Ads

Ustazah Asma Harun Cecah 43 Tahun, Titip Syukur & Sedar Waktu Hidup Makin Berkurang

Ustazah Asma Harun
Ustazah Asma Harun

Ustazah Asma Harun genap berusia 43 tahun hari ini, 22 September 2026. Menyambut pertambahan usia dengan penuh kesyukuran, pendakwah, penceramah bebas dan usahawan ini memilih untuk mengenang insan-insan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya, sambil menitip peringatan bahawa usia yang bertambah bukan sekadar angka, sebaliknya masa untuk kembali menghadap Ilahi semakin hampir.

Dilahirkan pada 22 September 1983 di Kuala Terengganu, perjalanan Ustazah Asma dibentuk dalam sebuah keluarga yang begitu dekat dengan ilmu, agama dan dunia perniagaan. Wanita ini merupakan anak kepada pasangan Harun Ismail dan Fikriah Awang. Menariknya, ketika mengandungkan Ustazah Asma pada usia 20 tahun, ibunya sedang bergelar siswazah dalam bidang fizik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sejak dalam kandungan, perjalanan hidupnya seakan sudah dekat dengan sebuah perjuangan bernama ilmu.

Ustazah Asma Harun Membesar Dalam Keluarga Berilmu

Membesar sebagai kanak-kanak yang aktif, berdikari dan berani, Ustazah Asma mendapat pendidikan awal di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kampung Batu Enam sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Rendah Agama Arab Darul Taqwa. Sekolah berkenaan diasaskan oleh datuknya sendiri, Allahyarham Ustaz Haji Awang Nasaruddin Haji Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Awang Jidin dan Ustaz Awang Tukul Besi.

Malah, benih kecintaan terhadap dunia dakwah sudah tumbuh sejak kecil. Ketika seorang guru bertanyakan cita-citanya, Ustazah Asma secara spontan menjawab mahu menjadi ‘penceramah bebas’, biarpun ketika itu dia sendiri belum benar-benar memahami maksud di sebalik ungkapan tersebut.

Cita-cita polos seorang anak kecil itu banyak dipengaruhi oleh sosok datuknya. Ustazah Asma membesar menyaksikan Allahyarham menyampaikan ceramah di hadapan ratusan malah ribuan masyarakat. Pada zaman tanpa media sosial dan kecanggihan teknologi, kekuatan ilmu, pidato serta penyampaian yang tersusun menjadikan datuknya dikenali ramai. Daripada sosok itulah terselit keinginan dalam dirinya untuk suatu hari nanti berdiri menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

Jika datuknya menanam kecintaan terhadap dakwah, bapanya pula memperlihatkan sisi berbeza tentang kerja keras dan dunia keusahawanan. Harun Ismail merupakan ahli perniagaan yang pernah mengusahakan sehingga enam buah restoran, termasuk Restoran As-Syakirin berhampiran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Restoran Nasi Ayam Batu 6 pula terus bertahan selama puluhan tahun dan cukup dikenali dengan jolokan ‘Nasi Ayam Legend’ serta ‘Nasi Ayam Kayu Api’ kerana masih mengekalkan kaedah masakan tradisional menggunakan kayu api.

Daripada akar keluarga yang kuat inilah terbentuk peribadi Ustazah Asma hari ini. Ilmu dan agama menjadi pegangan, manakala keberanian serta jiwa berdikari mengiringi langkahnya sebagai seorang wanita berpendidikan, pendakwah, usahawan, isteri dan ibu. Di tengah kesibukan kerjaya serta amanah keluarga, beliau turut menggerakkan Perkampungan Al-Hijrah bersama pasukan yang menjadi antara tulang belakang perjuangannya.

Ustazah Asma Harun
Ustazah Asma Harun
Ustazah Asma Harun
Ustazah Asma Harun

Ustazah Asma Harun Percaya Waktu ‘Pulang’ Semakin Dekat

Sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-43, Ustazah Asma tidak memilih untuk berbicara tentang kejayaan atau pencapaian peribadi. Sebaliknya, rasa syukur itu dikembalikan kepada Allah SWT serta insan-insan yang tidak pernah lelah berjalan bersamanya daripada ibu bapa, suami dan anak-anak hinggalah barisan kakitangan, penyumbang, sahabat serta mereka yang menyokong perjuangan dakwahnya.

Ads

Terharu baca coretan beliau di laman muka buku, ini barulah makna sebenar usia bertambah!

