedaran kepada wanita agar berdikari. Perlunya ada pendapatan sendiri dan jangan terlalu bergantung pada lelaki. Di Puncak Alam umpamanya, kawasan ini terdiri golongan middle-class yang mana ramai wanita tidak bekerja dan menjaga anak sepenuh masa.
Jadi yang mana datang ke klinik saya, saya akan galakkan mereka agar membuka mata dan rebut peluang pekerjaan dari rumah. Buat bisnes kecil-kecilan asalkan ada duit sendiri.”
Sebelum bual bicara kami berakhir, wanita yang diiktiraf Nona Best Aesthetic Award ini bercerita perancangan masa depannya. “Sebenarnya saya dalam proses untuk menghasilkan satu produk baharu iaitu produk kesihatan untuk wanita.
Idea untuk menghasilkan formula produk ini tercetus ketika saya mendapati ramai pelanggan di klinik, hampir 50% daripadanya mengalami masalah stres, depresi dan insomnia. Jadi produk suplemen ini dirumus khas untuk menstabilkan hormon kita. Apabila emosi stabil, insyaallah keluarga juga akan harmoni.
Mengakhiri perbualan, Dr Ayu menyifatkan karakter seorang Superwoman itu bukan berdasarkan kecantikan mata, tapi mestilah berkeyakinan dan berilmu. “Wanita kena selalu ada azam untuk belajar. Sebab dengan setiap ilmu itu, hidup kita akan meningkat dan menaikkan level ke satu tahap lebih tinggi,” akhiri wanita yang menjadikan sikap tidak mudah berputus asa sebagai superpower yang dimilikinya.
Tanggal 8 Januari 2025 terpahat satu lagi sejarah! Majlis penganugerahan Nona Superwoman Award 2024 yang diadakan oleh Majalah Nona ini merupakan kesinambungan daripada edisi terdahulu iaitu pada tahun 2018, 2020 dan 2022.
Sebanyak 39 kategori anugerah disampaikan kepada individu dan tokoh wanita yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuklah korporat, seni, fesyen, bisnes dan sukan yang mencetus revolusi Malaysia sepanjang tahun 2024.
Nona Superwoman Award 2024 dibawakan khas oleh Bartech Beautee dan penaja bersama, Furniture and Choice Malaysia.
NONA SUPERWOMAN AWARD 2024
Bertemakan ‘Diamonds Are Forever’, malam kemuncak Nona Superwoman Award 2024 berlangsung di M World Hotel, Petaling Jaya. Lebih Istimewa, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut berkenan berangkat ke majlis pengiktirafan yang penuh gilang-gemilang ini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu YAM Tengku Puteri Dato’ Sri Zahariah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Mantan Ahli Dewan Negara iaitu YB Datuk Seri Dr Zurainah Musa.
Menariknya, Nona Superwoman Award 2024 menyaksikan tiga tokoh wanita berjaya dipilih mengungguli anugerah utama Nona Superwoman Award iaitu Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, Dato’ Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Hajah Faiza Bawumi.
Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Syamil Fahim berkata, “Nona Superwoman Award bukanlah sekadar untuk memberi penghormatan tetapi ia adalah platform transformatif yang membolehkan wanita memandang semula perjalanan mereka, meraikan kejayaan mereka, dan mencipta peluang baharu.
Kejayaan seorang wanita bukan hanya miliknya seorang, ia adalah milik keluarga, komuniti, dan negara. Nona Superwoman Award adalah manifestasi penghargaan terhadap keupayaan wanita untuk mencorakkan masa depan dengan keberanian, daya tahan, dan kecemerlangan.”
Sementara itu, Editor Pengurusan (Wanita) Nu Ideaktiv Sdn Bhd iaitu Kiffy Razak berkata, “Setiap wanita yang diraikan malam ini adalah seperti berlian yang terbentuk daripada tekanan, mereka telah melalui perjalanan sukar, mengharungi rintangan, tetapi akhirnya bersinar sebagai permata yang tiada bandingannya.”
Tambahnya, “Anugerah ini adalah simbol keberanian dan keazaman. Ia bukan hanya meraikan pencapaian, tetapi menyokong wanita untuk terus melangkah ke hadapan, mencipta perubahan, dan menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing. Nona Superwoman Award adalah janji untuk terus memberikan ruang kepada wanita untuk berkembang, berinovasi, dan meninggalkan legasi.”
