YM Engku Dayana Athirah Engku Mohd Suhaimi ini atau mesra disapa sebagai Engku Athirah merupakan seorang yang sederhana dan merendah diri. Wanita berusia 31 tahun ini memiliki 2 cahaya mata perempuan iaitu Puteri Mawar Nur Mustika Salatul Kamar berusia 5 tahun dan Puteri Melur Nur Kesuma Salatul Kamar yang baru 2 tahun.
Menyingkap susur galur keluarga, Engku Athirah dilahirkan di Kuala Lumpur namun dibesarkan di Serdang, Selangor. Engku Athirah berketurunan kerabat Pahang yang merupakan anakanda kepada pasangan Engku Mohd Suhaimi dan Tengku Norhayati.
Terdahulu, Engku Athirah pernah berkhidmat di sebuah syarikat semi kerajaan sebagai Penolong Pengurus selama setahun sebelum kini bergelar suri rumahtangga sepenuh masa.
BERHENTI KERJA
“Sejujurnya, bukan pilihan saya untuk menjadi suri rumahtangga sepenuh masa. Sebelum ini saya pernah bekerja dan lebih selesa mencari duit sendiri. Saya pernah bekerja sebagai promoter, kemudian beralih ke bahagian pentadbiran di sebuah syarikat mengendalikan urusan permit dan pasport warga asing.
Ads
Setelah berumah tangga suami lebih suka saya tak bekerja kerana mahu saya menjaga sendiri anak kami. Walaupun pada mulanya agak kekok namun lama kelamaan menjadi biasa.
Maklumlah dah biasa bekerja, ada duit sendiri dan masa untuk diri sendiri tiba-tiba berubah secara total. Walau penat tiada istilah cuti. Saya sangat kagum dengan para ibu yang mempunyai anak ramai serta mampu menjaganya dengan baik sehinggalah mereka berjaya dalam kehidupan.
Jika dibandingkan dengan saya yang baru ada 2 anak pun sudah keletihan. Kadangkala tidak terbuat semua kerja rumah dalam sehari. Menangis pun sudah tak terkira banyaknya. Tidak dapat rehat secukupnya, tidur pun tidak lena.
Ads
Banyak yang saya masih belajar dan ada kekurangan. Walaupun saya bukan ibu yang sempurna namun tetap mahukan yang terbaik buat anak-anak. Saya juga seorang ibu yang paranoid sehingga terpaksa membawa kesemua barang keperluan anak walau ke mana sahaja saya bawa mereka keluar. Selalu jugalah kena tegur dengan adik beradik saya dek kerana sikap paranoid ini,” kongsi Engku Athirah.
PEKA ISU WANITA
“Antrara isu wanita yang sering menjadi perhatian saya ialah perbandingan antara wanita berkerjaya dan suri rumahtangga sepenuh masa. Seharusnya, kita perlu sama-sama saling menyokong walau apa jua keputusan seseorang wanita.
Ads
Setiap orang mempunyai kisah hidup yang berbeza begitu juga dengan keperluan. Kebahagiaan rumahtangga bukan diukur dengan kerjaya seorang wanita,” pesan graduan Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Teknologi Tekstil dari UiTM Shah Alam.
PETUA KECANTIKAN
“Saya amalkan minum air kosong yang banyak dan mengurangkan pengambilan gula. Saya juga mementingkan kebersihan kulit wajah. Walaupun tak bersolek, wajah tetap perlu dicuci dengan sempurna. Saya turut amalkan bengkung yang diinspirasikan daripada wanita-wanita zaman dulu bagi mendapatkan pinggang bersaiz kerengga,” akhiri Engku Athirah yang juga gemarkan aktiviti lasak.
Kredit Foto: Instagram Engku Dayana
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bila sebut sahaja nama Superwoman ini, melihat dirinya sering sebar kasih sayang sesama wanita. Figura hebat ini tak pernah jemu menyuntik elemen positif sesama insan.
Mungkin sifat sering sebar kasih sayang ini menjadikan Datuk Prof Dr Che Muhaya Haji Mohamad kelihatan berseri-seri dan awet muda. Kebetulan berpeluang menemu bual wanita tersohor ini, rugi rasanya tidak bertanya tentang rahsia awet mudanya.
Foto: Koleksi Majalah Nona
“Sebenarnya saya sejak awal memang seorang yang sangat pentingkan suplemen. Salah satu suplemen yang saya amalkan dipanggil bukan anti-aging tapi reverse-aging.
Saja juga amalkan gaya hidup sihat. Kalau saya nak makan sesuatu tu jika tak ada nutrisi pada makanan tersebut saya rasa rugi. Selain itu, saya banyak mengamalkan minuman berempah dan penjagaan kulit,” tutur Pakar Mata yang kini berusia 65 tahun.