ALHAMDULILLAH, THUMMA ALHAMDULILLAH.. MASYAALLAH TABARAKALLAH.
Sempena tarikh 22 September 2026 ini, di kesempatan ini saya ingin menukilkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT di atas kurniaan umur, kesihatan, dan rezeki peluang untuk terus bernafas serta berkhidmat di jalan-Nya. Setulus hati, saya ingin menyampaikan ucapan jutaan terima kasih dan penghargaan:

✨ Buat Insan-Insan Teristimewa & Keluarga Terinta, buat Ibu dan Ayah tercinta yang menjadi asbab keberadaan saya di dunia ini serta tidak pernah lelah mendoakan dan mendidik saya. Buat suami tercinta, Encik Tengku Fazli, terima kasih atas sokongan, ketaatan, dan pengorbanan yang tiada henti mendampingi perjuangan ini. Buat anak-anak penyejuk mata serta adik-beradik yang sentiasa menjadi peniup semangat dan tulang belakang saya.

✨ Buat yang berjuang bersama Perkampungan Al-Hijrah, termasuk seluruh barisan kakitangan yang sentiasa setia, bertungkus-lumus, dan istiqamah dalam perjuangan ini dari awal sehingga ke hari ini. Terima kasih atas pengorbanan dan dedikasi kalian.

✨ Buat semua para penyumbang, penginfaq, dan pewakaf yang tidak pernah jemu menghulurkan rezeki demi menegakkan kebaikan, serta mereka yang sentiasa memberikan sokongan dalam pelbagai bentuk—sama ada melalui kehadiran, pelbagai bentuk sumbangan, khidmat tenaga, nasihat yang membina, mahupun doa yang dititipkan.

Ads

✨ Buat sahabat-sahabat yang sentiasa setia mengikuti sesi live, sahabat-sahabat dalam majlis ilmu, serta seluruh ahli Taman Orang Soleh yang sentiasa mekar menyebarkan kasih sayang dan kebaikan.

Moga Allah SWT sentiasa memelihara dan melindungi Perkampungan Al-Hijrah ini, dikurniakan taufiq dan hidayah-Nya, dihantarkan pertolongan dari pelbagai arah, serta dilindungi daripada sebarang bentuk keburukan, musibah, dan fitnah.

Moga segala kebaikan, sokongan, dan doa yang dititipkan menjadi saham akhirat yang berat di timbangan mizan kelak. Semoga Allah SWT membalas setiap kebaikan kalian dengan sejuta kebaikan, kelapangan rezeki, ketenangan jiwa, dan keredhaan-Nya di dunia dan akhirat.
Allahumma Ameen

“Bertambah Umur Bukan Sekadar Bertambah Angka, Tetapi Berkurangnya Waktu Untuk Pulang.”

Ads

أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُم مَّا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَن تَذَكَّرَ

“Bukankah Kami telah memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk orang yang mahu mengambil peringatan?” (Surah Fatir: 37)

Ustazah Asma Harun
Ustazah Asma Harun
Ustazah Asma Harun
Ustazah Asma Harun

Ustazah Asma Harun Cecah Usia 43 Tahun

Pada usia 43 tahun, perjalanan Ustazah Asma membawa bersamanya jejak didikan daripada beberapa generasi. Daripada seorang ibu yang tekun menuntut ilmu ketika mengandungkannya, datuk yang menyemai kecintaan terhadap dakwah hingga ayah yang memperlihatkan erti usaha dan ketekunan dalam perniagaan, kesemuanya menjadi sebahagian daripada akar yang membentuk wanita ini.

Hari ini, Ustazah Asma pula meneruskan perjalanan tersebut dalam peranannya sendiri sebagai anak, isteri, ibu, wanita berkerjaya dan pendakwah yang berkongsi ilmu dengan masyarakat. Di sebalik pelbagai amanah yang digalas, ulang tahun kelahiran kali ini membawa beliau kembali kepada hakikat paling asas tentang kehidupan.

Benar seperti yang dititipkannya, bertambah usia bukan semata-mata meraikan panjangnya perjalanan yang telah ditempuh. Ada waktu yang semakin singkat, amanah yang masih perlu disempurnakan dan bekalan yang mahu dibawa menuju sebuah perjalanan yang kekal.

Ustazah Asma Harun
Ustazah Asma Harun
Ustazah Asma Harun
Ustazah Asma Harun

Kerana akhirnya, usia bukan tentang berapa banyak tahun yang telah dimiliki, tetapi bagaimana setiap tahun itu telah diisi sebelum tiba waktunya untuk pulang. Sanah helwah Ustazah!

Artikel berkaitan: Neelofa Pilih Keluarga & Dahulukan Anak-Anak, “Mereka Ada Hak Ke Atas Saya”

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Inspirasi Lain

Ayu Omar

Ayu Omar Terajui Miss Universe Malaysia 2026, Suntik Kelainan Cari Ratu...

Ayu Omar membawa kelainan dalam Miss Universe Malaysia 2026. Bukan sekadar kecantikan, beliau mencari wanita punya pakej lengkap, kekuatan diri dan kisah kehidupan yang mampu memberi inspirasi.