
Sejak berkahwin dan memiliki cahayamata, nampaknya rezeki Mira Filzah semakin melimpah ruah. Sebaik selesa berpantang selepas melahirkan anak pertama, Wan Khair Amir pada 10 Mei lalu, Mira dilihat kembali memenuhi pelbagai undangan sebagai duta produk dan sebagainya.

Malah, tidak sampai beberapa bulan selepas habis berpantang, Mira sudah terbang ke Bali, Indonesia serta Switzerland untuk memenuhi penggambaran dan beberapa tuntutan kerja yang lain.
Sebagai 1st time mom, Mira turut tidak terlepas dari berhadapan pelbagai situasi apabila terpaksa berjauhan dengan permata hatinya. Namun ia tidak sedikit pun melemahkan semangatnya untuk memberikan yang terbaik buat putera tersayang.
Hari ini, Mira Filzah dan suami juga ahli perniagaan, Wan Emir Astar atau Emir, 32, berkongsi wajah anak mereka Wan Khair Amir menerusi sebuah foto mereka sekeluarga di laman Instagram milik Mira mahupun Wan Emir.
Ramai peminat mendoakan semoga cahayamata penyeri kehidupan rumah tangga Mira dan Emir ini dibawah lindunganNya dan menjadi penyeri kehidupan mereka sekeluarga. Peminat juga memuji kecomelan wajah mungil si kecil yang saling tak tumpah seperti ibunya!
Dalam hantaran terbabit, Mira memanjatkan doa agar anaknya yang berusia lima bulan itu menjadi insan terbaik.
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Papa, mama dan semua mendoakan moga Wan Khair Amir menjadi anak soleh, insan yang berbakti kepada agama, bangsa dan Tanah Air.
“Papa dan mama sayang anak Wan Khair Amir, hingga ke akhir waktu,” katanya.
Terdahulu, Mira pernah menyatakan dia tiada niat untuk menyorokkan wajah anaknya itu. Namun menurutnya dia memilih untuk kongsikan wajah anaknya itu apabila tiba waktu yang sesuai nanti.
Bahkan, dia turut terkejut apabila akaun Instagram yang dibuka untuk anaknya meraih jumlah pengikut luar biasa. Setakat ini, akaun yang cuma mengandungi satu hantaran itu sudah mendapat lebih 52,000 pengikut.
Mira pernah membawa anak tersayang bercuti bersama keluarga ke Kota Kinabalu, Sabah namun kebanyakan foto keluarga hanya memperlihatkan sisi Wan Khair Amir yang masih kecil.
Mira mendirikan rumah tangga dengan Emir pada 3 September 2020 dan dikurniakan cahaya mata lelaki pada 10 Mei lalu. Semoga Wan Khair Amir membesar menjadi anakanda yang soleh dan menjadi kebanggan kedua ibubapanya di dunia dan akhirat, Amin!
Bina Keluarga Bahagia ‘Tiru’ Acuan Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Dan Ustaz Wan Akashah

Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi. Agak lama Ustazah Nor Bahyah menyepikan diri daripada dunia media sosial. Walaupun begitu Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah masih terus ‘menyengat’ dalam dunia dakwah sama ada melalui dunia maya dan juga pentas ceramah. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah aktif di Facebook beliau yang mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah yang sering membahasakan dirinya dengan panggilan Ustazah mengakui bahawa beliau memang kurang melibatkan diri dalam program-program di layar kaca dan juga radio. Beliau kini lebih selesa bersama cucu-cucu berumur antara 1 hingga 9 tahun.
“Masa saya banyak dengan cucu-cucu lebih-lebih lagi cucu saya yang kembar. Jadi biarlah saya beri peluang kepada generasi muda pula untuk berdakwah melalui medium media sosial agar mereka dapat bersama-sama menyumbangkan ilmu anugerah Allah dan mendidik ummah.
“Seperti biasa saya menerima undangan ceramah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta Singapura. Selain itu saya juga akan mengadakan seminar atau kem motivasi pada musim cuti sekolah November dan Disember ini. Jika tiada jemputan atau undangan untuk menyampaikan ceramah, saya akan meluangkan masa bersama keluarga memandangkan sekarang ini saya mempunyai lima orang cucu yang tinggal bersama,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah membuka bicara kata.
Tidak dapat dinafikan kelibat Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah dan imamnya, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid dalam rancangan Semanis Kurma amat dirindui. Rancangan yang berlangsung selama lapan tahun berturut-turut sejak 2008 itu benar-benar meninggalkan impak yang berkesan dan berpanjangan kepada penonton.
“Terima kasih kepada pihak TV9 kerana memberi kepercayaan kepada saya dan Ustaz untuk mengacarakan rancangan Semanis Kurma. Rancangan semanis kurma di TV9 habis kontraknya pada 2016. Memang menjadi cita-cita saya dan Ustaz untuk menghidupkan kembali rancangan Semanis Kurma kerana rancangan ini menjadi sumber inspirasi dan juga menjadi pedoman dalam membina keluarga bahagia. Alhamdulillah ke mana-mana saya pergi, orang akan memanggil saya dan Ustaz dengan panggilan Semanis Kurma. Semoga ada penaja untuk rancangan ini diteruskan,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Jadual beliau agak padat dengan undangan ceramah-ceramah agama. Kebiasaannya dalam seminggu tiga hingga empat kali. Ada ceramah pada waktu siang hari dan ada juga pada malam hari.
“Kebanyakan ceramah di luar kawasan terutamanya di Terengganu. Setiap bulan saya akan ke sana bagi menyampaikan ceramah atas undangan dari Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu sejak tahun 2000. Saya juga kerap pergi ke Singapura, Sabah dan Sarawak serta Brunei. Ada juga undangan daripada pelajar dari luar negara seperti Jepun, Korea, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Saya juga banyak turun padang ke kawasan pendalaman seperti kampung-kampung dan Felda-Felda,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
CABARAN BERDAKWAH
Dicungkil tentang cabaran sepanjang berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai seorang penceramah, jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, cabaran datang dalam dua bentuk iaitu luaran dan dalaman.
“Antara cabaran biasa ialah tempat ceramah yang agak jauh sehingga terpaksa memandu antara dua hingga empat jam. Begitu juga cabaran yang agak berat bagi saya iaitu apabila terpaksa meninggalkan anak-anak serta cucu-cucu tiga hingga empat hari dalam sebulan.
“Namun begitu cabaran paling utama ialah Iblis dan syaitan serta manusia yang bersifat mazmumah. Ia merupakan penghalang utama seorang pendakwah selain cabaran daripada fahaman sekularisme yang telah tersebar. Fahaman ini yang dibawa oleh barat sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Fitrah seorang wanita bergelar isteri dan ibu, amat penting mengagihkan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Bagi diri Ustazah Nor Bahyah jika sekiranya tiada aktiviti di luar, waktu pagi sehingga tengahari beliau akan memperuntukkan masa menguruskan rumah seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan memasak.
“Di sebelah petang saya akan memberi tumpuan dalam kerjaya seperti menjawab persoalan daripada facebook dan e-mel, persediaan untuk ceramah dan juga menulis untuk majalah dan buku. Pada sebelah malam akan bersama keluarga tercinta.
“Hobi saya sejak dari kecil sampai sekarang ialah membaca. Masa kecil-kecil dahulu saya sanggup berada berjam-jam di perpustakaan awam semata-mata untuk membaca. Alhamdulillah setakat ini tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membaca. Saya tidak dapat tidur tanpa membaca terlebih dahulu. Pada masa lapang saya akan menggubah bunga, bercuti, memasak dan membawa keluarga membeli belah,”jelas Ustazah Nor Bahyah yang gemar memasak tomyam, nasi daging, daging masak kicap, kari ikan merah dan sambal belacan kegemaran keluarganya.
RAHSIA KELUARGA BAHAGIA
Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga agak dicemburui. Sebenarnya banyak aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah bersama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Sekiranya saya tidak berceramah di luar kawasan, kami akan solat berjemaah setiap hari terutama sekali waktu maghrib. Selain itu aktiviti membaca Al-Quran terutama membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat turut diamalkan. Ia dilanjutkan dengan mengadakan usrah keluarga yang mana saya dan Ustaz akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
“Kami juga akan luangkan masa untuk bercuti bersama. Dalam setahun antara dua hingga empat kali. Di samping itu juga sentiasa makan bersama lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Resipi keluarga bahagia bagi saya ialah suami isteri dan anak anak mestilah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa dan mempunyai sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.
“Sifat kasih sayang itu terbentuk melalui lima perkara iaitu sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan positif, sentiasa memberi hadiah terutama pada tarikh hari kelahiran, melalui sentuhan seperti bersalam salaman, ciuman dan pelukan, sentiasa mengadakan aktiviti bersama seperti solat berjemaah, makan berjemaah dan bercuti berjemaah dan sedia berkhidmat seperti tolong-menolong antara suami isteri, ibu bapa dan anak anak,”kongsi Datuk Ustazah Nor Bahyah yang amat menekankan solat lima waktu dalam mendidik anak-anak dan cucu-cucunya.
Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik dibenak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.
“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Sebelum menutup kalam, sempat ditanya pendapat beliau tentang peranan wanita sebagai nadi pembangunan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, wanita perlu sentiasa menjadikan dirinya teladan yang boleh dicontohi anak-anak dalam segala hal yang dilakukan di dalam urusan rumah tangga.
“Wanita juga berperanan sebagai penolong dan teman hidup pasangannya di kala suka dan duka. Melayani suami merupakan kewajipan sebagai seorang isteri. Isteri juga adalah teman untuk berbincang sebelum sesuatu keputusan diambil oleh suami sebagai ketua rumahtangga. Sebagai isteri mungkin pendapat kadang-kala berbeza tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh suami, isteri harus menyokong keputusan tersebut. Ini kerana di dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhoda dan begitu juga di dalam sebuah rumahtangga hanya ada satu ketua keluarga.
“Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara.
TIP KEKALKAN KEMESRAAN DENGAN SUAMI AGAR RUMAH TANGGA BAHAGIA
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.
Malaysia Kehilangan Tokoh Pembangunan Infrastruktur TUN SAMY VELLU, 30 Tahun Berkhidmat Sebagai Menteri Kabinet