Namun, ada satu nasihat yang paling berguna daripada pakar mata yang mendapat Ijazah Doktor Perubatan (M.D) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini tentang awet muda.
“Yang penting untuk wanita sekalian, kalau kita nak awet muda apa salah satu amalan, berkasih sayang tanpa syarat, memaafkan semua orang, mendoakan semua orang dan rasa bahagia bila orang bahagia.
Satu amalan yang menuakan wanita ialah mencari berita buruk. Tapi kalau kita sentiasa mencari ilmu, kajian menunjukkan otak-otak saraf kita dia akan mengeluarkan beberapa bahan kimia yang sihat menyebabkan kita awet muda,” jelas Datuk Prof Muhaya yang memperoleh sarjana Perubatan dari Universiti Nasional Singapura pada tahun 1992.
NORMA BAHARU
Kini kita hidup dalam norma baharu. Saban hari ada sahaja berita tentang insan terdekat dijangkiti virus COVID-19 ini. Bicara Prof Muhaya tentang situasi yang melanda seluruh dunia ini.
Foto: Koleksi Majalah Nona
“Pertama kita fikir tidak ada benda dalam kawalan kita semua daripada Allah SWT. Kita sebagai hambaNya hanya menerima dan bertanya kepada diri kita macam mana peristiwa ini membuat kita lebih baik, akhlak lebih baik, lebih dekat dengan Allah dan menjadi manusia yang lebih baik.
Saya yakin atas berlakunya ini prioriti manusia sudah berbeza. Kalau dulu lebih pentingkan pesta dan kerjaya. Kini orang lebih pentingkan kesihatan, keluarga, kasih sayang, refleksi diri dan melihat diri.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Jadi, saya kira itu suatu perkembangan sangat positif. Saya secara peribadi dengan adanya pelbagai alternatif mencari ilmu seperti zoom meeting yang lebih banyak reach out membuat masyarakat lebih fokus kepada kebaikan,” ucap wanita yang lahir pada 1 Disember 1958 ini.
Pengasas produk SoBella, Wan Nur Syuhada Wan Norzie atau lebih mesra disapa Syu bangga melihat lebih ramai wanita berjaya dalam perniagaan yang diceburi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SoBella Beauty Sdn Bhd ini lebih bangga apabila melihat dengan sendiri bagaimana kejayaan yang dicapai oleh wanita yang bergelar agen syarikat kosmetik SoBella ini.
“Hingga kini, sudah lebih 30,000 agen direkrut di bawah SoBella Squad. Melihat angka itu bertambah saban hari, buat saya terus bersemangat untuk merancakkan cabang perniagaan.
Bayangkan daripada awalan angka itu hanya 20 orang sahaja, kini meningkat ke ratusan hingga puluh ribu agen. Saya juga mahu terus melahirkan jutawan dengan menjual produk ‘lipmatte‘ dan mensasarkan jualan lebih tinggi tahun ini.
Khususnya menerusi produk terbaru keluaran dipanggil Soul Matte Edition yang menggunakan konsep duo lipmatte yang akan dipasarkan 9 Februari ini,” kata Syu tentang SoBella Squad yang sangat disayanginya itu.
Dalam masa yang sama, Syu bangga apabila usahanya memperkasakan golongan wanita menjadi kenyataan menerusi platform niaga yang disediakan olehnya.
Bagi meraikan dedikasi SoBella Squad yang merupakan tulang belakang empayar perniagaannya, wanita yang berusia 31 tahun telah menjayakan sebuah Majlis Victory & Glory Appreciation Day berlangsung pada 31 Januari lalu di GlassHouse, Seputeh.
Pada acara berkenaan, sekumpulan top leader jenama itu yang merangkul gelaran Top Sales tahun lalu diraikan dengan menerima hadiah lumayan seperti kereta, rumah dan wang tunai.
Pada acara itu, paling mencuri tumpuan ialah Top Leader SoBella, Nurul Huda Johar atau Dada Hunyai yang pernah menyandang gelaran itu lima tahun berturut-turut sejak 2017.
Top Leader Sobella (kiri), Dada Hunyai bersama Syu dan suaminya (suami Syu)
“Dia (Dada Hunyai) mencatat jualan sebanyak RM5 juta pada musim pandemik tahun lalu. Sobella telah merealisasikan rumah impian yang berjaya dibinanya dengan hasil ganjaran tunai dan keuntungan jualan produk SoBella.
Setakat ini di bawah pasukannya saja ada 1000 orang yang terus menjadikan perniagaan ini sebagai punca rezeki dan pendapatan. Paling mengagumkan saya, dia asalnya hanyalah seorang tukang jahit dulu.
Bagaimana kerja kuat dan iltizamnya membuahkan hasil. Malah mampu mengubah taraf ekonomi dan kehidupan,” kata Syu tersenyum bangga.
