Mampu berasimilasi dan membawa karakter yang baik di depan kamera, sejujurnya sesi bersama penerima anugerah Nona Outstanding Business Award, Mohd Hafizuddin Hiew Abdullah ini merupakan antara yang tercepat berjaya diselesaikan.
Karakter Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings ini juga cukup menyenangkan, malah setiap pertanyaan penulis tentang perniagaannya dijawab dengan cukup profesional.
Diasaskan pada tahun 2016, TDC Holdings awalnya beroperasi sebagai syarikat pengedar produk makanan dan minuman kesihatan secara kecil-kecilan di Kelantan.
“Sebenarnya saya mahu menjadi usahawan kerana tidak ingin melihat kesusahan ibu yang bekerja siang malam demi menampung keperluan hidup.
Daripada pembacaan, saya mula yakin bahawa keusahawanan adalah cara terbaik untuk membela dan menjamin kesenangan hidup ibu kelak,” ujar anak kelahiran Ipoh, Perak itu.
TDC Holdings Sdn Bhd diiktiraf sebagai penerima Nona Outstanding Business Award
Kisah kejayaan produk C2Joy, produk minuman bestsellers yang rancak menghiasi papan tanda gergasi di lebuh raya menjadi mukadimah kami.
“Alhamdulillah produk TDC iaitu C2Joy yang dijual sejak tahun 2016, BerryMix dan terkini, Colever – telah terjual melebihi 4 juta unit di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.
Walaupun baru lima tahun mengusahakan perniagaan, tapi banyak pengalaman indah tercipta sepanjang saya memimpin TDC.
Antaranya ketika kami berjaya mencapai jualan RM100 juta pertama. Ia benar-benar melangkaui fikiran dan sasaran saya ketika itu.” Hafiz Hiew
Produk kesihatan TDC Holdings
Tambah Hafiz, beliau turut berbangga melihat pencapaian pengedar TDC yang dulunya fakir miskin, kini sudah mencapai tahap pendapatan bersih ke arah T20.
Berusia 34 tahun, Hafiz yang merupakan seorang mualaf memiliki kelulusan Master in Business Administration (Finance) dari Universiti Malaysia Kelantan dan Ijazah Agri-Techno Entrepreneurship, juga dari universiti yang sama.
Terdahulu sebelum itu, beliau pernah menggenggam Diploma Pengajian Islam dari Interactive Dakwah & Tarbiyah Association (IDT).
HIDAYAH
Hidayah adalah hadiah daripada Allah SWT untuk orang yang ingin menerima dan mencari-Nya dalam hidup. Keputusan lelaki dermawan ini untuk memeluk Islam sekitar 12 tahun lepas merupakan antara titik perubahan terbesar, sekaligus menjadi akar tunjang TDC Holdings yang dibina berpaksikan Al-Quran dan hadis.
“Tiada satu pun kelas, buku, seminar, mentor atau guru perniagaan yang boleh menjangkaui ilmu Al-Quran dan hadis.
Ads
Sebagai seorang Cina Muslim, saya banyak merujuk pakar umpamanya panel syariah Koperasi ANGKASA Malaysia Berhad, Lariba Consulting dan SIRIM International Berhad bagi memastikan TDC melalui pengauditan, penambahbaikan dan patuh syariah secara keseluruhannya.
Bahkan kami juga mempunyai Pegawai Eksekutif Pematuhan Syariah di TDC kerana saya percaya, ia mesti bermula dari dalaman sesebuah perniagaan itu sendiri.”
Usahawan muda, pintar dan bercita-cita besar
Menariknya, Hafiz juga seorang yang tekun mendalami pengajian Islam secara intensif. Kini dengan kapasiti tenaga kerja seramai 40 orang serta jumlah pengedar seluruh Malaysia dan Brunei mencapai 300,000 orang, apakah rahsia kejayaan bisnes beliau dalam tempoh yang singkat?
Sambung Hafiz, beliau banyak mendalami cara Baginda Rasulullah bermuamalat, berkomunikasi dan juga menjadi seorang Muslim yang disegani.