Malaysia kehilangan seorang negarawan dan tokoh politik berpengalaman yang menyumbang kepada pembangunan infrastruktur negara dan kemajuan masyarakat India berikutan pemergian Tun S. Samy Vellu, 86, yang menghembuskan nafas terakhir pagi 15 September 2022.

Sepanjang hayatnya, mendiang merupakan antara Menteri kabinet paling lama berkhidmat, kira-kira 30 tahun bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979.
Semasa menjadi Menteri Kerja Raya, Samy Vellu banyak memainkan peranan dalam membangunkan rangkaian jalan raya serta pengangkutan dalam negara. Atas daya usahanya itu, pada tahun 1987 beliau dianugerahkan ‘International Man of the Year Award’ oleh The International Road Federation (IPF).
Sebelum itu, mendiang pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 1978.

Samy Vellu pernah menerajui Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989 hingga 1995, yang menyaksikan kejayaan beliau mengendalikan projek penswastaan Jabatan Telekom, Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Pos, sebelum kembali ke Kementerian Kerja Raya pada 1995 hingga 2008.
Mendiang turut mempunyai peranan besar dalam pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan serta pembinaan jambatan Pulau Pinang manakala pada 2011, Samy Vellu dilantik menjawat jawatan Duta Khas Malaysia bertaraf Menteri bagi infrastruktur ke India dan Asia Selatan.
Mendiang juga merupakan antara nama penting yang menyumbang kepada idea mengenai pentingnya Malaysia memiliki satelit sendiri, Measat 1 yang dilancarkan pada 1995.

Selain berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput selama lapan penggal, sejak Pilihan Raya Umum Keempat (PRU4) hingga PRu-12, ahli politik veteran ini juga banyak menyumbang kepada pembangunan kaum India dan merupakan Presiden MIC paling lama iaitu lebih tiga dekad.
Samy Velly yang pernah menjadi pelakon drama Tamil ‘Natpu’ pada 1954, dan penyampai berita di RTM pada 1964, melibatkan diri dalam politik sejak 1959 dengan menjadi anggota MIC cawangan Batu Caves dan memegang jawatan setiausaha cawangan itu.