SENARAI PENERIMA NONA SUPERWOMAN AWARD 2024
Tahniah buat barisan wanita unggul yang diiktiraf dalam Nona Superwoman Award 2024!
Nona Superwoman Award – Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, Dato’ Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Hajah Faiza Bawumi.
Nona Royal Award – YM Datin Paduka Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz.
Nona Professional Award – Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim
Nona Fashion & Beauty Award – Fasha Sandha
Nona Celebrity Award – Aina Abdul
Nona Legend Award – Uji Rashid
Nona Best Trusted Beauty & Whitening Brand Award – Nurul Adlinna Mohammad Bakri, Bartech Empire Sdn Bhd
Nona Corporate Award – Chryseis Tan
Nona Active Award – Natasha Roslan
Nona Motivator Award – Ustazah Asni Mansor
Nona Best Multipreneur Award – Ar Nalira Azmee, Ridz Alira Integrated Sdn Bhd
Nona Entrepreneur Award – Dato’ Seri Vida
Nona Best Event Organizer Award – Juliahayyu Mohamad, Time Reveal (M) Sdn Bhd
Nona Best Woman Entrepreneur Achievement Award – Sharifah Nori Bahar, PinkandBelle Sdn Bhd
Nona Best Edupreneur Award Future Education Fund Award – Raihana Rosdan, Aqesyra Eduqids Sdn Bhd
Nona Best Financial Coach Award – Azlin Mohd Said, AMS Empire
Nona Top Trusted OEM Factory Award – Mardiana Made, DS Rich Manufacturing
Nona Best Kitchenware Business Award – Anis Mastura Azmin, A&A World Premium Cookware
Nona Celebrity Business Award – Hanis Zalikha
Nona Legacy Award – Allahyarhamah Datuk Wira Dr Maznah Hamid
Nona Best Young Entrepreneur Award – Tiara Suraya A Rahman Scott, Venus Rose Ventures
Nona F&B Business Award – Aliza Ali
Nona Influencer Award – Nur Nabilah Zulyadaini
Nona Best Business Development SME Award – Nurul Adlinna Mohammad Bakri, Bartech Empire Sdn Bhd
Nona Best Kurung Fashion Brand Award – Noraini Hanipah
Nona Best Beauty Lens Award – Fatin Amirah Zaabar, Temyracle Sdn Bhd
Nona Best Perfume Entrepreneur Award – Nur Afiqah Amran, Perfume Paradise
Nona Best Aesthetic Award – Dr Wan Hidayu Wan Ahmad, Klinik Nur Raisha
Nona Best Halal Skincare Award – Nurulain Syahirah Mat Hasmuni, Twin Rich (M) Sdn Bhd
Nona Business Strategist Award – Cikgu Samm
Nona Best Young Edupreneur Award – Nurul Ainaa Zulkifli, CMI Smart Little Sdn Bhd
Nona Best Halal Slimming Supplement Award – Nur Jauhatul Dinnie Mohamaed Johari, DNS Beauty Solution Sdn Bhd
Nona Best Entrepreneur Beauty Award – Eda Afinie Dato’ Mohd Fauzi, Jardyn Empire Sdn Bhd
Nona Best Beauty Supplement Award – Noor Faqirah Abdullah, Qayra Beauty
Nona Best in Health & Beauty Manufacturing Award – Sitti Fatimah Janna, SFJ Beauty Sdn Bhd
Nona Best Skincare Award – Dr Nurhidayah Roslan, DASC International Sdn Bhd
Nona Best Fragrance Brand Award – Athira Mohamed Shahid, Beauboss Perfume
Nona Inspired Muslimah Salon Award – Shasha Masrey, Nieza Salon
Nona Best Effective & Scientifically Researched Skincare Award – Wahida Ismail, Glowing Beauty
Nona Media Award – Priya Dharshini Prabakaran
Malam penuh gemilang ini dikemudikan oleh Hunny Madu, seorang pengacara berbakat yang juga tampil menerusi program Borak seeNI di Astro. Dengan sentuhan profesionalisme dan pesona, Hunny memastikan setiap momen majlis ini berjalan lancar dan meninggalkan impak mendalam kepada para hadirin.
