• 713
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    713
    Shares

Kelibat Ruby Che Wan, adik kepada Rozita Che Wan sedikit sebanyak mencuri perhatian peminat Che Ta lebih-lebih lagi apabila mengikat tali perkahwinan dengan Lan Pet Pet. Melihat penampilannya yang sudah berubah kini, tertanya-tanya bagaimana wanita ini melakukan penghijrahan. “Saya melakukan transformasi diri dengan melabuhkan sedikit tudung selepas pulang daripada mengerjakan haji tahun lalu. Perubahan ini berlaku apabila saya terfikir sudah beberapa kali mengerjakan umrah namun apabila tiba masa mahu meninggalkan tanah suci timbul rasa tidak seronok.

Apabila saya berada di tanah suci dan kembali ke Malaysia umpama berada dalam dua dunia yang berbeza. Sepatutnya ke mana sahaja kita berada amalan dan pakaian kita adalah sama. Oleh itu sejurus pulang daripada mengerjakan haji tahun lalu saya nekad untuk mengubah penampilan. Penghijrahan ini bukan untuk menunjuk alim dan sebagainya tetapi mahu menyarung pakaian yang boleh di bawa solat tidak kira masa dan tidak kira tempat,” terang ibu kepada empat orang anak ini.

Tambah wanita yang mudah mesra ini, setiap kali menemani suami menghadiri majlis tertentu ramai wanita yang bertanya tentang pakaian yang tersarung di tubuhnya. “Memang baju dan tudung yang saya pakai sekarang tidak ada dijual di mana-mana. Rekaannya saya buat sendiri dan jahit sendiri. Dahulu saya memang tidak suka menjahit dan hanya tahu mereka pakaian sahaja. Akibat takut tukang jahit tidak faham keinginan saya justeru saya jahit sendiri. Benar kata orang jika kita buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh pasti akan berjaya,” bicara Ruby yang belum terfikir untuk memasarkan baju rekaannya itu.

Menurut Ruby persediaan baju raya tahun ini berbeza sedikit daripada tahun-tahun yang sebelumnya. Baju raya tetap ada tetapi lebih sederhana dan yang penting adalah keselesaan ketika memakainya.

Setiap tahun pasangan ini akan menyambut kehadiran Syawal di Kedah. “Memang benar setiap tahun saya akan balik Kedah. Kedua-dua mak dan mak mentua ada di sana. Cuma setiap tahun saya akan beraya di rumah Lan terlebih dahulu dan selepas solat sunat Aidilfitri baharu saya akan pulang ke rumah mak di Alor Star.

Juadah hari raya biasanya mak mentua yang akan sediakan segala-galanya. Walaupun mak mentua sudah berusia tetapi dia masih kuat lagi. Mak mentua jenis yang suka masak dan tak bagi orang lain masuk dapurnya. Antara hidangan istimewa air tangan mak mentua sudah pasti ketupat dan gulai daging. Manakala laksa pula menjadi hidangan kegemaran anak bongsu dan satu-satunya lelaki iaitu Lan Pet Pet,” gurau Ruby kepada suaminya yang dikenali sejak di bangku sekolah lagi.

Di samping menguruskan perjalanan seni suaminya, Ruby juga sibuk menguruskan syarikatnya, RCW Beauty Empire yang terkenal dengan produk Lotion Putih Ajaib. Bercerita tentang perniagaan yang berasaskan kecantikan  yang terlalu banyak persaingan kini, Ruby positif memandang setiap cabaran. “Memang sekarang semua orang mahu berniaga. Ada yang berhenti kerja untuk membuka perniagaan berasaskan kosmetik dan ada juga dahulu yang bergelar agen atau stockist yang sudah membina jenama sendiri.

Bagi saya semua itu adalah persaingan yang sihat dalam perniagaan. Namun, apa yang saya utamakan adalah kualiti produk saya. Melalui penyelidikan dan pembangunan yang teliti produk tersebut baharu kita boleh mendapat kualiti yang terbaik. Sebagai pengguna pula mereka perlu berhati-hati memilih produk yang terbaik untuk kulit mereka,” ungkap bekas perancang kewangan ini.

 

Jangan Lupa Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: