Membesarkan anak-anak, anugerah Allah SWT yang tidak ternilai bukan suatu tugas mudah lebih-lebih lagi di zaman yang serba mencabar ini. Menjadi seorang ibu dalam masa yang sama berfungsi sebagai isteri, pekerja mahupun majikan memerlukan pengorbanan yang begitu besar dalam diri wanita.
Membayangkan tubuh yang sempurna pun kadang-kadang ‘gagal’ melunaskan tanggungjawab sebagai seorang ibu apatah lagi dilahirkan kekurangan fizikal. Namun, wanita yang layak digelar Superwoman seperti Ramlah Md. Jalee ini tidak pernah menganggap kekurangan dirinya sebagai halangan untuk berjaya.
Bercerita tentang pengalaman ibu kesayangan kepada Mimi Fly atau nama sebenarnya Shamimi Amalina ini membesarkan anak-anak, “Dengan keadaan saya yang tidak dapat berjalan dan terpaksa berkerusi roda, memanglah satu cabaran besar untuk menguruskan anak-anak semasa kecil.
Cuma cara saya mendukung anak-anak, memasak, memandu, menaiki tangga dan keluar bekerja berbeza berbanding ibu-ibu lain. Saya terpaksa membawa anak-anak ke rumah pengasuh dengan kereta kerana saya bekerja manakala suami pula seorang ahli perniagaan.
Ads
Saya tak pernah salahkan sesiapa dengan keadaan saya seperti ini. Saya percaya, Allah SWT berikan kelebihan dan kekurangan untuk setiap makhlukNya. Dalam kehidupan ini, saya melihat ada keadaan orang yang lebih teruk daripada saya,” terang ibu kepada tiga orang anak ini.
Semangat dan jati diri yang teguh dalam diri wanita kelahiran Negeri Jelapang Padi yang dilahirkan tanpa sepasang kaki ini melayakkan dirinya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ibu Gemilang 2018.
Ads
“Saya membuktikan, walaupun seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU), kesedaran untuk menjaga diri sendiri menjadi paksi agar saya terus berusaha untuk mengharungi kehidupan yang penuh ranjau ini. Saya harus berdikari tanpa mengharapkan sesiapa.
Ads
Jika saya tidak menolong diri sendiri, siapa yang sanggup membantu saya buat selamanya? Jadi saya harus kuat dan sentiasa positif,” tutur wanita yang pernah menerima Anugerah Seri Nona, Anugerah Tokoh Negeri Selangor dan Tokoh Hari Pekerja OKU ini.
Walau dilahirkan ‘tidak sempurna’ tetapi ibu kepada penyanyi One Nation Emcees ini tidak pernah menyalahkan takdir dan terus bangkit meneruskan kehidupan. “Saya juga merupakan penulis skrip bebas untuk drama tempatan. Saya pernah bekerja sebagai penyunting skrip drama di stesen televisyen RTM. Lebih beratus skrip yang ditulis untuk TV, radio dan ada juga drama saya yang menang anugerah,” ungkap wanita yang mempunyai kelulusan Penulisan Kreatif & Deskriptif dari Universiti Malaya ini.
Ramlah juga sempat menitipkan nasihat yang sangat berguna buat semua wanita, “Dalam hidup ini, kita harus ambil risiko. Begitu juga dengan hubungan suami isteri. Perkahwinan adalah perjudian. Bagi OKU seperti saya, kita tak boleh mengimpikan yang indah-indah saja. Setiap perkahwinan ada pasang surutnya tidak kiralah sama ada pasangan itu normal atau OKU. Ia sama saja,” bicara wanita yang tegas dengan anak-anak ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pasangan pelakon legenda Amitabh Bachchan dan Jaya Bachchan meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-50 hari ini, 3 Jun 2023. Kedua-dua mereka melangsugkan perkahwinan pada tahun 1973.
Pada ulang tahun hari penuh istimewa ini, anak perempuan mereka Shweta Bachchan memuat naik potret lama Amitabh dan Jaya dirakam dalam set salah satu filem gandingan mereka. Dalam gambar vintaj itu, Jaya dilihat memakai sari, manakala Amitabh Bachchan memakai baju bercorak dan seluar putih.
Sehingga kini, perkahwinan mereka kekal bahagia dan terhindar daripada gosip dan khabar angin. Apa agaknya rahsia kebahagiaan rumahtangga mereka?
Shweta mendedahkan “Apabila ditanya apakah rahsia perkahwinan yang kekal lama, ibu saya menjawab: rasa cinta yang tak berbelah bagi, dan ayah saya pula menjawab: isteri sentiasa betul.”
Gambar yang dimuat naik Shweta mendapat maklum balas dan kata-kata manis daripada saudara mara artis dan serta netizen. Ramai diantara mereka mengucapkan tahniah dan turut mengirimkan doa untuk pasangan suami isteri kesayangan Bollywood itu agar kekal bahagia sehingga akhir hayat.
Pasangan selebriti Bollywood ini sudah lama menjadi idola dan kekal menjadi salah satu pasangan inspirasi di India.