Selain anugerah yang dinanti-nantikan, majlis ini turut diserikan dengan persembahan eksklusif daripada penyanyi hebat seperti Datin Alyah, Amir Masdi, dan Aina Abdul. Keseluruhan acara penganugerahan ini telah distrim secara langsung menerusi Facebook, Youtube dan TikTok Majalah Nona.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kesusahan hidup yang dilalui Dato’ Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sejak kecil membentuk jati dirinya menjadi seorang wanita berjiwa kental dan berdaya saing. Meskipun dibesarkan sebagai anak penoreh getah namun figura hebat ini bersyukur kerana kedua-dua ibu bapa mendidik mereka enam beradik dengan penuh kasih sayang dan sanggup berkorban apa sahaja demi memberikan pendidikan terbaik.
Tiada sekelumit pun rasa segan terbit di sanubari wanita kelahiran Negeri Sembilan ini tatkala bercerita mengenai realiti hidup beliau yang pernah mendiami rumah beratapkan rumbia dan tiada bekalan elektrik mahupun air bersih. Bagi Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif itulah perangsang motivasi untuk mengubah taraf hidup keluarga.
Detak hatinya berkata alangkah indah andai kedua-dua ibu bapa tersayang masih hidup dan menyaksikan kejayaan beliau menjadi wanita inspirasi negara dan melakar sejarah sebagai wanita pertama bergelar Datuk Bandar Kuala Lumpur.
PERJALANAN HIDUP DATO’ SERI DR MAIMUNAH SHARIF
“Saya berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan mak ayah saya penoreh getah. Sewaktu kecil, saya menyiapkan kerja sekolah di bawah lampu minyak tanah. Saya bangun seawal 4 pagi setiap hari untuk membantu mak ayah cuci bekas tadahan susu getah pada waktu Subuh sebelum pergi ke sekolah.
Saya bertekad untuk membawa keluarga saya keluar daripada kepompong kemiskinan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam pelajaran. Alhamdulillah sejak sekolah rendah hingga menengah, saya selalu mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan.
Hal ini bukan sebab saya terlalu mengejar gred. Sebaliknya saya mahu mendapatkan ganjaran daripada pihak sekolah berupa kelengkapan persekolahan seperti beg, baju, kasut dan lain-lain. Saya tak mahu membebankan mak ayah dan pastikan dapat nombor satu dalam kelas sebab mahu dapat sebanyak hadiah yang boleh supaya saya dapat agihkan kepada adik-adik saya,” tuturnya memulakan bicara.
Ditanya pengorbanan ibu bapa yang tidak mungkin terpadam dari ingatan, dalam nada sebak Dato’ Seri Dr Maimunah menyingkap rahsia. “Saya masih ingat kenangan menyiapkan kerja sekolah dengan hanya diterangi pelita minyak tanah. Arwah mak akan ambil kain sarung dan saya duduk dalam kain sarung tersebut.
Jadi arwah mak akan pegang kain itu supaya api pelita tak padam ditiup angin dan saya dapat siapkan kerja sekolah. Kalau dua jam, dua jam jugalah arwah mak berdiri. Sampai sekarang tiap kali tengok kain sarung, saya sedih sebab dengan kain sarung itulah saya boleh dapat biasiswa ke England,” imbasnya yang menjadikan ibu tersayang sebagai sumber kekuatan dan inspirasi.
Berkat usaha dan doa ibu bapa, tokoh wanita berusia 63 tahun ini berjaya memperoleh biasiswa dan melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam jurusan perancangan bandar di University Cardiff. Usai menamatkan pengajian, Dato’ Seri Dr Maimunah kembali ke tanah air pada tahun 1985 dan berkhidmat sebagai perancang bandar di Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
Kemahiran beliau dalam dunia perancangan bandar diperakui pelbagai pihak sehingga diberi kepercayaan menjawat tugas-tugas utama antaranya Pengarah Jabatan Perancangan, Pengurus Besar pertama Georgetown World Heritage Incorporated, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai dan menjadi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang pada tahun 2017.
Lebih mengagumkan, agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengintai kebolehan dan mengiktiraf kredibiliti Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif apabila beliau ‘disunting’ badan dunia berkenaan.
“Tahun 2018, saya diberi mandat sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat selaku wanita Asia pertama memegang jawatan tersebut yang merupakan ahli Kumpulan Pengurusan Kanan Setiausaha Agung berperanan sebagai role model dalam menegakkan nilai-nilai PBB seperti keterangkuman, intergriti, rendah hati dan kemanusiaan.
Saya dipilih untuk penggal kedua yang berakhir pada Januari 2024. Saya juga memegang jawatan pemangku Ketua Pengarah PBB di Nairobi, Kenya sebelum kembali ke Malaysia pada Februari 2024.
Pengalaman sebagai Ketua Pengarah PBB, Pengarah Eksekutif UN-Habitat dan mengetuai PBT di Pulau Pinang dan Seberang Perai serta pengalaman hidup yang serba kekurangan membentuk pemikiran dan jati diri dalam diri saya supaya menjadi seorang yang cekal, kental dan positif dalam hidup,” tegasnya yang menyandang jawatan Pengarah Eksekutif UN-Habitat selama enam tahun.
Hasrat Dato’ Seri Dr Maimunah untuk bersara selepas tamat perkhidmatan di Nairobi tidak berjalan seperti yang dirancang. Demi berbakti kepada tanah air dan kesejahteraan masyarakat khususnya di ibu negara, beliau akhirnya bersetuju menerima pelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2024.
“Pelantikan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur bukan hanya satu penghormatan. Malah tanggungjawab dan amanah yang amat besar untuk menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sebenarnya menjadi Datuk Bandar bukanlah kerjaya impian saya sejak dulu. Namun saya sentiasa mempunyai keinginan untuk berkhidmat dan menyumbang kepada pembangunan negara khususnya di bandar-bandar utama.
Ekspektasi yang tinggi daripada warga kota Kuala Lumpur dengan populasi berjumlah 1.9 juta orang dari pelbagai latar belakang demografik merupakan cabaran untuk saya. Sebagai penjawat awam, kita harus berkhidmat secara profesional tanpa mengira kaum, agama atau pegangan politik.”
Bagi menjayakan usaha itu, Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif melaksanakan pentadbiran CATEE iaitu Competent, Accountable, Transparent, Effective dan Efficient Governance. Ujarnya, beliau percaya dengan tenaga kerja DBKL seramai 4,000 orang beliau yakin dapat melakukan yang terbaik.
“Dari perspektif perbandaran, saya memastikan DBKL secara konsisten membina bandar yang berdaya tahan, berdaya saing, berdaya huni dan disayangi. Saya turut melancarkan Program Flagship DBKL yang terdiri daripada lima teras dan 15 projek. Lima teras tersebut ialah Pembangunan terancang, keterangkuman masyarakat, bandaraya hijau dan mampan, komunikasi dan tadbir urus.
Saya pernah menjadi YDP Majlis Perbandaran Pulau Pinang kemudian Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Seterusnya berpeluang menjadi ‘Datuk Bandar’ di peringkat global sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat dan kini menggalas tanggungjawab sebagai Datuk Bandar di ibu kota Malaysia. Perjalanan ini meyakinkan saya bahawa ‘Once Mayor always a Mayor.”
KEKUATAN DATO’ SERI DR MAIMUNAH SHARIF
Pastinya kejayaan yang ditempa Dato’ Seri Dr Maimunah hari ini memerlukan banyak pengorbanan. Tanpa semangat dan sistem sokongan yang baik di sisi, tidak mungkin beliau mampu berada di tahap sekarang.
“Pengorbanan terbesar saya untuk sampai ke tahap sekarang sebenarnya melibatkan masa dan komitmen terhadap keluarga serta kesihatan diri. Sepanjang perjalanan ini banyak masa telah dikorbankan untuk berkhidmat kepada masyarakat. Kadangkala, masa yang sepatutnya diluangkan bersama keluarga terpaksa diketepikan demi memastikan kesejahteraan warga awam tidak terjejas.
Keluarga adalah tonggak utama kejayaan yang saya kecapi pada hari ini. Suami dan anak-anak memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saya. Paling penting, restu daripada suami saya. Beliau sentiasa ada dengan saya. Beliau mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap saya untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan cemerlang. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada keluarga saya. Tanpa sokongan jitu mereka, saya tidak mungkin berada sehingga tahap ini,” luahnya penuh syukur.
Selaku penerima Nona Superwoman Award 2024, Dato’ Seri Dr Maimunah memanfaatkan peluang ini untuk menyebarkan aura positif dan kata-kata semangat buat seluruh wanita Malaysia agar tabah mendepani apa jua cabaran.