Sebagai seorang tokoh pemimpin yang pernah dilabel ‘Orang Paling Berpengaruh Dalam Sejarah Manusia’, Nabi Muhammad SAW adalah ikon manusia terbaik di mata usahawan tersebut.
“Superhero adalah seseorang yang dapat melahirkan superhero yang lain. Dan bagi saya, proses itu amatlah susah, apatah lagi nak duplikasi dan lahirkan lebih dari seorang wira yang bagus.
Tetapi sepanjang perjalanan dakwah Baginda Rasulullah sehingga wafat, Baginda berjaya lahirkan 106,000 orang sahabat yang super hebat, dimana 100,000 orang itu keluar daripada Mekah dan Madinah untuk berdakwah ke seluruh dunia.
Bayangkan dakwah sahabat-sahabat Rasulullah ini berjaya mengembangkan Islam hingga dianuti lebih 2 billion penduduk dunia! Inilah superhero sejati di mata saya.” Hafiz Hiew
Tekad mahu membantu orang melalui perniagaan, syarikat TDC Holdings Sdn Bhd pimpinan Hafiz Hiew cukup maju di pasaran. Tonton kisah penuhnya di sini…
Ads
TERUS MELANGKAH
Jika perniagaan lain jatuh merudum akibat pandemik, rezeki Hafiz Hiew dan seluruh warga kerja TDC pula sebaliknya.
“Tahun 2020, jualan kami meningkat hampir tiga kali ganda, daripada RM33 juta kepada RM100 juta. Malah pada tahun 2021, kami juga berjaya mencapai jualan RM100 juta untuk tahun kedua berturut-turut, seawal pertengahan bulan November lagi.
Jumlah keseluruhan sedekah, infak, wakaf dan zakat TDC juga melebihi RM10 juta tunai dalam masa dua tahun.
Sebenarnya ketika PKP 1.0 diumumkan, saya bersama 40 pengedar serta staf TDC baru saja tiba di lapangan terbang sejurus melancong ke New Zealand. Pada ketika itu, hati saya sudah menjangka bahawa jualan kami mungkin merosot menjelang musibah COVID-19.
Tetapi melihat keadaan tenat golongan B40 serta masyarakat yang lebih teruk terkesan dengan pandemik ini, saya memutuskan untuk bersedekah.
Lebih RM3 juta disalurkan untuk wakaf mesin bantuan pernafasan COVID-19, bantuan ambulan, van jenazah, makanan dan kewangan kepada golongan memerlukan. Tindakan infak TDC benar-benar memberikan pulangan yang lumayan sehingga sukar saya percayai.
Selain itu, pengenalan strategi seperti online kepada para pengedar, pemantapan sistem pengedaran atas talian serta produk-produk TDC yang selama ini fokus kepada peningkatan imunisasi, semua itu memberikan satu lonjakan jualan kepada TDC secara mendadak.” Hafiz Hiew
Ads
Episod perkahwinan pertama Hafiz yang tersungkur di tengah jalan menjadi asbab kebangkitannya hari ini. Bapa kepada empat cahaya mata itu kini kembali lebih kuat dan bersemangat selepas mendirikan perkahwinan kedua dengan isteri tercinta, Siti Sabarina Mat Yusoff.
“Selain ibu, isteri saya sentiasa menjadi tulang belakang saya selama ini. Dia banyak menyokong usaha pematuhan Syariah dalam syarikat, menegur perihal amal ibadah saya serta seringkali memperbaiki diri ini dengan berhemah.
Ketika saya bekerja, dialah orang penting untuk menjaga rumah, harta dan anak-anak kami tanpa membuatkan saya risau,” jelas Hafiz sambil tersenyum.
Perasaan penulis tambah tersentuh kala mendengar kisah hidup Hafiz yang dulunya miskin dan tinggal di perumahan setinggan.
“Langit tidak selalu cerah. Pekerjaan yang dilakukan oleh ayah saya selalu turun naik. Naiknya sekejap, tapi turunnya lama. Jadi ibu terpaksa melakukan dua ke tiga kerja dalam satu hari demi membantu menyara hidup kami sekeluarga.