Mendiang pernah dipilih sebagai Ketua Pemuda MIC pada 1971, Naib Presiden MIC (1975), Timbalan Presiden MIC (1977) dan ahirnya sebagai Presiden parti pada 1981 selepas memangku jawatan itu susulan kematian Tan Sri V Manickavasagam pada 1979.
Pada 1974, Samy Vellu buat pertama kali dipilih untuk bertanding pada PRU4 seterusnya memenangi kerusi Parlimen Sungai Siput yang disandangnya sehingga 2008, sebelum tewas kepada calon Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

Dari segi pembangunan bidang pendidikan Samy Vellu merupakan penggerak kepada penubuhan Maju Institute of Educational Development (MIED) dan memainkan peranan penting dalam penubuhan Kolej Tafe Seremban serta Asian Institute of Medciine, Science and Technology (Aimst).
Mendiang berkahwin dengan Toh Puan R. Indrani dan mempunyai dua anak, S. Mangayarkarasi dan Datuk Seri S. Vell Paari.
Samy Vellu meninggal dunia di kediamannya di sini kira-kira 7 pagi tadi dan perkara itu disahkan bekas Presiden MIC Tan Sri Dr S. Subramaniam.
Sumber: Bernama
“Mula-mula Makeup Kawan Baik & Keluarga, TAPAK Untuk Bina Nama Dalam Industri” – BEE RAMZA