“Sebagai wanita, kita hendaklah berusaha sehabis baik, mempunyai komitmen dan keyakinan yang tinggi dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Tiada yang mustahil dalam hidup ini. Yakin dan bangga dengan keupayaan diri sendiri. InsyaAllah, kita pasti boleh melakukannya.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keyakinan dan kualiti kesihatan merudum dek masalah berat badan dialami tidak mematahkan semangat Nur Jauhatul Dinnie, pengasas DN’S Beauty Solution bangkit melawan arus. Beliau mengeluarkan produk meal replacement Fitztox yang kian meniti bibir di kalangan mereka yang ingin tampil sihat dan menawan.
Di kala lambakan produk-produk kecantikan dan kesihatan di pasaran, Fitztox muncul sebagai satu solusi utama kepada masalah utama dihadapi kaum wanita, tidak lain tidak bukan isu berat badan berlebihan.
Diilhamkan oleh keinginan untuk membantu wanita mendapatkan saiz idaman tanpa perlu mengorbankan kehendak selera, Nur Jauhatul Dinnie Mohammad Johari atau lebih mesra disapa Dinnie hadir dengan produk Fitztox yang berasaskan bahan-bahan semula jadi serta selamat digunakan.
“Inspirasi utama saya adalah untuk membantu individu mencapai kesihatan dan kecantikan secara holistik. Saya percaya kecantikan sebenar datang daripada tubuh yang sihat dan seimbang, jadi saya mahu menawarkan produk yang bukan sahaja berkesan tetapi juga selamat untuk jangka masa panjang,” jelas ibu kepada tiga orang cahaya mata ini membuka bicara.
Bermula daripada mengusahakan sebuah salon, Nur Jauhatul Dinnie tidak pernah terfikir transisi kehidupannya berubah 360 darjah saat dirinya disapa kegagalan. “Atas kehendak ayah, saya membuka salon sendiri. Namun atas kekurangan ilmu pemasaran dalam pengalaman meniaga, saya terpaksa menutup salon berkenaan dan mencari alternatif lain untuk bangkit semula.
Lantas saya berjinak-jinak meniaga produk orang lain dahulu, sehinggalah saya mendapat inspirasi untuk mengeluarkan produk sendiri hasil penelitian saya melihat ada sahabat-sahabat yang berjaya mengubah nasib dengan mengeluarkan produk sendiri. Anggapan saya, jika mereka boleh berjaya kenapa tidak saya?” akui dirinya yang berasal dari Perak.
Dalam tempoh dua tahun Fitztox di pasaran, dia menekankan pendekatan keseimbangan antara kecantikan dan kesihatan. “Visi kami adalah untuk membina keyakinan dalam diri setiap pelanggan melalui produk yang mereka boleh percayai tanpa kompromi terhadap kesihatan.”
Namun siapa menyangka, di sebalik perjalanan dirinya menembusi cabang perniagaan, Nur Jauhatul Dinnie turut pernah berhadapan dengan situasi sukar mengemudi empayar perniagaannya.
Suri hati kepada pengasas bersama iaitu suami tercinta Syukry Radzuan yang juga menjadi tulang belakang kejayaannya ini turut menjelaskan keinginan mendapatkan bentuk tubuh yang menawan menjadi inspirasi setelah berhadapan pelbagai kondisi kesihatan seperti mudah sakit pinggang, kesukaran untuk bergerak dan sebagainya.
Sebagai seorang usahawan wanita, Nur Jauhatul Dinnie turut tidak terlepas berhadapan pelbagai asam garam berniaga antaranya kekurangan modal, persaingan yang sengit, konsistensi malah sehinggalah pandangan sinis daripada orang sekeliling. Namun, semangatnya yang tidak pernah pudar dan keyakinan terhadap produknya membantunya untuk terus melangkah dengan bergaya.
“Saya tak bermula seorang diri. Saya mempunyai pasukan yang semestinya masing-masing punya emosi sendiri. Dalam masa kita nak membangunkan produk, orang-orang di bawah seliaan juga perlu diberikan perhatian namun ia tidak mudah. Bayangkan, pada waktu itu semua strategi tak berhasil, sehinggalah sales jatuh sampaikan satu tahap tiada lagi baki tinggal dalam akaun simpanan.”
Nur Jauhatul Dinnie percaya bahawa setiap wanita berhak untuk kelihatan cantik dan merasa yakin dengan diri mereka sendiri. “Di DN’S Beauty Solution, kami sentiasa melakukan kajian pasaran dan mendengar maklum balas pelanggan, agar dapat memahami kehendak mereka dan memastikan produk dihasilkan memenuhi ekspektasi mereka.”