Mungkin kerana dibesarkan dalam keadaan begini membuatkan saya lebih menjiwai dan memahami perasaan fakir miskin.
Wanita-wanita penting di belakang kejayaan Hafiz
Saya ingin cuba membantu mereka untuk keluar daripada kepompong kemiskinan yang diwariskan kepada anak-anak, seperti keyakinan saya pada surah Al-Fathir yakni saya mengharapkan perniagaan yang tidak merugikan.” Hafiz Hiew
Petua kejayaan Hafiz cukup mudah. Infak, menjaga solat dan membaca kalam suci Al-Quran.
Kata Hafiz, TDC mengagihkan sebahagian pendapatan kepada jalan kebajikan serta menerapkan budaya ‘TDC For You’ dan #TDCHeart yang fokus untuk membantu keperluan harian golongan susah termasuk mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Tidak ketinggalan, lebih RM500,000 zakat telah disalurkan tidak termasuk infak, wakaf, sedekah dan sumbangan kepada masyarakat melebihi RM12 juta.
Kini TDC dalam proses akhir mendapatkan permit eksport ke pasaran jiran seperti Indonesia dan Singapura. Rancangan ini sebetulnya tertunda akibat PKP dan kini giat diteruskan semula sebaik sempadan negara dibuka.
Selain itu, TDC juga dalam proses penstrukturan dan pemantapan organisasi ke arah pengurusan yang lebih berkualiti selepas mendapat pengiktirafan ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Berkualiti).
Semua ini adalah berkat usaha Hafiz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif disamping bantuan pasukan TDC yang berdedikasi. Misi mereka jelas, mahu membuat persiapan awal ke arah peralihan syarikat berhad dalam pasaran bursa, kira-kira lima tahun akan datang.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Che Wann
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selepas kejayaan acara membeli-belah terbesar Malaysia, Star Vendors Mega Raya Fest melakar sejarah di The Malaysia Book of Records, Ifa Raziah terus melangkah menginspirasikan ramai wanita. Pengalaman diuji dengan kesempitan hidup hingga terpaksa mengikat perut dan makan nasi berkuah air garam menjadi antara pembakar semangatnya untuk terus berjaya.
Terkenal sebagai seorang yang tegas dan lantang, statement beliau iaitu, “Jadilah wanita yang berduit kerana wanita yang cantik dah banyak!” mencuit perhatian.
Pernah diangkat sebagai Artis Versatil Popular di ABPBH29, Ifa Raziah atau Saripah Raziah Mustapha yang berstatus Dato’ mula dikenali sejak tahun 90-an sebagai penyanyi dangdut. Seterusnya, bakat beliau berkembang sebagai pelakon, pelawak dan pengacara sebelum kini sebagai Pengasas serta Pengarah Urusan StarVendors Event Sdn Bhd.
Terkenal dengan imej Miss Diva dan sering tampil memakai barangan kemas seperti loket hati gergasi, usahawan terkenal ini juga merupakan pengasas Serifa Beauty & Health. Produk pelangsingan Solid Molid antara yang mendapat permintaan tertinggi serta paling menguntungkan sepanjang pelaksanaan PKP yang lepas.
Ifa mula mendapat banyak pengiktirafan di atas usahanya
Starvendors mencatat sejarah sebagai Festival Raya Tanpa Henti Terpanjang di Malaysia Selama 75 Jam
Ifa Raziah dan suami bersama Tan Sri Noh Omar serta Puan Sri Nooraisha
Meskipun kejayaan isteri kepada Mohd Yani Abdul Rahman ini jarang diperkatakan, namun beliau sebenarnya memiliki sisi kekuatan yang luar biasa. Kehidupan sebagai anak seni dan perjalanan hidup yang ditempuhi banyak mengajar wanita berumur 47 tahun itu erti kedewasaan yang sebenar.
Buktinya Ifa Raziah sendiri mengakui pernah makan nasi ‘berkuahkan air garam’ sebagai simbolik kesusahan hidupnya dahulu. Beliau juga pernah melalui pengalaman ditipu dalam perniagaan serta kerugian yang amat besar sewaktu pandemik melanda.