Wanita kecil molek dari Kota Bharu, Kelantan ini bukan calang-calang orangnya. Bukan sahaja sentuhan solekannya menjadi rebutan selebriti dan bakal raja sehari, tetapi lontaran komentarnya memberikan ‘bisa’ untuk seseorang itu terus belajar dari kesilapan. Tidak hairanlah mengapa Robaeha Ramza Ramli, 33, atau lebih dikenali sebagai Bee Ramza begitu disenangi ramai.
Diberikan kelebihan untuk menata rias wajah serta membuat penggayaan tudung buat mereka yang berhijab, Bee Ramza memulakan kerjaya sebagai jurusolek hanya bermula apabila dia menyolek rakan baiknya di universiti.
Sebagai pelajar dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat (Biologi) di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang, Bee Ramza lebih mendekati dunia solekan selepas aktif menyerati aktiviti kebudayaan dan teater di sana. Dia dianggap pemecah tradisi kerana menjadi pelajar biologi pertama yang ‘terjebak’ dalam aktiviti seni yang biasanya dimonopoli pelajar jurusan seni.
Permulaan kerjaya anda dan berapa tahun berada dalam dunia solekan?
Pengantin pertama pernah saya solek adalah sahabat baik saya semasa belajar di Universiti Sains Malaysia, pada tahun 2009. Sejak dari itu saya mula mengambil tempahan untuk menyolek pengantin yang terdiri daripada rakan-rakan terdekat dan ahli keluarga sebagai permulaan tapak.
Saya mula menjadi jurusolek sepenuh masa bermula pada tahun 2013 selepas kerja terakhir saya sebagai Make Up Artist di MAC cawangan KLCC selama setahun. Tahun 2020, saya sudah memasuki tahun ke 11 sebagai jurusolek.
Bagaimana minat bermula sebagai jurusolek?
Minat ini bermula apabila saya aktif menyertai aktiviti kebudayaan & teater di USM Pulau Pinang. Sebagai seorang pelajar dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat (Biology) saya memecah tradisi kerana sentiasa menyertai dan mewakili aktiviti kebudayaan yang biasanya dimonopoli pelajar Seni.
Untuk membawa watak yang berbeza-beza semasa berlakon teater saya mula mengeksperimentasi menggunakan produk-produk yang boleh didapati di drugstore. Bermula dari itu, rakan-rakan mula memberi kepercayaan untuk menyolek mereka untuk setiap persembahan.
Sebaik sahaja tamat pengajian, saya diberi kepercayaan pula menjadi jurusolek kepada salah seorang rakan untuk majlis pertunangan, akad nikah dan persandingan. Sejak itu, saya mulai serius mengambil tempahan solekan pengantin.
Bagaimana penerimaan keluarga apabila anda memilih untuk menjadi jurusolek?
Alhamdulillah, keluarga saya menerima dengan baik pilihan kerjaya saya walaupun pada mulanya majoriti menyuruh saya menyambung pelajaran supaya saya tak meneruskan niat menjadi jurusolek. Pada awalnya saya menjadi jurusolek cuma pada hari minggu dan bekerja sepenuh masa pada hari biasa sehingga saya mengambil keputusan untuk menjadi jurusolek sepenuh masa selepas mendirikan rumahtangga.
Pengalaman mula-mula menyolek bakal pengantin?
Mendebarkan dan teruja! Nasib baik kebanyakan pengantin yang disolek pada awalnya adalah kenalan rapat atau sedara mara yang sudah dikenali jadi proses menyiapkan pengantin lebih mudah dan lancar.
Nama anda begitu dikenali dan sering menjadi pilihan bakal pengantin. Bagaimana anda terus mampu terus kekal menjadi jurusolek pilihan bakal pengantin?
Alhamdulillah walaupun jauh disudut hati saya rasa perjalanan saya masih jauh lagi. Terus konsisten dan jangan mudah mengalah. Saya percaya kepada rezeki Allah dan pastinya orang yang sentiasa bersangka baik, positif dan kuat berusaha akan dipermudahkan rezekiNya.
Menjadi seorang jurusolek pada zaman sekarang bukan sekadar memberi servis yang baik, tapi perlu juga up-to-date dalam menyampaikan hasil kerja di medium media sosial. Produk yang digunakan harus sentiasa upgrade dan kualiti servis perlu ditingkatkan mengikut trend dan peredaran masa.
Siapakah idola anda dalam kehidupan?
My ultimate idol adalah arwah ayah saya, Dr Hj Ramli bin Hj Idris. Seorang yang saya percaya berjaya dalam membangunkan keluarga dan kerjaya beliau. Ayah saya sentiasa memberikan semangat kepada anak-anak dan ahli keluarga. Menjadi tulang belakang dan pembakar semangat untuk anak-anak terus bersemangat mengejar cita-cita. He didn’t get to see me where I am now, but I’m so sure he’d be proud of me, InsyaAllah.
Bagaimana anda mengekalkan kedudukan anda sebagai jurusolek kini?
Tetapkan target anda. Konsisten dan sentiasa merendah diri. Bidang servis bukan tempat perlumbaan skills semata-mata, bagi saya both soft skills dan hasil kerja akan memberi impak kepada seseorang jurusolek. Sentiasa up to date dan upgrade supaya kita menjadi trend, bukan mengikut trend.
Pada pendapat anda, apakah kelebihan anda dalam solekan?
Saya masih ada banyak kekurangan. Tapi saya melihat kelebihan saya yang boleh memenuhi pelbagai permintaan dan mempunyai hasil solekan timeless sebagai bonus di dalam industri ini. Kepelbagaian dan variasi teknik solekan yang mampu mengubah atau mengekalkan wajah asal orang yang disolek.
Kadang-kadang saya berasa bangga apabila hasil solekan saya boleh dicam oleh orang ramai tanpa perlu diberitahu, maksudnya kita sudah berjaya mengunci satu signature look yang sudah dikenali ramai. Alhamdulillah.
Bagaimana anda melihat kemunculan jurusolek ‘instant’ kini dan adakah anda melihat itu sebagai satu cabaran atau persaingan?
It is expected. Dengan kemudahan dan kepantasan dunia moden ini. Tapi saya melihatnya sebagai satu persaingan yang boleh digunakan untuk boost forward. Kita akan rasa down kalau melihat situasi ini sebagai cabaran. Seeloknya cuba blend in dan sama-sama melalui proses itu. Jurusolek ‘instant’ biasanya mempunyai fokus dan matlamat yang berbeza dengan jurusolek yang menjadikan solekan sebagai kerjaya.
Nasihat anda kepada bakal jurusolek yang ingin menceburi bidang ini?
Sentiasa bersedia dan bersabar. Proses pembelajaran tanpa henti, so don’t stop learning. Stay humble dan sentiasa percaya pada diri sendiri dan rezeki Allah.