Tak ketinggalan, empat lagi leader SoBella berjaya mendapatkan kereta idaman masing masing juga daripada hasil ganjaran tunai dan keuntungan jualan produk jenama itu.
Dari kiri, Sue Zarra, Golly Sandra, Syu (pengasas Sobella), Dada Hunyai dan Naniey Farra.
“Antara kereta yang diserahkan kepada pemiliknya termasuk Mercedez AMG45, Mustang, Range Rover dan Ford Ranger,” kata Syu di mana jenamanya menjadi produk lokal pertama yang mengamalkan konsep edisi terhad dalam pengeluaran lipmatte.
“Konsep terhad atau ‘limited edition‘ ini belum diamalkan jenama lain. Jadi secara tak langsung konsep ini buatkan pelanggan rasa istimewa dan eksklusif.
Setiap kuantiti produk dikeluarkan juga dijaga dengan mengamalkan ‘exclusivity brand‘. Pendek kata, siapa lambat mendapatkan produk, maka akan gigit jarilah,” tutur Syu tentang salah satu resipi kejayaan SoBella Beauty.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dari syarikat korporat ke dunia penjagaan kanak-kanak, Muhaini Mahmud akhirnya menemui kerjaya yang diimpikan. Bersandarkan sifat keibuan yang tebal, wanita jelita berusia 43 tahun ini bangkit bersama rakan kongsi, Nadira Yusoff mengasaskan Kiddocare Sdn Bhd. Misi mereka jelas, mahu membantu menangani isu pengasuh di Malaysia dan menjana pendapatan wanita yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Peramah dan menyenangkan. Begitulah personaliti Muhaini ketika pertemuan kami di program MySTEP di The Club, Bukit Utama. Tampil anggun dalam persalinan sut serba putih, Muhaini mesra menyapa penulis sambil menerangkan program latihan team Kiddocare yang sedang berlangsung waktu yang sama.
Kiddocare diasaskan dengan tujuan membantu ibu bapa yang bekerja untuk menjaga anak-anak di rumah menggunakan perkhidmatan pengasuh terlatih dan boleh dipercayai.
“Semuanya bermula apabila Nadira mendapat idea untuk mengasaskan Kiddocare. Secara kebetulan idea tercetus apabila beliau terlupa untuk mengambil anak dari taska kerana terlalu sibuk bekerja. Dia hanya menyedari perkara ini apabila guru taska menelefonnya pada lewat petang.
Saya pula seorang ibu tunggal kepada anak lelaki, Mateen Maliq yang baru berusia setahun waktu itu. Jadi saya sangat memahami keadaan ibu bekerja, terutamanya ibu tunggal yang sentiasa memikirkan anak-anak dan sama ada mereka dijaga dengan baik atau sebaliknya.
Iya, memang susah nak mengimbangi kerjaya dan komitmen dalam satu masa.
Pengasas Kiddocare, Nadira Yusoff dan Muhaini Mahmud
Muhaini mempunyai pengalaman luas dalam dunia korporat
Ibu-ibu sebenarnya menghadapi cabaran dan tekanan yang besar apabila bekerja. Mereka mempunyai komitmen tambahan terhadap pekerjaan. Tetapi apabila berlaku sesuatu yang besar berkaitan keluarga, hendak atau tidak mereka terpaksa mengambil cuti sehingga menjejaskan tugas.
Jadi berdasarkan hal ini, timbul idea penubuhan Kiddocare untuk membantu ibu bapa mendapatkan pengasuh yang boleh dipercayai untuk anak-anak mereka sewaktu bekerja.
Selain itu, masa bekerja yang fleksibel dan peluang menjana pendapatan di Kiddocare mampu memperkasakan semula wanita daripada komuniti B40 untuk menyara keluarga.
Kami juga memberi peluang pendapatan kepada wanita yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 yang lepas. Ada banyak kisah kejayaan mengenai pengasuh kami dan bagaimana Kiddocare telah mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.” Muhaini
ILMU & LATIHAN
Bercerita isu pengasuh tanpa kelayakan yang banyak menjalankan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak, Muhaini pantas menekankan pentingnya ilmu dan latihan kepada bakal pengasuh Kiddocare.
“Kami selalu memberi latihan kepada mereka melalui kursus-kursus dan mengajar kemahiran asas seperti kursus penjagaan kanak-kanak, kursus CPR & Safety serta sebagainya. Malah dalam kerja asuhan mereka pun kami akan buat pemantauan dan penilaian berterusan.
Bukan itu saja. Kami juga akan sering berbincang tentang apa yang baik dan apa yang boleh diperbaiki.