Lantas, salah satu matlamat utama Nur Jauhatul Dinnie adalah untuk memberdayakan wanita. Melalui inisiatif seperti program latihan keusahawanan untuk wanita contohnya suri rumah dan pelajar, beliau menggalakkan wanita untuk mencipta peluang mereka sendiri dan tidak terikat kepada norma biasa.
“Salah satu produk teras DN’S Beauty Solution, Fitztox, telah membuktikan daya tarikannya sejak dilancarkan pada Julai 2022. Kejayaan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat tetapi juga kepada para usahawan yang bernaung di bawahnya. Para usahawan, yang merupakan pengedar produk ini, telah mengalami perubahan positif dalam kehidupan dan ekonomi mereka.
Fitztox bukan hanya membantu meningkatkan pendapatan, tetapi juga membina potensi diri, di mana ramai yang memperolehi kejayaan besar dalam perniagaan dan kehidupan peribadi mereka. ‘Fitztox bukan sekadar produk kecantikan; ia adalah simbol keyakinan dan kepercayaan dalam potensi diri,’ yakini Nur Jauhatul Dinnie.”
DN’S Beauty Solution tidak hanya bergantung kepada produk yang berkualiti tinggi, strategi pemasaran yang bijak juga memainkan peranan penting dalam kejayaan jenama ini. Nur Jauhatul Dinnie turut memanfaatkan kekuatan media sosial untuk membina komuniti yang menyokong dan terlibat. Dengan menjalin kerjasama dengan pempengaruh kecantikan dan pakar dalam bidang ini, Fitztox dapat mencapai lebih ramai pengguna dan meningkatkan kesedaran tentang produk mereka.
Fitztox juga mengambil pendekatan mengambil kira maklum balas daripada pelanggan untuk memperbaiki dan meningkatkan produk. Ini menunjukkan betapa seriusnya jenama ini dalam memastikan kepuasan pelanggan dan kualiti produk. Melihat kepada kejayaan yang dicapai di Malaysia, DN’S Beauty Solution kini bercita-cita untuk mengembangkan sayap perniagaan ke negara jiran di Asia Tenggara seperti Brunei, Singapura dan Indonesia. Ini adalah langkah strategik untuk memperluaskan pasaran dan memberikan lebih banyak peluang kepada para usahawan untuk mengubah nasib mereka.
“Kami mahu pastikan semua prosedur dan undang-undang negara pengimport dipatuhi sebelum kami mula memasuki pasaran luar. Ini adalah bukti bagaimana syarikat ini sentiasa mengutamakan kualiti dan pematuhan undang-undang bagi memastikan produk mereka diterima dengan baik di setiap pasaran,” jelasnya lagi.
Sebagai usahawan, Nur Jauhatul Dinnie turut akui dirinya tak pernah berhenti menenun mimpi dan angan-angan kerana baginya ia perkara biasa sebagai seorang peniaga. “Saya bercita-cita untuk membina kilang serta pusat penyelidikan dan pembangunan bagi produk kami, yang akan memberi peluang meneroka inovasi baru dalam bidang kecantikan dan kesihatan. Dengan cara ini, kami berharap dapat mencipta produk yang lebih berkesan dan memenuhi keperluan pengguna dengan lebih baik.”
Dalam setiap langkahnya, Nur Jauhatul Dinnie sentiasa memegang prinsip bahawa kejayaan adalah hasil daripada usaha gigih, kesungguhan, dan keyakinan diri. Baginya, setiap cabaran adalah peluang untuk terus maju, dan impiannya untuk menjadikan Fitztox sebagai jenama kecantikan dan kesihatan terkemuka di peringkat global kini semakin hampir menjadi kenyataan.
Nur Jauhatul Dinnie adalah contoh seorang wanita yang berani mengejar impian dan mengubah nasib menerusi perniagaan. Kejayaan DN’S Beauty Solution bukan sahaja mencerminkan kejayaan peribadi, tetapi juga kejayaan kolektif yang menginspirasi lebih ramai wanita untuk terlibat dalam dunia keusahawanan.
Akhir kata, apa agaknya nasihat Nur Jauhatul Dinnie buat semua wanita di luar sana yang ingin terjun dalam bidang keusahawanan? “Saya nasihatkan semua wanita di luar sana untuk terus berpegang kepada nilai diri, sentiasa berinovasi, dan jangan takut untuk mengambil risiko. Kejayaan akan datang jika kita gigih berusaha dan tidak mudah berputus asa.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.