Amitabh Bachchan bertemu dengan Jaya ketika mereka berdua terlibat cinta lokasi dalam sebuah film Bollywood yang berjudul Do Anjaane (1976).
Amitabh dan Jaya dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Abhishek Bachchan dan Shweta Bachchan Nanda dan kini mereka memiliki tiga orang cucu iaitu Agstya Nanda, Navya Naveli Nanda, dan Aaradhya Bachchan.
Tak hairanlah, setelah 50 tahun melayari bahtera perkahwinan, rumah tangga Amitabh Bachchan dan Jaya Bachchan kekal hingga ke saat ini.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Di sebalik kejayaan seorang lelaki pasti ada seorang wanita hebat di belakangnya. Genap berusia 65 tahun pada 16 Februari lalu, pesona Emine Erdogan selaku First Lady Turki nyata menyenangkan hati seluruh rakyat. Apatah lagi selepas suaminya berjaya mengubah kembali status bangunan ikonik Hagia Sophia menjadi masjid pada 10 Julai lalu. Sudah tentu, Emine yang sudah lebih empat dekat ‘menghuni’ hati Erdogan turut terkena tempias populariti suami tercinta yang menjadi bualan umat Islam seluruh dunia ketika ini.
Sebelum ini, Emine turut dilaporkan pernah bertemu dengan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semasa menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 pada 18 Disember lepas. Saling menghormati dan berpenampilan muslimah sejati, kemunculan Emine turut mendapat perhatian rakyat Malaysia.
Beliau yang dilahirkan di Istanbul bukan hanya dikagumi rakyat Turki kerana sifat ramah dan penyayang bahkan turut aktif menceburi bidang sosial, kebajikan dan politik. Penglibatan wanita berusia 65 tahun ini dalam dunia kebajikan sudah mula berputik sebelum beliau menyandang jawatan Wanita Pertama Turki lagi. Menariknya, kegiatan Emine dalam bidang berkenaan semakin rancak selepas mendirikan perkahwinan bersama Presiden Turki berkenaan pada 4 Julai 1978.
Baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan ke-42 pada 4 Julai lalu, pasangan diplomat ini dikurniakan empat orang anak iaitu dua perempuan dan dua lelaki. Anak sulung mereka Ahmet Burak Erdogan berusia 41 tahun, diikuti Necmettin Bilal Erdogan, 39 tahun, Esra Erdogan, 37 tahun dan anak perempuan bongsu yang pernah berkhidmat bersama bapanya sebagai ketua penasihat presiden pada tahun 2013 iaitu Sumeyye Erdogan berumur 35 tahun.
Meskipun kerap bertemu pemimpin-pemimpin dunia dan menjalani kehidupan mewah namun Emine tetap mempamerkan sisi seorang muslimah yang hebat. Memiliki darah keturunan Arab, Emine Erdogan sentiasa membuka mata masyarakat khususnya dalam kalangan isteri pemimpin dunia dengan penampilannya yang sopan dan menutup aurat. Malah, beliau juga gemar mengenakan persalinan labuh, longgar serta bertudung litup. Aura Emine mampu membuatkan kaum wanita menoleh ke arahnya beberapa kali.
Ketika kunjungan Emine dan suaminya ke Malaysia… beliau kelihatan selesa dan mesra bertemu Raja Permaisuri Agong, isteri Perdana Menteri, dan Timbalan Perdana Menteri. Pakaian yang digayakan juga sederhana dalam segala segi. Antara isteri pemimpin dunia yang pernah menerima kunjungan Emine ialah bekas isteri Barrack Obama iaitu Michelle Obama, isteri Donald Trump; Melania Trump, Ratu Jordan iaitu Ratu Rania dan isteri Perdana Menteri Jepun, Akie Abe.
Selain memperjuangkan nasib golongan kanak-kanak dan wanita di negaranya, Emine berkongsi persamaan seperti suaminya yang lantang menyuarakan pandangan terhadap isu penindasan umat Islam di seluruh dunia. Salah satu daripada ribuan kempen kanak-kanak dan wanita yang diadakan Emine ialah ‘Mothers and Daughters at School’ yang membuka peluang kepada golongan ini mendalami bidang akademik dan menguasai kebolehan membaca serta menulis.
Enggan berpuas hati dengan kejayaan itu, beliau seterusnya menyertai persidangan antarabangsa ‘Women in Business Life’ sebagai tanda sokongan kepada penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan dan politik.
Paling menyentuh perasaan adalah ketegasan beliau membela nasib dan mengekang penindasan terhadap umat Islam seperti yang berlaku di Gaza, Myanmar dan Pakistan. Terpanggil untuk membantu saudara sesama Islam, Emine dan Recep Tayyip Erdogan telah pergi ke Myanmar pada tahun 2012 semata-mata untuk memberi bantuan kemanusiaan
kepada etnik minoriti Islam Rohingya biarpun berdepan ancaman keselamatan di sana.
Semoga Emine dan Presiden Turki ini terus menjadi suara pembela umat Islam di seluruh dunia dan diharapkan agar usaha serta kebaikan yang ditonjolkan menjadi suntikan inspirasi kepada semua.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!