Dengan ini dapat melengkapkan kemahiran mereka bukan sahaja sebagai pengasuh, malah sebagai seorang insan kerana semua kursus ini dikendalikan oleh pakar industri yang berwibawa dan berpengalaman.” Muhaini
Tonton temu bual Nona bersama Nadira Yusoff dan Muhaini Mahmud tentang aspirasi penubuhan Kiddocare untuk ibu bapa Malaysia ni…
Menyelami sejarah kerjaya Muhaini, wanita jelita asal Kuala Lumpur ini rupanya memiliki kelulusan tinggi dan pernah bertugas di syarikat korporat terkemuka Malaysia. “Saya memiliki ijazah dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Kemudian saya melanjutkan pengajian pasca siswazah dalam Sains Aktuari di City University di London.
Kerjaya saya bermula dalam sektor korporat dan di sana saya berkhidmat kira-kira 14 tahun. Lebih lima tahun sebagai Perunding Aktuari di The Actuarial Partners dan lebih lapan tahun sebagai Pengarah Hal Ehwal Korporat di The Weststar Group. Saya banyak menimba pengalaman dan itulah yang membantu saya sehingga hari ini untuk menubuhkan Kiddocare.
Pada awal kerjaya saya ketika muda, memang menjadi kebiasaan apabila kita terbiasa mencurahkan segala usaha dan tumpuan kepada kerja supaya boleh mencapai standard hidup yang lebih baik dan maklum jugalah, sektor korporat ini memang penuh dengan cabaran, tekanan dan kerja yang tak habis-habis jadi saya mempunyai jadual kerja yang sangat sibuk dan padat ketika itu.”
****************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
****************
KEIBUAN
Menjadikan masa bersama si kecil sebagai momen ‘me time’ dan cara menghilangkan stres, Muhaini kebiasaannya suka melancong atau bersantai di rumah dengan anakanda tersayang.
“Selain itu, saya suka melakukan aktiviti fizikal seperti berlari, berbasikal, ‘personal training’ di gym dan bermain golf apabila kerana saya percaya senaman itu bukan sahaja penting untuk tubuh dan kesihatan kita, malah ia berfungsi sebagai penghilang stres. Bila saya melakukan aktiviti-aktiviti tersebut, saya rasa seperti bebanan kerja dan hidup saya teralih sementara.”
Muhaini juga bijak mengagihkan tugas di Kiddocare di antara sesama rakan kongsi. Katanya, mereka akan melihat kepada minat, kecenderungan dan kemahiran masing-masing dalam bisnes.
Muhaini Mahmud
Nadira Yusoff
Misalnya, jika ada sesi bersama pelabur, mungkin yang lebih mahir bercakap dan bersosial akan lebih ‘ke depan’ dan jika ada promosi yang perlu dilakukan melalui laman web atau media sosial pula, yang lebih mahir menulis atau mereka bentuk bahan promosi akan melakukan tugas ini.
“Tetapi apa pun tugas kami berdua, kami sentiasa membincangkan pelan tindakan kami dan kami juga akan saling memberi komen dan cadangan kepada satu sama lain. Di antara kami, ada banyak perbincangan, input dan komen yang diberikan dan kami sering menyelesaikannya bersama-sama.” Muhaini
Kini Kiddocare giat melakukan promosi untuk menarik para pelanggan seperti pakej harga murah, pemberian diskaun dan sebagainya.
Mengakhiri pertemuan, Muhaini turut berkongsi impian mereka.
“Kiddocare juga sering bergandingan dengan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, swasta dan NGO untuk mencari hubungan kerjasama dan sinergi, dan dengan memaksimumkan pengaruh pihak-pihak ini, kami dapat berkembang dan menyebarkan konsep perniagaan kami kepada jaringan audiens yang lebih besar.
Setakat ini, khidmat asuhan kami meliputi bandar-bandar besar di Malaysia tetapi kami menyasarkan supaya khidmat Kiddocare boleh dicapai di mana-mana sahaja di Malaysia. Itulah yang kami ingin usahakan.
Dalam pada itu, kami juga memasang niat untuk berkembang ke negara-negara jiran juga kerana konsep perniagaan kami yang unik ini saya rasa ada potensi untuk dimajukan sebagai suatu konsep yang boleh mengubah dan memodenkan industri jagaan kanak-kanak.
Seperti di Malaysia, saya yakin negara-negara jiran yang lain juga ada potensi yang besar untuk kami ke sana.
Selain meluaskan perniagaan, kami akan sentiasa mencari peluang untuk menambah baik lagi model perniagaan semasa kami supaya tidak ketinggalan dan dapat memenuhi kehendak pelanggan kami yang sedia ada dan juga menarik lebih ramai lagi pelanggan yang baharu.” Muhaini
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Foto: Nor Yanti Shaharudin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selebriti jelita, Paula Verhoeven sering tampil glamor. Namun, di sebalik glamor dan kemewahan dunia hiburan, Paula turut berperanan penting sebagai ibu kepada dua anak...