Ramai orang cakap, ‘Petua awet muda ialah minum banyak air kosong’. Tapi apa maksudnya?

Air merupakan salah satu elemen terpenting dalam tubuh perlu diambil dalam kuantiti yang mencukupi agar sistem dalam tubuh mampu bekerja pada tahap optimum dan minda menjadi cergas dan bertenaga. Air perlu diambil pada waktu dan jumlah yang tepat serta konsisten.

IKLAN

Bilakah Waktu Yang Tepat Untuk Minum Air Putih?

(a) Minum Dua Gelas Air Selepas Bangun Tidur

Tidur pada waktu malam membenarkan tubuh berehat dan organ melakukan proses detoksifikasi. Ketika ini tubuh akan mengalami dehidrasi atau kekurangan cecair. Sebaik-baik sahaja bangun daripada tidur adalah waktu terbaik untuk minum air putih. Air putih ini boleh membantu menggiatkan organ dalaman, merangsang metabolisme dan membuang racun di dalam tubuh.

(b) Minum Satu Gelas Sebelum Mandi

Kuasa air putih memang tidak perlu disangkal lagi. Sebelum masuk ke bilik air disarankan untuk mengambil segelas air suam kerana jumlah air ini dapat membantu mengembangkan pembuluh darah yang mengakibatkan tekanan darah turun. Kemampuan air putih ini turut mencairkan tingkat natrium dalam tubuh juga turut membantu menurunkan tekanan darah dalam tubuh.

(c) Minum Satu Gelas Air 30 Minit Sebelum Makan

Makan bersulamkan air adalah suatu amalan yang patut ditinggalkan. Sebaik-baiknya minum segelas air setengah jam sebelum makan untuk membantu penghadaman. Sementara itu, selepas makan digalakkan untuk minum air semula selepas 30 minit. Air yang terlalu banyak selepas makan boleh merosakkan pencernaan kerana mengganggu sistem semula jadi asid dan empedu yang diperlukan dalam perut untuk proses penghadaman.

(d) Minum Air Ketika Penat

Hampir setiap organ tubuh memerlukan air untuk berfungsi terutamanya otak dan sistem saraf. Memiliki jumlah air yang mencukupi dapat membenarkan otak berfungsi dengan lebih baik. Kekurangan air pada otak bukan sahaja mempengaruhi fungsi otak malah boleh menyebabkan tubuh cepat penat, hilang fokus, sakit kepala, cepat marah dan mempunyai masalah tidur.

(e) Minum Air Sebelum Dan Sesudah Bersenam

Keperluan air selepas bersenam tidak perlu disangkal lagi. Tubuh secara automatik akan mencari air putih untuk menghilangkan penat selepas bersenam. Ironinya dalam situasi ini air putih lebih berharga berbanding dengan jus oren atau tembikai. Minum air putih dengan banyak sebelum dan sesudah bersenam juga boleh membantu meningkatkan daya otot tubuh.

(f) Minum Satu Gelas Air Sebelum Tidur

Ramai yang tidak suka untuk minum air putih sebelum tidur kerana khuatir perlu bangun malam untuk membuang air kecil. Sebenarnya minum air sebelum tidur adalah tindakan yang baik untuk membuang toksik yang tidak diperlukan dalam tubuh. Minum segelas air putih sebelum tidur juga boleh membantu mengelak serangan angin ahmar dan serangan jantung. Selain itu, minum segelas air putih sebelum tidur juga akan membuat tidur kita terasa lebih nyenyak.