Satu persatu tohmahan dijawab dengan profesional. Semua soalan panas juga terjawab ketika Nona beraya di penthouse miliknya baru-baru ini.
Jom tonton video penuh 50 Soalan Bersama Ifa Raziah menerusi Bling Bling Raya Jutawan Nona Part 1 & Part 2 di bawah…
Dengan semua kejayaan yang dikecapi, Ifa Raziah sering mengajak para wanita agar bangkit menambah pendapatan dan memulakan bisnes bersama-sama.
Nah, kalau difikir-fikirkan memang betul juga kata beliau. Zaman dah berubah. Sekarang golongan wanita mesti berdikari, ada pendapatan sendiri dan tak bergantung hidup pada suami semata-mata!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
15 tahun lalu, saat insan lain gentar untuk berbicara soal kanser, wanita hebat ini berazam menyediakan ruang khusus buat pesakit dan bekas pesakit kanser payu dara. Impiannya ketika itu hanya satu… menyuntik semangat kepada mereka yang terlibat agar cekal mendepan ujian hidup. Dalam keterujaan Puan Sri Dato’ Azrene Abdullah membantu para pesakit bergerak aktif dan kekal positif terhadap masa depan mereka melalui penubuhan Breast Cancer Foundation, dirinya pula diuji dengan perkhabaran mengejutkan.
Berpeluang menemu bual Puan Sri Dato’ Azrene sekitar tiga tahun lalu, tanpa berselindung ibu jelita kepada empat orang anak ini mengakui perjalanan untuk menubuhkan badan amal tersebut cukup dekat dan bermakna bagi dirinya. Bukan hanya kerana ia adalah terjemahan kepada niat murni ibu mentuanya, Allahyarhamah Tun Endon Mahmood bahkan pada ketika itu jugalah dia didiagnosis menghidap kanser mulut. Jelas Puan Sri Dato’ Azrene, beliau menerima berita berkenaan daripada seorang doktor di Amerika Syarikat setelah ujian biopsi yang diambil daripada lidahnya menunjukkan kehadiran sel kanser.
Allahyarham Tun Endon, mentua Puan Sri Dato’ Azrene
“Saya antara orang yang sering bersama Allahyarhamah Tun Endon waktu dirinya sedang menderita kanser payudara. Apabila tiba waktu rawatan dan pemeriksaan kesihatan, saya akan membawanya ke hospital. Jadi, sementara menunggu prosedur rawatan selesai, saya turut ambil peluang untuk membuat pemeriksaan kesihatan dengan doktor di sana memandangkan keadaan diri yang kerap mengalami gejala ulser di mulut.
Hasil biopsi pertama doktor tak temui sebarang masalah. Tapi selepas ujian biopsi seterusnya barulah mereka mendapati ia adalah kanser. Keadaan waktu itu memang mencabar. Saya menderita kanser mulut sementara ibu mentua pula sedang sakit kanser payudara. Tapi pengalaman berada di samping Tun Endon cukup indah. Cara dia menjalani hidup dengan ceria dan gembira membuatkan saya kuat untuk bertarung menghadapi kesakitan.
Malah ketika saya beritahu tentang penyakit ini kepadanya, dia suruh saya lawan. Alhamdulillah, saya ingat pesanannya dan terus melawan penyakit ini sampai sekarang, sampaikan Breast Cancer Foundation pun sudah memasuki tahun yang ke-15,” tutur Puan Sri Dato’ Azrene dalam nada tenang.
Mengakui masih membuat rawatan untuk kanser mulut yang dialami, Puan Sri Dato’ Azrene berkata beliau tidak melakukan rawatan kemoterapi sebaliknya mencari alternatif lain yang disarankan pakar perubatan.
“Saya pergi mendapatkan kaedah rawatan komprehensif lain dengan seorang doktor di Australia yang menggunakan bahan-bahan daripada herba. Doktor menyarankan saya untuk mengamalkan minuman dan mandi herba secara berendam. Herba yang diberikan pula bukan sebarangan kerana ia bergantung pada kombinasi ramuan herba yang telah dideskripsi dan diajar oleh doktor. Kemudian saya perlu buat sendiri di rumah.
Setiap pagi saya akan buat seperti yang diajar dan mandi bersama ramuan herba tadi. Memang berkesan tapi dalam masa sama mencabar juga. Banyak benda yang harus dibuat dan sepanjang tempoh rawatan ini, doktor yang sama turut membekalkan segala ramuan herba yang diperlukan kepada saya. Pertama sekali kena mandi dan bersihkan badan seperti biasa. Kemudian baru berendam tapi tak boleh lebih 20 minit dengan suhu air 38.5 Celsius.
Dalam tab mandi, saya ada letak termometer untuk sukat suhu yang tepat. Tak boleh kurang dan tak boleh lebih sebab boleh memberi kesan tertentu. Tujuannya adalah untuk buang toksik di dalam badan. Sebenarnya mandian herba ini juga baik untuk semua. Kalau anda dapat buat seminggu sekali pun memadai. Inshaallah, kulit akan jadi lebih lembut dan cantik. Boleh juga menggunakan minyak camomile atau minyak bayi.”
Menyentuh rejim kecantikan yang dilakukan selama ini, jelas Puan Sri Dato’ Azrene lagi beliau hanya mengamalkan penjagaan asas kulit wajah seperti mencuci dan skrub muka, memakai penyegar dan pelembap wajah serta masker tanpa menjalani rawatan kulit yang lebih khusus.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Menimang cahaya mata setelah empat tahun berkahwin adalah suatu kurniaan yang tidak terhingga daripada Yang Maha Esa. Pasangan pemilik jenama Leeyana Rahman begitu gembira dengan kelahiran anak sulungnya setelah 4 tahun menanti. Rezeki memang tidak pernah salah alamat.
Sebagai ibu muda memiliki cahaya mata merupakan cabaran baru baginya. Nur Liyana Abdul Rahman sedang menempuh pengalaman baharu apabila anaknya yang lahir pada Januari lalu jatuh sakit.
Kongsinya di laman Instagram, “Alhamdulillah banyak yang saya belajar bila anak sakit ni. Yang tak tahu jadi tahu. Mungkin Allah SWT nak bagi saya dan Tyara rest betul-betul kat wad ni sebab kat Kuala Lumpur asyik pikir pasal keje je yang tak kan pernah habis.
Tyara mungkin rasa terabai. Tapi bila jadi macam ni whole day memang untuk dia saja. Atau mungkin jugak Tyara saja nak bagi Papa dia rindu kitorang sebab asyik busy dengan hand phone saja 24 jam. Kerja takkan habis sampai bila-bila,” kongsi Liyana.
Namun Liyana juga turut terasa hati apabila ramai yang menegur tidak pandai menjaga anak. “Menegur jangan sampai menghina. Menasihati jangan sampai menyakiti. Semoga tangan dan lisan kita tidak menyakiti hati orang lain.
Kadang ujian dan kesakitan yang Allah bagi ni membuatkan kita jadi seorang yang lebih kuat! Ibu mana yang sanggup tengok anak dia sakit. Ya Allah! Air mata ni mengalir je bila tengok keadaan anak. Sayu. Nak nak kalau waktu melawat dah nak habis. Kena jaga anak sorang-sorang.
Bila ada masa kita akan google doa-doa untuk sembuhkan penyakit , tip itu tip ini, sebab kita ni baru bertukar status kepada ibu, jadi tak ada pengalaman. Bila ada masa kita baca komen dan mengharapkan tip and semangat daripada kawan-kawan bukan kecaman dan cacian.
Sebab tu la kadang-kadang jadi stres merapu saja balas komen orang. Maaf ya semua. Tapi saya percaya , sesungguhnya Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya,” katanya.
Bersabar Liyana, memang banyak cabaran bergelar seorang ibu, isteri dan juga memiliki kerjaya. Semoga dapat menyeimbangkan kehidupan dan terus maju jaya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kemunculan Thalita di pentas eksklusif 'Konsert By Ajai & Mega Friends Singapore' baru-baru ini cukup istimewa kerana ia mengimbau semula memori kita kepada Allahyarhamah...